Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 23 Februari 2021

T-Rex Honda CB1100R Post-Classic Racer

Jika ada seseorang yang layak untuk mendapat penghargaan atas usahanya mencipta kejayaan perlumbaan bersejarah dalam pasca-klasik (Post-Classic di Australia, dia ialah pemilik T-Rex Racing Developments, Rex Wolfenden yang pernah menjadi salah seorang pengedar jentera Honda di Melbourne kira-kira 25 tahun yang lalu.

Selepas dia tidak lagi berminat menjadi pengedar, Rex menumpukan seluruh perhatiannya dalam pembikinan jentera perlumbaan yang telah mempamerkan kecemerlangan selama empat musim (1963-1972). Jentera ciptaannya mampu bersaing dengan jentera Honda lapan injap iaitu CB750 dan kemudiannya lebih cemerlang dengan enjin 16 injap. Rex, bekas jaguh motocross ini merupakan teladan dan model contoh untuk mereka yang juga inginkan kemenangan.

Rex Wolfenden mendapat perhatian kerana dia memiliki combo yang sangat hebat! Dia merupakan seorang jurutera enjin yang akan menyiapkan keseluruhan jentera dan kemudiannya berlumba dengan hasil tangannya itu. Rare sungguh!

Beliau mula menceburi perlumbaan jalanan sudah agak lambat. Sebelum itu beliau aktif dalam dunia motocross dengan menunggang jentera Maico dan Kawasaki. Selepas itu Rex memilih pula untuk mengusahakan syarikat pengedaran motosikal. Rex sememangnya pencinta sukan Aussie Rules Football tetapi memandangkan dunia perlumbaan lebih sesuai dengan dirinya, Rex mula berlumba pada tahun 1988.

Saya benar-benar sukakan permainan Aussie Rules Football dan pada masa yang sama, dunia motosikal berkembang dengan maju. Catatan masa semakin rendah, motosikal yang bersaing bertambah laju. Saya perlu mengejar rentak itu tetapi agak sukar dilakukan kerana.... saya sering tercedera ketika menyertai perlawanan atau pun latihan. Dalam keadaan sakit atau lebam sana-sini, amat sukar buat saya melompat terus ke atas motosikal apatah lagi untuk berlumba!

Tindakannya untuk memilih dan menggunakan alatan tulen dari Honda CB750 – lebih-lebih lagi tidak ada larangan berlumba untuk enjin empat silinder di Australia pada ketika itu. Larangan penggunaan enjin empat silinder pernah berlaku di perlumbaan British Classic yang bertujuan untuk melindungi jentera buatan tempatan yang terdiri daripada motosikal berenjin kembar dan tiga silinder.

“Saya mahu berlumba dengan jenama yang saya jual, dan perlumbaan Post-Classic dengan enjin Honda adalah pilihan yang baik kerana ia cukup ekonomi. Banyak motosikal di luar sana untuk kita dapatkan sumber darinya. Lebih menarik apabila peraturan yang membenarkan perkembangan enjin dengan syarat kita tetap menggunakan beberapa bahagian atau replika. Ia amat menarik khususnya dalam bidang kejuruteraan. Ini membolehkan saya berlumba menggunakan motosikal idaman saya ketika di usia kecil.”

Rex Wolfenden
Rex Wolfenden

Rex berjaya melakukannya dan menempa banyak kejayaan manis. Rex seringkali berdepan dengan para-pencabar yang turut menggunakan jentera klon berasaskan Honda CB750. Selepas menang di persaingan Post-Classic pada awal 90an lalu, dia semakin popular, ramai yang mencarinya untuk tujuan pengubahsuaian.

Perlumbaan Classic Shootout menjadi semakin dikenali ramai dan telah menarik minat ribuan pencinta dunia motosikal di Australia – kawasan litar semakin penuh dengan penonton seperti mana yang kita alami di perlumbaan WSBK sekarang ini. Abang kepada Rex iaitu Clyde merupakan pengurus pasukan Honda Australia pernah bersama-sama Troy Corser, Anthony Gobert, Kirk McCarthy dan ramai lagi. Gabungan ini telah menyimpan banyak trofi kemenangan tetapi kemudiannya para pelumba muda tersebut telah berhijrah ke luar negara demi karier masing-masing.

Kemunculan kelas Period 5 menyaksikan Rex menyahut cabaran untuk bersaing dengan bintang-bintang masa lalu dan telah mencipta apa yang pasti..... iaitu salah satu tontonan yang paling mendebarkan dalam perlumbaan jalan raya.

“Dalam saingan Period 4, saya menguasai perlumbaan dengan tenang tetapi bila masuk ke saingan Period 5, segala-galanya menjadi bertambah sukar. Robbie Phillis dan beberapa pelumba lain memiliki gaya dan kualiti tunggangan yang mantap, memang sukar untuk ditewaskan. Sebagai pelumba, saya tidak mampu menandingi Robbie dan Malcom Campbell tetapi saya OK dan paling penting, semua itu menggembirakan.”

Dengan mengurangkan masa di dalam perlumbaan, Rex berjaya meluangkan masanya di bengkel untuk membangunkan jentera-jentera lumba di bawah bendera T-Rex Racing. “Selepas saya menjual status pengedar untuk lebih fokus dalam perlumbaan Post-Classic, beberapa rakan perniagaan saya bergurau dengan katakan saya berani melawan pasukan gergasi. Dari saat itulah mereka menggelarkan jentera saya itu Tyrannosaurus Rex atau T-Rex.

Prestasi jentera meningkat begitu dramatik pada akhir saingan P5. Suzuki Katana yang berkuasa 180bhp dan XR69 TT F1 memecut dengan sepantas kilat. Walau bagaimana pun Wolfenden terus memberi tekanan dari belakang. Dia tahu jenteranya tidak sepantas itu tetapi masih berjaya mengekalkan rentak setelah memberi tumpuan kepada tahap pengendalian dan daya tahan. Dia berjaya.

Honda CB1100R yang dilengkapkan dengan kerangka ciptaan Harris-Frame telah tersedia buat saya untuk diuji di Bonanza Broadford Bike, Australia. Ia adalah bersempena Easter Extravaganza tahunan motosikal. Jentera yang pernah memenangi banyak gelaran bersama Paul Young (GP500), Jed Melcher (WSBK Wild Card) telah dipadankan dengan plat No.1. Jed telah memenangi dua daripada empat perlumbaan di Island Classic Match 2016 dan berkongsi kemenangan sebagai pemungut mata terbanyak bersama pelumba tersohor dunia, GP Jeremy McWilliams.

Honda CB1100R merupakan jentera Honda pertama yang memiliki homologasi yang cukup istimewa. Ia dipadankan dengan fairing penuh jentera sportbike, pelana tunggal dan hanya 4,050 unit sahaja dicipta sekitar tahun 1981 hingga 1983. Model ini dijual di Eropah, Africa Selatan, Australia dan New Zealand tetapi bukan untuk pasaran USA. Di sana, model sama tetapi tanpa fairing iaitu CB1100F dilancarkan pada tahun 1982 hingga 1984.

Pada tahun 1981, CB1100R telah memenangi NZ Castrol Six Hours yang telah ditunggang oleh Aussies Malcolm Campbell dan Mick Cole. Pada tahun 1982 pula, jentera Honda telah menyapu bersih empat kedudukan paling atas pada perlumbaan di Australia. Ketika itu, jentera mantap ini ditunggang oleh Wayne Gardner yang bergandingan tenaga bersama Wayne Clark. Kalau bercerita dari segi sejarah, motosikal ini memang cukup padu!

“Memang sukar untuk berada di depan. Selepas membuat pengubahsuaian, prestasi motosikal saya hanya mampu ditingkatkan kepada 1156cc sahaja manakala pencabar saya ketika itu adalah sebuah Suzuki Hayabusa 1300cc dan jentera-jentera mantap dari Yamaha. Tetapi saya kurangkan berat dan itulah yang ditawarkan oleh kerangka-Harris yang berjaya mengurangkan kira-kira 17kg pada jentera CB1100R.”

Saya mendapatkan lima buah rim magnesium bertempa jenis Dymag yang menelan belanja $1,600 setiap satu. Saya juga banyak gunakan titanium pada komponen-komponen tertentu termasuklah fairing, pelana dan lain-lain. Motosikal ini memang cantik. Jentera ini didatangkan dengan kerangka chrome-moly buatan British yang pada dasarnya merupakan casis rekaan pertama Harris-Magnum pada tahun 1970an.

"Teknologi pembuatan kerangka ini sangat baik walaupun sudah lebih dari 30 tahun. Saya menggerakkan enjin jentera ini sedikit ke depan dan untuk memberi lebih berat pada roda depan. Cara ini akan juga menaikkan bahagian belakang untuk mendapatkan daya yang digerakkan pada rantai. Ketika itu, mereka turut menggunakan kaedah ini pada jentera motocross.”

Perlumbaan jalanan biasa (road racing) memerlukan sistem saspensi yang memiliki tahap redaman yang berkualiti, bukan sekadar kelajuan semata-mata. Lengan ayun model ini dilengkapkan dengan penyerap hentak Ohlin boleh laras yang disepadankan dengan fork Showa 41mm milik Honda CBR600 dengan penambahan bahagian dalaman dari T-Rex. Beberapa bahagian besi motosikal seperti bar hendal, tempat pemijak, cakera replika Suzuki XR69 dan lain-lain telah dibuat oleh Clyde Wolfenden’s C&C Engineering.

T-Rex 'berlari' dengan menggunakan tayar Pirelli Supercorsa 2 yang mencengkam dengan mantap sekali. Tayar-tayar ini dikawal oleh sepasang brek hadapan 320mm dan brek belakang bersaiz 230mm, kedua-duanya didatangkan dengan angkup jenis Brembo. Geometri casisnya memang cukup sporty walaupun jika kita bandingkan dengan jentera moden. Ianya hanya seberat 60kg dan T-Rex ini memang direka dengan nisbah 52/48% lebih di hadapan untuk lebih pantas.

“Walaupun cukup berpuas hati dengan keberatannya, saya tetap sedih terpaksa menambah sedikit logam pada casisnya kerana terdapat beberapa kesalahan pada rekabentuknya. Selepas membuat beberapa lagi penambahbaikan, ia lebih mantap.”

Honda ini memiliki enjin dengan saiz dimensi 73 x 69mm untuk kapasiti 1,156cc yang menawarkan kuasa setinggi 145 bhp pada 9,500 rpm. Kepala silinder baru dipadankan dengan kebuk pembakaran yang diubahsuai mengikut RSC (salah satu jabatan di Honda Racing Division) yang telah menambah tahap hantaran kuasa.

“Abang saya memiliki salah satu siri terakhir jentera Honda TT Formula 1 yang menggunakan enjin ini. Jadi... sudah tentu saya dapat melihat di dalamnya dan kita tidak boleh menjadi lebih baik daripada RSC,” kata Rex.

“Saya telah banyak meniru apa yang mereka lakukan pada kepala silinder milik kilang yang bertujuan untuk mengecilkan liang saluran masuk sedikit, pasangkan injap saluran lebih besar, dan gunakan rekabentuk aci sesondol asal dengan saiz 9mm. Ia semua berfungsi dengan baik, seperti yang dibuktikan oleh Honda apabila meraih gelaran World TT Formula 1 dengan menggunakan enjin ini.”

Ok... giliran saya untuk mengujinya di Broadford ini. Penghidup asal tidak lagi digunakan. Enjin dihidupkan dengan menggunakan roller. Ketika baru nak bergerak, saya dapati susah sangat untuk kembali ke gear 'neutral'. Dalam peringkat melahu, putaran rpmnya agak tinggi iaitu sekitar 1,800rpm - ia adalah trick lama sebelum zaman penggunaan Slipper Clutch. Apapun, tahap pecutannya memang pantas dan kekuatan enjin setinggi 145bhp yang dimiliki oleh Honda ini memang best!

Kuasa enjin ini juga cukup sesuai untuk persaingan di dalam waktu hujan atau di permukaan yang licin. Saya rasa jentera Suzuki yang berkuasa 180bhp ketika itu dapat berlumba dengan baik di dalam cuaca yang tidak menentu. Menurut Rex Wolfenden, dia mampu untuk menjanakan kuasa setinggi 180bhp pada Honda jika perlu. Walaupun dikatakan tidaklah terlalu berkuasa, Paul Young masih mampu mengerahkan Honda ini pada kelajuan 273km/j di laluan lurus litar Phillip Island pada perlumbaan Island Classic 2015 yang lalu. Ini membuktikan jentera ini sangat mudah untuk dikawal, dipecut dan paling penting, ia juga menyeronokkan.

Saya dapat rasakan kuasa tambahan apabila putaran berputar ke garisan 9,500rpm dan ke atas. Apa yang paling 'selesa' ialah betapa linearnya hantaran kuasa T-Rex ini – sangat sesuai sebagai senjata untuk menyerang selekoh-selekoh di litar, termasuklah laluan berselekoh tajam di litar Broadford ini. Ia memecut dengan garang tetapi segalanya dalam kawalan. Sedap sungguh!

Pengendaliannya juga boleh dipuji. Itulah yang sentiasa diutamakan oleh Rex Wolfenden – talaan casis yang optimis. Ini membolehkan penunggang menerima dan memahami karaktor jentera ini yang kesemuanya membolehkan kita cepat mesra dengan Honda ini. Apabila ia mula slide, Honda ini tetap mudah untuk dikendalikan dan ia datangnya dari bar hendal jenis clip-on yang cukup lebar. Cermin pengadang udara di depan melindungi si penunggang dengan cemerlang tanpa mengganggu penglihatan sama sekali.

Sayangnya sistem brek jentera ini tidak begitu baik walaupun didatangkan dengan angkup Brembo. Saya diberi amaran oleh Rex bahawa terdapat pad karbon di bahagian angkup hadapan, jadi saya panaskannya dahulu meletakkan jari di tuas brek sewaktu menuruni laluan lurus. Selepas itu barulah cengkaman sistem brek Honda ini berfungsi dengan lebih baik tetapi masih sedikit dan tidak secekap seperti yang disangka. Ia amat berbahaya, tidak ada cengkaman ekstra lebih-lebih lagi jika seseorang penunggang memintas betul-betul di hadapan atau jika kita tersalah langkah sebelum masuk ke selekoh.

Itulah satu-satunya kritikan dari saya mengenai jentera ini. Honda ciptaan Rex ini memang satu pembangunan jentera dua roda yang hebat. Ia hasil tangan seorang pencinta dan penunggang motosikal yang serba tahu. Bayangkan ciptaannya yang lebih 40 tahun lalu itu sudah dekat benar dengan apa yang dimiliki oleh jentera-jentera moden sekarang ini. Memang mengagumkan. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Stephen Piper

Isu Pada

Januari 2021

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk udara, 16 injap, empat lejang
Isipadu1,156cc
Kuasa maksimum145bhp pada 9,500rpm
Nisbah mampatan11:1
Kotak gear5 kelajuan
Kerangkakeluli Chrome-moly
Saspensifork teleskopik Showa 41mm (depan) & lengan ayun Chrome-moly dengan penyerap hentak Ohlins (belakang)
Brekcakera 310mm (depan) & cakera 230mm (belakang)
Tayar120/60 - 17 (depan) & 180/60 - 17 (belakang)
PemilikT-Rex Racing Developments, Heidelberg West, Victoria, Australia

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.