DUCATI SCRAMBLER Back To The Future?
Kali terakhir Ducati Scrambler berkuasa 250/350/450cc berwarna kuning meninggalkan kilangnya di Bologna, Itali ialah pada tahun 1975 selepas kejayaan menjual sebanyak 40,000 unit. Setelah berfikir lama, Ducati akhirnya memperkenalkan kembali model Scrambler ini di Pameran Motosikal Antarabangsa Intermot pada bulan Oktober lalu manakala proses penghantaran model ini ke seluruh dunia bermula Februari ini.
Saya mendapat peluang menguji jentera baru ini di sebuah bandar Palm Springs, California. Kami juga disediakan tempat khas yang penuh dengan segala aktiviti menarik seperti persembahan hebat kumpulan rock, minuman yang menyegarkan, permainan ping pong dan makanan yang lazat-lazat belaka. Selepas melihatnya di hadapan mata, apa yang boleh saya katakan ialah...persamaan antara model ini dengan yang lama ialah pada namanya yang tertulis pada bahagian tangki. Itu sahaja...yang lain, kesemuanya serba baru. Bak kata Mario Alvisi (Pengarah Jenama Ducati), “Ianya adalah sebuah jentera baru!”
Model baru ini dihasil berkonsepkan Land of Joy atau keseronokan dan inspirasi diri yang sememangnya bakal dinikmati oleh setiap jiwa yang memilikinya. “Turut ditawarkan ialah 200 jenis barangan dan aksesori lepasan jualan khusus untuk mencantikkan Scrambler ini. Kami di Ducati ingin para penunggang tahu bahawa dengan Scrambler baru ini, destinasi bukanlah perkara utama tetapi perjalanan ke sana adalah segalanya.”
Menurut Ducati, nama motosikal ini (Scrambler) diambil daripada perkataan Inggeris iaitu scramble yang bererti campur aduk atau pengadunan (blending) tetapi apabila dibawa ke pasaran US, lain pula jadinya. Pada tahun 1962, pengimpot dari US, Joe Berliner pula merujukkan perkataan scramble ini dengan motosikal scramblers, jentera lasak (dirt bike) yang digunakan dalam perlumbaan motocross. Jadi pasaran di Amerika ketika itu agak hebohlah dengan kisah Ducati memperkenalkan model baru berkonsepkan dual purpose sedangkan nama asal mesin ini cukup berbeza. La... begitu rupanya.
Semestinya model baru ini menawarkan gaya hidup yang cukup istimewa – ia boleh bersama anda untuk semua jenis pengembaraan. Menurut Alvisi, warna merah adalah sesuatu yang biasa dalam dunia Ducati tetapi apabila menyemburkan jentera mereka dengan warna kuning, ia adalah sesuatu yang cukup istimewa. Model baru ini didatangkan dalam empat versi. Icon ialah model asas yang berwarna merah atau kuning. Didatangkan dengan bar hendal keluli, pelana berwarna hitam dan rim 10 jejari aluminium. Model Classic pula hanya terdapat dalam warna Orange Sunshine, madgad aloi, rim jenis berjejari biasa dan pelana berjahit berwarna coklat.
Urban Enduro pula ditawarkan dalam warna Hijau Wild bagaikan sedang melakukan penyamaran jika menunggang di kawasan hutan simpan. Pelananya jenis berjalur yang berwarna coklat, mesin ini lengkap dengan pelindung air, pelindung fork, besi pelindung lampu utama, pelindung paip ekzos dan madgad yang lebih tinggi. Full Throttle pula adalah versi sport berwarna hitam, sistem ekzos bercorong kembar Termignoni, madgad kecil dan bar hendal aluminium yang agak tirus. Apa yang lebih menarik ialah setiap versi dilengkapkan dengan lambang Scrambler Ducati yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
Keempat-empat versi Scrambler ini berkongsi ciri-ciri rekabentuk utama iaitu gabungan antara mesin retro dan moden. Lihat sahaja tangkinya bersaiz 13.5 liter yang dibentukkan seumpama setitik air (tear-drop shape) dan bagi para pencinta motor ini, mereka boleh menukar rekaan pelindung di tepi tangki ini yang hanya diketatkan dengan menggunakan skru. Terdapat lubang USB di bawah pelana dan lampu utamanya mempunyai lingkaran LED yang cukup kemas dan anggun. Lampu LED ini juga akan terus menyala – amat berguna di negara-negara yang mewajibkan pemasangan lampu setiap masa (Malaysia sebagai contohnya).
Panel meter Scrambler ini adalah jenis digital yang memaparkan tahap kelajuan, tahap rpm, range dan jam. Sayang sekali meter kedudukan gear tidak disertakan dan ini adalah satu kesilapan yang agak besar kerana mesin ini bakal ditunggangi oleh semua jenis penunggang termasuk penunggang muda. Mereka yang kurang berpengalaman sering kali keliru dan tersalah gear terutama sekali apabila menunggang sebuah motosikal semudah Scrambler ini. Satu lagi yang agak mengecewakan….jentera ini tidak dilengkapkan dengan penunjuk bahan api, hanya lampu amaran sahaja.
Apa yang cukup rare (istimewa) ialah tayarnya yang bersaiz 18 inci (hadapan) dan 17 inci di belakang. Scrambler ini menggunakan brek hadapan 330mm agak sama seperti yang digunakan pada model Panigale. Penyerap hentak jenis cantilever dari jenis Kayaba dan untuk tunggangan yang lancar di pelbagai jenis jalan, Ducati ini didatangkan dengan tayar Pirelli MT60RS yang sememangnya dikeluarkan khas untuk model baru ini. Tayar ini memberikan cengkaman yang cemerlang seperti Pirelli Diablo Rain yang telah banyak memberikan kejayaan kepada para pelumba motosikal. Jadi….para pemilik Scrambler atau Scrambleristi dapatlah menunggang dengan yakin sekali walaupun di atas salji!
Ducati baru ini juga masih mengekalkan malah satu-satunya model desmodue (model desmo dua injap) yang menggunakan sistem penyejuk jenis udara/minyak dalam katalog jentera Ducati selepas sistem sama yang digunakan pada model Monster tidak lagi diteruskan. Enjin kembar, 803cc ini sebenarnya ‘diperolehi’ daripada model Monster 796 tetapi telah direka semula agar hantaran kuasa lebih lembut, lancar dan tepat.
Kotak gear enam kelajuan ini sama seperti yang digunakan pada model Monster dan turut dilengkapi dengan sistem anti-lock slipper yang mengelakkan tayar belakang daripada hilang kawalan ketika proses menurunkan kedudukan gear. Walaupun segala sistem dan karaktor enjin mirip dengan Monster 796, kuasa maksimum Scrambler ini hanya sekitar 75bhp pada 8,250rpm berbanding model Monster yang berkuasa 87bhp. Nilai bacaan untuk kuasa tork ialah 68Nm pada 5,750rpm (Monster 78Nm).
Scrambler baru ini adalah sebuah jentera yang mudah dikendalikan, praktikal, mesra penunggang dan cukup berlainan berbanding jentera Ducati yang lain. Dengan pelana yang hanya setinggi 790mm, hampir semua jenis penunggang mudah mengawal mesin ini apabila tiba di persimpangan atau ketika lampu merah sedang menyala. Posisi menunggang model versi Icon memang cukup ideal, bar hendalnya lebar menjadikan tunggangan lebih relaks dan selesa walaupun untuk perjalanan jauh. Tangkinya direka dengan bentuk yang memudahkan kita mengepit dengan lutut. Cermin sisinya memang saya puji kerana cukup jelas dan paling penting…ia tidak bergegar ketika mesin sedang bergerak.
Klac model ini memang cukup lembut, tidak lagi rasa lenguh seperti menunggang mesin klac kering Ducati yang lain dan proses penukaran gearnya sangat lancar – cukup setanding untuk kita bandingkan dengan jentera dari Jepun. Walaupun agak tergoda dengan sifat lembutnya, respon yang kurang sempurna ketika memasuki gear-gear terawal sedikit mengecewakan. Kuasa yang hadir secara tiba-tiba ketika memulas pendikit untuk keluar dari selekoh juga perlu diperbaiki dan saya rasa ianya berpunca daripada pemetaan hantaran bahan api. Sebagai sebuah jentera yang akan ditunggangi oleh penunggang baru, sistem traction control (TC) dan bantuan tunggangan elektronik yang lain sepatutnya dilengkapkan pada model ini.
Tidak mengapalah, masalah itu kecil sahaja dan segalanya telah berjaya dilupakan apabila kita menikmati karaktor enjin kembarnya yang berjalan dengan begitu kemas sekali. Zon putaran enjin yang paling digemari ialah sekitar 3-6,000rpm atau dalam kelajuan 80km/j (gear keenam). Kualiti tunggangan yang menyeronokkan ini hadir dengan kecekapan sistem saspensinya bertindak. Brek hadapan yang saiznya agak besar itu juga memberikan keyakinan kepada kita untuk menunggang dengan agak pantas walaupun di dalam selekoh.
Ducati ternyata sebuah syarikat yang sentiasa mampu berdiri dengan megah atas apa sahaja yang diperkenalkan. Dengan kualiti yang tinggi, pasaran Scrambler ini pastinya mendapat sambutan yang cukup hangat. Sememangnya kita memerlukan sebuah jentera yang selesa, seronok dan berkuasa untuk membawa kita ke destinasi yang dipilih dan ketika inilah kita akan memikirkan untuk menunggang Scrambler ini. RR
Laporan: Alan Cathcart
Foto: Milagro
Spesifikasi
Enjin | kembar-L,Desmodromic, sistem penyejuk udara/minyak |
Isipadu | 803cc |
Gerek x Lejang | 88 x 66mm |
Nisbah mampatan | 11.0:1 |
Kuasa maksimum | 75hp pada8,250rpm |
Tork maksimum | 68Nm pada5,750rpm |
Tinggi pelana | 790mm |
Berat | 170kg |
Isi tangki | 13.5 liter |
Popular