HONDA NM-4 VULTUS Motosikal Manga
Mungkin kerana ia adalah yang terbesar, jadi mereka mampu melakukan sesuatu di luar sempadan, dengan ‘poket’ yang dalam, mereka juga mampu menukar rancangan dan pembangunan dengan kadar segera seterusnya melancarkan projek terbaru. Sememangnya Honda mempunyai sejarah-sejarah hebat menghasilkan jentera yang cukup luar biasa.
Hasil inovasi yang dimaksudkan ini tidak hanya tertumpu kepada bahagian teknikal seperti omboh, enjin perlumbaan V5, kerangka monocoque atau sistem transmisi DCT sahaja tetapi secara keseluruhan. Contoh paling mudah dapat kita lihat ialah model DN-01, Rune, Pacific Coast 800, model pertama Super Cup 50 dan yang terkini CTX700/1300. Honda bukan sebuah pengeluar yang hanya ingin nampak cantik di bilik-bilik pameran tetapi ia lebih layak dijadikan sumber inspirasi.
Jentera mereka ini telah dipertontonkan buat pertama kali pada bulan Mac 2014 iaitu di Pameran Motosikal Osaka dan tidak lama selepas itu di Konvensyen Buku ComicCon, London. Mengapa di sana…ia adalah lokasi paling sesuai kerana model terbaru ini, Honda NM4 Vultus dihasil berdasarkan rekabentuk lukisan komik-komik terkenal Jepun iaitu Manga dan juga siri animasi dari Jepun. Rekaan ini memang lain daripada yang lain dan pastinya ia juga menawarkan pengalaman menunggang yang serba berlainan.
Dalam bahasa Latin, Vultus ini bermaksud muka atau ekspresi dan terima kasih kepada perekanya, Taro Nishimoto, NM4 (New Motorcycle? – pihak Honda tidak nyatakan) ini ternyata berjaya menarik minat dan perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Ini adalah sebuah motosikal yang cukup sesuai untuk generasi baru dunia moden yang membesar dengan permainan video dan playstation. Jika mereka sukakan model skuter kerana ia praktikal, hakikatnya Vultus ini menawarkan lebih daripada yang mereka inginkan!
Vultus ini memang bukan sekadar rupa! Saya sendiri membuktikannya selepas beberapa hari menunggang dan menikmati perjalanan bersama mesin baru ini. Saya diberi peluang untuk menguji satu daripada 25 unit Vultus yang dibawa ke Eropah untuk sessi ini manakala Honda Europe telah pun menempah 500 unit untuk dipasarkan pada harga Euro 11,600 termasuk cukai sebanyak 20%.
Model ini direka oleh sekumpulan anak-anak muda yang diketuai oleh pemilik CBR600RR, Keita Mikuna dengan tujuan – menghasilkan sebuah motosikal yang tidak mampu diciplak dan mempunyai identiti tersendiri yang hanya satu seumpamanya.
Jadi, moto Manga ini menawarkan rekabentuk yang cukup-cukup menarik. Ia boleh dikelaskan dalam dunianya tersendiri. Boleh juga dikatakan sebagai sebuah cruiser kerana pelananya rendah, tempat meletak kaki yang selesa dan sistem transmisi semi-auto atau automatik sepenuhnya. Ia juga sesuai difikirkan seperti sebuah model Harley-Davidson Sportster di kurun ke-22. Bagaimana pula jika kita bayangkan ia sebuah model Alligator Dan Gurney yang dilengkapi dengan enjin berkonsepkan F1 atau Vultus ini merupakan gabungan sebuah motosikal biasa dan skuter yang menjanjikan prestasi yang hebat?
Atau ia bukanlah seperti yang dikatakan di atas, sebaliknya Vultus adalah satu lagi kehebatan Honda yang dicipta untuk memberikan sesuatu yang hebat bagi para penunggang motosikal di seluruh dunia!
“Kehebatan kurun ke-21 kadangkalanya dikaitkan dengan kepesatan dunia Asian,” komen pakar rekabentuk industri dari Australia, Mike Hanlon. Dia juga memiliki laman sesawangnya sendiri iaitu www.gizmag.com yang melaporkan kemunculan produk-produk terbaru pelbagai jenis.
“Kebangkitan Asia terutamanya dari segi harta dan kekayaan telah mengubah gaya hidup dan pemikiran masyarakat termasuklah rekabentuk sistem pengangkutan. Dua pertiga daripada populasi dunia berada di Asia yang kebanyakannya telah biasa dengan persekitaran penggunaan skuter. Di sinilah kita mendapati potensi terbesar untuk memperkenalkan model ini kerana ia mantap, berbentuk anggun dan amat mudah untuk digunakan oleh sesiapa sahaja,” tambahnya lagi.
Mikura dan pasukannya telah melengkapkan Vultus ini dengan enjin kembar-parallel lapan injap yang bersesaran 607cc – enjin yang mirip dengan model NC700 dan CTX700 yang terbukti akan kehebatannya. Dengan saiz gerek (77mm) dan lejang (80mm), kuasa tork sememangnya cukup luas dan kuat walaupun ketika berada di putaran enjin yang rendah. Jentera ini menawarkan kuasa 54hp pada 6,250rpm dan tork 68Nm pada 4,750rpm menerusi nilai nisbah mampatan 10.7:1. Dalam erti kata lain, prestasi dan karaktornya tidak jauh berbeza dengan enjin kembar-V atau seperti Super Tenere dan TRX Sportbike.
Sistem pancitan bahan api PGM-FI menerusi badan pendikit Keihin 36mm memberikan semburan yang tepat dan sempurna – terima kasih kepada sensor oksigen lambda probe yang telah dipasangkan di dalam sistem ekzos. Dengan penggunaan bahan api yang tepat, Vultus ini dikhabarkan mampu bergerak sejauh 28.4 kilometer dengan satu liter petrol atau lebih kurang 300 kilometer dengan satu tangki penuh 11.6 liter – Ya, memang cukup memberangsangkan.
Model baru ini juga didatangkan dengan sistem Dual Clutch Transmission (DCT). Tuas klac tidak lagi diguna dan ini memberikan pilihan kepada penunggang untuk memilih sama ada untuk menunggang dalam mod automatik sepenuhnya dengan ‘D’ untuk drive atau ‘S’ untuk Sport. Mod manual (MT) pula membolehkan penunggang menaik dan menurunkan gear menerusi butang gear yang terletak di bawah hendal sebelah kiri (berdekatan dengan ibu jari) – macam sedang bermain permainan komputer pula ya!
Motosikal Manga ini dilengkapkan dengan kerangka keluli tiub jenis berlian seperti yang digunakan pada model CTX700. Ia menggunakan saspensi hadapan konvensional 43mm manakala di belakang, lengan ayun aluminium jenis Showa yang menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali. Kestabilan memacu Vultus juga disebabkan tapak rodanya yang tepat dengan keseluruhan rekabentuknya iaitu 1,645mm. Kecekapan sebeginilah yang diperlukan bagi menarik minat penunggang lelaki dan wanita untuk memilikinya. Seperti Catwoman atau Batman….
Rim 10 jejari aluminium ini bukan sahaja menarik tetapi cukup tegar untuk membawa bebanan iaitu tayar-tayar yang bersaiz 120-70 ZR18 (hadapan) dan 180-50 ZR17 (belakang). Model ini hanya didatangkan dengan satu brek cakera 320mm di depan, 240mm di belakang dan untuk menampung sebuah jentera seberat 245kg, ia juga dilengkapi dengan sistem ABS.
Bentuk badan ala motosikal Batman memberi kelebaran bahagian depan dengan saiz 810mm atau 933mm jika dikira dari hujung cermin sisi ke hujung sebelahnya. ‘Muka’ hadapan disempurnakan dengan penggunaan lampu jenis LED manakala lampu utama kecilnya memang cukup efektif. Lampu isyarat hadapan disepadukan dengan fairing agar tampak lebih menawan.
Ruang barang mesin ini memang cukup luas – ada yang boleh dikunci (terletak di bawah bar hendal sebelah kiri), ruang barangan kecil turut disediakan soket 12V DC. Ruang di sebelah kanan besar sedikit, cukup untuk mengisi baju hujan yang nipis. Terdapat juga pilihan untuk memiliki kotak barangan di belakang – jika ingin meletak lebih banyak barang. Jika tidak bersama pembonceng, pelana boleh dilipatkan dan pada masa yang sama menjadi tempat penunggang bersandar.
Sudutnya pula boleh diubah kepada tiga posisi. Percayalah, kalau anda mempunyai masalah belakang, inilah motosikal yang sesuai untuk anda manakala sudut rekaan pelananya banyak membantu jadikan tunggangan jauh lebih selesa.
Terdapat perubahan warna pada bahagian meter yang membantu tunggangan lebih menarik iaitu Neutral (putih), D (biru), S (merah jambu) dan MT (merah). Penunggang juga boleh memilih untuk menggunakan hanya satu warna dengan 25 tona warna menarik (contohnya; biru dengan 25 jenis biru berbeza). Panel meter Vultus juga disusun dengan cukup menarik dan inovatif dengan paparan tahap kelajuan, jarak perjalanan, tahap bahan api, putaran enjin dan jenis penggunaan gear yang dipilih. Nampaknya Honda berjaya melahirkan motosikal yang sangat-sangat menyeronokkan!
Saya menunggang sejauh 240 kilometer sebelum berhenti untuk mengisi minyak dan hampir tidak percaya betapa selesanya Vultus ini. Ini mungkin kerana kedudukan kaki saya yang berlunjur, lutut tidak bengkok di samping bahagian pinggang yang disokong dengan baik. Menggerakkannya juga mudah kerana tidak ada tuas klac untuk dipegang manakala enjinnya tidak akan hidup selagi tongkat sisi tidak dinaikkan.
Pecutan model ini memang bagus terutama sekali memilih mod automatik yang tidak langsung memerlukan proses penukaran gear tetapi kehebatan enjinnya langsung tidak terjejas apabila kita memilih untuk menunggang dalam mod MT pula. Daripada putaran enjin serendah 2,000rpm, hantaran kuasa terus lancar hanya dengan sekali pulas!
Ketahanan mesin ini tidak perlu diragui (sistem gear tidak akan rosak walaupun tersalah gear). Sistem DTC adalah pilihan yang tepat untuknya, mod D sesuai digunakan jika menunggang di dalam bandar dan di lebuhraya kerana ia menjimatkan manakala mod S automatik pula lebih bersifat sporty yang tawarkan tunggangan yang agresif. Tidak kiralah sama ada D atau S, sistem DTC ini memberikan kita tunggangan yang tepat dan selamat untuk pelbagai jenis jalan. Kita mudah masuk/keluar selekoh kerana hantaran kuasa ditala dengan tepat –penunggang hanya perlu memulas pendikit sahaja. Semua dikawal dengan automatik!
Sayang sekali, cermin pengadang udara hadapan tidak boleh dilaraskan! Kalau boleh kan lebih praktikal kerana kuasa dan hantaran enjinnya menunjukkan kita memang perlukan cermin hadapan jenis boleh laras. Dengan adanya syaf pengimbang, gegaran dapat diminimumkan dalam semua keadaan. Satu perkara baru yang akan dialami oleh setiap pemilik Vultus ini ialah betapa ramainya orang akan datang mengerumuni jentera anda, betul! Inilah motosikal paling menarik perhatian ramai setakat ini.
Honda layak untuk diperi pujian buat sekian kalinya kerana berjaya menghasilkan sebuah jentera sehebat Vultus ini dan saya berjanji banyak lagi akan ditawarkan oleh mereka. Ya…hakikatnya, dunia kini sudah berubah. RR
Laporan: Alan Cathcart
Foto: Kyoichi Nakamura
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder, 8 injap, SOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 745cc |
Gerek x Lejang | 77 x 80mm |
Nisbah mampatan | 10.7:1 |
Kuasa maksimum | 40.3kW pada 6,250rpm |
Tork maksimum | 68Nm pada 6,250rpm |
Tinggi pelana | 650mm |
Berat | 245kg |
Isi tangki | 11.6 liter |
Pengeluar | Honda Motor Company, Tokyo, Japan |
Popular