MV AGUSTA TURISMO VELOCE 800
Untuk sekian lama para pemilik MV Agusta sering kali membawa bersama ….sejarah jenama ini. Warisan perlumbaan yang bermula pada tahun-tahun 1950an membuahkan model-model MV Agusta yang mempunyai tindak balas yang tepat dan tajam apabila berbicara mengenai pengendalian, kuasa dan kelajuan. Malah, sebelum model Stradale 800 diperkenalkan, memang agak sukar untuk kita berhadapan atau berjumpa dengan model-model MV Agusta yang boleh kita kaitkan dengan perkataan ‘praktikal.’
Apa pun, segalanya kini telah berubah dengan pengenalan kepada model terbaru Turismo Veloce 800, model sport touring pertama yang diperkenalkan oleh pengeluar dari Varese. Walaupun begitu, nama pun MV Agusta, mereka tetap ‘tidak mahir’ untuk mencipta sebuah mesin pengembaraan yang tenang dan perlahan, makna Veloce itu sendiri bererti ‘laju.’
Menurut Giovanni Castiglioni, CEO MV Agusta, Turismo Veloce 800 merupakan model pertama dihasilkan yang bukan menyasarkan “lebih kuasa, lebih pantas.” Posisi menunggangnya kini lebih tegak, bar hendal lebih lebar, tapak roda yang lebih panjang berbanding model-model tiga silinder mereka yang lain dan enjin tiga silinder ini juga telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa 110hp berbanding Brutale RR dan Rivale RR yang memiliki kuasa sehebat 140hp. Walaupun begitu, model ini menawarkan kuasa tork lebih tinggi di tahap RPM yang rendah, serta lengkungan kuasa tork yang lebih sekata.
Semasa majlis pelancaran model ini di Perancis, anda sedar bahawa ia adalah satu sidang media pengeluar motosikal yang unik kerana penyampai itu berkata, “Kami juga telah menambah penunjuk tahap bahan api pada model ini.” Satu kenyataan di luar jangkaan kita untuk didengari pada tahun 2015, di dalam era elektronik yang cukup menakjubkan ini.
Itu lah dia. Rupa-rupanya ini adalah kali pertama MV Agusta mendapati adalah relevan untuk meletakkan penunjuk tahap bahan api di salah satu daripada jenteranya. Tetapi, sebelum pembaca lebih teruja, mereka masih gagal untuk meletakkan penunjuk tahap penggunaan bahan api.
Sistem elektroniknya menawarkan penggunaan ride-by-wire throttle, cruise control, quick shifter yang cukup menarik, penyambungan sistem bluetooth, alat GPS yang boleh disepadukan di papan pemuka, papan pemuka TFT bersaiz 5 inci dan tiga jenis pemetaan enjin (ditambah dengan pemetaan khas mix and match yang cukup istimewa). Sistem ABS adalah alatan standard dan ia juga didatangkan dengan lapan talaan traction control (TC) yang berbeza.
Berkenaan dengan pemetaan enjin, anda dapat membuat pilihan di antara pemetaan jenis Sport (110hp), Touring (90hp) dan Rain (80hp). Kesemua pemetaan ini turut mempunyai talaan berbeza untuk rev limiter cut-off, throttle sensitivity, brek enjin dan TC manakala dengan memilih pemetaan mix and match pula, kita dapat membuat talaan mengikut kehendak dan keupayaan diri.
SESSI MENUNGGANG
MV Agusta telah mengumpul para wartawan dari seluruh dunia di Selatan Perancis di pertengahan bulan April lalu untuk memberi peluang merasai pengalaman pertama memacu Turismo Veloce. Para penunggang dibawa ke Semenanjung Saint-Jean Cap Ferrat seterusnya mendaki ke French Alps dan turun semula. Benar, ketika dalam perjalanan, saya tidak dapat membayangkan tempat lain di dunia ini yang ingin saya pergi untuk menikmati tunggangan di jalanan yang lancar, berselekoh tajam dan paling utama ianya seperti dikucup sinaran matahari dengan suhu yang tidak lebih daripada 20deg,C dan tidak pula rendah daripada 12deg.C. MV Agusta memang bijak memilih destinasi untuk memperkenalkan mesin pengembaraan mereka.
Dari hotel, kami melalui kawasan bandar untuk tiba di kaki pergunungan – saya rasakan seperti menunggang sebuah motosikal yang cukup baik sifatnya walaupun enjin agak tersentap-sentap ketika di bawah 4,000rpm. Tinggi daripada tahap itu barulah dirasakan kekuatan torknya yang bagaikan sentiasa mahu berlari tetapi masih ringan dan terkawal. Ia cukup jinak, tidak seperti yang kita jangkakan dari sebuah jentera MV Agusta.
Sebaik sahaja tiba di kaki gunung, semua ‘geng’ penunggang MV Agusta merasakan telah tiba waktu ‘urusan sebenar’ dan kesemuanya terus memulas pendikit masing-masing untuk memulakan pendakian di jalanan berliku itu.
Pemetaan enjin mesin saya ditala kepada Sport, membenarkan saya merasai keseluruhan kuasa dan tork yang ‘tersimpan’ di dalam enjin tiga silinder, 798cc itu. Dengan berat kering cuma 191kg, ini bermakna kuasa maksimum 110hp dan tork 83Nm jentera ini memang cukup mantap!
Pengendalian Turismo Veloce ini ringan dan neutral tetapi saya dapati talaan standard di bahagian saspensi terlalu lembut. Apabila kita memasuki selekoh dengan dalam dan keras, mesin mudah menjunam dan seterusnya melebar apabila cuba keluar dari selekoh. Kalau menurut hati, saya mahu ianya dikeraskan sedikit tetapi disebabkan masa yang tidak menyebelahi, saya membuat keputusan untuk menyesuaikan diri dengan mesin ini daripada cuba menjadi ‘hero’. Saya lebih banyak menggunakan brek belakang untuk menetapkan kedudukan sebelum memasuki selekoh dan berjaya mengurang tahap junaman bahagian hadapan.
Sistem brek. Tayar hadapan dilengkapkan oleh sepasang brek cakera 320mm dengan angkup Brembo empat silinder manakala tayar belakang pula menggunakan cakera tunggal 220mm dengan angkup Brembo dua silinder. Sistem ABS disediakan oleh Bosch yang disertakan sekali dengan ciri Rear-Wheel Lift Up Mitigation yang bermakna, anda tidak akan dapat melakukan aksi stoppie apabila sistem ini dihidupkan. Semasa sedang menunggang uji, ketika dalam perjalanan turun dari gunung, saya dapati sistem ABSnya cukup efisien dan semula jadi. Saya tidak merasakan sebarang gegaran atau goncangan yang ada kalanya merupakan karaktor sistem ABS yang tidak lengkap dibangunkan.
Seperti yang dikatakan tadi, Turismo Veloce didatangkan dengan electronic quickshifter, yang membenarkan proses menambah dan mengurangkan kedudukan gear dapat dilakukan tanpa menyentuh tuas klac atau membuat blipping. Kita dapat menukar gear tanpa perlu menutup pendikit! Sebenarnya, saya mendapati apabila cuba menukar gear tanpa klac dengan cara tradisional (manual) iaitu menutup terlebih dahulu pendikit (blipping) sebelum menambah gear, saya akan gagal menukar gear. Dari itu, saya mengambil kesimpulan bahawa ia adalah satu proses yang bertentangan dengan sistem electronic quickshifter ini yang mahukan pendikitnya sentiasa dipulas.
Walaupun pada mula rasa agak janggal tetapi selepas beberapa ketika, saya menggunakan sistem elektronik itu seperti saya yang menciptanya – sangat mudah. Sistem quickshifter ini boleh dimatikan di papan pemuka tetapi apabila klac tetap boleh digunakan walaupun ketika sistem masih beroperasi, saya rasa tiada sebab untuk mematikannya.
Perjalanan yang sejauh 220 kilometer itu turut membawa kami berada di sebuah Golf Resort yang setinggi 1,200m di atas paras laut. Kami kemudian menuju ke Nice untuk menikmati perjalanan 30 minit di dalam kawasan bandar.
Ketika ini saya sepatutnya menukar pemetaan kepada Rain kerana ia memberikan tindak balas pendikit lebih baik ketika berada di RPM rendah tetapi saya terguna pemetaan Sport (kerana terlupa untuk mengubahnya). Walaupun begitu, perkara aneh yang hadir ke minda ketika bersantai di dalam bandar ialah – mesin ini juga cukup sesuai untuk berada di kawasan urban.
Sekali lagi, ia adalah amat berlainan seperti mana yang sering kali ditawarkan oleh MV Agusta tetapi beginilah ia. Ia sebuah mesin yang dihasilkan dengan bijaksana, selesa dan pastinya ia boleh dimiliki untuk kegunaan harian, tidak sekadar sebuah tunggangan pantas di hujung-hujung minggu.
Sebenarnya, penggunaan jentera ini di kawasan urban ada suatu perkara yang tidak pernah terlepas daripada perhatian pihak MV Agusta ketika sedang membangunkan Turismo Veloce ini. Sebelum ini, selang masa servis untuk model-model MV Agusta yang menggunakan enjin tiga silinder ini adalah pada jarak 6,000 kilometer manakala penukaran palam pencucuh dan pelarasan injap di setiap 12,000 kilometer.
Kini, perubahan dan penambahbaikan telah berjaya dibuat dengan selang masa servis yang dipertingkatkan kepada setiap 15,000 kilometer manakala penukaran palam pencucuh dan pelarasan injap kini ditambah jaraknya kepada setiap 30,000 kilometer.
Ini bermakna, selain merupakan sebuah mesin pengembaraan, ia juga adalah sebuah jentera kegunaan harian yang baik dan boleh juga ditunggang untuk tujuan yang berbeza. Sememangnya benar, semasa di sidang media, MV Agusta telah menyenaraikan ‘comfort seat’ dan kotak barang atas akan dijadikan aksesori terbaru yang bakal dibangunkan kelak khususnya untuk disesuaikan dengan kehendak pengguna bandar.
Secara jujurnya, saya tidak dapat meneka bagaimana caranya mereka hendak memasang kotak barang atas pada mesin ini tetapi saya amat yakin bahawa para pereka MV Agusta berupaya mengatasi masalah ini dengan tenangnya.
REKABENTUK
Model naked MV Agusta sinonim dengan rekabentuk bagaikan ingin ‘menyerang’ dengan posisi menunggang yang radikal dan seumpama ‘si penjahat’ yang bermahajaralela di jalanan. Begitu juga dengan rekabentuk model-model berfairing, sama juga…ia sebuah jentera perlumbaan yang melepasi undang-undang untuk kegunaan jalanan biasa.
Model Turismo Veloce ini ternyata tidak mewarisi gaya kedua-dua segmen tadi, terutama sekali dengan posisi menunggangnya tidak agresif. Akan tetapi, ia masih mengekalkan identiti MV Agusta. Masih dilengkapi dengan lengan ayun tunggal dan sistem ekzos tiga corong seperti model-model MV Agusta yang lain. Model ini dilengkapkan dengan fairing-separa dan cukup anggun dengan mengenakan lampu berbentuk “rhomboid” seperti yang dilengkapi pada model F3 dan F4.
Tetapi, sudah menjadi tujuan utama model tourer untuk didatangkan dengan pelana yang lebih tinggi daripada model-model lain. Saspensi yang panjang dipasang, menjadikan tinggi pelana model ini ialah 850mm (33.46 inci) dan pelana ini cukup lebar (untuk keselesaan). Ketinggian pelana ini adalah satu isu buat mereka yang mempunyai ketinggian di bawah 177.5cm (5’10”). Kit untuk merendahkan jentera ini masih belum ditetapkan waktu majlis pelancarannya tetapi jika mereka (pihak MV Agusta) masih tidak membuat aksesori yang dimaksudkan maka mereka perlu mula bertindak.
Melihat pada rekaan bahagian atas dan belakang, jelas menunjukkan betapa kemas dan anggunnya model ini. Ianya langsing, dan ada potongan. Walaupun begitu, dari hadapan rekaan fairing separa ini memberikan perasaan yang berbeza-beza. Saya sendiri pada mulanya kurang berpuas hati dengan rekaan ini tetapi selepas beberapa lama, terutamanya sekali selepas beratus kilometer menunggangnya, barulah saya faham ia sememangnya direka sebegitu rupa dan kini menghargai rekabentuknya ini.
SAINGAN
Boleh kita katakan, MV Agusta telah menghasilkan sebuah mesin di dalam kelasnya tersendiri yang berorientasikan kategori adventure touring – sebuah jentera eksotik dan pantas, tetapi boleh juga dijadikan kegunaan harian. Tetapi ia tidak bermakna kita tidak membandingkannya dengan jentera lain, mestikan boleh!
Di majlis sidang media, MV Agusta sendiri telah membuat perbandingan model ini dengan Ducati Multistrada, BMW S1000XR dan R1200 GS berserta juga Triumph Tiger XRx dan Tiger Explorer. Melihat akan senarai yang diberikan memberitahu kita bahawa segmen adventure touring juga mempunyai kepelbagaian. Dari senarai yang diberikan itu, hanya Triumph Tiger XRx yang mempunyai kapasiti enjin dan bilangan silinder yang sama, serta kuasa hantaran yang hampir sama. Selain dari itu, mesin-mesin lain ternyata mempunyai kapasiti enjin yang lebih besar, serta bilangan silinder dan kekuatan kuasa hantaran yang berbeza.
Salah seorang wartawan yang hadir turut bertanyakan bagaimana jika Turismo Veloce ini dibandingkan dengan Yamaha MT-09 Tracer tetapi pihak MV Agusta menyatakan pesaing mereka paling rapat ialah jentera-jentera jenama Eropah.
Benar apa yang dikatakan tetapi jentera-jentera dari Jepun tidak wajar untuk diketepikan. Kita boleh berhujah untuk katakan MT-09 Tracer adalah pesaing paling rapat terutamanya dari segi kapasiti enjin, berat dan prestasi. Selain itu, perlu juga ditambah dalam senarai itu Kawasaki Versys 1000 dan Suzuki V-Strom 1000 jika mereka meletakkan model BMW S1000XR sebagai saingan.
KESIMPULAN
Akhir kata, kemungkinan jentera Turismo Veloce bakal dimiliki oleh para penunggang yang tidak pernah pun cuba untuk membandingkannya dengan jentera-jentera lain. MV Agusta sendiri tidak meletakkan diri mereka sebagai pengeluar motosikal berskala besar, sebaliknya lebih cenderung untuk menawarkan hasil kerjanya kepada kumpulan yang benar-benar menyintai dunia dua roda.
Namun begitu, model Turismo Veloce pastinya akan mendapat penerimaan daripada para penunggang jauh lebih baik daripada model-model sebelum ini malah mungkin mampu membawa mereka lebih dekat dengan pengeluar-pengeluar arus perdana. Dengan harga Euro15,990 (pasaran Eropah) meletakkan model ini lebih murah berbanding Ducati Multistrada (Euro 17,240) dan dua model BMW yang dibandingkan itu (Euro 16,200 untuk S1000XR dan Euro 16,090 untuk R1200GS), tetapi lebih tinggi daripada Triumph XRx (Euro 11,490) atau mana-mana jentera sport/adventure dari Jepun. Jadi, dari perspektif mampu milik, ia boleh dikatakan harganya tidaklah terlalu tinggi hingga jauh melepasi jentera-jentera lain. Menurut pihak Chear Motor selaku pengedar sah MV Agusta di Malaysia, Turismo Veloce dijangka akan memasuki pasaran negara pada bulan Julai ini.
Dari perspektif praktikal pula, ianya tentulah satu kejutan (yang agak menyenangkan) bahawa wujudnya satu model motosikal dari MV Agusta yang boleh dianggap sebagai praktikal! Malah, model ini juga boleh dilengkapi dengan kotak barang sisi sebesar 30 liter dan percayalah, tiada yang lebih sesuai dan praktikal daripada itu jika anda sukakan pengembaraan motosikal. Berserta dengan kemungkinan MV Agusta akan menambah aksesori kotak barang atas di masa hadapan, maka akan menjadi komprehensif keupayaan jentera ini sebagai pengembara.
Giovanni Castiglioni sendiri pernah berjenaka, dulu jika anda sudah memiliki sebuah jentera MV Agusta, anda perlu memiliki sebuah jentera lagi yang hanya dibeli untuk kegunaan harian, tetapi kini anda hanya perlu memiliki satu sahaja lagi MV Agusta -- iaitu Turismo Veloce -- dan ia bakal menjadikan kehidupan anda sebagai penunggang lengkap dan sempurna.
Tahu tak… mungkin juga betul katanya itu!!! RR
Oleh:
Dr. Yusseri
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 3 silinder, sistem penyejuk udara |
Isipadu | 798cc |
Gerek x lejang | 79.0 x 54.3mm |
Nisbah mampatan | 12.2:1 |
Kuasa maksimum | 81kW pada 10,000rpm |
Tork maksimum | 83Nm pada 8,000rpm |
Tinggi pelana | 850mm |
Isi tangki | 22 liter |
Berat | 191kg |
Pengeluar | MV Agusta |
Popular