Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 9 Mei 2021

Royal Alloy GP180 - Skuter Auto Yang Pantas & Praktikal

Minat seseorang pada aktiviti, rekabentuk, fesyen atau makanan adalah satu perkara yang sangat subjektif. Kita boleh bermatian-matian katakan merah adalah warna yang paling menyerlah tetapi mungkin Si A atau Si B memilih untuk pertahankan warna Hijau atau Biru. Begitu juga dengan makanan. Kita mungkin minat sangat makan cheese tetapi pada masa yang sama, ada orang yang bau cheese pun tak tahan!

Dalam dunia rekaan motosikal, tidak semua penunggang mempunyai minat yang seiring dengan tahap kemodenan zaman ini. Ada yang suka dengan cara orang gaya pakaian zaman terdahulu... lagi retro, lagi dia minat. Jika tidak, mana mungkin kita dikenalkan dengan acara The Distinguished Gentleman's Ride yang mengumpulkan ribuan malah jutaan pencinta motosikal gaya klasik, retro dan vintaj di seluruh dunia. Walaupun kita sudah masuk ke zaman moden, era digital.... cinta terhadap gaya 'orang-orang' lama tetap melekat di hati.

Perkenalkan Royal Alloy, jenama dari United Kingdom yang kini dipasarkan di lebih daripada 15 buah negara seperti Malaysia, Australia, Perancis, Hong Kong, Itali, Indonesia, Korea, USA, New Zealand, Thailand dan banyak lagi. Royal Alloy dikeluarkan di kilang mereka yang beroperasi di Thailand dengan memberi tumpuan untuk menampilkan jentera skuter klasik dengan teknologi moden.

RR telah menikmati perjalanan yang memberikan pandangan dan perasaan yang bercampur baur selepas menghabiskan banyak masa dengan jentera Royal Alloy GP180. Skuter ini memiliki hasil kemasan yang tinggi dengan tubuh badan dibuat daripada logam (metal) dan disaluti oleh warna hijau muda (Mint Green). Untuk model 180cc, Royal Alloy hadirkan dua lagi pilihan warna iaitu Sherwood Green Matt dan Matt Bronze.

Memang tak sangka betul, pelana GP180 cukup tinggi dan lebar sehinggakan salah seorang dari kami yang berketinggian 179cm juga kelihatan menjengket. Bila difikirkan semula, tidak hairanlah ia bersifat begitu kerana asalnya dari UK yang kebanyakan ridernya tinggi-tinggi belaka. Betul.... pelananya cukup empuk, bar hendal juga sempurna dan ruang depan kaki yang luas memberikan senyuman buat kami walaupun enjin belum dihidupkan.

Okay... sekali pandang GP180 ini memiliki kesinambungan daripada rekabentuk skuter retro yang pernah menggegarkan dunia motosikal kira-kira 60 tahun yang lalu. Mengapa ia benar-benar diminati kerana ia berkait dengan fesyen. Seperti dikatakan tadi, kebanyakan pemilik skuter seperti ini termasuk para remaja tampak cukup bergaya apabila menunggang skuter seperti GP180 ini sambil mengenakan baju, jaket dan kasut yang sesuai. Itu kelebihannya apabila kita boleh gabungkan antara gaya hidup, fesyen dan kenderaan.

Lampu-lampu LED, panel meter digital dan sistem suntikan bahan api.... ciri-ciri moden yang terdapat pada Royal Alloy ini. Lampu utamanya lengkap dengan tulisan Royal Alloy memang cukup terang. Suluhan di waktu malam boleh kita bagi markah A+ dan paling penting ialah kuasa suluhan lampu LED ini amat membantu khususnya di waktu panas terik. Betapa ramai penunggang motosikal menjadi mangsa akibat kealpaan pengguna jalan raya lain dengan alasan “Saya tak perasan motosikal awak!” Dengan GP180, mereka tidak ada alasan lagi.... ia cukup terang untuk dilihat dari jarak apa sekali pun.

Pulas saja pendikitnya, enjin 169cc yang berkuasa 7.5kW menarik jentera 130kg ini dengan mudah. Posisi menunggang yang natural dan tinggi memang kesukaan kami, nampak keadaan di depan lebih mudah. GP180 memang teman terbaik bila masuk ke dalam bandar. Tak kisah sama ada di jalan lengang atau pun sesak, skuter ini memang menyeronokkan. Tubuhnya ramping, mengemudinya juga mudah membolehkan kita ‘lari berdesup' ke sebarang lokasi tanpa masalah.

Baru nak seronok, kotaraya Kuala Lumpur disimbahi hujan rahmat. Doanya agar Covid-19 cepat hilang, dapatlah kita naik motor sampai ke Johor... Perlis atau ke Terengganu. Lantai skuter ini membolehkan kasut kita tidak mudah terkena percikkan air walaupun ketika melalui jalan-jalan berlopak. Ia cukup luas sehinggakan kaki bersaiz 11 pun nampak/rasa selesa manakala tempat pemijak pembonceng boleh dilipat yang 'tersorok' di sisi skuter ini, memang kemas.

Untuk gunakannya, tekan sahaja dan ia akan 'pop' keluar dengan sendirinya. Satu lagi.... kalau hujan tidak terlalu lebat, fairing hadapannya melindungi seluar kita daripada basah. Sahabat kami yang menunggang GP180 melemparkan senyuman penuh bangga apabila mendapati dia hampir 100% kering bila sampai ke lokasi. Kalau lebat sangat, lebih baik cari tempat perlindungan yang selamat. Elak basah dan jauhi bahaya.

Pelana utama boleh dibuka (tanpa perlu kunci) untuk kita mengisi petrol ke dalam tangki bersaiz 10.5 liter manakala pelana pembonceng tidak boleh dibuka. Kami mengharapkan terdapat ruang barang di bawah pelana. Sekurang-kurangnya dapat menyimpan topi keledar atau barangan penting khususnya jika ingin menambat hati wanita. Ruang simpanan yang ada hanya terdapat di bahagian depan – muat untuk menyimpan dompet, sarung tangan dan turut diletakkan soket pengecas. Menurut pihak Royal Alloy, terdapat kotak barang (aksesori) yang akan ditawarkan sebagai pilihan kelak.

GP180 ini memiliki kuasa tork 10.6Nm pada 5,250rpm yang dirasakan agak santai ketika kita membuat pecutan dari kelajuan sifar. Namun begitu, kuasa hantaran enjin ini lebih galak dan bertenaga apabila kelajuan mula mencecah 30km/j dan ke atas. Masa ini barulah pendikit dan prestasi enjin dirasakan sama rancak dan sama mantap. Laju maksimum yang kami dapat lakukan untuk GP180 ini ialah sekitar 110km/j.

Dalam kelajuan tinggi, skuter ini agak melayang dan ia disebabkan tamparan udara kuat yang menghentam fairing hadapan. Keadaan lebih merisaukan apabila kita dipintas pula oleh kenderaan berat yang meluncur di tepi dalam kelajuan tinggi. Cuak juga dibuatnya apabila angin-angin kuat daripada lori atau bas menghentam kita sewaktu mereka memintas. Nak lari tak cukup laju. Melihat pada situasi itu, kami tinggalkan lebuhraya dan kembali semula di laluan bandar. Tenang dan selamat!

Pergerakan skuter comel ini di kawasan urban cukup memuaskan hati – mungkin kalau lebih power, lebih menarik! Bunyi memang cukup senyap, kami jamin pemilik GP180 tidak akan dikenakan saman 'Ekzos Bising' yang boleh menyebabkan ‘kehilangan’ wang sehingga RM2,000 atau 6 bulan penjara. Maka... berbahagialah mereka yang menunggang Royal Alloy GP180.

Cermin sisi mudah untuk melihat keadaan trafik di belakang. GP180 menggunakan tayar-tayar bersaiz 110/17-12 (depan) dan 120/70-12 di belakang. Kecil... tidak dinafikan tetapi memiliki tahap cengkaman yang baik. Kecil-kecil cili padi... ketika membuat miringan di laluan basah, kami rasa amat meyakinkan. Ini kerana sistem penyerap hentak di depan dan belakang tidak mengecewakan. Oleh kerana ianya ringan, penunggang hawa juga pastinya tidak akan ragu-ragu untuk dapatkannya.

Memperlahankan kelajuan dengan cemerlang mungkin antara ciri-ciri hebat skuter ini yang penting untuk keselamatan jiwa. Royal Alloy telah menyempurnakan GP180 dengan brek-brek cakera berserta sistem ABS Bosch. Sistem ABS memang penting kerana cuaca di negara kita yang tidak menentu. Kita tidak mahu roda-roda terkunci ketika membrek di permukaan basah, biar basah daripada terbabas di tengah-tengah jalan. Walaupun ada sistem ABS, jangan ambil mudah meskipun anda seorang penunggang berpengalaman. Satu saat anda cuai.... mungkin menyesal seumur hidup.

Secara keseluruhannya Royal Alloy ini memang boleh dipilih sebagai teman untuk tunggangan di dalam bandar mahupun di kawasan bandar. Rekabentuknya cantik, membawa kita kembali ke era 60an dan memiliki ciri-ciri keselamatan yang baik. Royal Alloy turut memasarkan model GP125 yang memilki rekabentuk sama tetapi spesifikasi berbeza.

Royal Alloy GP125 dilengkapkan dengan enjin 125cc yang berkuasa 7.2kW pada 7,500rpm dan tork 9.2Nm pada 7,000rpm. Model ini ditawarkan pada harga RM12,497 dalam tiga warna pilihan iaitu Ocean Blue, Flame Red dan Ivory White. RR

Isu Pada

April 2021

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk udara
Isipadu169cc
Kuasa maksimum7.5kW pada 7,250rrpm
Tork maksimum10.6Nm pada 5,250rpm
Berat130kg
Pacuan akhirCVT Automatik
Brekcakera dengan ABS
Tayar110/70-12 (depan) & 120/70-12 (belakang)
P x L x T1,845 x 670 x 1,115mm
PengeluarRoyal Alloy Malaysia

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan semula pengenalan warna White Trico bersama dengan dua pilihan warna yang baru iaitu Matte Blue dan Sliver.

Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.