HONDA PCX HYBRID Tawarkan Enjin Lebih Efisien & Menjimatkan
Perasaan bangga amat ternyata apabila memiliki atau menunggang sebuah jentera yang cukup anggun, moden dan selesa. Ke mana sahaja dibawa, ia pasti menarik minat ramai. Gabungan rekabentuk lampu hadapan dan fairing utama yang dicipta cukup anggun adalah ciri-ciri utama mengapa Honda PCX terbaru tidak kiralah versi standard atau versi Hybrid menjadi kebanggaan sesiapa sahaja yang memilikinya.
Memang benar! Lampu utamanya jenis LED, lengkap dengan lampu DRL bukan sahaja memiliki rekabentuk yang sukar ditandingi oleh para pesaingnya, tetapi ia memberikan suluhan yang cukup terang tidak kira di waktu siang atau malam. Tidak melampau jika kami katakan pakej lampu PCX ini termasuklah lampu bahagian belakang yang bagaikan bentuk 'X' tampak seperti kenderaan mewah.
Ruang kakinya luas – selesa untuk semua jenis penunggang, dari ketinggian 5'2” hingga 5'10”. Lantai pemijaknya juga direka untuk semua saiz kaki – terima kasih Honda! Rekabentuk tempat pemijak untuk pembonceng juga kemas. Apabila ianya dilipat, tempat pemijak ini kelihatan seperti sebahagian daripada fairing sisi PCX.
Ketika menunggang uji model ini, kami turut diberi peluang untuk menikmati model PCX 150 standard (std) agar dapat dibuat sedikit perbandingan. Jujurnya jika dilihat rekabentuk luarannya secara kasar, kedua-dua model ini nampak macam saudara kembar – saling tak tumpah! Namun begitu bila kita amatinya dengan lebih dekat, barulah kita dapat lihat beberapa perbezaan yang cukup ketara di antara keduadua model ini.
Apa itu PCX dan apa itu PCX Hybrid? Secara ringkasnya PCX Std adalah sebuah jentera automatik konvensyenal yang digerakkan dengan penggunaan petrol seperti mana skuter-skuter lain. Manakala PCX Hybrid pula adalah sebuah jentera yang juga menggunakan enjin petrol tetapi ia dibantu serta dipadankan bersama sebuah bateri Lithium-ion dengan output tinggi. Ini menawarkan kadar pecutan dan respon lebih cemerlang dan pada masa yang sama memberi penjimatan bahan api.
Perbezaan pertama ialah pada bahagian meternya. Walaupun kedua-duanya berkongsikan panel jenis LCD Digital meter, paparan untuk model Hybrid dilengkapkan dengan info untuk sistem Hybridnya (tahap kekuatan bateri, bar pengecasan semula dan bantuan pecutan) dan pakej mod tunggangan. Di bahagian atas panel meter Hybrid, terdapat dua tahap bacaan iaitu Charge dan Assist.
Sistem moden ini (PCX Hybrid ) dikawal oleh Power Delivery Unit (PDU) yang bertindak untuk mengawal pengecasan semula bateri Lithium-ion (LI-ION) 48V sewaktu menunggang dan membantu menambahkan kuasa ketika membuat pecutan. Apabila kita menunggang pada kelajuan yang konsisten dan kadar hayat bateri di bawah 70%, bar penunjuk 'Charge' akan terpapar menandakan bateri sedang dicas dan apabila kita memulas pendikit untuk memecut, bar penunjuk 'Assist' akan terpapar, memberitahu penunggang bahawa PDU sedang meningkatkan kemantapan PCX ini untuk mendapatkan kelajuan dengan kadar segera. Memang padu!
Dengan menggunakan bateri LIION, ruang simpanan barang untuk model Hybrid agak terhad – tidaklah sebesar ruang barang PCX std yang bersaiz 25 liter. Bagi mereka yang ingin mengembara berdua, kotak barang GIVI belakang boleh dipasang untuk memudahkan simpanan barangan. Terdapat juga ruang barang kecil di bahagian kiri fairing hadapan yang boleh memuatkan dompet, bandana atau sarung tangan biasa. Ruang ini juga dilengkapkan dengan soket kuasa 12W untuk mengecas telefon pintar atau alat peranti lain.
Seperti kebanyakan skuter lain, tuas brek untuk kedua-dua PCX perlu ditarik terlebih dahulu sebelum menekan suis penghidup. Enjin skuter ini memang cukup senyap sekali sehingga bagaikan tidak kedengaran langsung ketika berada dalam kelajuan sifar. Untuk memberi kepuasan buat para pemilik model Hybrid, Honda telah melengkapkannya dengan dua mod tunggangan iaitu D untuk Drive yang sesuai untuk mereka yang inginkan tunggangan santai dengan kuasa pecutan biasa.
Untuk pecutan lebih mantap, tekan suis yang terletak pada bahagian depan bar hendal sebelah kiri untuk bertukar kepada mod S iaitu Sport dan nikmati perbezaan cukup ketara sewaktu memecut. Dalam mod D dan S, sistem Idling Stop System (ISS) berfungsi sepenuhnya dengan ‘mematikan’ enjin ketika kita memberhentikan skuter ini. Enjin akan hidup semula sebaik sahaja pendikit dipulas – ini membantu kadar pembakaran bahan api yang dapat diturunkan ke tahap minimum.
Bagi mereka yang menunggang di bandar yang seringkali terpaksa berhenti beberapa kali di lampu isyarat atau kesesakan lalu lintas, sistem ini memang sangat dialu-alukan. Sistem ISS ini turut dilengkapkan pada model PCX std yang boleh dihidupkan atau dimatikan menerusi suis (Idling / Idling Stop) yang terdapat di bar hendal sebelah kanan.
PCX Hybrid dan PCX std didatangkan dengan enjin satu silinder, sistem penyejuk cecair, SOHC, sistem suntikan bahan api elektronik (PGMFi) yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 10.8kW pada 8,500rpm dan tork 13.6Nm pada 6,500rpm yang dihantar cukup mantap untuk memecut di lebuhraya. Kuasa enjin ini dihantar terus ke sistem transmisi Honda V-Matic Dry Type Automatic Centrifugal Clutch yang menjadikan setiap saat berjalan dengan lancar cuma enjin untuk kedua-dua model hanya ‘mengizinkan’ kita berlari paling laju sekitar 117-118km/j sebelum ia tersentap-sentap. Kemantapan sebenar mesin-mesin automatik amat terserlah apabila ia dibawa ke tengah-tengah bandar. Keduadua PCX amat mudah dikendalikan walaupun ketika berada di laluan yang terhad dan kecil. Dengan menggabungkan ketangkasan dan kuasa pecutannya, sekali pulas sahaja kita sudah mampu menjarakkan diri dengan para pengguna jalan raya yang lain – lebih selamat! Satu lagi keseronokan memacu Honda PCX ini tidak kiralah dengan santai ke... laju ke... ialah ketegaran kerangkanya jenis Double Cradle itu memberi kestabilan yang amat meyakinkan.
Untuk tunggangan santai, posisi menunggang PCX ini memang selesa tetapi apabila jarak perjalanan sudah melebihi 160 kilometer, bahagian pinggang sudah mula lenguh dan ini mungkin disebabkan salah seorang daripada kami agak tinggi – posisinya kelihatan sedikit membongkok berbanding dua lagi rakan RR. Dengan pelana yang mempunyai dua tahap ketinggian, penunggang yang tinggi lampai sukar untuk mengubah posisinya ke belakang sedikit. Tapi buat mereka yang berketinggian biasa, saiz dan tinggi pelana ini tidak mendatangkan masalah.
PCX Hybrid dan PCX std dilengkapkan dengan fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap belakang jenis spring yang menyerap segala hentakan dengan baik. Cuma sistem brek belakang untuk kedua-dua model yang kini masih menggunakan brek gelendong diharap boleh dipertingkatkan kepada jenis cakera sepertimana brek hadapan. Apa pun, kuasa membrek cukup cemerlang yang dapat kami nikmati ketika memperlahankan kelajuan dengan kadar segera atau ketika mengekalkan laluan dengan tepat di jalan-jalan berliku.
Kedua-dua PCX didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 100/80-14 M/C (depan) dan 120/70-14 M/C (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan mantap. Belokan dapat dilakukan dengan bersahaja tanpa perlu rasa risau atau membuang. PCX std seberat 130kg manakala versi Hybrid hanya 4kg lebih – membolehkan kita menarik, menolak dan mengubah kedudukannya dengan mudah.
Penggunaan kunci pintar pada kedua-dua model menzahirkan rasa mewah dan bukti tahap kemodenan yang dibangunkan pada skuter-skuter berkuasa sederhana dari Honda. Sebaik sahaja kita parkirkan skuter ini, pulas sahaja tombol untuk mematikan enjin dan mengunci tengkuknya.
Selepas menunggang kira-kira 220 kilometer, penggunaan bahan api untuk PCX Versi Hybrid agak jimat berbanding model std. Walaupun tidaklah begitu banyak - perbezaan yang kami dapat sekitar 15 kilometer tetapi dari segi kekuatan membuat pecutan memang sangat ketara. PCX Hybrid lebih lancar dan pantas untuk memintas atau 'melonjakkan' diri ke hadapan berbanding kembarnya.
Secara keseluruhannya, perbezaan paling ketara di antara PCX std dan PCX Hybrid tertumpu kepada corak penghantaran kuasa. Versi Hybrid memang lebih lancar dan pantas lebih-lebih lagi apabila kita menggunakan mod S berbanding model biasa. Dari segi pengendalian, laju maksimum, sistem keselamatan dan kawalan ketika menunggang dirasakan hampir tidak ada bezanya walaupun versi Hybrid lebih berat. Memang seronok meluangkan masa bersama skuter ini kerana ia selesa, lancar dan pandai menarik minat ramai.
Untuk model std, ia dijual pada harga RM10,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Euphoria Red Metallic, Radiate Grey Metallic dan Pearl Metalloid White. Harga untuk versi Hybrid pula ialah RM13,499 dengan tiga warna menarik menanti para peminat iaitu Pearl Horizon White, Sword Silver Metallic dan Asteroid Black Metallic. RR
Spesifikasi
Enjin | Silinder tunggal, sistem penyejuk cecair, SOHC |
Gerek x Lejang | 57.3 x 57.9mm |
Nisbah mampatan | 10.6:1 |
Kuasa maksimum | 10.8kW pada 8,500 rpm |
Tork maksimum | 13.6Nm pada 6,500 rpm |
Kerangka | Double Cradle |
Tinggi pelana | 764mm |
Isi Tangki | 8 liter |
Berat | 134 kg |
Pengedar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular