Kawasaki Versys 1000 GT Teman Kembara Setia
Kawasaki Versys boleh kami katakan satu nama yang sangat popular di kalangan pengembara motosikal. Model yang didatangkan dalam dua versi iaitu 650cc dan 1000cc ini telah terbukti ketahanannya dengan kemampuan mengembara ribuan kilometer ke seluruh pelusuk dunia. Tidak ada laluan yang sukar dengan Versys dan inilah faktor utama mengapa ia terus diminati ramai.
Tubuh badan model terbaru Versys 1000 ini memang gah, besar dan mantap. Kawasaki mencipta jentera tinggi ini menggunakan sistem Ergo-Fit yang membolehkan setiap penunggang mendapatkan posisi menunggang yang ideal. Dengan adanya pelarasan pada bahagian bar hendal, tempat pemijak, pelana dan cermin hadapan, penunggang dapat mengembara ribuan kilometer dengan selesa. Bila dah duduk selesa, nak kendalikan mesin seberat 253kg pun tidak ada masalah.
Fuh... memang bergaya dan mantap sekali duduk di atasnya. Model yang diuji ini ialah versi GT yang didatangkan dengan panel meter digital dan analog yang memaparkan pelbagai info-info penting seperti tahap kelajuan, tahap bahan api, mod tunggangan, tahap KTRC, masa, jarak perjalanan, posisi gear, suhu enjin dan banyak lagi. Kelebihan bagi mereka yang memiliki Versys SE ialah panel meternya jenis TFT berwarna penuh seperti mana yang digunakan oleh model H2 SX. Segala suis yang terdapat di kiri dan kanan bar hendal juga mudah untuk digunakan – segalanya hanya di hujung jari.
Sebagai sebuah mesin pengembaraan, Versys ini dilengkapkan dengan aksesori bagi kami sudah cukup lengkap. Antaranya ialah cermin hadapan boleh laras, pelindung enjin, lampu kabus, kotak sisi, tongkat tengah, pemanas grip, pelindung tangan dan soket kuasa. Jika dibandingkan dengan versi 1 dan 2, memang rekabentuk Versys baru ini lebih cantik… lebih garang... lebih moden. Lebih-lebih lagi dengan posisi lampu kabusnya yang bagi kami, kini lebih sesuai. Ruang pelana, ruang kaki penunggang dan pembonceng yang luas membolehkan kami mencari kedudukan paling selesa ketika berada di jalanraya. Pelananya yang empuk dan bar hendalnya yang lebar membuatkan setiap penunggang dapat menunggang jauh tanpa rasa penat atau menjengkelkan. Itu perkara pokok!
Deruman enjin 1,043cc, sistem penyejuk cecair, empat silinder sebaris memang cukup mantap. Kekuatan enjin ini sangat jelas terasa dan telah kita nikmati dua generasi Versys 1000 sebelum ini, putaran enjin hadir dengan cukup pantas setiap kali pendikit dipulas dan pastinya model baru ini lebih hebat! Terdapat dua mod tunggangan pada Versys ini iaitu F (Full) dan L (Low) yang boleh dipilih pada bila-bila masa.
Dengan adanya kotak di sebelah kiri dan kanan, Versys ini bukan jentera yang seronok dibawa ke tengah bandar walaupun pengendaliannya di dalam kelajuan rendah cukup mudah. Kalau nak mudah bergerak, tinggalkan saja kotak barang di rumah, pakai beg dan zooommmm!
Ketika kami mulakan perjalanan, Kuala Lumpur ditimpa hujan lebat dan ia amat sesuai sekali untuk menguji kebolehan Versys ini menangani laluan-laluan mencabar dan tahap kecemerlangan sistem elektronik yang dipadatkan padanya. Okay... pilih mod L dulu dengan pilihan Kawasaki Traction Control (KTRC) tahap 3. Ia adalah talaan paling sesuai untuk terus kekal selamat di laluan basah. Dalam mod L, kuasa hantaran cukup tenang, tidak hadir secara tiba-tiba walaupun sekeras mana pendikit dipulas. Ia masih mampu memecut sehingga 180-190km/j tanpa masalah tetapi corak hantaran kuasanya lebih mudah dikawal. Itu paling penting agar keselamatan kita tidak tergugat.
Selepas 100 kilometer perjalanan, matahari mula menghangatkan badan dan pendikit ditutup seketika agar mod dapat ditukar kepada F. Sekelip mata karaktor jentera ini bertukar! Ia makin galak bernafas, makin pantas membelah udara. Enjin yang menawarkan kuasa 120ps pada 9,000rpm dan tork 102Nm pada 7,500rpm memberikan kenikmatan tidak terhingga apabila kami menarik kekuatan Versys ini lebih daripada 200km/j. Dengan gabungan lampu utama LED dan dua buah lampu kabus yang terang, kehadiran Kawasaki ini amat mudah dilihat oleh kenderaan di hadapan. Siang nampak... malam mestilah lebih terang!
Kembara motosikal kini terbukti lebih mudah... lebih senang. Kawasaki ini dilengkapi dengan Electronic Cruise Control yang boleh digunakan dengan mudah. Tekan suis (lampu tanda menyala), pilih kelajuan dan tekan set. Untuk mematikan sistem ini, kita hanya perlu tarik klac atau mana-mana tuas brek. Kami set pada kelajuan 110km/j, pasti selamat!
Menyebut tentang kelajuan, kami cukup sukakan kebijaksanaan jurutera Kawasaki yang sentiasa mencari jalan dan bekerja keras untuk menghasilkan jentera yang jimat petrol. Maka terciptalah Economical Riding Indicator dengan tanda 'ECO' yang akan menyala apabila penggunaan bahan api berada di tahap yang terbaik. Dengan menggunakan kawalan elektronik yang tepat pada sistem pengurusan enjin, jentera Kawasaki ini akan bergerak dengan pencapaian bahan api yang tepat. Apa pun, penggunaan bahan api tetap bergantung pada corak kawalan pendikit, lokasi perjalanan dan cara penggunaan sistem transmisi.
Ketika mendaki ke kawasan tanah tinggi, Versys ini sekali lagi mengagumkan kami. Sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) banyak menolong agar proses menukar gear dapat dilakukan dengan lebih pantas cuma dirasakan ia tidaklah selancar model-model sport. Sayangnya kami rasakan terdapat haba panas pada bahagian kanan enjin jentera ini tetapi ia tidaklah berlarutan cuma hadir sekali sekala.
Kekuatan enjin dan tahap pengendalian yang mudah membolehkan kami meratah setiap selekoh di lebuhraya Karak, jalan Kampung Janda Baik dan Genting Higlands dengan selesa. Apa itu Kawasaki Cornering Management Function atau KCMF? Inilah yang dikatakan kemajuan teknologi. Kalau 10 tahun lalu, memang tak jumpa lah!
Kaedahnya begini, dengan perisian terkini daripada Kawasaki dan maklum balas daripada Bosch IMU (Inertial Measurement Unit), KMCF akan memantau parameter enjin dan casis ketika kita mula-mula masuk selekoh - dalam selekoh – keluar selekoh - kemudiannya akan mengawal kekuatan brek dan kuasa enjin agar pergerakan terus lancar membolehkan penunggang mengekalkan kedudukan di laluan dengan tepat.
Kawasaki ini didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17M/C 58W (depan) dan 180/55ZR17M/C 73W (belakang) yang cukup cekap menggigit permukaan jalan. Tak ada rasa membuang langsung! Tidak kiralah laluan pilihan kita itu sempit atau luas, Versys ini cekap mengatur langkah. Jangan sangka motor adventure tak boleh layan selekoh ya! Versys ini dah buktikannya.
Perasaan nakal muncul apabila berada di laluan tanah merah dan berbatu. Memanglah Versys ini tidak direka untuk laluan sukar tapi offroad sederhana pasti boleh. Kotak kiri dan kanan penuh barang, tangki 21 liter juga penuh... kami langsung tidak berasa beban untuk membawa jentera ini ke mana sahaja. Itulah kemantapan sistem saspensinya yang terdiri daripada fork 43mm jenis terbalik (depan) dan penyerap hentak jenis melintang di belakang yang telah menukarkan laluan sukar menjadi mudah.
Banyak insiden berlaku khususnya ketika kita menggunakan brek tanpa sistem ABS secara tiba-tiba. Bila berhadapan dengan situasi cemas, selalunya kita akan menarik tuas brek hadapan dengan keras. Tayar hadapan yang terkunci boleh menyebabkan bahagian depan motosikal 'melayang' tetapi jika dilengkapi dengan sistem ABS, kecelakaan dapat dielakkan. Untuk itu, Versys ini tidak terkecuali, ia telah didatangkan dengan Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS) seperti mana yang dipakai oleh H2 SX dan Ninja ZX-10R.
Rasa selamat ketika jalan kering dan juga basah adalah suatu perkara penting ketika kita mengembara. Itulah yang ditawarkan oleh jentera ini. Versys 1000 memang sebuah mesin yang fun dengan kelincahannya tetapi pada masa yang sama cukup serius apabila tiba pada segi keselamatan dan keselesaan. Biarlah 1000 kilometer dengannya memberikan 1000 kenikmatan serta 1000 kenangan manis. Model ini ditawarkan pada harga RM89,829 dan jujurnya, ia amat berbaloi untuk dimiliki. RR
Spesifikasi
Enjin | empat lejang sebaris, DOHC, 16 injap, sistem penyejuk cecair |
Nisbah mampatan | 10.3:1 |
Gerek x Lejang | 77.0 x 56.0mm |
Kuasa maksimum | 88.2 kW (120 PS) pada 9,000 rpm |
Tork maksimum | 102 Nm pada 7,500 rpm |
P x L x T | 2,270 x 895 x 1,400mm |
Tayar | depan: 120/70ZR17M/C (58W), belakang: 180/55ZR17M/C (73W) |
Saspensi | fork jenis terbalik 43mm (depan), penyerap hentak jenis melintang (belakang) |
Isi tangki | 21 liter |
Pengeluar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular