Magni MV Italia: Lincah & Mudah Dikendali
Sudah tentu tidak ada syarikat yang lebih berhak untuk menghasilkan sebuah jentera retro menggunakan peralatan dan komponen MV Agusta terkini selain Moto Magni. Ia adalah 'nama' yang diasaskan oleh seorang pakar perlumbaan motosikal, Arturo Magni yang telah meraih 75 kemenangan di Kejuaraan Dunia dalam jangka masa 26 tahun.
Magni dan anak bongsunya Giovanni kini patut berbangga dengan kejayaan mereka selepas berjaya melahirkan sebuah jentera 'lama' Moto Magni tetapi disempurnakan dengan kejuruteraan terkini dan prestasi mantap daripada MV Agusta. Model awal ialah Storia ('sejarah' dalam bahasa Itali), sebuah jentera streetfighter empat silinder yang didatangkan dengan gaya klasik tetapi sangat menyerlah. Ia diperkenalkan pada tahun 2013 dan masih dikeluarkan hingga ke hari ini dengan lebih daripada 30 unit yang dihasilkan di kilang Magni yang beroperasi di Samarate, utara Milan.
Kilang ini cukup dekat dari bekas Ibu Pejabat MV Agusta (Perlumbaan), Cascina Costa dan 40 kilometer jaraknya dari kilang MV Agusta. Model Storia dicipta berdasarkan Brutale dari versi 750cc 2003 hingga yang terbaru. MV Magni ini telah melalui proses pertukaran pakaian, dengan corak badan yang berbeza tetapi masih mengekalkan kerangka dan enjin Brutale yang asal.
Selepas itu Giovanni bertukar selera pula kepada enjin tiga silinder Brutale 800 dan kali ini membina kerangka twin-shock baru Magni untuk disesuaikan dengan enjin tersebut. Beliau mencipta bentuk Magni FiloRossi atau dalam bahasa Itali bermaksud 'Garis Merah'. Rekabentuk ini dicipta dengan penuh bangga dan kecintaan terhadap dunia perlumbaan. Ia adalah mesin lumba tiga-silinder yang boleh ditunggang di jalanan biasa. Sememangnya ia mengingatkan kita dengan jentera 500cc yang dimenangi oleh juara dunia 15 kali bersama MVnya iaitu Giacomo Agostini, tujuh musim berturut-turut dari 1966-1972.
Sebanyak 40 buah unit model ini telah terjual sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2014 lalu – ia adalah satu penghormatan untuk jentera MV Agusta empat silinder yang paling dikehendaki dan paling terkenal di era klasik dulu. Model yang dimaksudkan ialah 750 Sport yang diperkenalkan pada tahun 1969 dan kira-kira 1,152 unit telah dihasilkan sehingga tahun 1980 sebelum pengeluaran MV Agusta dihentikan. Pada tahun 1998, jenama ini kembali bersinar hasil usaha Claudio Castiglioni dan Massimo Tamburini untuk menghasilkan siri F4.
Ironinya, dari tahun 1977 dan seterusnya semua kerangka MV 750S empat silinder sebenarnya telah dibina oleh syarikat Arturo Magni yang ketika itu baru ditubuhkan, menjadikan hubungan moden semakin berkembang. Jentera bergaya lama itu lengkap dengan pelindung krom, tempat duduk kulit merah, dan tangki bahan api khas Disco Volante berwarna merah-putih-biru.
Sayangnya kesemua model Tributo yang bernilai jutaan dollar itu tidak begitu berjaya – hanya sembilan unit dijual dan Giovanni Magni tahu mengapa ia terjadi. “Ia adalah kerana kegagalan saya untuk tidak membuat jentera itu berpiawaian Euro 4 manakala para pelanggan kami mahu menunggangnya, bukan sekadar mengaguminya sahaja.” Jadinya, sesiapa sahaja yang membeli Tributo ini tidak boleh menunggang di negara-negara EU selain Britain kerana terdapat sistem yang membenarkan homologasi individu yang berbeza.
Terbaru tentulah model Magni yang dikuasakan oleh enjin MV Agusta, sebuah jentera lumba retro street legal yang direka oleh Giovanni Magni untuk memberi penghormatan kepada mendiang ayahnya Artuto yang telah meninggal dunia pada 2hb Disember 2015 lalu. Pada tarikh yang hampir sama ketika saya menunggang Italia dan juga pelancaran www.magni.it.
“Saya ingin memperingati apa yang telah dicapai oleh ayah saya pada tahun 1977-80 ketika dia mengambil alih pembuatan kerangka 750 Sport untuk MV Agusta, kemudian beliau mengembangkan Magni MV dengan casis kami sendiri. Saya mahu membina sebuah motosikal jalanan tanpa fairing agar keindahan mekanikal dan enjin dapat dilihat dan dihargai,” kata Giovanni.
Asalkan, kerangka yang kami bina untuk MV Agusta lengkap dengan 'tubuh badan' tetapi mulai tahun 1979, kami mula membangunkan pula jentera cafe racer MV Fours dengan setengah fairing, dan kemudiannya lahirlah Magni BMW, Moto Guzzi dan Honda dengan rekaan yang hampir sama. Jadi Magni Italia juga harus seperti itu, kami hanya kekalkan fairing lampu depan yang membolehkan pencinta motosikal menghargai keindahan motosikal,” tambahnya.
Magni Italia menggunakan enjin tiga silinder Brutale 800 dengan sistem sejukan cecair, ECU Eldor dan sistem pendawaian terus dari MV Agusta. Giovanni mendapat perjanjian dengan pemilik MV sendiri iaitu Timur Sardarov. Ini membolehkan dia meletak lambang MV Agusta di tangki bahan bakar semua motosikal Magni MV. Itu adalah tanda pengiktirafan oleh orang Rusia mengagumi ciptaan jentera retro Magni yang luar biasa serta turut meletakkan jenama MV.
Enjin yang tidak diubahsuai telah 'dibungkus' oleh Giovanni dalam keranga tiub chrome-moly terbuka yang dikimpal dan sekali lagi ia mengingatkan kita dengan jentera yang digunakan oleh Agostini yang ditambahbaik dengan penggunaan lengan ayun twin-shock dan rim bersaiz 18 inci. Giovanni tidak menggunakan rim magnesium bertempa pada Magni sebaliknya memilih untuk menggunakan rim berjejari yang didapati daripada syarikat pengeluar rim milik abangnya Carlos. Dengan penggunaan rim jenis berjejari bespoke keluaran JoNich ini, konsep rekabentuk retro memang lebih menarik dan sesuai. Rim ini juga tahan lasak, kuat, ringan dan menambah kelajuan. Prestasinya lebih kurang sama dengan rim gentian-karbon. Rim ini direka untuk kesesuaian tayar-tayar bersaiz 110/80 depan dan 160/60 di belakang.
Tayar-tayar ini disempurnakan dengan brek hadapan 320mm dan belakang 220mm yang terbukti mampu memperlahankan kelajuan jentera seberat 158kg dengan baik. Dengan tapak roda lebih panjang (1,430mm), memberikan lebih banyak ruang berbanding model-model sebelum ini walaupun menggunakan kerangka yang hampir sama.
Harga untuk Italia bermula dari €35,000 dan harga terakhir berpandukan spesifikasi motosikal itu. Penghantaran mengambil masa empat bulan (bermula dari tarikh penerima tempahan dan pembayaran deposit). “Kami tidak lagi menyediakan kit casis bagi mereka yang ingin memasang jentera ini di rumah. Jika seseorang membekalkan motosikal, kami mesti memberikan potongan harga tetapi tetap akan memasang ECU Eldor serta alat pendawaian ke aplikasi baru. Covid telah melambatkan usahanya bagi mendapat piawaian Euro 5 untuk Italia. Ini adalah hasratnya untuk memberi yang terbaik buat para pelanggannya yang seharusnya mula diedarkan bermula April ini.
Peluang menunggang uji hadir apabila Giovanni membawa Magni Italia ini ke lapangan ujian Vairano yang terletak di kawasan sawah padi di Milan (nak makan Risotto tak?). Tempat ini juga dikawal oleh agensi kerajaan Itali bertujuan untuk menguji homologasi kenderaan baru untuk kegunaan jalan.
Jentera ini memiliki posisi menunggang yang sporty tetapi mudah untuk dikawal – kita akan terasa bagaikan bersatu dengan jentera ini sebaik sahaja ia bergerak. Kelincahan dan pengendaliannya yang mudah mengingatkan saya pada jentera Ducati 750SS V-kembar yang pernah dimiliki pada tahun 1974!
Posisi menunggang rendah dan agak ke belakang – perlu meluruskan tangan ke depan untuk memegang pendikitnya. Pelana model ini 800mm, lebih rendah berbanding model Tributo (820mm) dan dari segi tapak rodanya pula, ia lebih panjang daripada FiloRosso. Saya sukakan tempat pemijaknya yang lebih selesa dan luas jika dibandingkan dengan kedua-dua Magni sebelum ini. Rasa seperti jentera cafe racer tahun 70an dulu tetapi dengan prestasi abad ke-21.
Memandangkan ia adalah sebuah jentera prototaip, panel meter yang sedang saya lihat sewaktu menunggang uji Magni ini hanya untuk sementara sahaja. Lampu utama berbentuk bulat berdiameter 190mm yang memiliki gabungan jentera Moto Morini dan Moto Guzzi.
Para pelanggan kelak akan menggunakan panel meter MV Agusta Brutale yang turut akan memaparkan empat mod tunggangan seperti Sport, Normal/Touring dan Rain, ditambah dengan mod Custom untuk lebih pilihan. Didatangkan juga bersama Magni ini ialah sistem traction control, sistem saspensi ORAM boleh laras. Fork ORAM memberikan tindak balas cukup sempurna yang membolehkan perjalanan di laluan-laluan berliku lebih meyakinkan. Ketika berada di ‘chicane’ Vairano, saya dapati jentera ini amat mudah untuk dibaringkan ke kiri dan ke kanan.
Sememangnya proses penyerapan hentakan yang dikawal oleh saspensi belakang sangat bagus cuma ada ketikanya fork hadapan dirasakan boleh diperbaiki kerana ia memberi sedikit gegaran ketika berada di laluan tidak rata.
Enjin MV ini memberi keseronokan pecutan dengan 125 bhp pada 11,600 rpm dan tork 84 Nm pada 8,600 rpm. Paling mantap ialah keluasan banjaran kuasanya. Walaupun dalam gear keenam, kelajuannya mampu diturunkan kepada 2,000rpm dan kemudian, pulas terus pendikit dan nikmatinya apabila meluncur tanpa sebarang sentapan. Bila kita 'rev' enjin ini sewaktu berada di dalam selekoh dan percayalah, pengendaliannya lebih baik. Seterusnya ialah terdapat kuasa ekstra ketika enjin diputarkan kepada 9,500rpm – lebih laju dan mengagumkan.
Seperti yang dikatakan, walaupun Magni Italia nampak seperti datangnya dari zaman dulu tetapi jangan pandang rendah kerana ia cukup moden, sentiasa mengagumkan sesiapa sahaja yang menunggangnya. Mod tunggangan telah disetkan kepada Sport dan ia adalah untuk kegunaan R&D. Apa pun, prestasinya cukup mantap dan tidak sangka saya dapat menunggang sebuah jentera 'supersport retro moden' yang cukup cantik dan mantap.
Giovanni Magni telah berjaya menghasilkan sebuah jentera penuh seni yang memiliki rekabentuk menawan, pengendalian cukup mudah dan bunyi yang mantap benar didengari. Itulah penghormatan yang diberikan buat mendiang ayahnya Artuto. Percayalah, ayahmu pasti berbangga! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Cristina Pertile
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk cecair, DOHC, tiga silinder |
Isipadu | 798cc |
Kuasa maksimum | 125 bhp / 92 kW pada 11,600rpm |
Tork maksimum | 84Nm pada 8,600rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Brek | cakera x 320mm Brembo (depan) & 230mm Brembo (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik 43mm boleh laras (depan) & lengan ayun chrome-moly (belakang) |
Tayar | 110/80 - 18 (depan) & 160/60 -18 (belakang) |
Tinggi pelana | 800mm |
Pengeluar | Moto Magni, Via Leonardo da Vinci 331, 21017 Samarate, Itali. Lawan Web: www.magni.it |
Popular