Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 April 2015

BENELLI TORNADO TnT300 : Tunggangan Penuh Bergaya

Mungkin dahulu nama Benelli kurang dikenali tetapi selepas menempa kejayaan dengan model TnT600, model ini terus mendapat sambutan hebat hingga ke saat ini. Demi memastikan para pencinta motosikal terus mendekati produk-produk hebat Benelli, sebuah lagi model jalanan TnT300 yang mempunyai rekabentuk yang menarik dan menawan diperkenalkan. Kepada rakan-rakan yang mengunjungi Litar Sepang sempena perlumbaan MotoGP Malaysia tahun lalu pastinya telah pun melihat dengan lebih dekat model ini yang dipamerkan di ruang utama Benelli Keeway.

Casisnya jenis Trestle amat menarik, mengingatkan kita dengan keanggunan jentera kelahiran negara Itali. Casis ini juga menjadikan keseluruhan pengendalian TnT 300 lebih baik dan meyakinkan. Lampu hadapan model ini terbahagi kepada dua bahagian, lampu atas adalah untuk suluhan biasa manakala lampu bawah pula untuk lampu tinggi. Bahagian kepala dihiasi dengan windshield mini yang disepadukan dengan panel meternya. Meter TnT300 terdiri daripada satu meter analog yang menunjukkan tahap putaran rpm manakala meter digital memaparkan jarak perjalanan, jam, tahap bahan api dan kelajuan.

Rekabentuk tangki ini memang cukup sesuai, ia menjadikan tunggangan lebih selesa dan meyakinkan. Tangan kita dapat memegang bar hendalnya dengan selesa manakala lutut pula senang mengepit tangki jika memacu dalam kelajuan tinggi. Walaupun berkuasa sederhana, bahagian enjin dibuat begitu teliti, kemas dan menarik – tampak seperti enjin milik jentera berkuasa tinggi. Model ini juga dilengkapi dengan fairing mini di sisi dan turut dipasangkan dengan belly pan yang memberi perlindungan dari bawah.

Melihat TnT dari sisi kanan memang syok! Gabungan kerangka, penyerap hentak mono, sistem ekzosnya adalah jenis pendek - moden dan menarik. Cermin sisinya yang besar memudahkan kita melihat keadaan trafik di belakang, jangan ambil mudah kerana ramai penunggang yang membuat kesilapan dengan keluar dari laluan tanpa melihat kenderaan yang datang dengan laju dari belakang. TnT ini juga didatangkan dengan brek-brek cakera jenis berkelopak yang terbukti bertindak dengan cemerlang sekali.

Sebaik sahaja memanjat Benelli ini, kita pastinya akan berpuas hati dengan keempukan pelananya yang setinggi 795mm, ketinggian paling ideal untuk mesin berkapasiti 299.8cc ini. “Fuh...memang tidak aku sangka bunyinya sesedap ini,” kata salah seorang krew RR sebaik sahaja TnT ini dihidupkan. Memang benar... bunyi yang kedengaran macam jentera dua silinder berkuasa 1200cc. Hebat...tahniah kepada Benelli kerana mampu menghasilkan sistem ekzos dengan hebat sekali.

Sayang sekali, posisi tempat meletakkan kaki agak jauh ke belakang menyebabkan kita bagaikan bertenggek daripada duduk di atasnya. Ini memang kurang selesa terutamanya bagi mereka yang bercadang untuk melakukan pengembaraan dengan bermotosikal. Tempat meletak kaki ini boleh diubahkan posisinya ke hadapan – barulah kita dapat membengkokkan kaki secara normal yang pastinya lebih selesa dan selamat.

Benelli ini dilengkapi dengan enjin dua silinder dengan sistem pancitan bahan api elektronik yang berkuasa 28kW pada 11,000rpm dan tork 27Nm pada 8,000rpm – memberikan kenikmatan jika menunggang dalam kelajuan tinggi. Apa yang boleh dipertimbangkan ialah untuk meningkatkan prestasi enjin di peringkat pertengahan terutamanya dalam gear kedua hingga kelima. Kemantapan kuasa pecutan amat diperlukan bukan sahaja ketika berada di jalan-jalan berselekoh tetapi juga amat penting untuk membuat pintasan atau memecut meninggalkan kenderaan besar sewaktu di lebuhraya.

Kerampingan tubuh badannya amat menyenangkan kita memacu TnT ini di dalam bandar. Jangan terkejut jika ada yang datang merapati kita sambil bertanyakan adakah ia berkuasa 600cc...dan ini kerana jenteranya memang nampak besar manakala bunyinya yang cukup mantap bagaikan 'selimut' yang menutup kapasiti sebenar enjin ini. Mereka pasti terkejut apabila dikatakan ia adalah sebuah motor naked 300cc. Tahniah sekali lagi Benelli!

Casis Trestle yang tegar dan mantap ternyata memberi kesan yang cukup baik ketika ia dipacu ke tahap maksimum iaitu sekitar 175km/j yang berjaya kami capai. Ketegapan TnT300 ini membuatkan perjalanan di lebuhraya yang mempunyai selekoh-selekoh besar sangat mengujakan. Kita hanya perlu mengubah posisi tubuh badan untuk mendapatkan laluan yang tepat dan rasakan TnT ini meratah setiap selekoh dengan pasti dan meyakinkan.

Okay...Benelli adalah sebuah syarikat motosikal dari Itali dan sudah tentu negara itu melahirkan para penunggang motosikal yang hebat tidak kiralah di jalanan biasa mahu pun di litar. Sama jugalah dengan mesin-mesin yang mereka hasilkan...jentera yang hebat tidak hanya dapat dinikmati dengan tunggangan yang santai dan lembut tetapi penunggangnya perlu menunggang dengan penuh karaktor, agresif dan ranggi. Walaupun tolakan angin cukup kuat kerana tidak dilengkapi dengan cermin pengadang angin, casis yang tegar dan bentuknya yang aerodinamik membantu ia terus stabil menyusuri setiap perjalanan.

Selepas menggabungkan 'sikap nakal' itu, TnT ini memang terbukti amat menyeronokkan. Ia mampu bergerak dengan lincah, pantas dan mengujakan – pemiliknya sendiri mencorakkan tunggangan TnT 300 ini. Turunkan badan, labuhkan lutut, ubah posisi punggung dan masuk selekoh dengan yakin – memang layan beb. Prestasi cemerlang TnT ini di jalanan berselekoh juga disebabkan ia dilengkapkan dengan tayar Pirelli Sport Demon bersaiz 120/70-17 (hadapan) dan 150/70-17 di bahagian belakang. Apa yang penting ketika bermain di jalanan dengannya ialah betapa beraninya kita membrek dengan lambat, pegang bar hendal dengan kemas ya! Ia memang seronok pada bila-bila masa.

Dari satu bandar kami meneruskan perjalanan ke bandar lain pula tapi tangki TnT ini bagaikan tidak berkurangan walaupun secara puratanya ia dipacu pada kelajuan yang agak tinggi. Tangki jentera Benelli ini bersaiz 16 liter – mampu membawa kita menyusuri perjalanan sejauh 300 kilometer. Memang cukup-cukup jimat! Sudut dan ketinggian bar hendal direka cukup sempurna untuk semua jenis perjalanan.

Bila tiba untuk menceritakan bab brek, kami memang cerewet sedikit. Apa yang paling menggembirakan ialah sistem brek TnT 300 bersaiz 260mm di hadapan dan 240mm di belakang, berjaya memperlahankan kelajuan dengan baik sekali. Inilah yang kita harapkan supaya setiap pengeluar motosikal di dunia sentiasa bersaing bukan sahaja untuk menghasilkan jentera yang cantik tetapi juga yang lengkap dengan sistem keselamatan yang tinggi.

TnT sekali lagi mengejutkan kami apabila ditunggang di waktu malam. Suluhannya yang cukup terang memudahkan kita dilihat dari hadapan mahu pun belakang. Panel meternya juga 'super' jelas , kemas dan senang dilihat. Panel meter analog penunjuk rpm mempunyai latar belakang putih bersih manakala paparan digital berlatar belakangkan warna jingga amat memudahkan kita membaca segala info hanya dengan sekali pandang.

Dengan saiz tangki yang cukup besar dan sistem pancitan bahan api yang efisien, kita dapat mengembara sejauh 300km dengan satu isian penuh. Menakjubkan! Sememangnya negara kita mempunyai beberapa destinasi percutian yang cukup sesuai untuk pengembaraan motosikal. Apa yang perlu kita sama-sama fikirkan ialah waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini kerana tidak mahu bertembung dengan ribuan kenderaan lain. Pilih lokasi... rancang tarikh percutian dan pulas TnT300 ini. Kita boleh memacu dengan tenang sekali tetapi kalau jumpa jalanan berselekoh...jangan lupa nak layan Benelli ini. Ia dijual pada harga RM18,990 dengan dua pilihan warna iaitu Pure White dan Hot Red. RR

Oleh: K.Azuan

Isu Pada

April 2015

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder DOHC
Isipadu299.8cc
Gerek x lejang65 x 45.2mm
Nisbah mampatan12:1
Kuasa maksimum28kW pada 11,000rpm
Tork maksimum27Nm pada 8,000rpm
Tinggi pelana795mm
Isi tangki16 liter
Berat183kg
PengedarBenelli Keeway Motocycle

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.