MOMOS REGAL RAPTOR DAYTONA 350 : Si Cantik Rupawan
Walaupun segmen jentera jalanan atau lebih popular dengan gelaran streetbike semakin mendapat tempat di hati pengguna motosikal, dunia cruiser dan chopper tidak pernah tergugat dengan kehadiran mesin-mesin ini. Ini bukanlah omong kosong tetapi dapat dibuktikan dengan jumlah yang bagaikan tidak pernah merosot setiap kali ‘mereka’ hadir memeriahkan pelbagai program yang diadakan.
Model cruiser atau easyrider merupakan jentera yang menggabungkan prestasi enjin, keselesaan tunggangan dan gaya hidup penuh cabaran. Kalau berkunjung ke mana-mana bikeweek contohnya, cuba saksikan rakan-rakan kita yang menunggang jentera ini…mereka seringkali hadir dari pelbagai negeri atau negara, mereka juga lengkap dengan aksesori pakaian yang menarik dan kemantapan bunyi sistem ekzos yang sudah tentu menggamit ramai orang untuk mendekatinya.
Selepas Spyder dan Bobber, jom kita berkenalan pula dengan sebuah lagi model keluaran Momos iaitu Regal Raptor Daytona. Model ini berkuasa 350cc dan sememangnya ia meneruskan legasi jentera-jentera cruiser yang dapat kita lihat dengan jelas menerusi kemasan berwarna krom di beberapa bahagian seperti di enjin, sistem ekzos, lampu utama, saspensi hadapan, rim dan bar hendal. Dengan adanya aksesori ini, Daytona cukup anggun dengan kilauannya tidak kira di waktu siang mahu pun malam.
Kalau dibandingkan dengan dua model sebelum ini, Daytona dirasakan paling selesa. Rekabentuk pelananya tepat dan sesuai untuk semua jenis penunggang tidak kira anda tinggi atau rendah manakala bar hendalnya juga dibuat dengan teliti, tidak terlalu lebar agar setiap pergerakan dapat dikawal dengan cukup mudah. Bagi mereka yang sering menunggang berdua, Daytona turut dilengkapi dengan penahan pinggang untuk pembonceng dan ini memang amat diperlukan untuk suatu perjalanan jauh.
Apa yang paling unik ialah cara penggunaan sistem kuncinya. Untuk menghidupkan motosikal ini memang menarik! Pertama sekali, buka tombol dan masukkan kunci utama dan putar ke ‘on’. Kunci utama tidak lagi diperlukan dan bolehlah kita simpan di dalam poket. Kini untuk menghidupkan dan mematikan enjinnya, penunggang hanya perlu memutar tombol itu sahaja – tidak perlu lagi kunci utama. Memang cukup inovatif!
Ah…bunyi yang terhasil daripada corong ekzosnya memang cukup segar dan mantap. Daytona dilengkapi dengan enjin dua silinder dengan kuasa maksimum 17Kw (21.4hp) pada 8,000rpm dan tork 22Nm pada 5,000rpm yang menawarkan kuasa tolakan yang layak menerima pujian. Tuas gear dan klac juga agak lembut, memudahkan kita menukar kedudukan gear dengan lancar. Keadaan ini amat diperlukan terutamanya apabila berhajat untuk membuat pintasan.
Gear kedua dan ketiga dapat ditarik sehingga kelajuan mencecah 75km/j sebelum enjin mula mengerang meminta kita menambah kedudukan gear. Walaupun tujuan utama penciptaannya bukanlah untuk dipacu laju, Daytona ternyata dapat ‘berlari’ sepantas 145km/j dengan cukup stabil dan mantap. Apabila tiada gegaran dan sentapan pada bahagian enjin, tunggangan yang lancar menaikkan semangat kita untuk terus bersamanya walaupun perjalanan masih lagi jauh.
Momos Daytona ini dilengkapi dengan brek-brek yang efisien, bersaiz 300mm (di depan dan belakang) mencengkam dengan baik sekali. Walau bagaimana pun, haruslah sentiasa beringat bahawa secekap mana kita, jangan sesekali terlalu ghairah atau terlebih yakin sehinggakan tindakan kita boleh membahayakan diri dan orang lain.
Lebuhraya kami tinggalkan untuk singgah sebentar ke Bandaraya Melaka dan terpaksalah berjemur kerana kesibukan bandar ini di cuti hujung minggu. Dengan tapak roda 1,660mm, Daytona dirasakan lebih mudah ditunggang berbanding dua lagi model sebelum ini. Apa perlu dikhuatiri ialah bar hendalnya tersentuh pada cermin sisi kereta-kereta mewah yang datang bercuti ke sini. Kalau terpatahkan…..‘rabak’ poket nak membayarnya.
Walaupun berasak-asak, Daytona ini langsung tidak mengeluarkan haba panas yang mengganggu walaupun bahagian enjin dan ekzos yang agak hampir dengan kaki. Terima kasih buat sistem penyejuknya yang beroperasi dengan cemerlang sekali. Sememangnya terdapat banyak lokasi yang cukup cantik, unik dan bersejarah untuk kita kunjungi jika hadir ke Melaka. Semestinya percutian bersama keluarga bukan sahaja perlu berseronok semata-mata tetapi juga lebih baik diselitkan dengan aktiviti yang menambah pengetahuan sesama keluarga.
Selepas beredar, kami kembali serius menguji jentera dua roda ini. Mesin ini dilengkapkan dengan tayar hadapan bersaiz 90/90-21 dan belakang 160/80-16 – menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Jangan risau kalau terlajak jalan, gunakan berat badan, tekan hendal dan guna brek belakang….pasti motor ini akan kembali ke laluannya dengan pantas dan selamat. Siapa kata naik motor cruiser tak boleh ‘meleper’!
Dengan casis yang tegar, hantaran kuasa yang mantap…jentera seberat 184kg ini cukup gagah membelah udara. Kami dengan bergayanya memilih laluan sebelah kanan sekali agar tunggangan lebih cepat dan selamat. Sedang syok-syok selesa memintas kenderaan di lebuhraya, kami dapat melihat beberapa buah superbike sedang menghampiri dengan pantas sekali. “Nasib baik cermin sisi Daytona besar…nampak dengan jelas,” kata hati kami.
Kami memberi ‘geng superbikers’ ini memintas, tidak mahu mengganggu konsentrasi mereka. Memang sangat-sangat laju tetapi kesemuanya lengkap dengan pakaian keselamatan. Beginilah yang kita mahu! Malang tidak berbau…. kemalangan boleh menimpa di mana sahaja dalam sekelip mata, oleh itu sentiasa beringat sama ada di dalam tunggangan atau pun dari segi pemakaian. Tak sesuailah memecut lebih daripada 180km/j dengan hanya mengenakan baju T dan kasut sukan. Paling minima jaket, kasut jenis high cut dan sarung tangan.
Dengan tangki sebesar 13 liter, ia telah berjaya membawa kami sejauh 200 kilometer. Perlu diingat, tahap penggunaan bahan api bergantung kepada saiz penunggang, cara penggunaan gear, jenis perjalanan dan gaya tunggangan. Daytona ternyata merupakan sebuah jentera yang cukup selesa dan penuh karaktor. Ia boleh ditunggang dengan laju dan selesa, menjadikannya bagaikan ‘sahabat’ untuk dibawa ke mana sahaja. Siang atau malam, pagi atau petang.
Model menarik ini ditawarkan pada harga RM17,901 dengan tiga pilihan warna iaitu merah, putih dan hitam. Apa tunggu lagi…jom kunjungi Chear Motor atau mana-mana pengedar rasmi jentera Momos ini! RR
Oleh: Khairil Azuan
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 320cc |
Gerek x lejang | 62 x 53mm |
Nisbah mampatan | 10.2:1 |
Kuasa maksimum | 17kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 22Nm pada 6,500rpm |
P x L x T | 2,335 x 965 x 1,100mm |
Isi tangki | 13 liter |
Berat | 184kg |
Pengedar | Chear Global Sdn Bhd |
Popular