Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 16 Jun 2021

Honda ADV150: Mantap & Tegap

Honda ADV150 diperkenalkan di pasaran Asia pada tahun 2019 dan antara negara paling awal menikmati jentera skuter lasak/adventure ini ialah Indonesia. Ketika itu ia antara berita dua roda paling hangat dibicara oleh peminat-peminat motor termasuklah di Malaysia. Media sosial... ruang alam maya meletup dan kemudiannya menjadi dewan perbahasan. Masing-masing mengeluarkan hujah menyokong dan membidas tentang isu berkenaan skuter ini. Antara topik perbincangan adalah perihal enjinnya... daya tahan... bila masuk Malaysia...

Ketika berharap agar skuter ini cepat-cepat hadir ke pasaran negara, dunia pula diserang wabak Covid-19 yang menyebabkan sektor ekonomi terganggu lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan PKP yang bermula Mac tahun lalu. Yang perit kita telani... kita hadam dan kita lawan. Selepas membuat perancangan dengan teliti, para pengeluar motosikal mulai memperkenalkan model-model baru mereka sedikit demi sedikit.

Akhirnya penantian kita terhadap skuter Honda ini berakhir pada awal Februari 2021. Betul... bila dilihat dengan mata kepala sendiri, jentera ini merupakan sebuah skuter kembara yang cukup sesuai buat mereka yang ingin berjalan jauh ataupun untuk kegunaan harian. ADV150 memang lain daripada skuter-skuter biasa. Rekabentuknya yang agresif ini sememangnya lari jauh daripada sifat-sifat asal sebuah skuter berkuasa 150cc yang lazimnya dicipta untuk tunggangan santai.

Benar, sememangnya ia 'berdarah' Honda X-ADV750 – yang juga memberi impak besar buat peminat motosikal ketika ia mula-mula diperkenalkan dulu. Langkah Honda menghasilkan sesuatu yang berbeza dari kelaziman membuktikan kemantapan pasukan rekaan mereka.

Melompat naik ke atas pelana setinggi 795mm mengesahkan skuter ini agak tinggi dan posisi menunggangnya memang berbeza daripada skuter biasa, tubuh badan agak menegak. Secara automatik, feel menunggang skuter ini tidak sama seperti mana skuter lain yang lebih santai. Ruang bahagian depan luas untuk semua jenis penunggang, termasuklah yang tinggi-tinggi lampai. Ciri-ciri panel meter Honda X-ADV ada dikongsikan pada 'adiknya' ini. Nak kata sama, tidaklah tetapi gaya dan iras-iras kekeluargaan itu ada.

Menerusi panel meter ini, kita dapat melihat tahap kelajuan, tahap bahan api, kuasa bateri, jarak perjalanan, masa, trip, tarikh, putaran rpm danlain-lain. Paparannya jelas dan mudah untuk dibaca. Penggunaan lampu-lampu LED kini tidak lagi sesuatu yang baru dan itu perlu kita akui. Hampir semua motosikal baru didatangkan dengan lampu jenis ini. Yang membezakannya ialah rekabentuk dan posisi lampu ini diletakkan. Kalau kreatif, lain daripada yang lain maka itu satu kelebihan. Pakej lampu-lampu yang dimiliki oleh ADV150 ini mudah untuk dilihat dalam semua keadaan cuaca. Waktu tengahari terik pun jelas, itu bagus sekali.

Ruang barang bawah pelana bersaiz 28 liter boleh menyimpan banyak barang termasuklah topi keledar. Maknanya, ADV ini juga sesuai untuk kegunaan di bandar atau perjalanan jauh. Sumbat je barang bawah pelana tu, luas! Melihat kepada rekabentuknya, Honda ADV150 ini memang unik, cantik dan menarik perhatian.

Jujurnya, walaupun dikatakan ADV150 ini sebuah skuter adventure tetapi hakikatnya ia tidaklah lasak seperti jentera offroad biasa. Dengan jarak kelegaan tanah 165mm, ia agak tinggi untuk melepasi akar-akar di jalanan lasak tetapi sistem saspensi depan dan belakang lebih sesuai untuk jalan-jalan biasa. Jadinya, ADV150 ini tetap boleh dibawa di laluan offroad tetapi janganlah yang ekstrim – jangan lompat pula!

Ruang papan pemijak yang luas membolehkan kita mengubah-ubah posisi kaki dengan mudah – selesa! Pelananya juga cukup selesa tetapi pelapik/pembalutnya agak licin dan seperti tidak ditarik dengan cukup tegang serta kemas. Ini menyebabkan kita 'bergerak-gerak' ke depan setiap kali membrek.

Dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4 lejang yang berkuasa 10.9kW/14.6hp dan tork 13.9Nm, memecut dari keadaan melahu agak memberangsangkan. Honda ADV150 ini ada power tetapi... sayangnya apabila dipecut ke tahap maksimum, kuasa enjin tersekat-sekat apabila kelajuan mencecah 115km/j. Aduhai.... memang 'potong' betul bila hal ini terjadi. Enjin masih mahu berlari tetapi telah 'disekat' dan untuk sebuah negara yang banyak laluan terbuka, harus diingat, faktor 'kelajuan' cukup penting bagi penunggang di Malaysia termasuklah kawan-kawan peminat skuter.

Sistem saspensi ADV150 ini memang mantap jika ditunggang di laluan biasa. Fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak subtangki berjaya menyerap setiap hentakan dengan efisien tetapi sekali lagi diingatkan, janganlah ''melenjan' skuter ini terlalu lasak. Cengkaman tayar-tayar bersaiz 110/80-14M/C (depan) dan 130/70-13M/C (belakang) tidak menghampakan. Setiap kawasan berselekoh dapat diratah tanpa rasa ragu-ragu.

Ketika menunggangnya dalam bandar atau di jalan-jalan luar bandar, ADV150 ini memang champion! Ketinggiannya memberikan sedikit kelebihan berbanding skuter biasa terutamanya dari segi penglihatan. Bagi penunggang berketinggian 179cm, dia akan dapat melihat keadaan trafik didepan melepasi bumbung kereta dengan lebih jelas dan bila motor tinggi (cerah dengan lampu LED) pula, kehadiran kita mudah diketahui oleh pengguna jalan raya lain.

Honda telah melengkapkan skuter ini dengan brek-brek cakera hidraulik beserta ABS yang benar-benar cemerlang. Tiada lagi perasan risau ketika menyusuri laluan-laluan berliku kerana sedikit sentuhan pada sistem brek ini, kita dapat rasakan kesannya yang cukup positif.

Dengan penggunaan sistem kunci pintar atau keyless, ia lebih selamat dan nampak mewah khususnya untuk sebuah skuter 150cc. Kunci pintar ini telah dilengkapkan dengan sistem penggera anti-kecurian, fungsi jawab kembali, serta suis penghidup pintar.

Honda sentiasa cuba memastikan jentera pengeluarannya jimat petrol. Antaranya seperti pakej elektronik Idling Stop System (ISS) yang akan mematikan enjin secara automatik apabila kita berhenti. Penggunaan sistem suntikan bahan api PGM-Fi yang telah terbukti amat menjimatkan. Turut menanti para pemilik ialah Emergency Stop Signal (ESS) yang memastikan lampu kecemasan akan menyala semasa membrek secara mendadak.

Secara keseluruhannya, Honda ADV150 ini memiliki karaktoristik yang menarik perhatian. Bentuknya rugged dan pakej elektronik juga baik. Honda ADV150 didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Vivacity Red. Harganya pula ialah RM11,999 (tidak termasuk cukai jalan, insurans & pendaftaran). RR

Isu Pada

Mei 2021

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.