Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 April 2015

KTM Perkenal Seluruh Keluarga DUKE Di Thailand

KTM, nama yang sudah tidak asing lagi dalam dunia permotoran sejak beroperasi pada tahun 1934. Di awal kemunculannya, syarikat dari Austria ini terkenal sebagai pengeluar motosikal lasak offroad tetapi lama kelamaan semakin agresif dengan memperkenalkan model demi model baru dalam pelbagai segmen seperti jalanan (Duke), pengembaraan (Adventure), superbike (RC), elektrik (Freeride) malah juga terlibat dalam dunia perlumbaan.

Keputusan untuk menyertai dunia perlumbaan sememangnya amat tepat dengan kejayaan demi kejayaan diraih dalam pelbagai kategori. KTM merupakan juara keseluruhan dalam Perlumbaan Lasak Dakar buat kali ke 14 berturut-turut, KTM juga merupakan jentera terpantas dalam saingan Moto3, perlumbaan motocross (MX) dan banyak lagi. Kemantapan jentera ini turut dapat dinikmati oleh para pemiliknya di seluruh dunia dan antara model paling terkenal dan popular ialah Duke.

Model Duke pertama diperkenalkan pada tahun 1994, bersesaran 609cc dan popular dengan nama 620 Duke. Pengenalan kepada model ini ternyata melonjakkan jumlah penjualan KTM pada tahun itu. Duke II menempa kejayaan sebaik sahaja diperkenalkan pada tahun 1998 kerana ia kini lebih moden, padat dengan teknologi dan rupabentuk yang semakin mengancam.

Duke III diperkenal pada tahun 2008 dengan peningkatan diberikan terutamanya dari segi kualiti manakala Duke IV berada di pasaran dunia pada tahun 2012. Faktor utama model Duke ini mendapat sambutan yang cukup hebat ialah kerana ia sebuah motosikal yang seronok, cantik, sporty, ringan, kompak, mudah dan mampu milik.

En. Yazid Halim, Pengurus Pemasaran KTM Malaysia CKD.
En. Yazid Halim, Pengurus Pemasaran KTM Malaysia CKD.

Duke merupakan mesin jalanan yang dihasilkan untuk semua jenis penunggang tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, pelajar mahu pun pekerja. Ini dibuktikan dengan pelbagai jenis variasi seperti 125 Duke, 200 Duke, 390 Duke, 690 Duke dan 1290 Superduke.

“Pada tahun 2014, jumlah jualan model jalanan (streetbike) KTM buat pertama kalinya mengatasi rekod jualan model offroad adalah sejarah baru buat KTM.

Sehingga kini, sebanyak 100,000 Duke dihasilkan di India sahaja dan terdapat 1,650 pengedar di seluruh dunia. Ini adalah berita yang cukup memberangsangkan,” kata En. Thomas Kuttruf, Pengurus Press, PR dan Komunikasi Digital KTM Supermotorcycle di sessi sidang media bersama para wartawan dari negara-negara Asia.

Untuk disesuaikan dengan pasaran Asia yang kini merupakan antara pusat jualan paling besar, beberapa model berkuasa rendah mula diperkenalkan. 125 Duke contohnya, model ini merupakan jentera 125cc paling laris di pasaran Eropah. Model 200 pula setakat ini sudah berjaya dijual sebanyak 22,000 unit di seluruh dunia manakala 390 Duke pula kini semakin mendapat sambutan kerana kuasa enjin yang cukup linear dan hebat.

Terima kasih diucapkan kepada KTM Malaysia CKD yang sudi menjemput RR untuk menyertai sessi pandu uji jentera-jentera KTM Duke yang telah diadakan di Khao Yai, Thailand pada awal Mac lalu. Selain Malaysia, program yang dinamakan ‘DUKE IT’ ini turut disertai lebih daripada 30 buah negara lain dari seluruh dunia dan sessi pandu uji ini diadakan dalam tiga sessi berbeza.

“Menerusi program ini, kami di KTM Malaysia CKD dapat membuktikan kepada pihak media betapa hebatnya model-model Duke yang dipasarkan di seluruh dunia, Malaysia tidak terkecuali. KTM 200 Duke ABS /Non ABS merupakan model paling laris di negara kita dengan penjualan bulanan sebanyak 300 unit diikuti model 390 Duke sebanyak 50 unit dan 690 Duke sebanyak 30 unit,” kata En. Yazid Halim, Pengurus Pemasaran KTM Malaysia CKD.

“Bagi KTM Austria, selain memperkenalkan ahli keluarga Duke, acara ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan syarikat kepada pihak media di seluruh Asia yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan selama ini,” tambah beliau.

Sessi tunggang uji model 200 Duke, 390 Duke dan 690 Duke telah diadakan di Khao Yai, Thailand yang terletak lebih kurang 150 kilometer dari bandar Bangkok. Tempat ini terkenal di kalangan para pelancong kerana keindahan flora dan faunanya. Di sini juga terletaknya Taman Negara ketiga terbesar di Thailand iaitu Khao Yai National Park seluas 300 kilometer persegi yang menjadi tempat tinggal kepada 320 spesis burung dan 66 spesis mamalia seperti beruang hitam, gajah, rusa, landak dan lain-lain. Daerah ini memang cukup nyaman dan suhu di sini boleh turun serendah 6-15 darjah Celsius pada bulan Oktober hingga Disember. Khao Yai juga merupakan lokasi yang tidak asing lagi buat para pencinta motosikal kerana di sini juga terletaknya Bonanza Circuit Race Track yang cukup-cukup cantik.

Seramai 18 orang peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dipimpin oleh En. Sebastian (leader), En. Frixeder Andreos (sweeper) dan destinasi pertama kami ialah ke Litar Bonanza. Kami memulakan perjalanan dengan menunggang 200 Duke dan sememangnya ia merupakan sebuah jentera yang sangat seronok ditunggang terutamanya di dalam kawasan bandar dan di perkampungan.

Walaupun kapasiti enjinnya agak rendah, hantaran kuasanya cukup mengejutkan. Ia berkuasa 26hp pada 10,000rpm dan tork 19.5Nm pada 8,000rpm yang memberikan tunggangan yang sangat lancar dalam mana-mana kedudukan gear dan tidak hairanlah model ini cukup mudah dilihat di negara kita terutamanya di kota-kota. Bentuk badannya yang ramping memudahkan kita menyelit manakala kuasa hantaran yang lancar membantu proses pecutan menjadi lebih tepat.

Populariti model ini adalah disebabkan ia menawarkan tunggangan selesa tidak kiralah penunggangnya tinggi atau rendah. Model ini dilengkapi dengan kerangka jenis trellis yang menjanjikan kadar keseimbangan yang tinggi.

Setibanya di litar, kami diberi pilihan untuk menukar motosikal. Setiap penunggang boleh membuat pilihan untuk menguji 390 Duke atau 690 Duke. Kami tidak terus memacu jentera-jentera ini di litar sebaliknya meneruskan perjalanan ke Khao Yai National Park dan RR memilih untuk menunggang Duke 390 terlebih dahulu.

Ya....serta merta perbezaan kuasanya dapat dirasakan. 390 Duke menawarkan kuasa setinggi 44hp, cukup sempurna untuk tujuan pendakian. Model ini menggunakan casis yang sama dengan model 200cc dan keringanan 390 Duke ini berjaya menjadikan pengendalian lebih jitu dan sempurna. Info: Untuk memasuki Taman Negara Khao Yai, bayaran untuk pengunjung dewasa (pelancong) ialah 400 Baht dengan penambahan lagi 20 Baht untuk sebuah motosikal. Antara sistem pengangkutan yang popular di sini ialah mountain bike terutamanya buat para juru kamera yang cintakan gambar-gambar berkonsepkan alam semula jadi.

Bekas pelumba MotoGP, Jeremy McWilliams sempat memberikan tips dan panduan kepada wakil media.
Bekas pelumba MotoGP, Jeremy McWilliams sempat memberikan tips dan panduan kepada wakil media.

Perjalanan di sini memang cukup seronok dan sangat sesuai untuk menguji 390 Duke ini. Model ini langsung tidak menghadapi masalah untuk meratah setiap selekoh di kawasan berbukit ini. 390 Duke dilengkapi dengan lengan ayun aluminium yang bukan sahaja bertegaran tinggi tetapi juga amat ringan – memudahkan kita mengendali mesin ini di selekoh-selekoh tajam di sini. Fork hadapan jenis terbalik buatan WP Suspension juga berjaya menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali.

Apa yang menyeronokkan ketika menunggang di kawasan ini ialah rupabentuk lanskapnya yang mengagumkan, suhu yang selesa dan permukaan jalan yang cukup baik memberikan kami kesempatan untuk ‘berlari’ dengan lebih kencang tanpa sebarang kerisauan. Terdapat beberapa papan tanda yang sedikit menggerunkan jika menunggang berseorangan, antaranya ialah gambar gajah melintas, ular tedung, larangan memberi binatang makanan dan sebagainya.

KTM bersesaran 373cc ini didatangkan dengan tayar Metzeler bersaiz 110/70 ZR17 (hadapan) dan 150/60 ZR17 (belakang yang menggigit permukaan jalan dengan kemas. Walaupun tidak begitu menghafal selekoh-selekoh di Taman Negara ini, sifat tayar keluaran Metzeler banyak membantu kelancaran konvoi kami semua.

Kami berhenti seketika untuk menghilangkan penat di Air Terjun Heo Suwat yang mempunyai ketinggian hampir 20 meter dan tempat ini semakin popular selepas lokasi ini dipaparkan dalam filem ‘The Beach’ lakonan selebriti terkenal Leonardo DiCaprio. Taman negara ini cukup bersih dan lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan. Kafenya luas, selain chalet-chalet yang unik, para pengunjung juga boleh merasai pengalaman lebih mengujakan dengan bermalam di dalam khemah pada kadar sewaan yang berpatutan.

Dari perhentian pertama, kami meneruskan perjalanan dengan mesin yang berbeza. Menunggang 690 Duke R mengingatkan kami dengan pengalaman manis menunggang model ini di Malaysia (Sila rujuk ruangan pandu uji RR September 2014). Jentera hebat ini menawarkan kuasa maksimum setinggi 515kW (70hp) pada 7,500rpm manakala kerangkanya yang padat dan kemas membolehkan kita mengubah posisi dengan pantas dan jitu – mudah di jalanan berselekoh tajam seperti di taman negara ini. Dengan kuasa torknya 70Nm pada 5,500rpm, tiada selekoh yang memberikan masalah buat jentera KTM ini. Bunyi deruman daripada sistem ekzos Akrapovicnya memang sangat-sangat sedap didengar – ia tidak bising!

Sedar-sedar perjalanan sudah menjangkau 120 kilometer. Ya... itulah nikmatnya menunggang mesin-mesin hebat, setiap masa bagaikan tidak pernah mencukupi. Apa yang kita mahu lakukan ialah tunggang...tunggang dan terus menunggang.

Dari kawasan serba hijau, kami tiba pula di Litar Bonanza Race Track untuk sessi ujian seterusnya. Lebih serius dan lebih pantas. Memang satu penghargaan buat kami semua apabila mendapat tunjuk ajar daripada bekas pelumba MotoGP, Jeremy McWilliams. Selain memberikan tips cara penggunaan gear yang tepat di litar, beliau juga menyatakan tempat-tempat berbahaya dan licin yang perlu diawasi.

Panjang litar Bonanza adalah 2.8 kilometer dengan 11 buah selekoh yang cukup mengujakan. Ia cukup sesuai untuk kita memecut 390 Duke dan 690 Duke di laluan lurus yang sepanjang 720 meter. Tidak dinafikan, 390 Duke ini sebuah mesin bersaiz sederhana tetapi prestasinya di atas litar jauh lebih baik daripada apa yang dijangka. Prestasi enjin di peringkat pertengahan memang cukup lancar membolehkan kita berada di laluan dengan kemas sekali.

Air Terjun Heo Suwat.
Air Terjun Heo Suwat.

Brek enjin 390 Duke tidak terlalu keras menyebabkan kita dapat menurunkan gear dengan lambat terutamanya di selekoh pertama dan kedua litar ini. Dengan adanya penunjuk kedudukan gear, pasti kita dapat memasuki suatu selekoh dengan tepat...selamat untuk penunggang dan selamat untuk enjin. Tayar-tayar Pirelli yang dilengkapi pada jentera ini pula mengigit dengan cemerlang sekali – kita masih dapat ‘meleper’ dengan selamat walaupun di permukaan yang tidak rata.

Tidak ada rungutan apabila memacu 690 Duke di litar ini. Dengan bar hendal yang tinggi, mesin ini memang sangat mudah dikendalikan dalam apa juga keadaan dan laluan. Gear ketiga sudah cukup tepat untuk kita berada di selekoh tiga, empat dan lima Litar Bonanza ini kerana hantaran kuasanya yang cukup linear.

Sememangnya sessi ujian di litar membuktikan betapa lincah dan hebatnya jentera Duke kerana ia dapat diuji sebaik-baiknya. “Pemilihan KTM untuk mengadakan program ini di Khao Yai memang bagus kerana kita dapat menguji jentera-jentera ini di pelbagai lokasi dan jalan yang berbeza. Kecekapan dan kemantapan Duke ini bukan sahaja dibuktikan di jalan-jalan pergunungan tetapi juga di litar,” kata Al Camba dari Filipina.

Jeremy McWilliams.
Jeremy McWilliams.

Ini juga satu cara terbaik buat KTM untuk melihat sendiri apa yang Asia mahukan demi mendapatkan jumlah penjualan yang maksimum. Untuk lebih mendalami citarasa pencinta motosikal, semestinya mereka perlu hadir sendiri untuk menilai jenis muka bumi, keadaan jalanraya, minat penunggang tempatan agar rancangan dan strategi pembangunan mesin-mesin KTM akan berjalan dengan lebih baik. RR

Oleh: K. Azuan

Isu Pada

April 2015

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.