Yamaha MT-15: Tangkas Mengharungi Segala Cabaran
Bercerita tentang motosikal 150cc, Yamaha Y15ZR merupakan sebuah jentera yang amat popular di kalangan peminat motosikal tempatan pada masa kini. Selain model tersebut, Yamaha juga mempunyai jentera R15 dan skuter NMax yang juga mendapat sambutan memberangsangkan. Untuk segmen naked/street bike, dahulu Yamaha FZ 150i merupakan jentera jalanan yang amat diminati. Model ini sering menjadi pilihan buat mereka yang ingin mengembara untuk jarak yang jauh kerana menawarkan keselesaan dan penjimatan bahan api.
Untuk memeriahkan lagi pasaran dua roda, Yamaha MT-15 mula diperkenal di pasaran Indonesia pada tahun 2018. Sejak dari itu, model ini sentiasa menjadi tanda tanya adakah jentera ini akan berada di pasaran Malaysia. Akhirnya, pada awal bulan September 2020, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telahpun melancarkan Yamaha MT-15 First Edition dengan tagline “Spirit Of Darkness.” Model ini kemudian, mula berada di pasaran negara bermula bulan November 2020.
Selepas menikmati pengalaman menarik menunggang MT-25 sebelum ini, sudah pasti kami tidak sabar lagi untuk menguji adiknya ‘MT-15’ untuk mengetahui kemantapan yang ada pada model jalanan ini. Sebaik sahaja berada di depan mata, kami terus membelek–belek model ini, berpusing kelilingnya untuk melihat ciri-ciri yang ditawarkan. Apa yang kami lihat, rekabentuk keseluruhan-nya model ini hampir sama dengan MT-09. Pasti mereka yang melihat mesin ini dari jauh akan menganggap ia adalah sebuah jentera MT-09. Namun apabila berada dekat dengannya ia merupakan model MT-Series yang paling kecil dalam keluarganya.
Kami dapat rasakan betapa seronoknya apabila menunggang jentera ini di kawasan bandar, kampung ataupun menikmati perjalanan di kawasan pergunungan.
Paparan meternya sama seperti model R15, sangat mudah! Meter tersebut memaparkan putaran rpm, tahap kelajuan, kedudukan gear, masa, VVA, odometer, jarak perjalanan dan tahap bahan api. Dengan gabungan lampu latar belakang berwarna gelap, kami dapat melihat segala info dengan tepat tidak kira menunggang pada waktu siang mahupun malam.
Melihat model ini terus mengingatkan kami pada satu watak dalam filem transformers iaitu Bumblebee. Kenapa? Sebab rekaan di bahagian hadapannya hampir mirip dengan watak tersebut. Wajahnya cukup menggiurkan dengan berbekalkan dua lampu LED berkembar jenis Daytime Running Light (DRL) dan dipadankan dengan lampu utama jenis projektor LED. Suluhan lampunya amat terang. Memudahkan kami untuk menunggang pada waktu malam. Lampu belakang jenis LED juga direka dengan cukup kemas dan memudahkan kami dilihat dari belakang.
Kami kemudian melabuhkan punggung ke atas MT ini. Kami dapati pelananya cukup lembut dan selesa untuk tunggangan jauh. Ketinggian tempat duduk ialah 810mm. Lebih tinggi jika dibandingkan dengan abang-abangnya. Kami pun perlu menjengketkan kaki apabila kedua-dua belah kaki ingin menjejaki permukaan bumi. Posisi menunggangnya amat berbeza dengan model MT yang lain. Kelebaran dan ketinggian bar hendalnya membuatkan kami seperti menunggang sebuah model supermotard.
Tangki bersaiz 10 liter direka dengan tepat. Kedua bahagian lutut dapat mengepit tangki ini dengan kemas sewaktu memecut atau masuk/keluar selekoh. Model ini juga turut dilengkapi dengan pelindung bawah enjin untuk mengelakkan enjin daripada terkena sepihan seperti batu. Kami kurang sukakan kedudukan kunci utamanya kerana agak ke dalam sedikit di bahagian atas tangki. Bagi pemilik yang mempunyai kunci lain selain kunci utama yang diletakkan bersama, semasa memutarkan kunci utama pasti kunci lain akan tersekat di celah ruang kecil apabila tidak meletakkan kedudukan kunci dengan betul.
MT-15 hanya boleh dihidupkan dengan suis elektrik. Putarkan kunci, tolak sahaja suis penghidup di sebelah kanan bar hendal ke bawah. Enjin empat lejang, SOHC, 4 injap ini berputar dengan cukup lancar sekali. Deruman yang mantap pada enjin 155cc ini bagaikan menyuruh kita bersiap sedia untuk memulakan perjalanan.
Kami amat sukakan cara klac dan sistem gear bekerja. Tunggangan ternyata lebih lancar dengan adanya sistem klac jenis Assist & Slipper. Hanya menggunakan satu jari sahaja kami dapat menekan tuas klac. Sangat lembut! Dengan adanya sistem ini juga, pertukaran gear lebih ringan untuk meningkatkan kelajuan. Proses pertukaran di setiap kedudukan gear dapat dibuat dengan pantas dan tepat.
Enjin silinder tunggal dengan sistem penyejuk cecair sememangnya memuaskan kami. Dalam gear-gear pertengahan, kemantapan enjin pada model MT ini tidak perlu diragui lagi. Ia memang cukup berkuasa ditambah pula mesin ini didatangkan dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA). Teknologi ini akan diaktifkan secara automatik apabila putaran enjin mencapai 7,000rpm. Kami dapat rasakan seperti membawa kenderaan VTEC!
Sistem ekzosnya pula telah ditala dengan baik sekali. Bunyi yang keluar melalui corong ekzos sangat senyap dan tidak terlalu bingit. Semakin kami meningkatkan kelajuan barulah bunyi yang terhasil lebih mantap dan garang. MT-15 menawarkan kuasa maksimum 14.2kW (19.3PS) pada 10,000rpm dengan kuasa tork 14.7Nm (1.5kgf.m) pada 8,500rpm. Model ini ternyata mampu dipecut sehingga 140 km/j dan ini mengikut jenis berat penunggang. Menunggang laju memang menyeronokkan, tetapi tunggangan santai lebih menyeronokkan kerana dapat melihat pemandangan yang berada di sekeliling.
Tunggangan di dalam bandar lebih menyeronokkan kerana adanya kuasa tork yang mantap. Kami dapat memintas kenderaan lain dengan mudah. Yang penting gunakan gear yang bersesuaian agar pecutan tidak akan terganggu. Kuala Lumpur antara bandar yang sesak dengan kenderaan terutama pada waktu pagi ramai orang yang ingin ke tempat kerja. Dengan tubuh badan yang kecil, MT-15 sangat lincah melalui di laluan terhad. Berbekalkan berat 133kg, kami dapat mengawal jentera ini dengan yakin. Jaga-jaga jangan sampai terlanggar cermin sisi kenderaan lain.
Kemantapan jentera ini diserlahkan lagi dengan penggunaan saspensi hadapan fork teleskopik jenis terbalik (USD) yang telah ditala dengan warna emas. Saspensi hadapan ini cukup efektif, ia berfungsi dengan baik dalam semua jenis keadaan dan bentuk muka bumi serta memberikan tindak balas yang pantas ketika mengambil selekoh. Lengan ayun belakang lengkap dengan penyerap hentak tunggal langsung tidak memberi sebarang masalah semasa masuk/keluar selekoh. Jentera langsung tidak terasa berbuai.
Berbekalkan kerangka deltabox, kami dapat menyusuri segala selekoh dengan yakin. Ditambah pula penggunaan tayar yang lebar menawarkan pengendalian yang selesa dan selamat. Tayar hadapan MT-15 bersaiz 110/70R17M/C (54S) Tubeless dan belakang 140/70R17M/C (66S) Tubeless mempunyai cengkaman yang cemerlang. Tukarkan kedudukan gear yang sesuai, pastikan jalan tidak berpasir atau rosak, kemudian miringkan sahaja badan jentera ini dan rasakan betapa lincahnya ia meratah selekoh-selekoh di depan mata. Penggunaan brek-brek jenis cakera pada mesin ini turut memberi sumbangan agar MT-15 sentiasa tepat berada di laluannya dengan selamat sebelum mengambil selekoh.
Bagaimana dengan penggunaan bahan api? Ya… percaya atau tidak MT juga boleh dibawa mengembara ke mana sahaja. Dengan isian penuh petrol, kami dapat menyusuri perjalanan sekitar 350 kilometer. Cukup jimat! Namun kadar penggunaan bahan api ini juga bergantung pada gaya tunggangan seseorang itu.
Secara keseluruhan model ini sangat menarik. Dengan rekabentuk yang mantap, tangkas, lincah dan menjimatkan, kami percaya model ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pengguna dua roda. Bagi mereka yang ingin milikinya, sila ke pusat pengedar sah Yamaha yang berdekatan dengan anda. Yamaha MT-15 ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue. Model ini boleh didapati pada harga RM11,988 (tanpa insurans & pendaftaran). Pihak HLYM turut memberikan rantai kunci pewter ‘First Edition MT Series’ beserta kunci cakera Yamaha berkualiti tinggi dengan setiap pembelian MT-15. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, silinder tunggal, SOHC, VVA, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 155cc |
Kuasa maksimum | 14.2kW pada 10,000rpm |
Tork maksimum | 14.7Nm pada 8,500rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Brek | jenis cakera (depan & belakang) |
Saspensi | fork teleskopik jenis terbalik (depan) & lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak tunggal (belakang) |
Tayar | 110/70R17M/C (54S) Tubeless (depan) & 140/70R17M/C (66S) Tubeless (belakang) |
Isi tangki | 10 liter |
Pengedar rasmi | Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) |
Popular