SUZUKI SFV650 GLADIUS : Mudah Untuk Semua Tunggangan
Mari kita berkenalan dengan model terbaru Suzuki, SFV650 Gladius! Sebuah jentera jalanan sporty yang dihasilkan lengkap dengan kerangka trellis bertegaran tinggi, stail yang agresif dan bentuk yang menarik. Amat mengujakan apabila jentera ini turut memberikan pengalaman menunggang yang merangsangkan kerana enjinnya bersesaran 645cc, cukup lancar dan berkuasa.
Model SV650 diperkenalkan pada tahun 1999 dan dengan serta merta berjaya menarik perhatian ramai disebabkan kebolehannya yang menepati segala apa yang diimpikan penunggang selama ini – mesra penunggang atau user-friendly. Walaupun perubahan demi perubahan dibuat pada rekabentuk terutamanya, ia masih 'terikat' dengan bentuk motosikal Jepun sehinggalah lahirnya Gladius ini.
Dari segi namanya pun kita boleh lihat akan kecenderungan model ini dihasilkan. Dalam bahasa Latin, Gladius bererti pedang yang pernah digunakan oleh pahlawan Roman ribuan tahun yang lalu. Untuk 'menyaingi' kegagahan seorang pahlawan, Suzuki melengkapkan model SV650 Gladius ini dengan kerangka jenis trellis yang menawarkan kemantapan dalam semua jenis tunggangan.
Model ini ditawarkan dalam dua versi warna kombinasi menarik iaitu kelabu berkerangka merah atau putih berkerangka biru. Memang ianya gabungan yang cukup cantik. Dari sisi kanan, Gladius lebih mantap dengan adanya sistem ekzos berbentuk moden yang turut memberikan bunyi enjin v-kembar 90 darjah ini mantap dalam semua peringkat kuasa. Pelapik krom yang menghiasi sistem ekzos ini juga menyerlahkan lagi rekabentuknya yang elegan.
Apakah yang kita mahukan jika sanggup mengeluarkan wang berpuluh ribu untuk memilikinya? Streetbike atau mesin jalanan mesti... mesti mesra penunggang. Ia perlu menawarkan pengendalian yang mudah, ramping untuk kemudahan tunggangan di kota, enjin yang lancar (tapi berkuasa), lincah, selamat, jimat dan tahan lasak. Kejayaan sesebuah motosikal jalanan sememangnya bergantung kepada ciri-ciri ini.
Jalan sudah dipilih, lompat ke atas pelananya dan kita akan terus menyukai rekabentuk bar hendal yang ergonomik – sangat sepadan dengan lekukan pelananya. Posisi menunggang yang ditawarkan oleh Gladius memang sesuai untuk penunggang tinggi dan rendah. Walaupun anda setinggi enam kaki, jangan risau... ruang untuk membengkok lutut luas, selesa dan menawarkan gaya tunggangan yang natural.
Dengan kuasa 53.0kW pada 8,400rpm dan tork 64.0Nm pada 6,400rpm, Gladius memang cukup seronok untuk kita memecut dan dengan adanya Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang membantu respon antara pendikit dan enjin menjadi lebih responsif – dapat kita rasakan setiap kali membuat pecutan. Gladius merupakan sebuah model jalanan...bukanlah superbike yang ditagih untuk 'berlari' dengan pantas tetapi apa yang ditawarkan oleh Suzuki menerusi model ini memang hebat!
Dengan posisi menunggang yang selesa, tidak ada sebarang masalah untuk kita menunggang Gladius dalam kelajuan yang tinggi. Ternyata kerangkanya yang mantap memudahkan kita menggerakkan tubuh jentera ini ke kanan dan ke kiri dengan pantas sekali. Lampu utamanya nampak ringkas tetapi menawarkan suluhan yang cukup terang – percaya atau tidak bahawa pancaran yang terang amat diperlukan terutamanya ketika menunggang di waktu gelap gelita. Begitu banyak kemalangan berlaku disebabkan pemandu gagal melihat dengan jelas kehadiran motosikal kerana kemalapan lampu utamanya.
Tapak roda berukuran 1,445mm, menjadikan pengendalian Gladius ini memang mudah, pantas dan stabil. Dengan bar hendal luas dan tinggi, jentera yang mampu memecut selaju 207 km/j ini memberikan tindak balas yang sangat tepat di mana-mana sudut dan permukaan jalan. Tangki Gladius ramping dan cantik, ini adalah satu kelebihan mesin-mesin jalanan berbanding superbike – mesin jalanan lebih mudah dan cekap untuk ditunggang di dalam kawasan bandar.
Untuk menjamin ketahanan enjin, plat silinder Gladius ini dihasilkan menggunakan Suzuki Composite Electrochemical yang mengurangkan hantaran bahang panas. Walaupun bahagian enjin terbuka, tiada terasa bahang panas daripada mana-mana bahagian walaupun ketika berasak-asak dalam bandar yang padat dengan kenderaan lain.
Sudah menjadi resam kita untuk melihat apakah kelajuan yang dicapai dan dengan Suzuki Gladius ini nombor-nombor yang tertera di panel meter cukup mudah dilihat, hanya dengan satu jelingan sahaja. Gladius menawarkan satu meter analog yang cukup besar sebagai penunjuk tahap rpm manakala tahap kelajuan dan kedudukan gear dapat kita lihat menerusi paparan digital. Terdapat beberapa lampu-lampu penunjuk di sebelah kiri meter ini yang memberikan maklumat penting seperti sistem pancitan bahan api (FI), gear neutral (N), tahap bahan api dan lampu tinggi.
Transmisi 6 kelajuan Gladius sangat lembut, tepat dan pujian ini turut kami berikan pada sistem klacnya. Kita tidak perlu bersusah payah menggunakan tiga atau empat jari semata-mata untuk mengawal klac….cukup dengan dua! Apa yang mengagumkan ialah apabila putaran enjin dihambur ke tahap maksimum, menghampiri garisan merah (10,500rpm), tiada sebarang gegaran pada bahagian bar hendal, tunggangan terus selesa.
Dalam gear tertinggi, kelajuan boleh diturunkan sehingga jarum rpm menghampiri untuk mencecah 3,500 – kuasa masih lancar dan segar apabila pendikit dipulas. Palam pencucuh iridium kembar di setiap silinder mempertingkatkan tahap pembakaran – menjadikan pecutan dilakukan dengan tepat. Bunyi enjin v-kembar tidak pernah mengecewakan terutamanya apabila kelajuan semakin tinggi. Ahhh...deruman yang terhasil cukup mantap, menggamit setiap mata untuk mengenali dengan lebih rapat Gladius ini.
Kemantapan jentera ini untuk memperlahankan kelajuan ialah menerusi sistem brek jenis cakera di hadapan bersaiz 290mm dengan angkup dua omboh dan belakang bersaiz 240mm. Membrek dengan keras dalam jalan yang basah juga tidak menakutkan kerana Gladius turut dilengkapi dengan sistem ABS dan mungkin satu-satunya setakat ini streetbike bersesaran 600cc di pasaran negara yang dilengkapi dengan sistem ini. Malaysia, sebuah negara yang sering ditimpa hujan ternyata memerlukan lebih banyak pengeluar motosikal yang melengkapkan jentera masing-masing dengan sistem ABS sebagai alatan standard.
Kehadiran penunjuk kedudukan gear sangat-sangat dialu-alukan tambahan pula Gladius bukan sahaja akan ditunggang di lebuhraya tetapi turut dinikmati di jalan-jalan berliku. Dengan adanya penunjuk gear, penunggang dapat memasuki selekoh dengan selamat dan tepat.
Untuk tunggangan lebih mantap, Suzuki melengkapkan model ini dengan penyerap hentak hadapan jenis teleskopik 41mm dan penyerap hentak jenis progressive-link di belakang bertindak dengan cemerlang sekali tidak kira menunggang berdua atau berseorangan. Jangan terkejutlah kalau Gladius berada di selekoh-selekoh tajam Genting Highlands atau di Pos Slim dengan laju sekali. Ya...sememangnya bermain di jalanan selekoh merupakan salah satu kegemaran Suzuki ini.
Untuk sentiasa berada di laluannya dengan tepat, model ini dilengkapi dengan rim aluminium-aloi 17” berjejari lima – kombinasi terbaik dengan tayar-tayarnya yang bersaiz 120/70ZR 17MC (hadapan) dan 160/60ZR 17MC di belakang. Gladius ini seberat 202 kg – tidak terlalu berat, mampu dikendalikan oleh penunggang kecil dan wanita. Jangan tunggu lama-lama...terus ke wakil-wakil penjual Suzuki!
Kejayaan Suzuki dalam mengatakan Gladius baru ini cukup ergonomik kini dipersetujui kerana dibuktikan dengan baik sekali. Tiada sebarang keresahan daripada tubuh badan penunggang selepas memacunya lebih daripada 300 kilometer walaupun menerima tamparan angin yang kuat dan disimbahi hujan yang cukup lebat. Jimat? Yes... dengan isian tangki sebesar 14.5 liter, Gladius mampu bergerak sejauh 200 kilometer dengan gaya dan cara tunggangan yang berbeza. Sememangnya kita memerlukan sebuah jentera yang bukan sahaja pantas tetapi memberikan keyakinan bahawa ia benar-benar selamat – Gladius adalah antara jentera yang memberikan perasaan begitu. RR
Popular