Egli Enfield 624 Cafe Racer: Dari India Ke Switzerland
Selepas mencipta jentera cafe racer v-kembar lebih daripada 50 tahun lalu, pakar jentera berprestasi dari Swiss iaitu Fritz Egli yang berumur 84 tahun terus menyemarakkan dunia dua roda dengan menghasilkan beberapa siri motosikal yang memiliki tahap kejuruteraan dan piawaian tertinggi. Beliau dan pasukannya membina jentera-jentera hebat ini dalam kilang Egli mereka yang terletak di selatan Zurich. Asalnya merupakan sebuah kedai kayu yang kemudiannya diubahsuai. Di kilang Egli inilah terhasilnya pelbagai enjin hebat yang terdiri daripada satu hingga enam silinder yang kompleks.
Kira-kira 3,000 buah jentera buatan tangan Egli telah disiapkan dari tahun 1968 hingga hari beliau bersara pada 2012. Beliau menyerah perniagaannya itu kepada keluarga Frei yang terus beroperasi hingga ke hari ini termasuklah model-model eksotik yang agak ekstrim. Ini juga melibatkan model-model seperti enjin berkembar dan satu silinder dari Vincent yang secara dasarnya adalah 'pencetus' budaya cafe racer pada tahun 1960an dulu.
Fritz juga telah menghasilkan lebih daripada sedozen Yamaha TZ750S untuk tujuan perlumbaan pada pertengahan tahun 1970an yang lalu. Tidak lupa juga pada jentera perlumbaan berenjin Honda yang telah memberikan kemenangan buat Godier dan Genoud dalam kejuaraan FIM Endurance Championship 1972. Kedua-dua mereka kemudiannya meniru rekaan Egli untuk nama mereka sendiri dalam pembikinan jentera empat silinder hypermarket yang dikuasakan oleh enjin hotrod dari Jepun.
Beberapa tahun selepas itu terhasilnya beberapa model eksotik yang lengkap dengan nombor pendaftaran seperti Yamaha V-Max, Kawasaki turbo-charged bersesaran 1,425cc berkuasa setinggi 310bhp yang kemudiannya digunakan pada Egli-Colani MRD-1 streamliner milik anak didik Egli iaitu Urs Wenger. Beliau adalah ketua bahagian enjin di Swissauto yang juga merupakan pencipta jentera V4 MZ 500GP Racer yang memecahkan rekod kelajuan 300km/j di Nardo pada tahun 1986 yang lalu. Fritz kini telah menghasilkan model cukup menarik yang dikenali dengan nama Egli-Enfield Café Racer.
Betul... Enfield itu sememangnya model Royal Enfield yang dihantar dari Redditch, England ke Switzerland melalui India. Selain daripada membuat pengubahsuaian untuk jentera seperti V-Max atau Hayabusa dan side-car, Egli juga kini bagaikan ingin 'kembali ke zaman silam' dengan memiliki jentera pertama yang membawanya kejayaan dalam dunia perniagaan motosikal di Swiss tahun 1992 yang ketika itu menerusi Royal Enfield Bullet. Saya meramalkan jentera itu telah dijual ketika Egli menjadi pengimport Royal Enfield di Swiss – bekas syarikatnya yang kini berstatus sebagai pengedar sahaja.
Ketika itu hanya bahagian gerek sahaja yang ada persamaan dengan yang dijual di India. Oleh kerana itu, Fritz akan membuat perubahan dan penambahan yang disebut 'Swiss Finished' pada setiap jentera RE sebelum dihantar kepada para pelanggan. 'Swiss Finished' ini merupakan proses membuka sepenuhnya bahagian enjin dan kotak gear, membuang segala kerosakan ketika di peringkat pembikinan dan kemudian membina/memasangnya semula. Usahanya ini mendapat penghargaan bukan sahaja daripada para pelanggannya di seluruh Eropah Tengah tetapi juga oleh pemilik Royal Enfield yang juga pemilik Eicher Corp.
Apa pun, ada satu perkara para jurutera retro sentiasa sukakan ialah menggabungkan produk-produk lama dengan kecanggihan yang sedia ada pada jentera-jentera baru. Usaha ini akan
Fritz Egli menghasilkan sebuah jentera cafe racer serba moden yang 'disimpan' rapi di dalam tubuh badan motosikal 60an. Namun itulah tempatnya Fritz Egli menggoda pelanggannya dengan tepat 25 tahun yang lalu di IFMA Cologne Show 1996, ketika prototaip Egli Enfield Café Racer dipamerkan dengan berkerangka spine Egli yang menempatkan enjin 624cc, OHV RE Bullet yang ditala semula.
“Saya mencipta rekaan ini untuk kilang Royal Enfield di India berdasarkan perjanjian dan perundingan saya dengan mereka. Ia juga adalah sebagai cadangan asas untuk model pengeluaran baru. Kerangkanya bukan sahaja kuat dan memiliki pengendalian yang baik malah ia lebih murah berbanding casis RE sedia ada,” kata Fritz ketika saya melawat kilang Egli di Bettwil.
“Proses pengeluaran sekarang ini masih dengan cara manual jadi saya cadangkan idea tentang jenis pengeluaran yang lebih baik. Saya telah pun tawarkan rekaan yang lengkap termasuklah cara-cara untuk membinanya – tapi tidak ada apa-apa yang berlaku. Sayang sekali!”
Selain daripada prototaip RE Super Bullet dengan enjin Egli 624cc OHV, satu-satunya model generasi baru Royal Enfield EVO Bullet yang wujud ialah dengan menerusi jentera Egli buatan tangan yang lengkap dengan nombor siri yang telah pun mendapat tempahan daripada para pelanggan dari seluruh dunia seperti USA, Jepun, Australia dan termasuklah di Eropah.
“Ini bukanlah untuk tujuan komersial kerana pada nilai kos yang hampir sama, kami boleh bina jentera dengan menggunakan enjin empat silinder dari Suzuki atau Kawasaki termasuklah harga untuk membuat kerangkanya. Saya memang suka merekacipta motosikal seperti yang ada sekarang ini kerana ia mengingatkan saya dengan jentera Egli-Vincent 500 Cafe Racer yang dahulunya sering digunakan dalam perlumbaan mendaki bukit (beliau pernah menjadi juara dalam Swiss Hill-Climb 1968). Saya menjual jentera ciptaan saya itu pada harga kos sahaja, tidak lebih dari itu.” Ketika itu, jentera ciptaannya bernilai sekitar Sfr20,000 (lebih kurang €18,500) – bergantung kepada spesifikasi.
Adakah penantian untuk memiliki Egli-Enfield ini berbaloi? Peluang ini saya nikmati di kawasan bukit-bukau di tengah-tengah Switzerland dengan memacu jentera prototaip cafe racer milik Fritz. Ia bagaikan kembali zaman silam, suku abad lalu yang ketika itu jentera seperti ini adalah suatu yang biasa. Ini termasuklah penghidup jenis tendang, teknik yang dirasakan agak sukar untuk sebuah jentera yang memiliki gerek besar dengan nisbah lebih tinggi 8.9:1. Model Bullet 500 asal berkuasa 22bhp tetapi selepas dimantapkan lagi oleh Swiss Finished, kuasanya meningkat kepada 26bhp.
Untuk model Super Bullet ini, terdapat pelbagai pembaharuan termasuklah saiz gerek dan lejang lebih besar (87 x 105mm), enjinnya kini bersesaran 624cc dengan hantaran kuasa setinggi 47.5bhp pada 5,100 rpm dan tork 70 Nm pada 3,500 rpm. Fritz turut menawarkan saiz gerek lebih besar iaitu 90mm untuk enjin 670cc. Egli telah melakukan banyak perubahan seperti penukaran kepala silinder, push-rod aluminium Mikuni 34mm, pump minyak lebih baik, silinder aloi lebih ringan dan peleraian haba lebih baik, sistem CDI Boyer-Bransden yang lebih efisien.
Enjin baru ini sangat lembut, lancar dan tidak bising berbanding model pengeluaran. Walaupun dalam putaran tinggi, tidak kedengaran bunyi-bunyi berkeroncong daripada bahagian pushrod. Enjin yang ditala oleh Egli ini mirip kepada rekaan motosikal moden – amat kurang gegarannya walaupun enjin diperah di tahap tertinggi atau lebih 5,000rpm. Ia tetap lancar dan selesa.
Dari putaran 1,500rpm, enjin Super Bullet ini memiliki kekuatan yang sangat cemerlang dan anda pastinya seronok ketika kuasa enjin ini berada di antara 2,500rpm hingga 4,500rpm. Anda akan menikmati perjalanan yang mudah dengan kekuatan tork yang hadir daripada sebuah jentera sport berenjin satu silinder ini.
Kekuatan enjin pushrod Egli ini setaraf dengan jentera asal Manx Norton (bukan replika Supermono) atau model G50 Matchless yang kini digunakan dalam perlumbaan klasik. Kecemerlangan ini memberi potensi besar ia akan digunakan dalam pengeluaran di kilang utama Chennai dan turut menjadikannya pencabar terkini yang tidak wajar dipandang rendah lagi... seperti kata-kata, “A wolf in sheep's clothing.”
Super Bullet ini memiliki tork yang cukup bertenaga untuk menyusuri laluan ski-slope dengan mudah menggunakan sistem transmisi empat kelajuan yang dirasakan antara ciri-ciri yang kurang baik untuk sebuah motosikal. Terima kasih buat nisbah gear bawah yang sangat rendah, Cafe Racer ini dapat bergerak dengan pantas dari tanda 'STOP' dengan sedikit kegelinciran pada bahagian klac.
Bunyi agak kuat ketika masuk ke gear pertama dan untuk mencari posisi gear Neutral memang susah. Nisbah gear kedua dan ketiga dirasakan terlalu dekat dan ia hanyalah sesuai untuk kita sampai ke gear tertinggi. Terdapat lonjakan besar di antara gear ketiga dan yang tertinggi iaitu sekitar 2,000rpm. Kita perlu ingat berapa bagusnya jurang nisbah ini sebelum kita menurunkan gear untuk masuk ke selekoh berikutnya. Kita dapat kekal dalam kedudukan gear ketiga tanpa sebarang sentapan untuk jangka masa yang lama termasuklah ketika berada di laluan dusun-dusun Swiss yang dihadkan hanya 60km/j.
Kotak gear asal yang tidaklah begitu sesuai menyebabkan Egli mengeluarkan sistem transmisi lima kelajuan yang dibuat dalam kuantiti yang terhad. Sayangnya Fritz belum lagi memasangkan transmisi baru itu pada jenteranya.
Untuk kekal dalam laluan berselekoh dengan pengendalian yang mantap, kepakaran Egli sekali lagi terbukti hebat. Jentera ini dilengkapkan dengan kerangka jenis spine yang dibuat daripada keluli lembut (tidak terlalu sensitif kepada gegaran seperti chrome-moly) – kata beliau. Model Vincent-Comet yang dikeluarkan 50 tahun lalu adalah unit yang pertama diikuti sedekad kemudian oleh model Honda-Rotax pada tahun 1980an dan inilah asasnya rekaan casis buat model Egli-Enfield.
Tapak rodanya bersaiz 1,410mm, memiliki berat 139kg yang menjadikan pengagihan beratnya seimbang 50/50. jentera ini rasa sangat stabil dan 'melekat' di laluan-laluan berselekoh. Enjin satu silinder talaan semula ini memecut dengan mantap yang kemudiannya dimantapkan lagi dengan bunyi 'guruh' cukup padu yang terhasil dari sistem ekzos ketika putaran enjin diperah lebih daripada 3,500rpm. Kemampuannya 'berlari' penuh bertenaga ini juga datangnya dari sistem karburetor Mikuni jenis flatslide yang cemerlang.
Pengendalian amat mudah dan cepat, membolehkan saya dapat menikmati kawasan pergunungan dengan lancar. Fork hadapan 38mm boleh laras menyerap segala hentakan dengan baik seperti mana jentera generasi empat silinder milik Fritz dulu. Dari segi ketangkasan, Super Bullet ini memang amat mengujakan. Ia membolehkan kita menikmati kemodenan yang diperolehi daripada enjin Enfield – kita juga tidak perlu risau untuk sering menukar-nukar gear.
Pelananya dirasakan agak rendah berbanding model pengeluaran walaupun pada angkanya sama iaitu 700mm. Posisi berbeza ini dirasakan kerana perubahan yang dilakukan pada tempat pemijak yang kini diletakkan sedikit ke belakang, mirip kepada posisi jentera sportbike. Ketika memerah pendikit lebih daripada 6,000rpm (terpapar pada panel meter Kröber), saya dapat rasakan sedikit gegaran buat pertama kalinya.
Penyerap hentak berkembar di belakang juga 'bekerja' dengan sangat baik sehinggakan saya berhenti untuk memeriksa sama ada betul-betul dua atau jenis tunggal. Benarlah, pakej sistem saspensi yang dilengkapkan pada jentera ini memang mengagumkan. Ok, ini bukannya MotoGP tetapi kerangka Egli ini bukan sahaja bertegaran tinggi tetapi memiliki geometri yang lebih baik. Brek cakera hadapan 320mm jenis Spiegler memiliki kuasa membrek dengan cemerlang – itulah pujian terbaik apabila melihat kemampuannya ke atas sebuah motosikal seberat 139kg ini.
Jujurnya, Egli-Enfield Cafe Racer ini merupakan sebuah jentera yang memberikan kita gambaran masa depan dan pada masa yang sama memiliki 'cermin' untuk kita kembali ke zaman silam. Ia adalah sebuah jentera dua roda yang mewakili jentera cafe racer 60an dari Swiss menggunakan enjin pushrod yang dibangunkan di UK tetapi telah dibuat di India.
Pihak pengurusan kilang Royal Enfield telah melakukan kerja yang sangat baik dalam terma mengembalikan nostalgia dalam pasaran motosikal barat. Untuk terus berada di dalam pasaran dengan jayanya, mereka perlu tingkatkan produk eksport sambil mengekalkan daya tarikan. RE telah menghasilkan enjin terkini dengan sistem suntikan bahan api baru untuk model 500cc Bullet yangdiperkenalkan pada tahun 2009. Usaha pembaharuan itu telah menggerakkan unit pengeluaramnya hingga ke hari ini.
Apa yang menyedihkan, Fritz Egli tidak dapat menyempurnakan jenteranya dengan enjin UCE suntikan bahan api yang lengkap dengan sistem transmisi lima kelajuan baru. Disebabkan kos pengeluaran jentera RE ini lebih rendah daripada motosikal buatan tangan dari Swiss, harga untuk model suntikan bahan api seharusnya lebih rendah. Apapun, bagi sebuah syarikat yang mengeluarkan lebih daripada 800,000 unit motosikal setiap tahun, pengeluaran jentera sport mewah (high end) bukanlah perkara yang sangat penting. Sayang sekali. RR
Laporan: Alan Cathcart (ditulis:1999, dikemaskini: 2021)
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara pushrod OHV, silinder tunggal, empat lejang |
Isipadu | 624cc |
Kuasa maksimum | 47.5bhp pada 5,100rpm |
Tork maksimum | 70Nm pada 3,500rpm |
Transmisi | 4 kelajuan |
Saspensi | fork teleskopik Egli 38mm (depan) & lengan ayun keluli dengan 2x penyerap hetak Koni (belakang) |
Brek | cakera 300mm Spiegler (depan) & cakera 220mm Brembo (belakang) |
Tayar | 110/70-18 (depan) & 140/70-18 (belakang) |
Laju maksimum | 175 km/h (109mph) |
Tahun buatan | 1996 |
Popular