Roland Sands Harley Cafe Sportster
Selepas 64 tahun berada di pasaran, Harley-Davidson Sportster akhirnya sampai di hujung jalan. Untuk memiliki piawaian Euro 5 bagi enjin OHV dua injap, sistem penyejuk udara jentera XL Sportster sememangnya terlalu mahal termasuklah pengiraan dari segi penjualan. Di Eropah sekurang-kurangnya varian model Sportster 883 dan 1200 telah dikeluarkan dari barisan H-D dan berkemungkinan besar tidak lama lagi, ia akan hilang dari bilik pameran para pengedar mereka di Amerika.
Lebih daripada 700,000 unit Sportster telah berjaya dijual di seluruh dunia sejak ia dilancarkan pada tahun 1957. Ia adalah model keluaran Amerika yang paling lama dan paling laris pernah dihasilkan. Ini juga bererti, akan ada banyak platform yang menarik untuk tujuan pengubahsuaian. Pada masa yang sama, budaya Café Racer mula 'meletop' dan memeriahkan lagi suasana motosikal di Amerika Syarikat. Walaupun kemeriahan di Sunset Boulevard belum lagi setara dengan California atau di North Circular Road di London, kini sudah terdapat banyak jentera disusun di sana yang mengembali nostalgia Ace Café atau Busy Bee.
Selain model-model terkenal dunia cafe racer era 60an seperti Triton, Tribsa, Norvin dan lain-lain, kini jumlah jentera dari pengeluar Amerika semakin banyak. Semakin ramai yang menghasilkan Café Sportster di garaj masing-masing yang kebanyakan darinya mendapatkan ilham dari kataloq dan risalah di laman web RSD/Roland Sands Design iaitu www.rolandsands.com.
Bagi Roland selaku pencinta hakiki dunia kustom, rekaan yang diciptanya bukan hanya perlu pelik, luarbiasa atau lain daripada yang lain tetapi motosikal itu juga mestilah boleh ditunggang dengan selesa. Roland berusia 46 tahun dan merupakan bekas juara AMA 250GP yang ternyata memiliki kreativiti sangat unik sehingga mampu menghasilkan motosikal yang 'sangat gila'... paling menarik dan sporty. Beliau antara seniman terbaik di mukabumi ini.
Jentera ciptaannya sering dilengkapi dengan fork jenis terbalik, sistem brek yang mantap untuk tunggangan di laluan berliku. Jentera California baru ini mampu menandingi kegemilangan era 'swinging’ cafe racer di tahun 1960an dulu. RSD turut menawarkan rekaannya untuk dipakai oleh pemilik-pemilik Harley-Davidson yang inginkan corak budaya seperti sebelum ini.
Kira-kira 60 tahun yang lalu, Harley-Davidson pernah bersaing dan berada di atas dalam segmen sportbike bersama-sama Triumph dan Norton. Tetapi segalanya berubah apabila Ducati melahirkan model v-kembar dan kemudiannya XL Sportsters secara perlahan-lahan 'diubah' menjadi jentera 'entry-level' yang lebih dekat dengan peminat motosikal. Jadi, walaupun pada tahun 2007 model Sportster telah dilengkapkan dengan enjin suntikan bahan api, mereka tetap menggunakan sistem transmisi lima kelajuan (tidak menukarkan kepada 6 gear) untuk dipadankan dengan enjin Evolution yang digunakan pada tahun 1986.
Untuk menghilangkan getaran yang pernah menjadi kebiasaan jentera Milwaukee, enjin ini akhirnya dipasang pada getah di kerangka Sportster. Harley telah menjual lebih daripada setengah juta Sportsters Evo-Powered selama bertahun-tahun, dan kini harganya memang mampu milik. Inilah masanya mereka mula menjadikan jentera itu sebagai asas untuk membuat pengubahsuaian terutamanya budaya cafe racer.
Roland ingin menghasilkan sebuah jentera unik yang bakal digunakan sebagai 'model' dalam katalog khusus untuk segmen cafe racer. Selepas mencari 'calon-calon' yang sesuai di internet, dia berjaya membeli sebuah Harley-Davidson XL1200N Nightster di eBay pada harga $4,000.
“Kami ingin mencipta versi sporty kami sendiri, untuk memberitahu idea tentang pengubahsuaian pada jentera Harley yang lebih unik dan berbeza – tidak pernah dilakukan oleh orang lain,” Roland memberitahu saya tentang motosikal hebatnya yang saya tunggangi di sepanjang Jalan Gunung Glendora di Los Angeles di hari-hari ketibaan musim sejuk di California Selatan. Cantik sungguh pemandangannya.
“Banyak orang jadikan model ini sebagai 'chopper' tetapi kami mahu lakukan yang sebaliknya. Ia perlu mudah untuk ditunggang dan dikendalikan tidak kira di laluan lurus mahu pun di selekoh. Oleh itu, kami mencipta Cafe Sportster dan paling seronok, ia berfungsi dan berjalan dengan baik. Rupanya? Memang padu!”
Jentera ini adalah hasil ciptaan pasukan hebat yang diketuai oleh Roland sendiri dan rakan lamanya, Rodney Aguilar. Roland tidak membina sebuah jentera hanya untuk cantik dilihat, tetapi mampu untuk memecut laju, berwheelie dan melakukan burnout, itu pun jika anda berani. Percayalah... Roland boleh melakukannya!
'The Nightster' adalah sebuah model berwarna hitam/krom, rugged dengan gaya neo-retro yang mengingatkan kita dengan jentera Perang Dunia II 1950 yang telah diubahsuai menjadi antara Bobber pertama di US ketika itu. Dengan jentera yang baru dimilikinya ini, Roland tidak lagi menggunakan bar hendal, ekzos dan beberapa bahagian asal tetapi hampir kesemuanya diberi sentuhan baru termasuklah penutup tangki yang kini 'terlekat' dengan tanda RSD. Selepas dibogelkan, kerangka dan beberapa bahagian lain dicatkan dengan warna Satin Titanium dan Hitam oleh Chris Woods di AirTrix.
“Idea untuk melakukan skima warna ini datangnya dari kawan saya, pengurus jenama di Hurley. Bukan Harley ya! Idea ini berpandukan barangan sukan aksi Nike... ia seperti sebuah motosikal luncur.”
Roland mula membuat pengubahsuaian di bengkelnya yang terletak di kedai bersebelahan dengan stor Los Alamitosnya. Roland mereka semula jentera ini dengan mengambil beberapa bahagian dari katalog Rekabentuk RSDnya. Sistem saspensi dibuat terlebih dahulu dengan penyerap hentak Showa 39mm berpelindung getah yang dinaikkan satu inci [25mm] untuk kelegaan tanah tambahan. “Kami menyempurnakan geometri agar pengendalian lebih baik dan turut melengkapkan jentera ini dengan sistem brek yang lebih mantap serta meyakinkan.
Posisi menunggangnya juga telah direka semula agar lebih selesa dan rasa bagaikan 'bersatu' dengan jentera ini berbanding yang sebelumnya. Pelana RSD Mustang yang dipasang baru ini juga lebih selesa daripada pelana asal Nightster dulu. Bar hendal juga ditukar dengan rekaan baru tanpa meletakkan lampu isyarat untuk tampak lebih garang.
Enjin 1300 Sportster ini tidak diusik langsung tetapi ditambah baik dengan penggunaan pencuci udara Venturi 7 dan penapis K&N untuk dipadankan dengan sistem ekzos Vance & Hines Tracker. Ini juga menambah kuasa enjinnya sebanyak 12bhp. “Ekzos motor dan sistem kemasukan udaranya ini bukan sahaja lebih mantap didengar tetapi turut menjadikan respon pendikit lebih baik.
Sebaik sahaja kita memulas pendikit, hantaran kuasanya lancar dan berkuasa. Sistem transmisi lima kelajuan dirasakan lebih senyap, lancar tanpa rasa sentapan dalam mana-mana posisi gearnya. Ketika menghasilkan Nightster, keselesaan penunggang bukan yang paling utama tetapi dengan model baru RSD telah menjadikan Cafe Sportster ini lebih sesuai untuk semua penunggang. Apa yang sedikit merisaukan ialah pada bahagian ekzosnya. Mereka patut mengubah posisi pelindung haba sedikit ke belakang kerana bahagian kaki jeans boleh terbakar jika tidak berhati-hati.
Saya amat mengagumi kelincahan dan betapa mudah mengendalikan Cafe Sportster ini – tidak perlu bersusah payah. Bila dah seronok dan cukup yakin dengannya, bahagian tempat pemijak amat mudah menyentuh permukaan jalan. Ia benar-benar memberi kepuasan ditambah pula jentera ini memiliki sistem pertahanan/brek yang cukup mantap.
Jika seseorang itu mahu membina jentera kustom seperti ini... berapa harganya? “Kos pengubahsuai bernilai lebih kurang $12,000 tetapi para pelanggan juga dapat mencipta sebuah Cafe Sportster menggunakan barangan dari katalog RSD pada harga hanya $3,000. Syaratnya, mereka perlu memasang dan mengecat sendirinya.
Roland Sands Café Sportster adalah satu 'make over' asli dari California Selatan menukarkan sebuah Harley biasa kepada gaya motosikal paling ikonik di Britain. Paling menarik ialah pengubahsuaian ini berjaya mengembalikan nostalgia lama yang dihidupkan semula dengan gaya yang lebih mantap. RR
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara, empat lejang, v-kembar |
Isi padu | 1,229cc |
Kuasa maksimum | 65bhp pada 5,750rpm |
Tork maksimum | 107.1Nm pada 4,000rpm |
Transmisi | 5 kelajuan |
Tinggi pelana | 676mm |
saspensi | fork teleskopik 39mm showa (depan) & lengan ayun keluli (belakang) |
Tayar | 100/90-19 (depan) & 160/60-19 (belakang) |
Isi tangki | 12.5 liter |
Pengeluar | Roland Sands Design, Los Alamitos, California |
Popular