Triton Milik Dave Williams: Rekabentuk Unik
Triton. Kepada sesiapa yang masih mengingatinya, nama ini bagai menghidupkan semula memori beserta imej gambar yang kembali bermain di dalam mata. Itulah zamannya kita bergembira dengan lagu Jailhouse Rock, Kid Creole, Bill Haley dan The Big Bopper. Anak muda bergaya dengan minyak rambut Brylcreem, kopi espresso, dagu putih licin dicukur dan semestinya kaki motor mengenakan topi keledar Pudding Basin atau jenis separuh. Masa itu juga berlakunya pertembungan sub-budaya di antara peminat Mods dan Rockers, kumpulan Juke Box Jives dan keterujaan bergembira di Pantai Brighton.
Di zaman itu segalanya dirasakan amat menyeronokkan. Kafe The Ace, asalnya tempat perlumbaan jentera cafe 1960an. Para pelumba akan menggunakan Jalan North Circular, membuat pusingan di tengah kotaraya London kemudiannya mendaki ke Jalan Great North dan menuju ke Bonnie Scotland melalui Watford By-Pass, atau menyusuri laluan-laluan berliku terkenal dengan nama 'Deceptive Bends' yang berada di Jalan Brighton Road. Masa itu, kita terpaksa beratur panjang bersama-sama 40,000 peminat untuk menyaksikan perlumbaan Brands Hatch. Pengangguran ketika itu hampir tiada walaupun kadar gaji agak rendah, dengan 1 pound kita dapat membeli petrol sebanyak 15 liter.... zaman keseronokan abadi yang mungkin tak dapat dirasai lagi.
Sebuah jentera 'hybrid' 1960an secara umumnya dicipta menerusi gabungan jentera Triumph silinder kembar dengan kerangka featherbed Norton dan Triton merupakan jentera induk/asal cafe racer ketika itu. Jumlahnya boleh dibilang sahaja kerana ia tidak dijual oleh para pengedar sebaliknya jentera cafe racer ini perlu direka dan dilakukan sendiri. Kalau tidak mahir, hantar sahaja ke Dave Degens, pemilik Dreada yang akan membuat pengubahsuaian itu dengan rekaan yang menarik dan berbeza.
Triton tidak pernah tawarkan sebarang katalog pada para pelanggannya kerana setiap satu yang dikeluarkan adalah berbeza dengan yang lain. Oleh itu Triton sentiasa menjadi jenama dua roda yang lebih cenderung dalam bentuk seni. Selain itu, ia juga menawarkan kemantapan dari segi prestasi dan kuasa pecutan.
Dave Williams, 58 tahun merupakan seorang pencinta motosikal di Amerika yang telah melakukan pengubahsuaian terhadap sebuah Triton selama empat tahun menggunakan masa lapangnya. Beliau sebenarnya merupakan seorang pakar permukaan pembuatan kayu di sebuah syarikat kayu kustom dan Williams sebenarnya memiliki potensi besar untuk meningkat jika beliau benar-benar inginkan.
Williams, penduduk Syracuse yang terletak di New York berasal dari Pulau Anglesey telah melakukan pengubahsuaian bernas termasuk prestasi enjin gerek-besar yang 'selari' dengan kemantapan rekabentuk luarannya. Saya dapat merasai jentera miliknya ini selepas beliau sendiri dengan senang hati menyerahkan kunci motosikalnya untuk ditunggang pada bulan Oktober yang lalu ketika menghadiri Barber Vintage Festival. Saya menunggang ujinya di laluan bermotosikal di kawasan berbukit Alabama.
Sebelum membuat lakaran semula pada jentera Tritonnya pada tahun 2006 lalu, Williams sudah pun terkenal sebagai pemulih dan pengubahsuai jentera-jentera British yang benar-benar bermutu tinggi. Antara hasil tangannya ialah sebuah Triumph T120R 1968 yang telah beliau pulihkan kembali seperti asal dan meraih 99 markah (daripada 100 markah penuh) dalam pertandingan AMCA/Antique Motorcycle Club of America Concours.
“Saya juga telah membeli sebuah Bonneville '73 dan membaikinya, selepas itu Triumph Tiger '70 yang telah memberikan saya banyak kemenangan,” kata Williams.
“Namun begitu, saya mahu mencipta sebuah jentera yang bersifat peribadi di mana saya boleh memberi sentuhan lebih kreatif dan menjadikannya seperti apa yang saya mahu. Saya tidak mahu sekadar membina semula motosikal yang telah 'terbiar' di kilangnya semata-mata. Itulah sebab lahirnya Triton ini – yang dihasilkan dengan bebas kecuali beberapa komponen yang benar-benar menzahirkan Triton seperti kerangka Norton dengan bar hendal clip-on dan enjin Triumph.”
“Apabila membuat pengubahsuaian secara bebas, tidak ada seorang pun yang akan menyatakan “Itu tidak asli...” atau “Warna motor awak terlalu gelap...!” Semua cara dan gaya adalah rekabentuk Triton.” Ini memang benar, kebanyakan pencinta jentera cafe racer sekarang ini juga mahukan jentera seperti di zaman dulu.
Sebelum bekerja dalam kemasan kayu, Dave Williams pernah bertugas di syarikat pembaikan kenderaan yang menjalankan khidmat pemuliharaan akibat kemalangan. Ini bermakna, Dave tahu selok-belok pertukangan besi dan kerja-kerja mengecat. Antara hasil tangannya ialah ketika membaik pulih kereta miliknya iaitu sebuah sedan Buick Riviera 1965.
Sebaik sahaja hampir menyiapkan kereta tersebut, Dave menerima tawaran untuk mengubahsuai sebuah Triton milik kawannya. Dave perlu menyesuaikan teknik dan skill pertukangan besinya dalam konteks motosikal pula. Ia adalah sebuah ciptaan individu cemerlang yang menerapkan gaya British di era 60an. Triton milik Williams atau lebih enak dengan gelaran Williams Triton ini sememangnya unik dan lain daripada yang lain.
“Ia mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dan ketika itu, saya peruntukan kira-kira 20 jam dalam masa seminggu. Saya tidak lagi menonton televisyen, tidak memiliki komputer, jadi itulah satu-satu fokus diri saya. Daripada baring dan berehat, saya mahu mencipta sesuatu yang boleh dibanggakan.”
Williams Triton menampilkan kerangka Wideline Featherbed 50an yang menurut Dave, ia adalah barang tulen Norton dan bukannya replika. Walaupun nombor casisnya telah dikeluarkan (mungkin untuk tujuan pendaftaran) – bahkan mungkin ia telah pun melintasi sempadan Kanada untuk memasuki AS). Ia tiba tanpa adanya lengan ayun, jadi Dave menggunakan komponen dari Triumph T140 dan disambung dengan penyerap hentak kembar Hagon.
Untuk bahagian depan, Dave menggunakan penyerap fork Marzocchi 38mm yang digunakan pada Benelli Tornado 1973 dan ianya berfungsi dengan baik sekali. Pergerakan bahagian depan juga dikawal oleh brek gelendong Grimeca 2LS/kembar 230mm. Model ini dilengkapkan dengan tayar hadapan 19 inci dan 120/90-18 di belakang manakala tapak rodanya bersaiz 1525mm, lebih kurang sama dengan model awal Ducati 750 V-kembar.
Dave membina enjin parallel-kembar Triton ini dengan kepakarannya sendiri. Ia bermula dengan menggunakan enjin T120R Bonneville 1962, salah satu daripada unit pra-pengeluaran enjin 650cc sebelum enjin pertamanya dilancarkan pada tahun 1963. “Ketika saya mendapatkannya, ia hanya seperti bangkai. Semuanya terasing dan terpisah. Engkol, blok silinder dan terdapat beberapa lagi komponen dan bahagian yang telah hilang,” tambah Dave.
Dave membuat keputusan untuk meningkatkan prestasi motosikalnya dengan memasang enjin 800cc bersama kit-silinder gerek besar yang dibuat oleh Sonny Routt di Maryland. Dia terpaksa membuat sedikit pengubahsuaian pada kotak aci agar engkol dapat dipasang. Menerusi kebijaksanaannya ini, kapasiti enjin telah meningkat dari 650cc (enjin pra-unit) kepada 744cc (penambahan jentera Bonneville) dan kemudiannya terus 804cc dengan dimensi 79 x 82mm.
Enjin pra-unit yang telah sempurna ini bersama kotak gearnya dipasang pada kerangka Norton menggunakan plat enjin yang dimiliki dari Unity Equipe di UK. “Ia padan dengan baik sekali dan jika selepas ini saya mahu mencipta Triton yang lain, ia tidak lagi jadi masalah.”
Untuk penggayaan yang benar-benar hebat, Dave Williams wajar diberi pujian kerana berjaya menggabungkan dunia lama dan baru dengan sempurna. “Saya ada menyimpan lampu isyarat bezel ketika membuat pengubahsuaian pada kereta Buick dulu dan telah berfikir bahawa lampu ini akan saya gunakan suatu hari nanti. Ia telah dipasang pada bahagian tangki dan berfungsi dengan baik sekali.”
“Saya pasangkan wayar dan kemudiannya membuat kerangka untuk meletakkan tangki. Tangki rekaan saya bersaiz 11 liter yang kemudiannya dibuat sedikit penambahan seperti bentuk organik yang sedang berenang atau terbang. Bila sudah siap, saya rasa bentuknya seperti ikan pari Manta.”
Panel sisi di belakang tangki diletakkan lambang Union Jack agar tampak lebih menarik. Cafe racer Triton ini hanya menggunakan pelana tunggal dan sekali lagi lampu bezel kereta Buick miliknya digunakan sebagai lampu belakang dan isyarat.
Akhirnya, sila perhatikan skema warna iaitu gabungan kelabu perak dan kuning yang diserlahkan lagi dengan kotak-kotak kuning dan hitam yang diasaskan daripada jet pejuang F86 Sabre yang diperkenalkan di USA pada masa yang sama dengan Triton. Ia sangat sesuai dan kelihatan bagus sekali. Kemasan dan kualiti hasil tukangan besi yang disempurnakan pada Triton ini memang mengagumkan. Hampir sesiapa sahaja yang melihat jentera ini di jalanan (parkir) akan terpesona walaupun ramai di antaranya bukanlah penunggang motosikal.
Ketika melepaskan klac dalam gear pertama, saya berasa posisi menunggangnya agak membongkok dan ke hadapan – itulah jentera cafe racer 1960an. Kita terpaksa meluruskan tangan jauh ke hadapan untuk memegang bar hendal 'clip-on'nya dan dengan ketinggian hendal ini yang sempurna, bahagian bahu dan lengan tidak terasa lenguh atau kejang. Panel meter milik jentera Triumph lama digunakan untuk menunjukkan info-info penting dan walaupun berada di bawah terikan matahari, panel meter ini cukup senang dilihat.
Triton ini agak sukar dihidupkan ketika sejuk. Saya telah cuba menghidupkannya beberapa kali tetapi tidak berjaya. Akhirnya Dave berjaya melakukannya atau saya akan hidupkannya dengan cara menolak, masuk gear kedua seperti mana perlumbaan motosikal klasik dulu. Apabila sudah panas, ia cukup mudah untuk dihidupkan. Dari gear satu dan kedua, gearnya agak menyentap tetapi masalah kecil ini tidak berlaku pada gear-gear lain.
Enjin 804cc milik Triton ini memiliki kuasa tork yang cukup bertenaga dan sifat ini cukup berbeza dengan apa yang berada di pasaran pada eranya dulu. Kekuatan enjin ini segar, mantap dan lancar ketika ditarik dari 1,500rpm dan ke atas. Tidak ada sebarang kecacatan dalam pergerakan karburetor dan dengan penggunaan gerek lebih besar, membuat pecutan dari kelajuan rendah memang mengujakan. Walaupun dalam gear tertinggi, kuasa peringkat pertengahan juga dirasakan sangat baik.
Triton ini juga cukup sesuai untuk tunggangan bandar cuma ada sedikit terganggu pada bahagian tuas penghidup di sebelah kanan. Apa pun pakej yang dimiliki oleh Triton ini seperti pantas, responsif, lancar serta tuas klac yang lembut menjadikan tunggangan di kawasan urban tidak memenatkan. Tapak roda yang panjang turut menjadikan jentera ini stabil di dalam kelajuan tinggi dan juga di jalan berliku. Itulah yang saya nikmati ketika mendaki bukit-bukit di Alabama.
Mungkin kenyataan ini klise sedikit tetapi memang benar, tidak ada casis motosikal yang sebaik kerangka featherbed sehinggalah tibanya era kemodenan dan sistem saspensi baru yang mantap. Fork-fork Marzocchi menyerap segala hentakan dengan baik seperti mana jentera moden sekarang ini. Selain itu, tayar Avon yang dilengkapkan pada motosikal Dave ini juga menggigit permukaan jalan dengan cemerlang. Ini membolehkan kita menunggang seperti mana ianya dicipta dulu – pantas dan agresif.
Saya terpaksa menarik brek 2LS Grimeca di hadapan agak keras untuk memperlahankan jentera ini dengan sempurna – ia adalah brek yang sama digunakan pada Benelli saya. Brek belakang jenis gelendong memang cukup efektif, saya benar-benar kagum dengan kemampuannya untuk membrek jentera seberat 187kg ini. Inilah satu sentuhan bijak seni dua roda yang membuktikan fungsi sesuatu ciptaan seiring dengan kemantapan rekabentuknya.
Pada tahun 1950-an dulu, terdapat kegilaan besar di Itali untuk 'berkongsikan' rekaan piring terbang dalam rekabentuk pembuatan kereta dan motosikal. Alfa Romeo dan MV Agusta telah mengeluarkan model Disco Volante, dan itulah gaya yang mengingatkan saya pada jentera Williams Triton ini. Keseluruhan jentera ciptaannya ini memiliki inovasi tinggi dari segi rekacipta dan pada masa yang sama menawarkan prestasi yang tidak mengecewakan. Ini pastinya menggembirakan dan membanggakan Dave Williams.
Saya tahu ia memang menarik perhatian ramai terutamanya pada rekaan tangki. Ramai yang akan memandangnya terlebih dahulu sebelum membelek bahagian-bahagian lain. Tanpa sedari, mereka akan menghabiskan setengah jam berdiri dan melihat setiap bahagian dengan teliti. Saya akui ianya amat memuaskan hati dapat menghasilkan sesuatu yang dikagumi ramai. Adakah saya akan membina satu lagi jentera unik seperti ini untuk dijual?
Jawapannya ya! Saya amat suka bekerja dengan motosikal dan melakukan pengubahsuaian seperti ini. Saya memikirkan untuk membuat kerangka sendiri tetapi masih kekal dengan enjin Triumph – kita akan menggelarkannya Triliams!
Jika berminat untuk memiliki jentera Triliams pertama ciptaan Dave Williams, email terus padanya di: [email protected]. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Phil Hawkins (gambar studio oleh Dino Petrocelli)
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara, pushrod ohv |
Isipadu | 804cc |
Kuasa maksimum | 50bhp pada 7,500rpm |
Nisbah mampatan | 9.5:1 |
Transmisi | 5 kelajuan |
Kerangka | kerangka jenis cradle Norton Wideline Featherbed |
Brek | jenis gelendong 230mm Grimeca 2LS (depan) & jenis gelendong 178mm (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik Marzocchi 38mm (depan) & lengan ayun dengan 2 x penyerap hentak Hagon (belakang) |
Laju maksimum | anggaran 185km/j |
Pemilik | David Williams, Kirkkville, NY, USA |
Popular