Suzuki Smash Fi SR : Jimat & Mantap!
Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, Suzuki Smash 110 mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pengguna pada waktu itu. Kemudian diikuti dengan model klac manual, Smash Pro 110 yang dilancarkan pada tahun 2005. Pada tahun 2010 diperkenalkan pula model Smash V115 dan sejak itu ia mengalami perubahan rekacorak grafik sehinggalah sekarang. Setelah 12 tahun model ini berada di jalan raya di setiap pelusuk negara, kini ia kembali dengan rupa bentuk baru yang lebih segar dan moden. Malah, turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api menggantikan sistem karburetor yang lebih menjimatkan petrol - Suzuki Smash Fi 115.
Model Smash Fi 115 yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu ini direka dengan mengikuti ciri-ciri teknologi motosikal Suzuki yang lebih besar dengan menggabungkan kehebatan prestasi enjin dan penjimatan bahan api. Pastinya ia cukup tahan lasak kerana jenama ini sudah terkenal dengan kelasakan enjin motosikal empat lejang keluarannya sejak dahulu lagi.
Dari segi rekabentuk, ia sememangnya rekaan yang cantik dengan padanan grafik yang moden dan menarik perhatian. Lampu utamanya besar berserta lampu isyarat yang cukup terang dan jelas. Dengan penumpuan sebagai mesin mesra alam, Smash Fi SR didatangkan dengan tiga skima warna pilihan yang menarik, New Titan Black/Briliant White, Macho Bright Blue/Briliant White dan Pearl Fresh Green/Briliant White. Manakala untuk model R (rim jejari) pula dengan dua warna pilihan iaitu New Titan Black/Brilliant White, Pearl Fresh Green/Brilliant White.
Seperti kebanyakan model moped yang lain, motosikal ini turut dilengkapkan dengan ruang utiliti bawah pelana seluas 8 liter yang boleh memuatkan baju hujan, dompet, ataupun perkakas penting untuk memulakan perjalanan dengan model moped ini. Bagi penunggang wanita pula, beg tangan bersaiz kecil juga muat untuk diletakkan di bawah pelana. Selamat!
Panel meter menarik dan ringkas dengan paparan info yang cukup jelas dan menyenangkan. Lengkap dengan penunjuk kedudukan gear dan penunjuk isian tangki memberi maklumat terperinci kepada penunggang. Lampu belakang dan lampu isyarat belok model ini bukan sahaja cantik tetapi bentuk dan saiznya juga kemas dan besar. Rekaan lampu berasingan ini membantu para pemandu kenderaan lain melihat dari jauh.
Kunci utamanya dilengkapkan dengan penutup yang banyak membantu melindungi model-model moped terkini yang sering berlaku kes kecurian dan mengelakkan lubang kunci rosak dimasuki habuk. Sebaik sahaja kunci diputarkan, lampu penunjuk sistem pancitan bahan api akan menyala menunjukkan sistem sedang beroperasi. Apabila lampu penunjuk itu padam, barulah kita boleh menghidupkan enjinnya dengan sistem elektrik ataupun tendang dan enjin berputar dengan segar. Dengan adanya sistem Fi ini, tiada lagi tuas pencekik seperti motosikal yang menggunakan sistem karburetor. Enjin ini amat mudah dihidupkan dalam apa jua situasi sekalipun tidak kira suhu sejuk di waktu pagi ataupun di waktu panas tengahari.
Sering kali berlaku penunggang terlupa untuk menurunkan gear ketika berhenti di lampu isyarat. Dengan adanya penunjuk gear pada model ini, ia membolehkan penunggang menukar kedudukan gear pada tahap yang sepatutnya. Kita akan lebih berkeyakinan untuk menunggang di jalan yang berselekoh ataupun ketika ingin memintas dan memulakan pergerakan. Tak perlulah terkial-kial mencari kedudukan gear apabila sampai di persimpangan berlampu isyarat mahupun berhenti setelah sampai di destinasi yang dituju. Senang!
Kami memilih laluan yang padat dengan kesesakan jalan raya di ibukota dan di sinilah keupayaan mesin jenama Suzuki ini teruji. Enjin serba baru Smash Fi 4 lejang SOHC dengan silinder tunggal menghantarkan kuasa dengan cukup lancar apabila dihidupkan. Tindak balas antara pendikitnya dengan putaran enjin cukup tepat. Ia membantu kita memintas kenderaan yang lebih besar dengan tangkas mahupun mencelah di dalam kesesakan trafik. Makin dipulas, makin best!
Ini merupakan kelebihan motosikal yang menggunakan sistem Fi – kadar kemasukan bahan api ke kebuk pembakaran enjin yang efisyen (semburan petrol lebih halus) menjadikan proses pembakaran lebih tepat dan sempurna. Selain tindakbalas pendikit yang menyeronokkan, motosikal Smash Fi juga menawarkan kadar penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding motosikal yang menggunakan sistem karburetor. Kami mampu mencapai jarak lebih daripada 150km untuk satu isian penuh tangki 3.7 liter dengan purata kelajuan 80kmj-100kmj. Namun ia bergantung kepada saiz dan berat penunggang dan bebanan yang dibawa. Kalaulah saiz tangkinya lebih besar, alangkah nikmatnya menunggang dalam jarak yang lebih jauh.
Enjin bersesaran 113 cc ini menawarkan kuasa maksimum 5.76kW (7.7hp) dengan kuasa tork 8.40Nm. Smash Fi ini mampu dipecut dengan pantas dan terutamanya dalam gear kedua dan ketiga. Dalam gear tertinggi, kelajuan maksimum yang berjaya dicapai ialah sekitar 115km/j dengan putaran enjin yang lancar, tanpa sebarang sentapan. Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos jentera ini juga memang nyaring dan garang. Kerangka jenis tiub besi yang tegar dan ringan menjadikannya cukup tegap ketika dipecut laju dan apabila mengubah kedudukan ketika berada di jalan-jalan berselekoh ataupun memintas kenderaan yang lebih besar dalam kesesakan lalulintas. Ianya hanya seberat 96kg untuk model SR, manakala untuk model rim jejari (model R), 95kg.
Apa yang kurang selesa ialah penyerap hentak berspring di bahagian belakang sedikit keras jika menunggang berseorangan namun apabila membawa pembonceng, sistem penyerap hentak belakangnya bertindak dengan baik. Fork hadapan Smash Fi jenis teleskopik menyerap segala jenis permukaan jalan dengan berkesan sekali. Tidak terlalu lembut dan tidak jauh menjunam apabila ditarik dengan keras tuas brek hadapan.
Tunggangan lebih menyakinkan apabila sistem brek cakera pada bahagian hadapan dan gelendong untuk belakang yang dilengkapkan pada model Smash Fi ini didapati cukup berkesan. Dengan hanya satu tarikan jari untuk brek hadapan dan memijak brek belakang secara serentak, ia mampu memperlahankan atau memberhentikan motosikal ini dengan selamat dan stabil dari kelajuan 80kmj.
Suzuki Assemblers melengkapkan mesin ini dengan tayar jenama FKR Scorpio jenis tanpa tiub yang menggigit permukaan jalan raya dengan baik pada waktu panas. Apabila permukaan jalan basah, ia mengalirkan air dengan baik melalui celahan bunga tayar yang bersaiz 70/90-17 pada bahagian hadapan dan 80/90-17 pada bahagian belakang. Sportrim lima jejarinya yang menarik memantapkan penampilan Smash Fi ini dan menjadikannya semakin seronok ditunggang.
Smash Fi SR dan Smash Fi R masing-masing dijual pada harga asas RM5,278.80 dan RM5,066.80 termasuk GST 6%. Berkunjunglah ke wakil sah pengedar Suzuki berhampiran anda untuk melihat mahupun memiliki model terbaru yang menjimatkan petrol ini. RR
Oleh: Firdaus
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 1 silinder, SOHC, sistem penyejuk udara |
Isipadu | 113cc |
Gerek x lejang | 51.0 x 55.4mm |
Nisbah mampatan | 9.5:1 |
Kuasa maksimum | 6.3kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 9Nm pada 4,000rpm |
Tinggi pelana | 760mm |
Isi tangki | 3.7 liter |
Berat | 96kg |
Pengeluar | Suzuki Assemblers Malaysia |
Popular