Kawasaki Vulcan S : Mesin Cruiser Yang Sporty!
Model Vulcan sudah tidak asing lagi buat para penggemar motosikal cruiser di Malaysia. Antara model yang masih ditunggang dengan megah di jalanan ialah Vulcan 500, Vulcan 750, Vulcan 1500 hinggalah yang berkuasa 2,053cc dan yang terakhir diperkenalkan oleh Kawasaki Malaysia Motors Sdn Bhd (KMSB) ialah model Vulcan 250 (VNII) kira-kira enam tahun yang lalu.
Terbaru...Vulcan S, bersesaran 649cc yang disasarkan untuk semua jenis penunggang tidak kira yang berpengalaman atau tidak, lelaki mahu pun wanita. Mengapa model ini amat sesuai untuk semua? Ini kerana model ini satu-satu jentera yang dilengkapi dengan Ergo-Fit. Soalan seterusnya...apa itu Ergo-Fit?
Ergo-Fit adalah satu pilihan aksesori seperti bar hendal, tempat pemijak dan pelana boleh laras yang ditawarkan oleh Kawasaki untuk memberi keserasian antara penunggang dan jentera agar tunggangan lebih selesa dan selamat. Sebagai contoh, jika anda seorang penunggang setinggi 6 kaki, Kawasaki Ergo-Fit akan menawarkan bar hendal yang lebih tinggi, pelana yang lebih sesuai dan perubahan jarak tempat pemijak kepada yang lebih selesa dan akan dilakukan proses yang sama buat penunggang rendah atau wanita. Bagi penunggang biasa, versi standard sudah mencukupi.
Terima kasih kepada KMSB yang memberi peluang kepada kami untuk menguji model ini di majlis Kawasaki Malaysia Press Introduction (MPI) yang telah diadakan di Lost World Hotel, Ipoh pada 23 – 25 Mac lalu.
Terdapat dua versi warna untuk model ini iaitu hitam dan ungu dan menurut KMSB, harga asasnya tidak akan melebihi RM30,000 walaupun selepas dikira dengan GST...menarik! Ketika di sessi sidang media, Pengurus Besar dan pengarah KMSB, En. Jeffrey Lim mengatakan bahawa Vulcan S ini bukanlah sebarang cruiser biasa, ia turut mempunyai sifat sporty yang mampu mengagumi sesiapa sahaja bersamanya. Okay...benar apa yang dikatakan, dapat dilihat menerusi rekabentuknya. Lekukan tangki bersaiz 14 liter ini memang cantik, bentuknya diberi nama teardrop style, mudah untuk kita mengepitnya ketika mencari kestabilan ketika memecut.
Keanggunan rekabentuk cruiser ini dapat dinikmati hampir dari setiap sudut. Lampu utamanya berbentuk bagaikan sehelai daun, lengkap dengan lampu posisi yang disepadu di atasnya. Bahagian hadapan ini dihiasi dengan panel meter yang ringkas tetapi berinformasi. Ia memaparkan tahap rpm (analog), kelajuan, masa, jarak perjalanan, range dan tahap bahan api (kesemuanya digital) dan dikepit oleh lampu-lampu penunjuk di sisi kiri dan kanan. Dengan berlatar belakangkan LED, ia memang cukup terang untuk dilihat pada tunggangan malam. (Penunjuk posisi gear ditawarkan dalam pakej aksesori tambahan). Harap benar pihak KMSB lebih 'bermurah hati' untuk menjadikan penunjuk posisi gear ini sebagai alatan standard demi keselamatan penunggang.
Melabuhkan punggung ke atas Vulcan S memang selesa, serta merta pelbagai destinasi pilihan rancak berpusing di dalam minda. Pelana yang berketinggian 705mm, empuk membolehkan kita menunggang seharian tanpa perlu banyak hentian untuk berehat. Sekali lagi ditekankan di sini, pelana ini boleh ditukar mengikut kesesuaian penunggang dengan adanya Ergo-Fit.
Vulcan S digerakkan oleh enjin kompak empat lejang parallel dan walaupun sering kali enjin cruiser dikaitkan dengan v-kembar, Kawasaki amat yakin 'jantung' Vulcan S yang memberikan kuasa 60hp pada 7,500rpm mampu menawarkan pengalaman tunggangan yang baru dan menyeronokkan. Untuk memantapkan rupabentuk enjin, kepala silinder direka mirip dengan sirip sistem penyejuk udara manakala radiatornya yang ramping amat sesuai dengan gaya sebuah mesin cruiser. Kalau hendak dibandingkan dengan cruiser-cruiser lain, sesungguhnya enjin Vulcan S tampak lebih unik.
Untuk sessi tunggang uji, pihak Kawasaki telah mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak IPK Perak yang diwakili oleh Lans Koperal Azizi, Koperal Elham dan Koperal Radzi serta lima orang Marshal yang diketuai oleh En. Ahmad Radzi dari KMSB.
Perjalanan bermula dari Tambun menuju ke Kellies Castle yang sejauh 25 kilometer. Memasuki gear pertama tidak lagi mengeluarkan bunyi 'klak' seperti lazimnya didengari pada jentera Kawasaki lama, ia jauh lebih senyap. Enjin model ini dihasil berlandaskan model ER6 dan Versys tetapi telah diberikan perubahan pada beberapa komponen seperti aci sesondol, corong kemasukan udara dan aci engkol yang lebih berat untuk prestasi yang lebih lancar dan pantas. Putaran enjin dalam gear-gear pertengahan (3, 4 dan 5) memang cukup tangkas. Dengan tork setinggi 63Nm pada 6,600rpm, kita dapat memperolehi kuasa pecutan hampir di setiap masa yang memudahkan pemintasan atau meninggalkan kenderaan lain dalam sekelip mata.
Sporty...itulah karaktor yang ditawarkan oleh cruiser baru ini!
Kami tidak lama berhenti di Kellies Castle. Bagus juga....sudah tidak sabar-sabar lagi ingin merasai Vulcan S ini! Apabila digabungkan antara kuasa dan selesa maka perjalanan jauh dirasakan amat pendek, itulah yang berlaku dengan Vulcan S ini. Kerangkanya dihasilkan daripada keluli bertegaran tinggi yang ringan – penunggang dapat mengubah posisi dengan mudah dalam masa yang cepat. Ini amat diperlukan terutamanya di jalan-jalan luar bandar yang tidak terlalu lebar dengan selekoh-selekoh tajam. Dalam penghasilan Vulcan S ini, keselesaan dan pengendalian mudah adalah perkara pokok yang ingin disampaikan oleh Kawasaki.
Vulcan S didatangkan dengan badan pendikit 38mm berserta sub-pendikit yang memberikan hantaran kuasa yang luas tetapi paling seronok ia amat mudah dikawal. Kita boleh menunggang di dalam bandar yang sesak atau kawasan kampung dalam gear-gear pertengahan tanpa rasa tersekat-sekat, trust me... ia bergerak dengan tenang dan stabil. Sampai sahaja di laluan lebih luas, pulas pendikit dan rasakan Vulcan S ini terbang ke hadapan!
Berat? 225Kg, tidaklah begitu berat buat sebuah cruiser dan seperti yang dikhabarkan sebelum ini, ia dicipta untuk kegunaan semua termasuk penunggang wanita...semestinya memberi kesenangan untuk mereka mengendalikannya. Tidak kira ketika di atas jalan atau ketika ingin memparkir. Melihat akan sistem saspensi belakangnya, ia tetap meneruskan legasi model ER6 dan Versys iaitu penyerap hentak mono mendatar yang terletak di sebelah kanan. Saspensi hadapan pula jenis teleskopik 43mm yang berfungsi dengan cemerlang sekali.
Jalan bandaran sudah, jalan kampung sudah...akhirnya kami sampai jalan yang luas ketika menuju ke Tasik Raban. Kesempatan ini diambil sebaik-baiknya untuk melihat akan kepantasan maksimum cruiser ini walaupun ia bukanlah sebuah jentera untuk dipacu dengan laju. Walaupun tanpa sistem ride by wire atau kepelbagaian mod tunggangan, Vulcan S ini menawarkan kotak gear enam kelajuan yang cukup memberangsangkan. Benar seperti yang dikatakan, Vulcan S bersifat sporty dan sewajarnya diberi pujian kerana mampu membelah angin lebih daripada 180km/j dalam gear tertinggi.
Vulcan S turut lengkap dengan Economical Riding Indicator yang berfungsi untuk memberitahu penunggang kadar penggunaan bahan api yang paling ekonomi. Tidak kira dalam gear berapa, apabila kelajuan Vulcan S ini mencapai tahap terbaik, tanda 'ECO' akan muncul di paparan digital dan dengan menggunakan mod ini, penggunaan petrol akan lebih menjimatkan.
Salah satu ciri-ciri yang memang mengejutkan ialah pengendalian dan kestabilannya di laluan berselekoh. Secara jujur, tidak banyak cruiser yang mampu meratah selekoh dalam kelajuan tinggi tetapi dengan Vulcan S ini...ya! Selain cengkaman tayar-tayarnya yang baik (120/70R 18MC – hadapan, 160/60R 17MC – belakang), enjinnya yang kompak, rangka belakang jenis backbone dan kedudukan sistem ekzos di bawah enjin membantu menjadikan tunggangan lebih stabil. Paling penting, prestasinya ini menepati segala kemahuan dan permintaan bakal pemiliknya kelak yang mahukan sebuah cruiser dan pada masa yang sama tawarkan prestasi bagaikan mesin jalanan.
Tidak kira cruiser, streetbike atau superbike, paling penting tentulah sistem breknya. Betul? Vulcan S dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera 300mm dengan angkup dua omboh yang mampu memperlahankan kelajuan dengan baik manakala keberkesanan brek belakang (cakera 250mm dengan angkup satu omboh) turut disebabkan posisi menunggang yang tepat cruiser ini. Untuk pasaran di Malaysia, Vulcan S tidak didatangkan berserta sistem ABS. Dengan isian tangki 14 liter, Vulcan S mampu bergerak lebih daripada 230 kilometer dan ini juga bergantung kepada cara tunggangan, bentuk muka bumi yang dilawati serta berat badan seseorang penunggang itu.
Ternyata dunia mesin cruiser telah berubah. Vulcan S memperkenalkan kategori terbaru. Ia bukan lagi sebuah cruiser yang hanya mementingkan keanggunan gaya, kemerduan bunyi tetapi prestasi enjin yang memang cukup mantap. Vulcan S adalah sebuah model yang bakal dicintai oleh para pengembara, peminat cruiser dan juga mereka yang sukakan kepantasan. Ia memang cruiser sport. RR
Oleh: K. Azuan
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 2 silinfer parallel, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 649cc |
Gerek x lejang | 83.0 x 60.0mm |
Nisbah mampatan | 10.8:1 |
Kuasa maksimum | 60hp pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 63Nm pD 6,600rpm |
Tinggi pelana | 705mm |
Isi tangki | 14 liter |
Berat | 225kg |
Pengeluar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular