HONDA CB650F : Beri Kenangan Indah
Ketika melancarkan mesin pertamanya pada tahun 1949 iaitu Dream, sebuah jentera dua lejang, 98cc, pengasasnya Soichiro Honda ternyata mempunyai visi dan misi yang cukup jelas iaitu untuk menerajui dunia motosikal dan segala impiannya itu kini sudah pun menjadi kenyataan. Honda merupakan pengeluar motosikal gergasi yang menawarkan jentera yang berada di kelas tertinggi di dalam setiap kategori.
Apakah yang sering kita kaitkan apabila berbicara tentang jentera Honda? Sudah pasti kelajuan maksimum bukanlah perkara pokok tetapi rata-ratanya antara kita akan membincangkan perihal enjinnya yang cukup tahan lasak dan rekabentuknya yang menawan..... “tak makan dek zaman.” Tidak keterlaluan jika kami katakan model-model lama seperti CBR600F3, CBR600F4, CB600F Hornet, Fireblade 900, Fireblade 929 atau Fireblade 954 masih cantik dan digilai hingga ke hari ini.
Selepas dilancarkan pertengahan tahun lalu, RR akhirnya diberi peluang untuk menguji model CB650F yang telah mendapat 'liputan' yang cukup baik daripada para penunggang motosikal di seluruh negara. Pastinya Honda tetap Honda. Melihat akan rupabentuknya kita sudah jatuh cinta. Lampu hadapan CB650F ini cukup simple tetapi fairing kecil di sebelah tangki model ini membantu menjadikannya tampak lebih moden dan agresif. Panel meter digital bukan sahaja memberikan paparan yang lengkap tetapi ia juga berfungsi sebagai mini windshield yang cukup berkesan sekali.
Bentuk bahagian belakang terutama sekali lampunya mengingatkan kami pada model CBR600F2, ia bersegi empat dan ringkas tetapi amat terang sekali untuk dilihat tidak kira siang atau malam. Ia sesuai sekali dengan ungkapan yang sering kali kita dengar diucap dalam bahasa inggeris, “Less is More” yang bermaksud kadang kalanya sesuatu ciptaan yang artistik dan estetik tidak perlu dibuat berlebih-lebih, rekaan yang ringkas sudah cukup cantik dipandang.
Panel meter model ini 'terbahagi dua'. Di sebelah kanan memberi paparan tahap bahan api, masa dan jarak perjalanan manakala meter di sebelah kiri pula menunjukkan tahap kelajuan dan putaran rpm. Terdapat tulisan H.I.S.S berdekatan dengan tempat kunci utama. Apakah ia? Okay...H.I.S.S adalah singkatan untuk Honda Ignition Security System, sebuah sistem pertahanan yang dihasilkan untuk elak kecurian.
Bagaimana ia bertindak? Terdapat chip pengenalan (IC Chip) yang dipasang pada dua kunci penghidup asal setiap motosikal. Kunci-kunci ini telah diprogram dengan menggunakan kod rahsia, ia akan diperiksa oleh ECU motosikal setiap kali kunci ini dimasukkan. Enjin dapat dihidupkan apabila kata laluan ini sesuai dengan kod kunci penghidup yang digunakan.
Sebaik sahaja memanjatnya, dengan pantas kita dapat menyesuaikan diri dengan CB650F ini. Tangkinya yang agak pendek memudahkan kita memaut bar hendal. Pelana yang hanya setinggi 810mm memberikan peluang untuk semua jenis penunggang memacunya dengan selesa (sesuai untuk penunggang wanita). Bentuk pelananya juga dibuat dengan tepat, penunggang bukan sahaja dapat mengepit jentera ini dengan lutut tetapi juga memberikan keselesaan jika menunggang berdua.
Bila dah selesa, dah yakin...enjin pun dihidupkan! Deruman yang kedengaran menerusi sistem ekzosnya cukup sedap didengar. Ia bergema dengan merdu sekali manakala barisan paip ekzos yang disusun kemas turut menjadikan CB650F ini umpama pelakon utama yang mendapat perhatian ketika dipacu di tengah-tengah orang ramai. Enjin empat lejang, 649cc ini menghasilkan kuasa maksimum 85.7hp pada 11,000rpm dan tork 63Nm pada 8,000rpm – sudah cukup hebat untuk memecut sepantas kita meninggalkan kenderaan lain di lampu-lampu isyarat.
Posisi bar hendalnya yang sempurna membuatkan kita mudah mengendali mesin ini dalam apa jua keadaan tidak kiralah ketika bersantai di kawasan bandar atau pun ketika memerah tenaga ke tahap maksimum di lebuhraya. Memang benarlah apa yang diinginkan oleh pengeluar ini sejak dulu lagi iaitu menghasilkan sebuah jentera yang bersifat 'all-rounder' – semua boleh dilakukannya, seumpama dua tiga buah motosikal dalam satu tubuh badan.
Enjin CB650F yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI memberikan tindak balas yang lancar dalam semua kelajuan dan kedudukan gear. Bayangkan putaran enjin dapat diturunkan sekitar 1,450rpm dalam gear teratas sebelum ditarik dengan keras mencapai kelajuan lebih daripada 190km/j dengan lancar – tanpa sebarang sentapan berlaku. Dengan pengendalian yang mudah ini, CB650F dirasakan sesuai untuk semua jenis penunggang, baru atau lama...lelaki mahu pun wanita.
Dalam gear-gear pertengahan, CB ini memang cukup lincah terutama sekali apabila pendikit dipulas melebihi 5,000rpm. Sebaik sahaja enjinnya mengerang, kita tambah gear....sayang sekali model ini tidak dilengkapi dengan penunjuk gear yang terbukti amat penting untuk semua jenis motosikal terutamanya model seperti CB650F ini yang disukai oleh mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan dunia motosikal berkuasa tinggi. Walaupun terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan tetapi kita kena akui kesilapan menggunakan gear adalah salah satu daripadanya.
Walaupun kerangkanya dibuat daripada keluli, bukannya aluminium tetapi ketegaran dan ketegapannya cukup terasa apabila jentera ini dipacu pada kelajuan maksimum 230km/j. Ya… ketika inilah cermin pengadang udara yang lebih tinggi amat diperlukan agar tamparan angin tidak terlalu kuat untuk ditahan.
Tidak cukup menunggang berseorangan, kami menunggang berdua dan 'wow' keberkesanan sistem penyerap hentak model ini jelas dapat dirasakan. Mungkin kerana tidak begitu arif dengan tempat yang kami singgahi, dua kali CB650F ini terlanggar bonggol. Memang agak 'cuak' juga lah, takut hilang kawalan tetapi penyerap hentak hadapan jenis teleskopik 41mm berfungsi dengan cemerlang sekali. Bar hendal langsung tidak bergoyang, ia statik bagaikan tidak ada apa berlaku, bagus sekali.
Pelana untuk pembonceng juga dibuat dengan tepat, kita tidak terasa lenguh-lenguh badan walaupun dalam perjalanan jauh. Sekali lagi ia mengingatkan kami pada model Honda terdahulu,
CB400 1998 yang memang cukup selesa untuk ditunggang berdua. Ruang pemegangnya kemas, tersorok di bawah pelana tetapi mudah dipegang.
Seperti yang dikatakan tadi, jentera naked bike memang mampu melakukan kesemua 'cabaran', termasuklah meratah setiap selekoh dengan jayanya. Gabungan sistem saspensi belakang jenis mono dan tayar-tayar yang mencengkam memberi nikmat tidak terhingga. CB650F ini didatangkan dengan tayar hadapan bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17 memang cukup besar untuk menampung saiz dan kelincahannya. Pengendaliannya sangat mengujakan, kita mudah mengalihkan tubuh badannya ke kiri dan ke kanan dengan pantas. Prestasi lebih daripada jangkaan...hebat!
Apabila mencipta sesebuah benda, biarlah ia sempurna agar tidak menerima kritikan dan pujian dalam satu-satu masa. Honda ternyata berjaya menghasilkan produk yang terus menerima pujian. Brek hadapan 320mm dan belakang 240mm yang dipasang pada jentera Honda ini cukup cemerlang. Ia mampu memperlahankan kita dengan pantas – amat diperlukan apabila kita cuba memasuki selekoh dengan kelajuan yang tidak sepatutnya. Info: Terdapat dua varian model CB650F ini, lengkap dengan sistem ABS dan sebaliknya. Untuk pasaran di Malaysia, model ini tidak dilengkapi dengan sistem ABS tetapi untuk pasaran luar negara seperti di Eropah, model ini turut ditawarkan unit yang lengkap dengan sistem ABS.
Kami dan CB650F ini bersama-sama menikmati perjalanan sejauh 230 kilometer dengan satu tangki penuh 17.3 liter. Memang cukup menjimatkan dan ini juga adalah ciri-ciri yang sering diperkatakan oleh pihak Honda setiap kali mempromosikan motosikal keluaran mereka. Memang ia jimat! Apa nak dikatakan lagi...
Lambang sayap yang berada pada tubuh mesin-mesin Honda bagaikan menyuruh kita 'terbang' sentiasa bersama mereka. Ternyata mereka adalah yang terbaik dalam segala kategori yang diceburi termasuklah kejayaan mesin RC213V menerusi pelumba tersohor Marc Marquez dan kejayaan ini sememangnya memberikan impak yang agak besar untuk melonjakkan penjualan mereka. Sejujurnya apakah resepi Honda sehingga mendapat kepercayaan sebegini rupa? Adakah disebabkan rupabentuk yang cantik atau enjin yang berkualiti tinggi...barangkali kedua-duanya.
Inilah gabungan antara prestasi, inovasi, kualiti dan ketiga-tiganya ini berada di dalam genggaman kita apabila menunggang CB650F. Model ini ditawarkan pada harga asas RM41,999 dan didatangkan dalam tiga warna iaitu Sword Silver Metallic, Pearl Metalloid White dan Pearl Himalaya White. RR
Oleh: Khairil Azuan
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder 16 injap DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 649cc |
Gerek x lejang | 67 x 46mm |
Nisbah mampatan | 11.4:1 |
Kuasa maksimum | 64kW pada 11,000rpm |
Tork maksimum | 63Nm pada 8,000rpm |
Tinggi pelana | 810mm |
Isi tangki | 17.3 liter |
Berat | 206kg |
Pengeluar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular