Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mac 2015

MV Agusta Brutale 800 DRAGSTER : Sebuah Mesin Hebat!

Mari kita berterus terang – kalau bercerita pasal model ini, pastilah rekabentuknya menjadi perbualan utama. Ia adalah model teranggun pernah dihasilkan manakala namanya juga menarik. Selamat datang MV Agusta Brutale 800 Dragster yang menawarkan rekabentuk unik – selalunya rekabentuk seperti ini hanya dapat kita lihat di bengkel cruiser custom v-kembar Amerika. Ia memang sebuah jentera yang 'diubahsuai' daripada model Brutale 800 naked dengan cemerlang sekali.


Pengubahsuaian yang memang menggiurkan. Lihat sahaja bahagian belakangnya, Dragster dilengkapkan dengan tayar Pirelli yang bersaiz 200 dan dipasangkan pada rim yang bentuknya sama dengan model F4 Superbike. Konsep rekabentuk bahagian belakangnya pula lebih kurang sama dengan Rivale, termasuklah tempat meletak nombor pendaftaran tetapi bentuk dan posisi lampu belakang berbeza. Apa pun, rekaan ini sudah pasti menarik minat sesiapa sahaja yang melihatnya.


Itulah yang ingin disampaikan oleh Adrian Morton, pakar rekabentuk MV Agusta bersama-sama krew-krew ketika cuba mendapatkan bentuk yang diingini oleh pemilik syarikat, Giovanni Castiglioni. Model baru ini mesti sebuah mesin naked yang ekstrim dan agresif tetapi pada masa yang sama ia juga jentera yang praktikal dan mudah ditunggangi.

Saya mendapat peluang untuk menikmati Dragster ini di kawasan berbukit dan bandar-bandar sekitar kilang MV Agusta di Varese. Apa yang menyeronokkan ialah penduduk tempatan turut kagum dan teruja apabila melihat mesin ini bersantai di hadapan mereka. Kalau difikirkan, mereka sepatutnya sudah tidak asing lagi dengan keunikan dan keanggunan Dragster ini.

“Hanya dengan 'berdiri' tegak sahaja sudah cukup untuk menewaskan jentera-jentera lain. Kehebatan penciptaannya memang sukar untuk ditandingi,” kata Mario Fiorani, seorang pemilik Ducati Monster yang sanggup berpatah balik untuk melihat dengan lebih dekat Dragster ini.

Bar hendal model ini boleh diubah kepada tiga posisi mengikut keselesaan penunggang dengan menggunakan Allenkey. Model ini dihasilkan bukanlah untuk si pengembara yang menunggang ribuan kilometer tetapi ia cukup sesuai untuk mereka yang ingin bersantai dan kelihatan bergaya bersama rakan-rakan.

Menurut Pengarah Platform MV, En. Brian Gillen, “Kami mula projek ini selepas melancarkan Brutale 800. Giovanni mahukan mesin yang berada di tengah-tengah, antara Brutale 1100 dan Brutale 800 yang mempunyai rekabentuk lebih agresif dan garang. Jawapan daripada apa yang dia inginkan ialah Dragster ini!”

Untuk menghasilkannya, Gillen & Co. mengambil sebuah Brutale 800 dan mula melakukan perubahan secara minimal. Perkara penting yang perlu diubah ialah tayar belakang bersaiz besar. Dragster ini juga turut dilengkapi dengan teknologi moden seperti model Brutale 800 termasuklah sistem ABS dan EAS Power Shifter. Untuk membezakannya daripada Brutale 800, pelananya direka semula untuk disesuaikan dengan konsep yang diinginkan. Casisnya kini lebih panjang jika hendak dibandingkan dengan Brutale 800.

Dragster ini juga dilengkapi dengan sistem Ride By Wire (RbW) yang menawarkan empat mod tunggangan iaitu Normal, Sport, Rain dan Custom. Kami di Gillen & Co. bukan sahaja menyediakan pemetaan enjin yang berbeza tetapi juga terlibat sepenuhnya dalam perlaksanaan sistem elektronik yang sempurna agar respon antara pendikit dan putaran enjin dapat dilakukan dengan tepat dan lancar. Apabila perhubungan antara kuasa enjin dan putaran tayar belakang sempurna, tunggangan kita pastinya bertambah menyeronokkan,” komen Gillen.

“Pastinya pemilik Dragster ini akan memacu jentera ini ke tahap maksimum dan jika pemetaan dan sistem elektronik tidak dibuat dengan teliti, mesin ini tidak mampu memberikan tindak balas seperti mana yang kita kehendaki. Kami amat berpuas hati dengan sistem elektronik model ini dan yakin Dragster ini cukup berprestasi tinggi,” tambahnya lagi.

Sememangnya Dragster ini menaikkan lagi reputasi mesin-mesin Itali ini. Model ini dilengkapi dengan lapan tahap traction control (TC) yang membantu tunggangan menjadi lebih selamat dan meyakinkan. Tidak perlu menunggang jauh untuk merasakan betapa hebatnya mesin ini selain asyik mengagumi rekabentuknya. Mungkin ini pandangan peribadi, saya rasakan ia lebih lancar dan sedap berbanding Brutale 800.

Dalam mod Sport, kuasanya memang cukup hebat. Namun begitu, ia amat lancar sehingga terlalu mudah untuk melakukan powerwheelie apabila merentap pendikit dalam gear kedua dan ketiga. Memang cukup teruja! Kedudukan kaki kita juga kena tepat kerana kuasa tarikan enjin memang cukup kuat dan menepati apa sahaja kemahuan pemiliknya.

Saya tidak merasakan sebarang sentapan pada mana-mana kedudukan gear ketika menurunkan kelajuan sebaik sahaja tiba di kawasan perkampungan – takut juga 'ditembak' dengan perangkap laju. Dari kedudukan 2,000rpm, tarik sahaja pendikit dengan pantas dan lancar Dragster ini membelah udara. Apa yang mengganggu ialah panel meternya yang terlalu padat dengan informasi. Panel meter ini memaparkan tahap putaran rpm, kedudukan gear, tahap kelajuan, traction control, mod tunggangan dan suhu. Mengapa mereka tidak mengambil panel meter Rivale untuk dibuat panduan – ia lebih kemas dan mudah dilihat.

Bunyi yang terhasil di corong ekzos mesin tiga silinder memang lebih garang berbanding enjin empat silinder. Walaupun secara teorinya ia menggunakan ekzos yang sama dengan Brutale tetapi saya bersumpah bahawa bunyi Dragster ini lebih kuat dan mantap. Melodi sistem ekzos ini lebih garang di antara 10,000 dan 12,000rpm.....kalau terlambat untuk temujanji, gunakan kehebatan bunyi ini bagi menarik perhatian kenderaan-kenderaan ketika memacu di dalam bandar.

Dragster ini bukanlah sebuah mesin yang sesuai untuk dipecut di lebuhraya tetapi ia lebih layak menunjukkan kehebatannya berada di jalanan berselekoh dan kawasan pergunungan. Lagi pun, ketiadaan fairing di depan dan sisi menyebabkan kita terpaksa menerima tamparan hebat apabila memecut ke tahap maksimum di litar mahu pun di lebuhraya.

Walaupun posisi menunggangnya selesa, ruang pelana yang setinggi 811mm dirasakan agak kecil. Penunggang tidak berupaya mengubah posisi dengan pantas ketika berhadapan dengan selekoh-selekoh tajam tetapi itu semua perkara kecil, ketinggian Dragster ini sebenarnya amat membantu ketika menunggang di dalam bandar – kita mudah melihat keadaan trafik di hadapan dengan melepas bumbung-bumbung kereta. Cermin sisi model ini juga kemas dan cukup praktikal. Kita dapat melihat keadaan di belakang dengan jelas hanya dengan sekali jeling. Cermin sisi ini juga mudah dilipatkan jika terpaksa menyelit di antara dua buah kenderaan.

Selepas puas berada di jalanan biasa, kebolehan Dragster ini diuji pula di Litar Ujian Pirelli. MV Agusta melengkapkan model ini dengan fork hadapan jenis Marzocchi 43mm dan penyerap hentak tunggal Sachs untuk prestasi cemerlang dalam semua keadaan. Pakej terbaru saspensi ini ternyata memberikan tindakbalas lebih baik berbanding Brutale dan dibuktikan apabila menunggang di kawasan litar yang kurang baik. Permukaan jalan ini rosak selepas musim salji manakala masalah kewangan menyebabkan ia tidak dapat diperbaiki dalam masa yang singkat.

Sukacita dimaklumkan MV Agusta sememangnya berjaya mempertingkatkan prestasi jentera-jenteranya dari masa ke semasa. Saya dapat rasakan setiap kali menguji model-model baru mereka. Bagi model ini, sistem brek jenis cakera 320mm dengan omboh aluminium Brembo generasi baru mampu memperlahankan kelajuan mesin ini dengan kemas walaupun tanpa bantuan sistem slipper clutch dan brek-brek ini juga boleh dipasang pada model F3 800.

Memperlahankan kelajuan sebelum masuk ke selekoh ternyata lebih selamat apabila kita mempraktikkan blipping kerana proses menurunkan gear lebih lancar, tidak tersekat-sekat. Posisi yang sedikit ke hadapan menyebabkan kita berfikir bahawa tayar belakang akan terangkat sedikit apabila membrek dengan keras sebelum tiba di selekoh, ia tidak berlaku kerana model ini dilengkapi dengan Rear-Wheel Lift Mitigation (RLM) menyebabkan mesin ini sangat stabil walaupun ketika membrek dengan keras. Ia cuma bergoyang sedikit sahaja...mengagumkan!

Apa pandangan anda dengan rekaan tayar belakang? Hakikatnya, tayar yang sebesar ini memang memerlukan kita mengguna lebih tenaga untuk mengubah posisi Dragster ini ke kiri dan ke kanan di setiap selekoh-selekoh litar ini tetapi rekabentuk bar hendal yang tinggi membantu proses pengendalian menjadi lebih mudah. Tayar Pirelli Diablo Rosso II yang besar ini juga menyebabkan berlakunya understeer ketika keluar dari selekoh.

Tidak banyak yang boleh kita lakukan selain menutup pendikit dan pulas semula dengan pantas untuk merasa nikmat Dragster ini memecut mencari selekoh berikutnya. Apa pun, ia adalah sebuah mesin yang serba lengkap sama ada dari segi keanggunan, kepesatan sistem elektronik dan keberkesanan brek-breknya. Ia adalah sebuah mesin yang seronok ditunggang.

Di Malaysia, model ini juga cukup diminati dengan kadar penjualan yang semakin meningkat setiap hari. Untuk pasaran negara, terdapat dua variasi yang ditawarkan iaitu Brutale 800 SE Dragster pada harga RM98,198 dengan dua pilihan warna iaitu kelabu dan putih manakala model Brutale 800 Dragster RR pula berharga RM120,759 juga dengan dua pilihan warna iaitu merah dan hitam. RR

Laporan: Alan Cathcart
Foto: Thomas Maccabelli

Isu Pada

Mac 2015

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 3 silinder, 12 injap DOHC
Isipadu798cc
Gerek x lejang79.0 x 54.3mm
Nisbah mampatan13.3:1
Kuasa maksimum125hp pada 11,600rpm
Tork maksimum81Nm pada 8,600rpm
Tinggi pelana810mm
Isi tangki16.60 liter
Berat167kg
PengedarChear Motor (HQ) Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.