Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 15 Mei 2021

Honda CBR250RR - Terbaik Dalam Kelasnya

Idamkan sebuah jentera berkuasa tinggi? Tetapi hanya ada lesen motosikal B2 sahaja. Jangan risau kerana Honda CBR250RR mampu memenuhi permintaan anda. Model ini mempunyai beberapa teknologi atau ciri-ciri yang sama seperti jentera-jentera berkuasa tinggi di luar sana. Mesin ini merupakan jentera berkapasiti tidak melebihi 250cc di mana untuk menunggang di atas jalan raya tidak memerlukan lesen B Penuh.

CBR250RR mula diperkenalkan pada tahun 2017. Model ini telah dibangunkan oleh syarikat yang bertempat di Indonesia iaitu Astra Honda Motor. Selepas sahaja dilancarkan di sana, jentera tersebut telah menjadi tanda tanya buat pencinta dua roda di Malaysia, adakah mesin itu akan dibawa masuk ke pasaran negara. Namun selepas sekian lama menunggu, Boon Siew Honda (BSH) akhirnya telah melancarkan Honda CBR250RR pada pertengahan Disember 2020.

Model ini didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. CBR250RR boleh dimiliki pada harga RM25,999 (tanpa pendaftaran, insurans & cukai jalan). Pemilik akan menerima waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu).

Melihat pada rekabentukya, CBR250RR telah dibangun berasaskan siri model-model CBR yang lain. Model ini diberi gelaran sebagai Total Control yang mempunyai tiga konsep prestasi unggul, ciri futuristik dan bentuknya yang agresif serta panas seperti jentera lumba CBR. Model ini dibina dengan cukup teliti dan kemas. Bentuk-bentuk di bahagian sudut yang tajam menampakkan lagi model ini lebih sporty. Lihat sahaja di bahagian hadapan, jentera ini ternyata tampak lebih garang. Kami yakin CBR250RR mampu menarik perhatian orang-orang yang melintas di hadapannya.

Melihat sisi kanan bahagian belakang, kami sangat tertarik dengan rekaan sistem ekzos berkembarnya. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana prestasi bunyi yang ditawarkan pada jentera ini. Tidak menunggu lama, kami terus melabuhkan punggung ke atas ruang pelana setinggi 790mm. Ketinggian pelana sesuai untuk semua golongan.

Rekaan tangkinya juga menarik. Kami dapat merebahkan tubuh badan untuk memegang bar hendal. Kedua-dua kaki kami mudah untuk mengepit bahagian tangki apabila ingin memecut. Pelana penunggang dan pembonceng diasingkan. Manakala cermin sisi CBR ini besar, mudah untuk melihat keadaan trafik di belakang.

Selepas meletakkan kedua-dua tangan ke atas bar hendalnya, boleh dikatakan posisi tunggangan CBR250RR ini agak sporty. Sangat berbeza gaya tunggangannya apabila kami menunggang jentera 250cc yang lain. Bagi penggemar jentera sportbike, perkara itu bukanlah masalah yang serius. Walaupun posisi tunggangan membongkok, kami dapat rasakan bahagian tangan dan pinggang tidak mudah lenguh jika menunggang jauh ataupun menunggang dalam kesesakan lalu lintas.

Ruang kokpit pada jentera ini boleh dipuji. Melihat sahaja panel pada bar hendalnya sama seperti jentera-jentera berkuasa tinggi, ianya kemas dan tersusun. Naikkan tongkat sisi dan putarkan kunci utamanya, mata kami terus tertumpu pada panel meter CBR. Panel meter digitalnya sangat moden. Walaupun pada waktu siang, kami dapat melihat segala info seperti tahap kelajuan, suhu, bahan api, putaran rpm, odometer, jarak perjalanan, mod tunggangan, Quick Shifter serta kedudukan gear.

Melihat pada teknologi yang ada dalam jentera ini, kami amat mengagumi segala usaha yang dilakukan oleh pihak Honda untuk menjadikan CBR ini sebuah mesin yang hebat. Model ini mempunyai tiga mod tunggangan iaitu comfort, sport dan sport+. Kita boleh pilih menerusi suis yang berada di belakang bar hendal sebelah kiri. Apa yang membuatkan kami lebih tertarik, CBR250RR turut dilengkapi dengan sistem Quick Shifter. Sistem ini mempunyai tiga step yang boleh dipilih iaitu Shift Up & Down, Shift Up ataupun Shift Down sahaja. Jika kita tidak mahu menggunakannya, sistem ini juga boleh dimatikan. Teknologi sebegini bukanlah satu perkara baru dalam dunia permotoran. Namun, Honda CBR250RR merupakan sebuah jentera pertama yang mempunyai sistem mod tunggangan dan Quick Shifter dalam kelasnya.

Kemudian, kami terus menekan suis penghidup elektrik yang berada di panel sebelah kanan bar hendal. Enjin berputar dengan lancar sekali. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kami sangat kagum dengan bunyi yang keluar dari sistem ekzos CBR ini. Pada permulaannya sangat senyap. Namun apabila pendikit semakin dipulas, sifat garang mula menunjukkan diri. Memang sangat umphh! Seperti jentera perlumbaan.

Memerah pendikit CBR250RR ini adalah satu nikmat yang amat mengujakan. Model ini merupakan sebuah jentera yang bersesaran 249.7cc, enjin empat lejang, dua silinder parallel, 8 injap dengan sistem penyejuk cecair. Jentera yang bertransmisi 6 kelajuan ini mampu menawarkan kuasa maksimum 30kW pada 13,000rpm dan tork 25Nm pada 11,000rpm. Model yang mempunyai saiz gerek 62.0mm manakala lejang pula 41.4mm turut dipadankan dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI.

Tidak berfikir panjang, kami memulakan perjalanan dengan menunggang CBR250RR. Oleh kerana berada di kawasan bandar, kami memilih mod Comfort untuk perjalanan yang selesa serta penjimatan bahan api. Walaupun ia sebuah mesin sport, model ini terbukti hebat ketika menunggang dalam kesesakan lalu lintas. Kami dapat mengawal CBR ini dengan begitu mudah. Ditambah pula dengan teknologi Throttle-By-Wire, jentera tidak akan menghenjut ke hadapan semasa hendak memulas semula pendikit terutama di kedudukan gear-gear rendah. Manakala Sport pula merupakan mod standard yang sesuai di jalan-jalan biasa di dalam bandar mahupun luar bandar.

Setelah lama bersama CBR250RR ini, kami mula mengubah mod tunggangan kepada Sport+. Apa pula rasanya menggunakan mod ini? Mod ini dicipta dengan cukup bijak sekali untuk menawarkan tunggangan dan kuasa pecutan yang lebih mantap berbanding mod sport tidak kira di jalan biasa mahupun ketika berada di dalam litar.

Kuasa enjinnya yang mantap membuatkan kita tidak mahu melepaskan peluang untuk merasa betapa pantasnya Honda CBR250RR ini memecut. Semasa putaran RPM mencapai 11,000rpm, lampu isyarat gear akan bernyala sebagai penyediaan penukaran gear. Sebaik sahaja putaran pada 12,000rpm, lampu isyarat gear akan berkelip sepenuhnya menandakan pertukaran gear perlu dilakukan. Tundukkan kepala sedikit, dengan mudah kelajuan dapat dicapai sekitar 170km/j.

Proses pecutan yang lancar turut disumbangkan oleh sistem klac jenis assist & slipper. Tuas klacnya dirasakan cukup lembut. Dari kedudukan gear pertama sehinggalah keenam, proses penukaran gear dapat dilakukan dengan lancar dan pantas. Ditambah pula dengan teknologi Quick Shifter pada CBR250RR ini menjadikan proses penukaran gear dapat dibuat tanpa menggunakan tuas klac. Pulas sahaja pendikit dan tekan tuas gear. Ini memang kesukaan buat mereka yang ingin bermain-main di litar. Untuk di jalan-jalan biasa apa kurangnya, kami dapat memintas kenderaan lain dengan pantas.

Memecut dengan CBR250RR bagaikan kita seperti memacu sebuah jentera berkuasa tinggi. Memang cukup seronok apabila dapat menunggang mesin ini. Dengan bentuk badan yang tegap, jentera langsung tidak terasa bergoyang atau terhuyung-hayang walaupun dipacu melebihi 150km/j. Kita juga boleh menyorokkan kepala ke dalam cermin pengadang angin apabila dalam kelajuan yang tinggi. Cermin ini direka dengan sempurna untuk membenarkan udara melalui terus dari hadapan melepasi kepala penunggang.

Kelincahan jentera ini juga disumbangkan dengan penggunaan fork teleskopik Inverted/jenis terbalik (USD). Penyerap hentak hadapan ini mampu memberikan keselesaan, kestabilan serta pengendalian yang mudah sehingga kita dapat keluar/masuk laluan-laluan berselekoh dengan pantas dan selamat. Saspensi di bahagian belakang pula menggunakan lengan ayun aluminium yang lebih ringan beserta penyerap hentak monoshock 5-step preload boleh laras agar jentera tidak berbuai ketika mengambil selekoh.

Mesin ini telah dipadankan dengan sepasang rim hadapan 17M/C x MT 2.75 dan belakang 17M/C x MT 4.00. Rim-rim disaluti dengan tayar bersaiz 110/70 – 17M/C 54S (depan) dan 140/70 -17M/C 66S (belakang) sudah cukup untuk menawarkan kadar miringan yang meyakinkan apabila kita menurunkan mesin ini di selekoh tajam.

Sistem brek cakera (depan & belakang) pada CBR amat berkualiti tinggi sehinggakan kita mampu memberhentikan mesin dengan cepat dan selamat. Selain dengan prestasi brek yang baik, sistem ABSnya juga memainkan peranan untuk membantu kita mengawal jentera ini di dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Boleh dikatakan, menunggang CBR pada waktu malam boleh dipuji. Model ini didatangkan dengan sepasang lampu berkembar dua layer di bahagian hadapan. Lampu jenis LED ini mampu memberi suluhan yang cukup jelas supaya penunggang dapat melihat suasana atau bahaya yang datang dari hadapan. Lampu belakang jenis LED juga cukup untuk penunggang lain melihat kita dari belakang.

CBR250RR menawarkan kadar penggunaan bahan api yang amat menjimatkan. Namun penggunaan petrol pada jentera ini juga berpandukan jenis mod tunggangan yang kita pilih, gaya tunggangan serta permukaan muka bumi. Walau bagaimanapun, dengan isian penuh tangki sebesar 14.5 liter, mesin ini mampu menyusuri perjalanan sejauh 270 kilometer.

Secara keseluruhan, kami amat berpuas hati dengan Honda CBR250RR. Model ini merupakan sebuah mesin yang cukup sempurna sehingga kini untuk segmen jentera 250cc. Adakah dengan harga yang ditawarkan berbaloi? Ya! Bagi kami sangat-sangat berbaloi buat mereka yang ingin memilikinya kerana mempunyai ciri-ciri yang menarik. Bagi mereka yang ingin melihatnya dengan lebih dekat, sila kunjungi Honda BigWing ataupun pengedar jentera Honda yang sah berdekatan dengan anda. RR

Isu Pada

April 2021

Spesifikasi

Enjindua silinder parallel, DOHC, empat lejang, 8 injap dengan sistem penyejuk udara
Isi padu249.7cc
Kuasa maksimum30kW pada 13,000rpm
Tork maksimum25Nm pada 11,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Saspensifork teleskopik Inverted USD (depan) & lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak monoshock 5-step preload (belakang)
Tayar110/70 - 17M/C 54S (depan) & 140/70 - 17M/C 66S
Berat168kg
Isi tangki14.5 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.