HONDA CBR650F : Buktinya Kehebatan Jentera Honda
Jujur kami katakan, semua penunggang motosikal akur akan kehebatan jenama ini selepas berpuluh tahun ‘berbakti’ sebagai alat perhubungan penting buat para pekerja di bandar dan luar bandar, para pencari ilmu tidak kira anda lelaki mahu pun wanita, tua atau muda.
Bersesuaian dengan logo berupa sayap, sebab utama jentera Honda terus ‘terbang’ ialah kerana ketahanan enjin dan pengendaliannya yang sangat-sangat mudah. Tidak kiralah anda sedang memacu mesin 100cc atau 1000cc, Honda akan memastikan anda akan sentiasa tersenyum. Terima kasih kepada Boon Siew Honda kerana telah memberi peluang untuk kami menguji mesin CBR650F yang kini merupakan antara model paling sesuai untuk dimiliki oleh semua jenis penunggang.
Model CBR ini ternyata menggabungkan ciri-ciri sebuah jentera sport dan touring yang dapat dilihat dengan jelas menerusi rekaan luaran dan pelananya. Ia dikuasakan oleh enjin bersesaran 649cc, empat lejang DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa setinggi 61kW pada 9,500rpm. Dengan hantaran enjin sehebat ini, amat mudah untuk kita memecut ke hadapan dengan lancar. Seperti mana-mana model Honda lain, kesenyapan enjinnya ketika ‘beraksi’ menjadikan amat mudah untuk kita jatuh cinta padanya.
CBR650F ini dilengkapi dengan lampu marker jenis LED yang bukan sahaja dihasilkan untuk tujuan kosmetik semata-mata tetapi juga ia menawarkan pencahayaan yang jitu dan terang. Lampu utamanya jenis halogen – cantik, jimat dan tahan lama. Rekabentuk tangki 17.3 liternya membantu menjadikan CBR ini cukup mantap apabila dilihat dari bahagian sisi. Untuk menjamin keselamatan jentera ini daripada dicuri, CBR650F ini turut dilengkapi dengan Honda Ignition Security System (HISS), sistem yang terkenal dimiliki Honda yang telah terbukti cukup-cukup efisien.
Beberapa tahun lalu, Honda melengkapkan model-model sportnya dengan sistem ekzos bawah pelana – memang ranggi habis! Selepas beberapa lama, Honda membuat keputusan untuk tidak lagi mengekalkan posisi ekzos sebaliknya menukar semula di bahagian sisi, sama seperti model yang sedang ditunggang ini. Posisi menunggang CBR650F ini tidak terlalu radikal, ia lebih selesa dan cukup sesuai untuk mereka yang sukakan pengembaraan bermotosikal.
Panel meternya ‘terbelah’ dua, kedua-duanya jenis digital. Meter di sebelah kiri menunjukkan tahap kelajuan dan rpm manakala di sebelah kanan pula memaparkan tahap bahan api, masa, jarak perjalanan dan lampu-lampu penunjuk. Rekabentuk model ini cukup aerodinamik, kecil, kompak dan pengendalian jitu - adalah hadiah terbaik bagi mereka yang berbelanja puluhan ribu semata-mata untuk memiliki mesin ini.
Sebaik sahaja dihidupkan kita dapat merasakan betapa lancar dan licinnya enjin ini berputar menyebabkan kita tidak sabar lagi untuk memulakan perjalanan. Sistem Programmed Fuel Injection (PGM-FI) membantu tunggangan dalam putaran enjin yang rendah (3,000 – 4,000rpm) lebih stabil. Walaupun kita menurunkan kelajuan hingga 20 km/j dalam gear kelima, kita tidak akan berasa tersangkut-sangkut sebaliknya terus lancar. Pulas sahaja pendikit, rasailah Honda ini yang mempunyai kuasa tork 63Nm pada 8,000rpm terus memecut ke kelajuan 210km/j dengan mudah sekali! Syok!
Kerangka diamond bertegaran tinggi dan bentuk badan aerodinamik, kita dapat menunggang ke tahap maksimum (240km/j) dengan cukup selesa dan cukup stabil. Apa yang perlu diperbaiki ialah cermin pengadang angin yang kecil agak mengecewakan kerana tidak memberikan laluan udara dengan sebaiknya. Masalah tamparan angin ini hanya timbul pada bahagian kepala sahaja, tubuh badan penunggang tetap stabil kerana konsep rekaan fairing mesin Honda ini cukup sempurna.
Berbalik kepada posisi menunggang, pelana pembonceng yang empuk, tidak terlalu tinggi dan lengkap dengan bar pemegang jenis clip-on memberikan keselesaan – cukup penting untuk perjalanan jauh. Jika menunggang berpasangan, perkara ini perlu diambil kira…barulah seronok apabila kedua-duanya tiba ke suatu destinasi dengan selamat dan segar. CBR ini juga cukup sesuai untuk para pekerja di dalam bandar. Selain posisi menunggang yang tidak terlalu membongkok, kelancaran sistem penyejuk cecairnya menjadikan kita tidak diganggu dengan sebarang bahan panas daripada sistem enjin dan ekzos.
Menunggang CBR baru ini memang cukup mudah, ia seperti sebuah motor asas tetapi cukup sempurna dan kompetitif. Ketinggian pelana yang hanya 810mm membolehkan ia ditunggang dengan penuh keyakinan walaupun oleh penunggang wanita. Tidak perlu kita memikirkan tentang jenis pemetaan, sistem TC pelbagai tahap, dengan CBR650F kita hanya perlu mengenal pasti tahap tunggangan kita. Kalau kurang pengalaman, jangan buka pendikit itu terlalu banyak…kawal emosi walaupun ia jentera yang cukup ‘sedap’!
Memang benar…bercerita dari segi kepuasan menunggang. Kelajuan maksimum, kepantasan memecut atau kehebatannya meleper di selekoh bukan sesuatu yang pasti perlu dimiliki oleh sesebuah motosikal. Kadang kalanya, pemilik itu mencari sebuah ‘sahabat’ yang mudah ditunggang, tahan lasak, cantik dan selesa disamping mengekalkan beberapa sifat-sifat mesin sport. Inilah yang dimaksudkan dengan CBR650F ini, ia ternyata agak berat (209kg), tetapi pengendalian ketika memecut dengan laju serta meratah selekoh-selekoh tajam masih cukup tepat dan jitu.
Untuk kestabilan yang tinggi di jalan-jalan berselekoh, CBR ini dilengkapi dengan sistem saspensi yang cukup mantap. Saspensi hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak pro-link di belakang menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali. Kita masih mampu memiringkannya dengan yakin dalam kelajuan yang agak tinggi dan tidak mustahil, di jalanan berselekoh tajam, model ini mampu berada di sebelah CBR600RR dengan megahnya.
Honda melengkapkan model ini dengan sistem brek yang setakat ini, tidak ada sebarang complaints daripada kami. Brek hadapan dan belakang jenis cakera hidraulik bertindak dengan baik ketika berada di permukaan yang basah mahu pun kering. Kita yakin untuk memerah pendikit dengan keras selepas keberkesanan sistem breknya diuji. CBR650F ini didatangkan dengan tayar hadapan bersaiz 120/70ZR 17MC (hadapan) dan 180/55ZR 17MC yang menggigit setiap permukaan jalan dengan baik sekali.
Kemajuan dan progres kemodenan sesuatu produk itu sentiasa bergantung kepada permintaan dan kehendak para pelanggan, dalam kes ini tidak terkecuali. Honda pastinya sudah mempunyai barisan mesin-mesin pantas yang mampu menggegarkan jalan raya tetapi turut menawarkan sebuah mesin yang membolehkan kita menunggang seperti sang juara dan pada masa yang sama, ia amat selesa untuk membuat suatu pengembaraan.
CBR650F turut menawarkan penjimatan bahan api yang layak dipuji iaitu lebih 220 kilometer dengan isian penuh tangki bersaiz 17.3 liter. Terdapat empat pilihan warna iaitu Sword Silver Metallic, Pearl Metalloid White dan Millennium Red yang ditawarkan pada harga RM47,405. RR
Oleh: Khairil Azuan
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 649cc |
Gerek x lejang | 67 x 46mm |
Nisbah mampatan | 11.4:1 |
Kuasa maksimum | 61kW pada 9,500rpm |
Tork maksimum | 63Nm pada 8,000rpm |
Tinggi pelana | 810mm |
Isi tangki | 17.3 liter |
Berat | 199kg |
Pengeluar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular