Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2015

Benelli TRE 1130K : Mesin Pengembaraan Sejati

Benelli merupakan jenama Itali yang sudah tidak asing lagi bagi para penunggang motosikal khususnya di Eropah. Kolaborasi Benelli dan Qian Jiang Group pada tahun 2009 ternyata membuka lembaran baru buat kedua-dua syarikat untuk lebih memberi tumpuan terhadap pasaran Asia. Tahniah buat Benelli Keeway Sdn Bhd yang kini berjaya menjadi jenama pilihan para peminat motosikal di Malaysia. Kita boleh lihat jentera-jentera Benelli Keeway menyusuri dengan megah di jalanan seluruh negara.

Model Tre1130K merupakan jentera prima Benelli selain daripada model Tornado dan model ini adalah hasil kejuruteraan bijak yang menggabungkan keselesaan, praktikal dan kelasakan. Apakah ini benar? ‘Yes’…Tre1130K adalah model dual purpose yang mempunyai ketinggian 183mm (pelana) dengan enjin tiga silinder yang cukup berkuasa. Tarikan utamanya ialah menerusi kemantapan casis jenis trelisnya yang ternyata memberikan keyakinan para pemiliknya untuk menyusuri pelbagai jenis perjalanan.

Walaupun ia adalah sebuah mesin pengembaraan, ini tidak bermakna Benelli tidak mementingkan paras rupanya. Dua buah lampu utama menyerikan rupabentuk hadapan manakala bahagian tangki yang berlekuk-lekuk menambahkan rasa ‘keitalian’nya. Untuk lebih mudah dilihat dari jauh, Tre1130K menggunakan cermin sisi yang disepadukan dengan lampu isyarat – bagus sekali! Cermin pengadang udaranya boleh dilaraskan secara manual dengan mudah mengikut ketinggian yang kita ingini.

Dari enjin ke sistem ekzosnya memang cukup mantap dan diserikan lagi dengan adanya belly pan yang kecil. Apa yang dirasakan kurang sesuai ialah di hujung sistem ekzosnya yang berbentuk bulat. Dari segi proses penghantaran kuasa sememangnya tiada masalah tetapi ekzos berbentuk bulat di bawah pelana lebih sinonim dengan jentera sport. Rekaan bentuk rim model ini memang boleh dipuji…tampak cukup agresif.

Melabuhkan punggung ke atas mesin tiga silinder ini memberikan beberapa perasaan yang berbeza. Pertamanya ialah sifat enjinnya yang berbunyi kasar dan garang, yang kedua ialah ketinggian dan keperkasaannya. Meter cukup ringkas tetapi butang merah yang dilengkapi di ruang panel merah memang cukup menarik. Untuk apa ya? Inilah satu lagi ciri-ciri keselamatan dan keistimewaan jentera ini! Ia adalah suis untuk menukar pemetaan enjin. Tanpa menekan suis merah ini, kuasa maksimum untuk Tre1130K ialah 92kW pada 9,000rpm dan tork 112Nm pada 5,000rpm, ia sesuai untuk tunggangan biasa seperti di bandar.

Walaupun ia sebuah motosikal yang besar, berat (240kg) dan tinggi, pengendaliannya sangat mudah. Tidak kiralah anda penunggang rendah atau tinggi, pastinya tiada yang akan bersusah payah menunggang di dalam bandar atau di kawasan yang kecil. Kelebihan bersama jentera tinggi ini di dalam bandar ialah betapa mudahnya kita melihat keadaan trafik di hadapan melepasi bumbung-bumbung kereta. Mencelah di antara kereta-kereta ini juga lebih meyakinkan kerana bar hendal Tre1130K yang tinggi – tak tersangkut atau bersentuhan dengan cermin sisi.

Apa pun, motosikal ini memang ‘permainan’ yang sangat menyeronokkan buat penunggang yang tinggi lampai tambahan pula enjin baru ini memberikan prestasi yang sangat mengagumkan. Sebaik sahaja kita memasuki jalan raya yang lebih bebas atau di lebuhraya, bolehlah kita menekan suis ini dan serta merta kuasanya telah meningkat kepada 118kW dan tork 120Nm. Ketika ini terasa benar akan kemantapan tindak balas antara pendikit dan enjin. Pulas sahaja pendikit, jentera ini akan meluru ke hadapan dengan pantas dan lancar. Bunyi enjin tiga silinder ternyata unik menyebabkan banyak mata akan memandang setiap kali Tre1130K ini melintas di hadapan mereka.

Dengan isipadu enjin 1130cc, pancitan bahan api…sudah pasti memecut laju di lebuhraya memberi keseronokan tanpa batasnya. Dengan menggunakan talaan paling berkuasa, jentera ini mampu ditunggang pada kelajuan maksimum 220km/j dengan lancar dan selesa. Kerangka Tre1130K ini dihasilnya dengan menggabungkan keluli trestle (bahagian hadapan) dan aloy casting aluminium (belakang) ternyata memberikan ketegaran dan kestabilan maksimum dalam apa jua keadaan.

Walaupun ia cukup agresif, kelajuan paling ideal dalam pengembaraan iaitu sekitar 130-140km/j. Pasang kotak di sisi kanan dan kiri, pilih destinasi dan ‘zooomm’, Tre1130K ini pantas membelah angin. Apa yang perlu difikirkan dan diperbaiki ialah mengenai haba panas yang cukup terasa di bahagian kaki kanan yang hadir daripada sistem ekzos. Masalah ini memang agak mengganggu terutamanya bagi penunggang jika melakukan pengembaraan jauh. Untuk pembonceng, model ini memang pilihan yang baik kerana pelananya yang lebar dan selesa di samping mempunyai ruang untuk pemegang.

Tre1130K dilengkapi dengan fork hadapan Marzocchi jenis terbalik 50mm boleh laras yang menjadikan proses membrek dan pengendalian di jalanan berbonggol dapat dilakukan dengan kemas dan stabil. Saspensi belakang pula diperkemaskan dengan penggunaan lengan ayun trestle dengan talaan hidraulik. Semestinya sistem penyerap hentak adalah yang terpenting kerana kita mahukan pengalaman menunggang yang selamat, selesa dan menyeronokkan.

Untuk disesuaikan dengan saiz dan jenis tunggangan, Benelli ini dilengkapi dengan tayar Pirelli Angel GT di hadapan dan belakang bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17 yang mampu memberi cengkaman yang cemerlang dan pada masa yang sama ia menawarkan jangka hayat yang lebih terjamin. Apabila bermain di selekoh-selekoh tajam, apa yang perlu anda ingat ialah kita perlu mengalihkan berat badan ke bahagian hadapan sedikit untuk masuk ke dalam selekoh dengan pantas dan tepat. Dengan cara ini, tayar hadapan tidak akan membuang sebaliknya mencengkam dengan kemas.

Tidak wajar untuk kita bandingkan kecekapan proses membrek Tre1130K dengan jentera lain yang dilengkapi dengan sistem ABS. Walaupun tanpa sistem ABS, ia dilengkapi dengan sepasang brek cakera di hadapan bersaiz 320mm dan belakang 240mm yang tetap mampu memperlahankan kelajuan dengan baik sekali. Diharap Benelli akan menawarkan versi terbaru akan datang yang lengkap dengan sistem ini kerana ia adalah sistem perlindungan yang sangat penting dan kini sudah menjadi kewajiban bagi sesetengah pengeluar motosikal untuk dilengkapkan pada jentera mereka.

Seperti kebanyakan model pengembaraan lain, penjimatan bahan api adalah salah satu perkara penting dan Tre1130K telah membuktikan keupayaan dengan pengembaraan lebih daripada 250 kilometer dengan satu isian penuh tangki sebesar 22 liter. Segalanya yang kita inginkan untuk kepuasan diri akan dimiliki apabila bersama Tre1130K ini. Ia gagah, berkuasa, jimat petrol dan semuanya ini ditawarkan pada harga RM71,999 dengan dua pilihan warna iaitu Green/Silver dan Grey/Silver. Benelli turut menawarkan hadiah misteri yang cukup menarik buat para pelanggannya. Tawaran ini sah pada waktu yang terhad dan selagi stok masih ada. RR

Isu Pada

Januari 2015

Spesifikasi

Enjin3 silinder, 4 lejang dengan sistem penyejuk cecair
Isipadu1131cc
Gerek x Lejang88 x 62mm
Nisbah mampatan11.6:1
Kuasa maksimum92kW pada 9,000rpm
Tork maksimum112Nm pada 5,000rpm
Tinggi pelana 838mm
Berat240kg
Isi tangki22 liter
PengeluarBenelli Keeway Motocycles Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.