Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2015

Vespa Primavera Dulu, Kini & Selamanya

Minat kita pada motosikal ternyata berbeza antara satu sama lain. Ini kerana kita mempunyai citarasa dan kehendak yang berbeza. Ada yang minat pada kelajuan, ada pula yang mementingkan keselesaan dan pastinya ada yang suka kerana ia cukup bergaya. Percaya atau tidak, jentera ini hampir disukai dan digemari oleh setiap pencinta motosikal tidak kira dulu, kini dan mungkin selamanya. Jentera yang dimaksudkan ialah Vespa, sebuah skuter lagenda yang telah berada di pasaran dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Vespa atau dalam bahasa latinnya ‘Vasp’ bermaksud sengat mula dibuat pada tahun 1946 di Pontedera, Italy oleh sebuah syarikat ternama, Piaggio & Co. S.p.A. Rekaan bentuk luarannya diambil berasaskan jentera keluaran Cushman dari Amerika Syarikat yang dibuat pada era Perang Dunia Ke-2. Kemunculan jentera ini terus menerima sambutan yang sangat positif kerana ia cukup tegap (keluli), mempunyai pelindung enjin dan paling utama ialah warna yang bermacam jenis – cukup menarik!

Dari saat itulah, pengeluaran motosikal berjenama Vespa semakin meningkat dari hari ke hari. Ini dibuktikan dengan jumlah penjualan sebanyak 2,500 unit pada tahun 1947 diikuti lebih daripada 10,000 unit setahun kemudian, 20,000 unit pada tahun 1949 dan 60,000 unit pada tahun 1950. Lihatlah betapa hebatnya perkembangan syarikat ini hanya dengan satu nama. Vespa ditawarkan dalam dua jenis dengan dua saiz kerangka (besar dan kecil). Bagi kerangka kecil, ia lebih sesuai untuk enjin berkapasiti rendah, di bawah 125cc manakala kerangka yang besar untuk enjin 125 hingga 200cc.

Pada tahun 1952, buat pertama kalinya mesin Vespa digunakan di layar perak menerusi filem Roman Holiday lakonan Gregory Peck dan Audrey Hepburn. Vespa terus mendapat permintaan tinggi menyebabkan kilang pemasangan Vespa terpaksa dibina di serata dunia seperti di Jerman, U.K, Perancis, Belgium, Sepanyol, India, Brazil dan Indonesia pada tahun 1960an. Pemasangan Vespa di Indonesia telah memberikan peluang buat para pencinta motosikal di negara-negara jiran merasai nikmat memacunya.

Di Malaysia juga tidak terkecuali! Vespa diminati oleh semua golongan masyarakat, tidak kira bangsa, umur dan gaya hidup. Seperti negara-negara lain, populariti jenama ini terus meningkat selepas ia menjadi ‘bintang filem’. Antara filem-filem klasik yang menggunakan mesin ini ialah Ali Baba Bujang Lapok (1961), Nasib Do Re Mi (1966) dan banyak lagi.

Begitulah sedikit sebanyak sejarah jentera Vespa. Apabila memasuki era moden, Vespa juga seiring dengan kemajuan dan teknologi yang dilengkapkan pada sesebuah motosikal. Antara pembaharuan yang dilakukan tentulah pada bahagian enjin, sistem saspensi, brek, panel meter dan banyak lagi tanpa mengusik rekabentuk asal dan keunikannya. Kalau nak dikongsi model-modelnya memang tak habis…banyak sangat. Antara model-model baru yang ‘hangat’ di pasaran ialah LX150, PX 150, LXV 150, GT200, ET2 50, S 125 dan Primavera.

Primavera dilancarkan di Malaysia pada bulan September lalu dan ia memang sebuah skuter yang benar-benar ‘hot’. Ya… sememangnya melihat akan model ini sahaja sudah mampu membawa kita kembali ke zaman silam kerana bentuknya yang terus dikekalkan sama. Itulah keunikan jenama ini. Dari rekabentuk hadapan hingga ke belakang, tidak banyak bezanya jika hendak dibandingkan dengan model-model sebelum ini.

Lampu utamanya kekal bulat tetapi lampu di fairing hadapan kini menggunakan LED yang tampak lebih moden. Lampu belakang tentunya lebih cerah, elegan dan rim lima jejari membantu menjadikan bentuknya lebih mantap. Sistem ekzosnya kini dilengkapi dengan pelindung panas dari besi tahan karat dan aksesori ini cukup penting terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan kejiranan yang terdapat ramai kanak-kanak. Dengan ketinggian anak-anak ini, tubuh mereka sangat terdedah kepada bahagian-bahagian panas seperti brek cakera, enjin dan semestinya sistem ekzos.

Seperti yang sedia maklum, Vespa ini dilahirkan di Eropah maka sudah tentu ia menitik beratkan keselesaan semua jenis penunggang termasuk mereka yang bersaiz tinggi dan besar. Ia terbukti, ruang antara papan pemijak dan bar hendal luas – lutut kita tidak akan tersentuh atau terganggu sama ada ketika memecut atau pun di selekoh tajam seperti pusingan ‘U’ dan kelincahan di ruang kecil ini juga disebabkan tapak rodanya yang agak pendek (1,334mm). Melihat akan saiznya yang kecil molek, sukar untuk dipercayai bahawa ruangan untuk menyimpan barangan para penunggang cukup banyak. Okay…ruang di bawah pelana cukup luas untuk menyimpan beg tangan, topi keledar, beg galas, peralatan pembelajaran dan makanan. Ruang hadapan (berdekatan dengan lutut) boleh menyimpan barangan bersaiz kecil seperti dompet, air, telefon bimbit dan sebagainya.

Enjin silinder tunggal, empat lejang dan berisipadu 154.8cc menawarkan tunggangan yang pantas dengan kuasa maksimum 8.7kW pada 7,500rpm dan tork 12Nm pada 5,000rpm. Jangan terkejut pula apabila kita antara yang berupaya memecut laju meninggalkan kenderaan apabila pendikit dipulas dari keadaan melahu. Memang benar…ia meluru ke hadapan dengan laju sekali! Ketika ia mula bergerak, teringat juga dengan sistem gear yang dipasangkan di bar hendal, memang unik.

Saiz meternya tidak jauh beza berbanding model lama tetapi kini ditambah dengan meter digital. Walaupun kecil, ia memaparkan info-info penting seperti tahap kelajuan (analog), tahap bahan api, masa, jarak perjalanan dan ianya sungguh mudah dibaca kerana lampu latar belakang meter ini terang dan jelas.

Dengan berat badan 120kg (berat kering), Primavera menawarkan pengendalian yang cukup mudah dan inilah yang kita inginkan terutama ketika memacunya di dalam bandar yang seringkali memerlukan kita untuk mencelah kenderaan lain. Vespa juga sering dikaitkan dengan gaya hidup dan menunggangnya lebih dirasakan menarik dengan mengenakan pakaian yang sesuai seperti bercermin mata hitam, jaket, tali leher (kalau tak panas) – memang kacak!

Oleh kerana agak ringan, meluncur dalam kelajuan maksimum iaitu sekitar 110-115km/j ia memerlukan genggaman yang kuat kerana agak bergoyang sedikit di atas lebuh raya, lebih-lebih apabila dipintas oleh kenderaan besar. Itu dalam kelajuan tinggi, jika sekitar 80-90km/j ia masih stabil. Keyakinan untuk meluncur dengan laju disebabkan sistem brek cakera 200mm (depan) dan jenis gelendong 140mm di belakang bertindak cukup efisien.

Di jalan-jalan berselekoh, Vespa ini juga langsung tidak mengecewakan. Saspensi hadapan Primavera terdiri daripada fork tunggal dengan penyerap hentak hidraulik. Ia bertindak dengan kemas walaupun ketika kita membrek dengan keras. Kita tidak akan terasa bagaikan tergelunsur ke hadapan walaupun di atas pelana yang rata. Penyerap hentak belakang memberikan keselesaan bukan satu tetapi untuk dua orang termasuk pembonceng. Dengan ruang barang yang luas dan kemantapan enjinnya, Vespa adalah pilihan yang sesuai untuk membeli belah di waktu perayaan yang seringkali sesak dengan kenderaan empat roda.

Setiap kali kita memberhentikan Vespa ini pasti akan ada yang datang ‘menjenguk’ tambah-tambah pula abang-abang kita yang ‘otai-otai’. Sememangnya pencinta Vespa tidak ada batas usia dan suku kaum, kita semua sama! Antara topik yang akan dibincangkan pastinya kisah-kisah lama seperti saat Vespa ini baru memasuki pasaran tanahair, betapa popularnya Vespa saat itu, berapa harga Vespa baru, pakai gear ke dan banyak lagilah.

Satu lagi perkara yang menjadikan Primavera ini menjadi kesukaan iaitu menunggangnya di waktu hujan. Okay…fairing hadapan memang banyak membantu menjadikan kasut dan sebahagian seluar kita tidak terkena percikan air hujan di permukaan jalan. Kalau hujan lebat bahagian atas seluar kita akan basah tetapi dari lutut hingga ke kasut terbukti 80% kering. Macam kata iklan televisyen… “Kami telah buktikan!”

Kami dapat memacu Vespa ini lebih daripada 150 kilometer dengan sekali isian penuh tangki bersaiz 8.5 liter dalam pelbagai jenis gaya tunggangan dan permukaan jalan. Sememangnya ia adalah mesin Itali yang kini pilihan yang sesuai digunakan di mana sahaja kerana ia menawarkan gaya, tunggangan yang lincah dan penjimatan bahan api yang baik. Terdapat empat warna pilihan iaitu Azzuro Marechiaro (biru muda), Montebianco (Putih), Rosso Dragon (Merah) dan Nero Vulcano (Hitam) yang ditawarkan para harga RM11,888. RR

Isu Pada

Januari 2015

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal LEm
Isipadu154cc
Gerek x Lejang58 x 58.6mm
Nisbah mampatan10.5:1
Kuasa maksimum8.7kW pada 7,5000rpm
Tork maksimum12Nm pada 5,000rpm
Tinggi pelana 780mm
Berat117kg
Isi tangki8.5 liter
Pengedar rasmiNaza Premira Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan semula pengenalan warna White Trico bersama dengan dua pilihan warna yang baru iaitu Matte Blue dan Sliver.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.