Yamaha MT-25: Agresif & Menawan
Dalam pasaran global, Yamaha telah memperkenal model MT Series sejak tahun 2005 iaitu MT-01, MT-03, MT-09, MT-07, MT-125, MT-25, MT-10 dan MT-15. Master Of Torque atau lebih dikenali sebagai MT, merupakan sebuah model naked yang menawarkan kuasa tork yang cukup hebat sekali. Bentuknya yang menarik dengan ketahanan enjin juga menjadi faktor utama mengapa model ini masih lagi popular sehingga kini.
Baru-baru ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah menambah lagi rangkaian keluarga MT ke dalam pasaran Negara dengan melancarkan model Hyper Naked mereka iaitu Yamaha MT-25 First Edition. Kehadiran model ini adalah satu lagi sejarah penting buat Yamaha dalam memberikan sebuah jentera yang terbaik.
Bertemakan ‘Rush Of Darkness’, model ini tampil dengan bentuk yang cukup agresif dan menawan. Rekaan di bahagian hadapan sangat unik, disempurnakan dengan sepasang lampu utama dan dua lampu DRL berkembar dengan gaya 'Predator'. Bahagian belakang pula rekabentuknya sama seperti YZF-R25. Kami percaya, MT-25 mampu menarik perhatian orang-orang yang berada di sekelilingnya walau di mana jua ia berada.
MT-25 mempunyai ketinggian pelana 780mm. Jentera ini ternyata amat mudah untuk dipanjat. Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atasnya, kedua-dua belah tangan kami terus mencapai bar hendalnya yang cukup lebar. Boleh kami katakan, posisi tunggangan mesin ini cukup selesa untuk semua golongan. Oleh kerana ia sebuah model naked, badan penunggang tidak perlu membongkok semasa menunggang. Rekaan tangki pada MT memudahkan kami untuk mengepit kedua-dua kaki pada tangki apabila ingin memecut di lebuhraya.
Naikkan tongkat sisi dan putarkan kunci, mata kami terus tertumpu pada paparan meter LCDnya. Panel meter MT menarik dan cukup jelas untuk dilihat. Terdapat segala informasi yang diperlukan semua penunggang iaitu putaran RPM, tahap kelajuan, suhu, masa, odometer, jarak perjalanan, bahan api dan penunjuk gear. Kami kemudian menekan suis penghidup elektrik yang terletak di sebelah kanan bar hendal dengan hanya menolak suis tersebut ke bawah.
Putaran enjin empat lejang ini berputar dengan lancar sekali sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi yang terhasil dari MT memang cukup senyap dan merdu. Namun, apabila pendikit mula dipulas dengan lebih galak, sifat garangnya mula menunjukkan diri melalui sistem ekzosnya.
Enjin dua silinder, DOHC dengan sistem penyejuk cecair memudahkan kami menggerakkan jentera ini ke mana sahaja. Sebaik sahaja bergerak, kami dapat rasakan kekuatan sebenar yang ada dalam jentera ini. Dengan kuasa tork 22.6Nm (2.3kgf.m) pada 10,000rpm mesin ini dapat dipecut dengan begitu tangkas meninggalkan jentera-jentera lain di belakang.
Kotak gear enam kelajuan pada jentera ini bekerja dengan baik sekali. Kami rasakan proses penukaran gear dapat dilakukan dengan cepat, mudah dan selamat. Proses ini turut disumbangkan dengan sistem klac jenis basah, plat berganda dan tuas klac yang dirasakan cukup lembut sekali. Dengan kekuatan torknya yang tinggi, kita tidak akan mudah kehilangan kuasa di setiap gear. Ditambah pula dengan adanya lampu amaran gear yang terletak di panel meter, proses penukaran gear dapat dibuat dengan lebih tepat.
Hamburan kuasa pertengahan cukup mantap untuk mendapatkan kelajuan maksimum. MT boleh dipecut dengan mudah walaupun dari kelajuan yang rendah. Kelebihan ini boleh dikatakan amat sesuai apabila menunggang di laluan yang sesak terutama di dalam kawasan bandar. Tidak perlu menurunkan kedudukan gear paling rendah untuk mendapatkan kuasa, hanya pastikan gear berada di kedudukan yang sesuai.
Tidak kira menunggang di kawasan bandar, luar bandar, waktu pagi ataupun semasa pulang dari tempat kerja, ada ketikanya kita perlu berhadapan dengan keadaan trafik yang sesak. MT-25 memiliki berat 169kg, ia membolehkan kita mengendali-nya dengan mudah. Kami dapat mengawal imbangan jentera ini apabila mencelah atau melalui di laluan yang sempit.
Dengan mempunyai ukuran P (2090mm) x L (755mm) x T (1070mm), mesin ini tidak memberi sebarang masalah untuk membuat pusingan U. Kami dapat membuat belokan dengan sempurna sekali. Sebelum membelok, kita perlu pastikan keadaan di hadapan dan belakang selamat terlebih dahulu. Sila ambil ruang yang jauh sedikit semasa membuat belokan supaya motosikal yang ditunggang tidak hilang imbangan dan terjatuh terutama untuk sebuah jentera berkuasa tinggi.
Tidak sempurna jika model ini tidak diuji di jalan-jalan berselekoh. MT-25 dilengkapi dengan set tayar hadapan bersaiz 110/70R17 M/C (54H) manakala belakang pula ialah 140//70R17 M/C (66H) yang mampu mencengkam setiap permukaan jalan dengan selamat. Paling penting, perhatikan permukaan jalan (tidak berpasir), posisi tunggangan, kedudukan gear dan buat belokan dengan kelajuan yang bersesuaian mengikut jenis selekoh.
Kerangka jenis diamond memudahkan kami mengambil selekoh dengan yakin sekali. Walaupun membrek dengan kuat, MT-25 tidak terasa seperti bergegar sebelum memasuki selekoh. Gabungan di antara casis dan kerangka juga amat sesuai ketika memecut laju. Kami dapat rasakan jentera langsung tidak bergoyang.
Selepas puas berjinak-jinak dengan jentera ini di jalan berselekoh, kami mula mengubah haluan ke lebuhraya. Boleh kami katakan, prestasinya di jalan lurus memang cukup-cukup mantap. Turunkan kedudukan gear, tundukkan kepala sedikit, kemudian pendikit mula di perah dengan lebih galak lagi untuk mencapai kelajuan tertinggi. MT mampu menghembuskan kuasa maksimum 25.8kW (35.1PS) pada 12,000rpm di mana kami mampu mencapai kelajuan 165 km/j. Kami yakin kelajuan jentera ini boleh pergi lebih jauh lagi.
Walaupun menunggang lama dengan MT-25 ini, kedua belah kaki kami tidak terasa panas langsung. Ini kerana terdapat laluan udara yang terletak di bahagian sisi tangki. Udara dari luar akan masuk melaluinya terus ke bahagian bawah untuk merendahkan suhu enjin dengan cepat.
Selaju manapun jentera itu, tanpa sistem brek yang baik ia bukanlah sebuah mesin yang hebat. Untuk utamakan keselamatan penunggangnya, Yamaha telah memadankan MT dengan brek-brek jenis cakera hidraulik di bahagian hadapan dan belakang. Kami dapat memberhentikan jentera ini dengan cepat pada kelajuan tertinggi.
Tidak cukup dengan itu, MT dilengkapkan dengan sistem ABS dua saluran. Dengan adanya sistem ini, ia dapat memperlahankan jentera yang ditunggang dengan tepat dan selamat. Tayar tidak akan mudah terkunci ketika membrek dengan kuat walaupun berada di permukaan jalan yang basah atau licin.
Sistem saspensi hadapan jenis terbalik bekerja dengan cukup efisien. Walaupun melalui jalan-jalan yang berbonggol atau berlubang, tangan tidak terasa sakit atau mudah kebas. Lengan ayun belakang pula lengkap dengan penyerap hentak tunggal yang berfungsi dengan baik. Walapun menunggang berdua, jentera tidak rasa membuai semasa masuk/keluar di jalan berselekoh. Memang bagus sekali!
Kami amat berpuas hati menunggang MT-25 pada waktu malam. Suluhan lampu utama mampu menerangi keseluruhan suasana bahaya yang ada di hadapan seperti jalan rosak, haiwan melintas dan macam-macam lagi.
MT-25 berbakti dengan cemerlang sekali. Sistem suntikan bahan apinya tidak menghampakan kami. Dengan isian penuh tangki 14 liter, kami berjaya menyusuri perjalanan hampir 300 kilometer. Namun, penjimatan petrol juga memainkan peranan dengan mengikut jenis permukaan bumi, gaya tunggangan dan saiz penunggang.
Secara keseluruhan, MT-25 boleh dijadikan sebagai rakan untuk ke mana sahaja. Model ini ditawarkan pada harga RM21,500 (tanpa insurans dan pendaftaran) dengan dua pilihan warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue. Bagi mereka yang inginkan sebuah jentera naked yang selesa, pantas dan bergaya, sila kunjungi ke pusat pengedar sah jentera Yamaha yang berdekatan dengan anda untuk melihatnya dengan lebih dekat lagi. RR
Spesifikasi
Enjin | dua silinder sebaris, 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isi padu | 249cc |
Gerek x Lejang | 60.0mm x 44.1mm |
Kuasa maksimum | 25.8kW (35.1PS) pada 12,000rpm |
Trok maksimum | 22.6Nm (2.3kgf.m) pada 10,000rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
saspensi | fork teleskopik USD (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang) |
Tayar | 110/70R17 M/C (depan) & 140/70R17 M/C (belakang) |
Isi tangki | 14 liter |
Pengedar | Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) |
Popular