YAMAHA XJ6 DIVERSION : Berfairing, Tampak Lebih Mantap!
XJ6 Diversion merupakan model berkuasa tinggi dari Yamaha yang pertama diperkenalkan pada tahun 2011 dan dua tahun selepas itu kita ditemukan pula dengan model XJ6 versi Naked yang ternyata tampak lebih garang dan ranggi. Sememangnya jenama ini (XJ6) berjaya menambat hati para pengguna motosikal di Malaysia kerana kemantapan enjinnya, penggunaan bahan api yang jimat, rekabentuk yang ranggi dan kestabilan dalam semua jenis tunggangan.
Jika kita perhatikan, model XJ6 Diversion dilengkapi dengan fairing separa penuh, bahagian enjin masih lagi terdedah manakala model Naked pula sudah tentu tidak berfairing dan yang terbaru ialah XJ6 Diversion F, sebuah model terbaru yang hadir ke pasaran dengan fairing penuh. Ya...model ini ternyata lebih kemas, anggun dan mirip kepada model sportbike.
Model ini didatangkan dalam dua versi warna iaitu putih dan biru perlumbaan (Race Blu). Dari segi rekabentuk, bahagian hadapan kini dilengkapi dengan corong laluan udara yang menyejukkan bahagian enjin dengan baik sekali. Walaupun tidak lah jauh bezanya berbanding model Diversion tetapi perasaan awal apabila berada di sebelahnya memang agak mengujakan. Kita pasti akan rasakan XJ6 ini lebih sesuai untuk tunggangan pantas dan sporty. Selain melindungi enjin daripada terkena bendasing ketika memacunya di atas jalan, fairing ini juga berperanan untuk memberi laluan udara dari hadapan ke belakang dengan efisien sekali.
Putaran enjinnya memang cukup segar, tidak hairanlah karaktor enjin yang senyap dan lembut ini berjaya menarik hati ramai. Enjin F ini bersesaran 600cc dengan gerek dan lejang bersaiz 65.5mm x 44.5mm – menawarkan kuasa yang cukup hebat di peringkat pertengahan. Diversion ini berkuasa 57.0kW pada 10,000rpm dan tork 59.7Nm pada 8,500rpm. Memecut atau memintas kenderaan lain di lebuhraya amat mengutamakan kemantapan dan hantaran kuasa yang tinggi – inilah kelebihan semua model XJ6, termasuk model baru ini, pulas sahaja pendikit dan rasakan kepantasannya membelah angin.
Apabila jentera ini digerakkan dengan lebih pantas, kestabilannya dikala ini memang wajar diberi pujian. Satu per satu gear dipertingkatkan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Dengan casis yang tegar, ketegapannya memudahkan kita memecut ke tahap maksimum dengan pantas dan selamat. Itu kalau menunggang laju, XJ6 juga terkenal sebagai jentera yang sesuai untuk digunakan ke tempat kerja kerana ia menawarkan pengendalian yang mudah. Tidak kiralah yang biasa, yang naked atau yang lengkap penuh berfairing ini...semuanya sama – mudah!
Menunggang model ini memang menyeronokkan. Walaupun XJ6 Diversion sudah cukup popular di kalangan pengguna motosikal, ada juga yang terkejut apabila melihat model F ini. “Wah...ini XJ6 model mana pula ni?” “Memang boleh tambah fairing ke?” Ada orang bertanya tanpa melihat huruf 'F' terpampang di sisinya. Apabila diterangkan, mereka yang cenderung kepada jentera sport pastilah lebih suka dan kerana Diversion F ini mirip dengan model-model sportbike berbanding model sebelum ini.
Model baru ini bukan sahaja nampak seperti model sport tetapi ia mampu memberi prestasi seperti mana yang kita inginkan. Sememangnya ia antara model 600cc yang amat mudah dipacu di jalan-jalan berselekoh. Pilih gear, ubah posisi menunggang dan ratah setiap selekoh di hadapan kita dengan kemas. Tiada langsung terasa membuang walaupun miringan dilakukan semakin lama semakin mendalam. Tayar bersaiz 120/70 ZR17MC di depan dan 160/60 ZR17MC di belakang mencengkam dengan cemerlang sekali.
Apabila berada di tengah-tengah bandar, bahang panas sedikit terasa ke arah penunggang dari bahagian bawah enjin. Habanya tidaklah begitu panas sehingga mengganggu tetapi itulah perbezaannya berbanding dua model sebelum ini. Kesemua model XJ6 dilengkapi dengan fork hadapan jenis teleskopik yang menyerap segala hentakan dengan baik manakala sistem brek hadapan jenis brek cakera hidraulik tidak pernah mengecewakan. Kami pastinya menyukai sebuah jentera yang mampu diperlahankan dengan pantas dan selamat.
Jika dibandingkan ketiga-tiga model, Diversion F adalah yang paling berat iaitu 215kg, lebih 10kg daripada model Naked dan 4 kg berbanding model Diversion. Walaupun begitu, kehebatan enjinnya banyak menjadikan kita lupa akan perbezaan yang agak ketara ini. Diversion F baru dengan tenang menawarkan tunggangan yang selesa dan menjimatkan. Dengan sekali isian tangki sebesar 17 liter, kita mampu menjelajah lebih daripada 200 km dengan mudah (dengan kelajuan sekitar 120-140km/j). Model baru ini ditawarkan pada harga asas yang cukup menarik iaitu RM39,800. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 600cc |
Gerek x Lejang | 65.5 x 44.5mm |
Nisbah mampatan | 12.2:1 |
Kuasa maksimum | 57.0kW pada 10,000rpm |
Tork maksimum | 59.7/nm pada 8,500rpm |
Tinggi pelana | 785mm |
Berat | 215kg |
Isi tangki | 17 liter |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. |
Popular