Yamaha NMAX 155 - Mudah & Praktikal
Penggunaan kenderaan di Negara semakin meningkat saban tahun. Tidak kira di dalam bandar, luar bandar ataupun di lebuhraya kita seringkali terjebak dalam kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak. Motosikal automatik merupakan antara jentera yang sesuai untuk hadapi masalah tersebut. Dengan ini, kami perkenalkan Yamaha NMAX 155 sebuah model skuter yang mudah dikendali, lincah dan menjimatkan.
NMAX mula diperkenalkan sekitar tahun 2016. Model ini ternyata mendapat sambutan para pencinta dua roda di Malaysia yang meminati sebuah motosikal automatik. Pada Disember 2020, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan Yamaha NMAX 155 versi baharu yang menawarkan rekabentuk dan ciri-ciri serba baru. Sekali lihat, pasti terpesona dengan keanggunan bentuknya. Melihat keseluruhan rekabentuknya, memang berbeza jika dibandingkan dengan model lama. Badan NMAX baru ternyata lebih tegap dan mantap.
Terdapat dua pilihan warna untuk Yamaha NMAX 155 iaitu Grey (dengan kemasan rim berwarna emas) dan Matt Red. Skuter ini boleh dimiliki pada harga RM8,998 (tanpa cukai jalan & insurans) berserta waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Kami percaya dengan bentuknya yang menarik, skuter ini mampu menarik minat pelbagai golongan tidak kira peringkat umur.
Apa yang kami rasa paling seronok adalah keselesaan yang ditawarkan pada skuter NMAX ini. Pelananya yang empuk terus membuatkan wajah kami tersenyum. Dengan pelana setinggi 765mm, memudahkan kami untuk memanjat ke atas jentera tersebut. Kedua-dua tapak kaki kami dapat memijak permukaan bumi dengan mudah. Posisi tunggangannya cukup selesa. Untuk menunggang jauh pasti tidak memenatkan. Manakala ruang yang luas di antara bar hendal dan pelana memudahkan penunggang menukar posisi.
Boleh kami katakan, skuter NMAX juga sesuai untuk dibawa mengembara. Kenapa? Model ini mempunyai ruang simpan barang yang berada di bawah pelana berkapasiti 23.3 liter. Memang cukup luas dan mampu menyimpan barang-barang seperti sebuah topi keledar full face/open face, beg tangan, beg galas, komputer riba serta barangan peribadi. Untuk pengetahuan anda, kedudukan helmet perlu diletakkan secara terbalik supaya dapat menutup pelana dengan mudah. Untuk membuka pelana senang sahaja, putarkan kunci utama ke ‘OPEN’, kemudian tekan butang ‘SEAT’ dan pelana akan terbuka.
Selain ruang bawah pelana, terdapat juga dua ruang kecil yang terletak di bahagian hadapan untuk menyimpan barang-barang bersaiz kecil seperti telefon bimbit, dompet, power bank, kunci dan sarung tangan. Kami dapati ruang yang berada di sebelah kiri tidak mempunyai penutup seperti sebelah kanan. Menurut pihak Yamaha, ruang tersebut dibina bagi memudahkan penunggang meletakkan botol air 500ml, tidak perlu bersusah payah untuk letak di bawah pelana. Untuk perjalanan jauh, ruang ini juga mempunyai soket dengan kuasa 12V untuk mengecas telefon bimbit.
Untuk menghidupkan enjin NMAX sama sahaja dengan mana-mana model skuter yang lain. Putar kunci utamanya, naikkan tongkat sisi, tarik tuas brek sebelah kiri kemudian tekan suis penghidup elektrik… mudah! Bunyi enjin 155cc ini menawarkan bunyi yang senyap semasa dihidupkan dengan bantuan sistem Starter Generator Control Unit dengan gabungan kawalan bersepadu Sistem Penjana Motor Pintar. Sistem ekzosnya mengeluarkan bunyi yang lancar dan merdu. Sebaik sahaja bergerak, kami dapat rasakan ruang lantai pada NMAX ini cukup luas. Ia dapat memberikan keselesaan ketika menunggang di dalam bandar mahupun luar bandar. Untuk perjalanan yang santai letakkan sahaja kaki ke posisi hadapan. Gerakkan kaki ke belakang memberikan kita sedikit kelincahan semasa membuat pecutan atau mengambil selekoh.
NMAX didatangkan dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4 lejang dengan sistem penyejuk cecair. Model yang digerakkan dengan sistem transmisi tali sawat V-Automatik ini mampu menghamburkan kuasa maksimum 11.3kW (15.4PS) pada 8,000rpm manakala torknya pula 13.9Nm (1.4kgf m) pada 6,000rpm memang sudah cukup berkuasa untuk sebuah jentera automatik.
Sistem BLUE CORE tidak lagi asing buat Yamaha kerana ia merupakan satu teknologi eksklusif pada setiap jentera skuter mereka. Dengan adanya teknologi ini, ia membantu dari segi pembakaran bahan api yang sempurna, kecekapan penyejukan enjin, pecutan lebih efisien, pengurangan kehilangan kuasa dan penjimatan bahan api.
Ternyata enjin pada skuter ini telah dinaik taraf oleh pihak Yamaha. Sama seperti model Yamaha Y16ZR, NVX, MT-15 dan YZF-R15, ia hadir dengan sistem VVA (Variable Valve Actuation) kuasa pecutan di peringkat pertengahan. Sistem suntikan bahan api juga melancarkan lagi pergerakan skuter NMAX di setiap masa. Kami dapat membuka dan menutup pendikit sesuka hati tanpa sebarang gangguan dalam proses penghantaran kuasa.
Dengan panjang (1,935mm), lebar (740mm) dan tinggi (1,160mm), kita dapat menggerakkan NMAX ke kiri dan kanan dengan tepat tanpa gangguan. Gerek bersaiz 58.0mm dan lejang 58.7mm berjaya menggerakkan sebuah mesin yang mempunyai berat 130kg (dengan minyak dan tangki bahan api penuh) dengan cemerlang sekali. Dengan pantas kita dapat meluncur ke hadapan tanpa ragu-ragu untuk memintas kenderaan lain.
Fairing hadapannya sangat bagus. Walaupun memecut sehingga 125km/j, angin yang datang dari hadapan dapat melalui tubuh badan dengan efisien. Kami tidak langsung terasa seperti ditolak ke belakang. Ia bukanlah sebuah jentera yang dibangunkan untuk kelajuan, namun kuasa pecutannya cukup memuaskan hati kami.
Dari Selangor kami beralih ke Kuala Lumpur. Urban sememangnya kawasan yang terbaik buat skuter. Menunggang model ini dalam kawasan bandar cukup menyeronokkan. Kita hanya pulas dan lepas sahaja pendikit tanpa perlu menukar gear, lincah sungguh NMAX ini untuk mencelah. Apa yang menarik, model ini telah disempurnakan dengan sistem Stop & Start yang boleh diaktifkan pada suis yang terdapat di bar hendal sebelah kanan. Apabila sistem ini diaktifkan, enjin akan mati secara automatik semasa berhenti di persimpangan, lampu isyarat atau di mana-mana sahaja bertujuan untuk penjimatan bahan api. Enjin akan hidup semula sebaik sahaja pendikit dipulas.
Saspensi hadapan jentera ini tidak menghampakan kami. Walaupun membrek dengan kuat, fork teleskopik ini menyerap segala hentakan dengan kemas sekali. Di jalan-jalan berselekoh, NMAX ternyata cukup lincah. Tayar-tayar bersaiz 110/70-13M/C 48P (depan) dan 130/70-13M/C 63P di belakang menggigit permukaan jalan dengan sempurna sekali. Meringankan sahaja jentera ini, dengan mudah ia berada tepat di laluannya. Penyerap hentak berkembar di belakang juga memberi sumbangan yang baik ketika berada di jalan-jalan berselekoh.
Sistem keselamatan pada NMAX diperkemaskan dengan penggunaan brek cakera 230mm di hadapan dan belakang. Brek-brek ini bekerja dengan baik sekali. Tekan sahaja tuas brek, jentera dapat diberhentikan dengan selamat.
Menunggang pada waktu malam bersama NMAX tidak menjadi masalah. Model ini dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan yang terang dan jelas. Terdapat empat lampu LED di bahagian atas untuk lampu rendah manakala dua lampu LED di bawah bagi lampu tinggi. Ekor belakang skuter ini diserlahkan lagi dengan lampu jenis LED berbentuk tiga dimensi. Memang sangat unik apabila dilihat dari sudut belakang.
Paparan meternya yang dulu bulat kini direka dengan bentuk yang lebih moden. Meter LCD ini memaparkan segala maklumat yang diperlukan setiap penunggang seperti tahap kelajuan, bahan api, suhu, masa, odometer serta jarak perjalanan. Untuk memudahkan pencarian, penunggang boleh menukar info-info di meter dengan hanya menekan butang menu yang terdapat di belakang panel bar hendal sebelah kanan. Mudahkan!
Dari segi penggunaan petrol amat menjimatkan. Dengan isian penuh tangki bahan api 7.1 liter yang berada di bahagian tengah antara bar hendal dan pelana, kami mampu menyusuri perjalanan sekitar 250 kilometer bersama jentera ini.
Secara keseluruhan, Yamaha NMAX 155 merupakan sebuah model skuter yang cukup praktikal untuk pelbagai tujuan seperti ke pasar, tempat kerja, tempat belajar, bersiar-siar ataupun mengembara. Untuk melihatnya dengan lebih dekat, sila kunjungi pusat pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia. RR
Spesifikasi
Enjin | silider tunggal, SOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 155cc |
Kuasa maksimum | 11.3kW (15.4PS) pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 13.9Nm (1.4kgf m) pada 6,000rpm |
Tayar | 110/70-13M/C 48P (depan) & 130/70-13M/C (belakang) |
Brek | cakera 230mm (depan & belakang), ABS (depan) |
P x L x T | 1,935 x 740 x 1,160mm |
Berat | 130kg |
Isi tangki | 7.1 liter |
Pengedar | Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) |
Popular