Triumph Trident 660 2021
Model terbaru Triumph Trident dikuasakan oleh enjin tiga silinder 660cc dan kini memberikan saingan dalam pasaran penjualan terlaris dengan menawarkan gaya Inggeris, enjin yang berkarisma dan menurut Triumph, sebuah jentera yang memiliki pengendalian mantap dan amat berbaloi untuk dimiliki. Untuk mengetahui prestasi sebenarnya, kami pergi ke Tenerife, Sepanyol.
Trident hadir ke pasaran motosikal jalanan/naked sebagai jentera yang menarik dan bertenaga yang mampu menyaingi model-model saingannya Yamaha's MT-07, Kawasaki Z650 dan Honda CB650R yang kesemuanya akan ada unit terbaru untuk tahun 2021.
Adakah ia mempunyai kuasa hebat?
Model ini bersesaran 660cc dan jika ada yang menganggap ia adalah jentera talaan semula model Street Triple S, maka jawapan itu agak kurang tepat. Ia diasaskan daripada model lama 600cc tetapi disempurnakan dengan 67 komponen baru. Bermakna, ia adalah rekaan baru: engkol baru, klac dan kotak gear dengan nisbah berbeza. Jika dibandingkan dengan Street Triple S, gear pertama… kedua... ketiga dan keempat agak pendek manakala nisbah gear kelima dan keenam lebih panjang. Komponen aci juga direka semula untuk meningkatkan tork dan kuasa peringkat pertengahan.
Kuasa tertinggi ialah 80bhp pada 10,250rpm dan tork 64Nm pada 6,250rpm – kuasa lebih tinggi berbanding Yamaha MT-07 dan Kawasaki Z650 manakala tork Triumph ini juga lebih tinggi daripada Honda CB650R. Honda memiliki lebih kuasa manakala Yamaha pula memiliki kuasa tork yang mantap, jadinya Trident ini betul-betul sempurna di tengah-tengah. Model baru ini boleh didapati dalam konfigurasi A2 (dilakukan secara elektronik dan had penggunaan pendikit). Konfigurasi ini boleh ditambah dan dikeluarkan oleh mana-mana pengedar Triumph.
Menariknya, Triumph tidak menyenaraikan sistem ekzos aftermarket dalam senarai aksesori dan jujurnya, sistem ekzos aftermarket berpiawaian Euro 5 tidak dapat meningkatkan prestasi dan bunyi yang mantap. Untungnya, bunyi sistem ekzos 'ori' Trident ini sudah cukup sedap didengar... memang padu! Bunyi yang lembut 'menyanyi' dengan merdu ketika berada di dalam putaran enjin rendah tetapi apabila meningkat ke tahap 3,000rpm, karaktornya berubah seperti model-model Triumph Triple yang bersuara garang. Saya ingin benar mencuba menunggang model yang dilengkapkan dengan sistem quick-shifter.
Pada tahap 10-15% penggunaan pendikit, kuasa hantarannya lembut, seperti ada lag sikit dan sifat 'lembut' ini sememangnya ideal untuk penunggang baru dan kurang berpengalaman. Jika kita gunakan mod Rain pula, kuasa hantarannya akan berubah menjadi lebih rendah.
Prestasi Trident adalah yang terkuat di dalam kelasnya dan susun atur enjin tiga silinder ini adalah yang terbaik. Dapat dirasakan kuasa torknya seperti enjin kembar dan kebebasan membuat pecutan seperti enjin empat silinder sebaris. Dengan 90% daripada kuasa tork dapat dirasakan bermula dari 3,600rpm dan pengaliran kuasa ini cukup positif walau ketika ditarik dari kedudukan rendah. Progress dapat dilakukan dengan cepat dan mudah tanpa perlu menggunakan banyak gear.
Kalau nak bergembira, turun satu atau dua gear dan rasakan kenikmatan kotak gear Trident ini walaupun di tangan penunggang berpengalaman. 'Matikan' traction control dan kita boleh berseronok dengan 'mono-wheel' ditemani oleh bunyi enjin triple yang benar-benar mantap. Trident bukanlah sekadar motosikal 'entry level' biasa! Saya begitu teruja sehinggakan beberapa kali 'mengenai' rev limiter.
Selama hampir dua hari saya menunggang uji jentera ini di kawasan gunung berapi di Tenerife, saya dapati jentera entry-level ini memang cemerlang dan tidak membosankan langsung. Pada hari pertama, sesi ujian saya merangkumi perjalanan sejauh 200 kilometer dan rasa seperti tak mahu kembalikannya semula apabila selesai. Saya tidak sabar-sabar untuk menikmatinya lagi pada sesi ujian hari kedua dan saya amat jarang rasakan seperti ini dengan motosikal lain yang berada dalam pasaran yang sama.
Adakah ia berkemampuan di laluan-laluan berselekoh?
Berat basahnya ialah 189kg, lebih kurang sama paras dengan jentera silinder kembar dalam segmennya. Dari segi teori, ia sepatutnya lebih ringan dan sebenarnya, ia lebih ringan daripada Honda CB650R (208kg). Dengan keberatan ini, ia selesa dan tidak menakutkan penunggang bersaiz kecil atau yang kurang berpengalaman.
Pelananya hanya 805mm (cukup lembut) dan bentuknya mengecil ke arah tangki. Saya berketinggian 172cm dan mendapati kedua-dua kaki saya dapat menjejakkan permukaan tanah dengan sempurna. Motosikal ini cukup stabil dalam kelajuan rendah dan apabila ia dihadkan untuk pematuhan lesen A2, Trident ini tidak akan mengeluarkan tenaga dan kuasa tinggi untuk penunggang baru walaupun dari rekabentuknya yang maskulin.
Triumph sekali lagi memberikan yang terbaik dengan melengkapkan jentera ini dengan sistem saspensi Showa yang mengatur pergerakan di depan dan belakang. Penyerap depan tidak boleh ditala manakala di belakang punya hanya pada bahagian pra-bebannya sahaja. Untuk penunggang baru, sistem saspensi ini sudah cukup efisien, mampu berada di 90% permukaan jalan dengan mudah walaupun ketika di laluan berbonggol.
Kita biarkan enjinnya 'menjerit', tingkatkan rentak dan setiap talaan berfungsi dengan baik walaupun pada kelajuan tinggi. Kelegaan buminya tinggi, tempat pemijak Trident tidak mudah terheret di permukaan jalan seperti model-model saingannya. Ini memberikan keyakinan buat si penunggang untuk berada di laluan dengan lancar.
Posisi menunggang yang natural membolehkan kita mengawal pergerakan dengan mudah. Tayar-tayar Michelin Road 5 yang berkualiti tinggi mencengkam dan 'bekerja' dengan cemerlang tidak kira dalam cuaca sejuk dan lembab ketika menunggang ujinya. Kestabilan Triumph ini memang superb.
Ketika kita benar-benar push jentera ini, fork hadapannya dirasakan ada sedikit kekurangan terutamanya sewaktu membrek dengan keras. Secara keseluruhannya bila dibuat perbandingan dari segi sifat sporty yang dimilikinya, Trident ini memang mudah dikendalikan.
Memang benar saspensi Showa yang dilengkapkan pada jentera ini ada kekurangannya, tetapi 99% penunggang tidak akan merasakan penyerap hentak ini perlu ditala, dan paling penting ialah pada spring prabeban di bahagian belakang yang boleh dilaras apabila kita menunggang bersama pembonceng atau membawa barangan. Boleh dikatakan, pelbagai jenis talaan/larasan yang dipasang pada sistem penyerap hentak kadangkalanya mengelirukan para penunggang baru dan inilah kelebihan Trident, ia cukup mudah untuk difahami.
Brek cakera 310mm di hadapan disempurnakan dengan angkup dua omboh Nissin yang bertindak dengan baik dan tuas breknya juga lembut dan sekali lagi, sesuai untuk penunggang baru. Sistem ABS adalah standard tetapi tanpa ada IMU, ia tidaklah sensitif-miringan. Sistem ABS di bahagian belakang bekerja cukup ekstrim apabila sistem slipper clutch mengawal pergerakan tayar belakang ketika penurunan gear dilakukan dengan agresif.
Bagi mereka yang berpengalaman, Trident boleh dipilih sebagai motosikal kedua atau mereka yang ingin bertukar 'selera' kepada jentera yang lebih kecil. Anda akan dapati penggunaan satu jari untuk membrek sememangnya sudah cukup baik pada motosikal biasa dan gunakanlah lebih jari apabila situasi tunggangan bertukar.
Kuasa memberhentikan pergerakan jentera ini sememangnya setaraf dengan model-model saingan malah Trident lebih baik daripada sesetengah darinya. Bagi mereka yang biasa dengan sistem brek yang tinggi harganya, mungkin dirasakan sedikit kekurangan tetapi percayalah ia sudah cukup memadai.
Adakah anda mahu membelinya?
Tidak kira di mana jua, harga memainkan peranan penting dan untuk pasaran UK, perbezaan beberapa ratus pound boleh menyebabkan motosikal itu dibeli atau dilupakan. Para pelanggan/pembeli akan cenderung seperti penunggang baru yang lebih peka pada anggaran nilai harga.
Yamaha MT-07 akan dipasarkan tidak lama lagi (harga belum ditetapkan) dan melihat pada harga model 2020 iaitu £6,697, saya rasa harga MT-07 baru di bawah £7,000 manakala Kawasaki Z650 2021 juga akan dilancarkan nanti pada harga £6,849. Honda akan menjadi pencabar terdekat menerusi model CB650R 2021 yang sekarang ini ditawarkan pada harga £7,199.
Walaupun harga Triumph ini (£7,195 harga bilik pameran) agak tinggi sedikit berbanding motosikal keluaran Jepun, kos pemilikan dan saraannya lebih rendah. Servis utamanya ialah pada jarak penggunaan 10,000 batu atau 16,000 kilometer. Selang masa selenggara yang lebih lama dan waktu bengkel yang juga berkurangan akan memberi penjimatan buat pemiliknya.
Untuk pasaran Malaysia, Trident didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan Premium. Untuk varian Standard boleh didapati pada harga RM43,900 yang ditawarkan dalam warna Crystal White dan Sapphire Black. Manakala bagi versi Premium pula dijual pada harga RM44,900 dengan dua pilihan warna iaitu Silver Ice/Diablo Red dan Matt Jet Black/Matt Silver Ice. Kesemua harga tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.
Triumph menyatakan penggunaan petrol ialah pada kadar 4.7 liter untuk 100 kilometer. Disebabkan saya menunggang dengan lebih agresif sewaktu mendaki kawasan pergunungan dan lebih teruja memerah pendikitnya, penggunaan bahan api saya ialah sekitar 5.4 liter untuk 100 kilometer. Lampu amaran petrol menyala pada jarak 189 kilometer, memang sudah cukup jimat untuk tangki sebesar 14 liter. Kalau menunggang normal, saya jangka Trident ini mampu bergerak sejauh 298 kilometer untuk satu tangki penuh.
Teknologi Terkemuka di Pasaran
Terdapat dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain, ini adalah kelebihan model ini berbanding pesaingnya. Mod ini mudah dipilih menerusi suis kawalan dan panel meter TFT serba baru. Setiap mod tunggangan akan menukarkan karaktor hantaran kuasa menerusi kawalan pendikit fly-by-wire dan kini turut disempurnakan dengan sistem traction control. Dalam mod Rain, sistem keselamatan penunggang ditingkatkan menerusi pelarasan TC dan ABS.
Secara teorinya, sistem TC boleh diubah dari Road kepada Rain ketika kita sedang menunggang tetapi untuk mematikan sistem itu (TC), kita perlu berhenti terlebih dahulu. Contohnya begini, jika kita mematikan sistem TC ketika dalam mod Road atau Rain, dan kemudiannya terpaksa menunggang dalam hujan tanpa sistem TC yang aktif, maka kita perlu berhenti untuk menghidupkannya semula TC ini.
Sebaik sahaja dihidupkan, sistem TC ini memang lancar dan tidaklah terlalu kuat. Dalam mod Road, ia menahan pengaliran kuasa apabila berlakunya wheelspin dan 'kemasukan' semula tenaganya dirasakan cukup lembut dan lancar. Cukup mantap. Saya dapat rasakan sistem ini bertindak dengan baik di beberapa keadaan – memang cukup sempurna untuk penunggang baru dan lama.
Model yang saya tunggang ini dilengkapkan pemanas pendikit (aksesori pilihan) dan terdapat 44 aksesori lagi sebagai pilihan. Dari segi teknologi, anda boleh nikmati alunan muzik, navigasi, panggilan telefon dan akses GoPro menerusi My Triumph Connectivity System yang akan disambungkan pada panel meter. Terdapat juga ciri pilihan lain seperti pengecas USB, sistem pemantauan tayar dan penunjuk aras. Terdapat juga senarai aksesori kosmetik seperti billet belly pan, bagasi dan keselamatan. Jujurnya, saya lebih suka jika ia dilengkapkan dengan quick-shifter.
Keputusan
Secara peribadi, saya sukakan rekabentuknya yang lebih matang berbanding para pencabarnya dan ia juga kelihatan tidak terlalu agresif. Terdapat beberapa sentuhan menarik seperti bentuk tangki bahan api dan paparan TFT yang disempurnakan dengan sistem Bluetooth.
Enjinnya lembut dan menawarkan prestasi yang cukup hebat untuk kegunaan jalan raya biasa – walaupun untuk mereka yang berpengalaman. Bunyi enjin tiga silindernya sungguh sedap yang menzahirkan 'jiwa' serta karaktornya. Pengendalian Trident ini cemerlang dan brek-brek yang dipadankan juga berfungsi sebaik-baiknya. Dengan adanya sistem keselamatan elektronik, Triumph ini berada di tahap agak tinggi sedikit berbanding yang lain.
Walaupun hanya dua hari bersama Trident ini, ia sudah memberikan kepuasan dan senyuman. Susah untuk mencari kelemahannya apabila membuat perbandingan dari segi prestasi dan harganya. Triumph kini telah masuk bersaing dalam pasaran yang cukup kompetitif, ia perlu memiliki segalanya untuk itu.
Perbualan Bersama Ketua Pegawai Produk Triumph, Steve Sargent
Adakah Trident dilengkapkan dengan casis baru berbanding model Street Triple S?
Ya, ia adalah kerangka keluli jenis tiub yang baru sedangkan kerangka model Street adalah daripada aluminium. Tapak rodanya juga lebih pendek tetapi sudut raih (rake) dan jarak capai (trail) lebih sedikit. Kami juga mementingkan ergonomik dan di mana kedudukan penunggang agar dapat ke hadapan untuk lebih selesa. Kedudukan penunggang amat penting dalam keseluruhan rekaan ini.
Bagaimana posisi menunggang Trident berbanding Triple S?
Tempat pemijaknya rendah sedikit dan agak ke hadapan. Posisi di antara bar hendal dan pelana tidak banyak berbeza dan penunggang kini lebih relaks.
Dari segi enjin berbanding Street Triple S?
Terdapat 67 bahagian berbeza. Kami mahu mencipta hantaran kuasa yang kuat di putaran rendah dan pertengahan tetapi masih mahu ia terus mantap di peringkat tertinggi. Street Triple memiliki banyak kuasa di peringkat atas tetapi kurang sedikit di pertengahan berbanding Trident.
Apakah komponen/bahagian yang dimaksudkan?
Gerek lebih kecil manakala lejangnya lebih panjang. Bahagian rings, omboh, engkol, aci sesondol kesemuanya berbeza. Alternator, klac dan kotak gear juga berbeza. Nisbah gear 1,2,3,4 pendek manakala nisbah gear 5 dan 6 lebih panjang. Memang jauh bezanya dengan model Street Triple S. RR
Laporan: Adam Child 'Chad'
Kredit Foto: Kingdom Creative/Triumph
Spesifikasi
Enjin | tiga silinder inline, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 660cc |
Kuasa maksimum | 60kW / 80bhp pada 10,250rpm |
Tork maksimum | 64Nm / 47lbft pada 6,250rpm |
Transmis | 6 kelajuan |
Saspensi | fork terbalik Showa 41mm (depan) & penyerap hentak tunggal Showa (belakang) |
Tayar | 120/70 ZR17 Micheling Road 5 (depan) & 180/55 ZR17 Michelin Road 5 (belakang) |
Brek | brek cakera 310mm (depan) & cakera 255mm (belakang) |
Isi tangki | 14 liter |
Tnggi pelana | 805mm |
Popular