Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 22 Februari 2021

CMC XY400i Cafe Racer: Bergaya Bagaikan Jagoan Silam

Apakah itu Cafe Racer? Secara ringkasnya, ia adalah satu nama untuk sebuah jentera yang direka ringan, pengendalian yang mantap, mengoptimumkan kelajuan daripada keselesaan dan digunakan untuk perjalanan singkat. Terma atau nama Cafe Racer ini tercetus di Stonebridge London, England pada tahun 1950an apabila para penunggang motosikal sering mengunjungi tempat parkir besar lama (transport cafe) untuk berjumpa, mendengar muzik dan di sini juga mereka berlumba.

Jentera Cafe Racer dicipta dengan pelana perlumbaan tunggal, bar hendal rendah untuk posisi menunggang sempurna, tangki perlumbaan besar, posisi tempat pemijak agak ke belakang (untuk kelegaan semasa membelok) dan boleh dipasang dengan fairing mahupun tidak. Jentera-jentera ini mampu untuk berada di pelbagai jenis laluan dengan baik telah menarik perhatian ribuan pencinta motosikal di seluruh dunia. Memang panjang kisah penciptaan dan sejarah cafe racer ini.

Walaupun cafe racer telah berada di dalam dunia motosikal sejak puluhan tahun lalu, popularitinya tidak pernah padam... tidak pernah hilang. Sememangnya menunggang motosikal cafe racer memberi kepuasan terutama sekali buat mereka yang sukakan gaya hidup serta pakaian retro. Lihat sahaja jumlah pemiliknya di setiap kali penganjuran The Distinguished Gentleman's Ride! Cara mereka berpakaian dan keunikan jentera cafe racer masing-masing memang ada 'ummmph!' Ini membuatkan semakin banyak pengeluar motosikal 'melahirkan' semula model-model baru bertemakan cafe racer tetapi kini hadir dengan teknologi dan ciri-ciri serba moden.

Kami telah menikmati ratusan kilometer dengan salah satu model cafe racer terbaru di pasaran negara. Ucap “Hello!” kepada CMC XY400i Cafe Racer yang baru sahaja dilancarkan oleh Chear Global Sdn Bhd beberapa bulan lalu dan kini telah sedia sepenuhnya untuk dimiliki. Ada satu berita baik buat 'korang' semua, harga untuk sebuah cafe racer ini ialah RM24,635 dan ketika dilancarkan, pihak CMC Motorcycles menawarkan Free Gift istimewa bernilai lebih daripada RM1,600. Terkini CMC Motorcycles turut menerima trade in sebarang jenis motosikal dengan vaucher bernilai RM4,000. Apa tunggu lagi?

XY400i Cafe Racer didatangkan dalam dua warna iaitu Carbon Black dan Midnight Black yang kedua-duanya cukup menarik. Bahagian hadapan paling kami suka. Fairing separa penuh yang dipadankan dengan lampu hadapan berbentuk bulat memang sesuai benar dengan konsep keseluruhannya. Dua buah corong ekzos di kiri dan kanan jentera ini jadikannya nampak seimbang dan mantap.

Tayar hadapan (90/100-18) dan belakang (130/80-18) dikemaskan dengan rim jenis jejari (penting untuk tampak klasik), fork hadapan, penyerap hentak belakang dan sistem ekzos semuanya dengan kemasan krom. Untuk disesuaikan dengan konsep keseluruhan jentera ini, panel meter cafe racer ini juga berbentuk bulat. Ia terdiri daripada penunjuk analog dan digital.

Bahagian belakang juga ringkas dengan tiga buah lampu kecil sebagai lampu belakang/brek dan pemberi isyarat.

Pelana kulitnya berwarna coklat dan dijahit dengan kemas. Cantik, banyak ruang bergerak dan selesa. Posisi menunggang sedikit menunduk tetapi tidaklah terlalu bongkok. Cermin sisinya mudah untuk kita melihat keadaan trafik di belakang. Beli CMC ini memang dah 'ready'... memang dah cantik. Tak perlu nak buang duit untuk kos ubahsuai lagi.

Enjin silinder tunggal, empat lejang, 397cc dengan sistem suntikan bahan api berderum cukup merdu sebaik sahaja kita menekan suis penghidup. Tidak dinafikan, memang lain rasanya apabila kita menunggang sebuah cafe racer ni. Jiwa macam bukan lagi berada di tahun 2020.... rasa seperti pelumba/penunggang dahulu kala.

Dengan tubuh yang ramping, cukup mudah untuk kita mengawal jentera ini. Sistem transmisi CMC ini juga cukup lembut, kita dapat menambah/menurun gear dengan mudah dan lancar. Lebih seronok, model baru ini telah dilengkapkan dengan sistem ABS yang boleh dimatikan. Suisnya diletakkan di bar hendal sebelah kanannya.

Setiap gear dapat dimasukkan dengan lancar dan tepat. Banjaran kuasa paling mantap adalah ketika berada di dalam gear ketiga dan keempat. Dengan kuasa maksimum 19kW pada 7,000rpm dan tork 30.0Nm pada 5,500rpm, kita mampu memintas kenderaan di hadapan dengan agak mudah. Memang nampak macam motosikal lama, tapi jangan pandang rendah ya! Jentera seberat 156kg ini berkemampuan untuk memecut 135km/j dengan cepat. Rekabentuk tangkinya yang mendatar di bahagian atas memudahkan penunggang CMC ini merebahkan badan dan menyorok di belakang fairing hadapan ketika memecut laju.

Dari Kuala Lumpur, kami menuju ke Sekinchan untuk menikmati kehijauan sawah padinya. Angin sepoi-sepoi bahasa menambah keasyikan. Oleh kerana kami bermotosikal pada hari biasa, banyak tempat tumpuan ramai dapat kami lawati tanpa perlu bersesak-sesak dengan orang ramai. Risau juga mengenangkan musim wabak yang belum ada tanda-tanda pengurangannya.

Model cafe racer memiliki peminatnya yang tersendiri, tidak kira usia... lelaki mahupun wanita. Keunikan CMC XY400i Cafe Racer ini bukan sahaja terletak pada rekabentuk luaran sahaja tetapi juga pada prestasi enjin. Bagi mereka yang sukakan kerancakan, CMC ini memiliki ketangkasan untuk pelbagai situasi dan jalan. Karaktor 'jentera lumba' jelas dirasa jika kita menunggangnya dengan cara agresif. Cari laluan berselekoh dan kerap bermain gear sambil menggunakan posisi badan yang betul. Casisnya yang ringan dan fleksibel membolehkan kita meratah selekoh-selekoh dengan yakin. Memang best!

Jom kita bincang tentang sistem brek! Tayar-tayar CMC ini dikawal oleh brek-brek jenis cakera 320mm (depan) dan 240mm di belakang. Kami benar-benar tak sangka mesin vintage ini cukup 'layan' dibawa di laluan-laluan berliku. Nah... terbukti, cafe racer bukan sekadar jentera untuk tunggangan santai, semata-mata nak bergaya sahaja.

Dari laluan kampung, kami pergi ke laluan bandar-bandar kecil. Mencelah dengan CMC ini memang tak ada masalah, motor ini memang laju. Apabila berada di laluan terbuka (lebuhraya) dan bersama-sama jentera yang lebih besar, barulah terasa kuasa tork untuk jentera ini perlu lebih garang. Untuk lebih berdaya saing, kami kerap menurunkan gear dan guna kaedah ‘half clutch’... baru bertambah mantap.

Apa yang boleh diperbaiki ialah pada sistem saspensinya. Fork hadapan dirasakan sedikit keras terutamanya apabila berada di laluan berbonggol tetapi tidak lah mengganggu tunggangan sama sekali. Sepasang penyerap hentak berspring di belakang bertindak dengan cemerlang tidak kira penunggang itu ringan mahupun berat. Puas berjalan! Tangki 16 liter nampak je macam kecil tetapi mampu bawa kami lebih daripada 330 kilometer dan boleh lebih jauh lagi kalau menunggang lebih santai. Terdapat lampu amaran yang akan menyala apabila bahan api semakin berkurangan dan kita masih ada kira-kira 40-50 kilometer perjalanan sebelum kering sepenuhnya.

Jentera ini telah kami bawa hampir ke mana sahaja dan di dalam pelbagai jenis cuaca tidak kira hujan mahu pun basah. Secara keseluruhannya, CMC XY400i Cafe Racer memang sebuah jentera yang cukup ramuannya. Bentuknya memang 'A' dan prestasinya juga langsung tidak mengecewakan. Dengan segala pakej yang ditawarkan, cafe racer baru ini memang berbaloi untuk dimiliki.

CMC Motorcycles Malaysia baru sahaja memperkenalkan Siri Istimewa yang terdiri daripada 15 unit berwarna biru muda dan 15 unit berwarna kuning...Memang cantik. Paling menarik, unit-unit istimewa itu ditawarkan pada harga yang sama. Kami juga mengharapkan akan ada versi single seat yang memiliki bahagian belakang lebih pendek dan lebih garang. RR

Isu Pada

Januari 2021

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, empat lejang
Isipadu397cc
Kuasa maksimum19.5kW pada 7,000rpm
Tork maksimum30.0Nm pada 5,500rpm
Transmisi5 kelajuan
Tayar90/100 - 18 (depan) & 130/80 - 18 (belakang)
Brekcakera 320mm dengan ABS (depan) & cakera 240mm dengan ABS (belakang)
P x L x T2,100mm x 730mm x 1,230mm
Isi tangki16 liter
PengeluarChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan semula pengenalan warna White Trico bersama dengan dua pilihan warna yang baru iaitu Matte Blue dan Sliver.

Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.