Aprilia RS660 Super Twin!
Sejak Aprilia mempertontonkan model konsep RS660 di pameran motosikal EICMA Milan pada tahun 2018 yang lalu, ia adalah model paling atas dalam senarai jentera SuperTwin seksi yang paling ditunggu-tunggu oleh ribuan peminat motosikal di seluruh dunia.
Ketika di EICMA Milan tahun lalu, versi pengeluaran dreambike ini telah pun dilancarkan dan ia benar-benar menarik minat para hadirin yang inginkan sebuah jentera gabungan di antara penampilan, prestasi enjin yang mantap, mampu milik dan tahap keselesaannya. Ia mengenangkan kita dengan kehebatan pakej jentera-jentera dua lejang lagenda dulu seperti RS250. Ia adalah motosikal lumba berlampu – sedih sekali kerana tidak lagi wujud selepas tahun 2004 yang lalu.
Selepas dua tahun sejak ia dipamerkan untuk tatapan umum, Aprilia akan memulakan penghantaran model sport sah jalanan ini. Di Itali, ianya dijual pada harga €11,050 termasuk 22% cukai tempatan dan didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik seperti Apex Black (diasaskan dari rekacorak jentera juara Dunia RSV250 Marco Melandri 2002), Lava Red (diilhamkan dari RSV250 milik pelumba GP Loris Reggiani pada tahun 1994) dan Acid Gold - warna kuning terang menjadikan jentera ini sangat mudah untuk dikenali.
Model ini mudah untuk dikendalikan dan memberikan keterujaan – akan disukai walaupun oleh mereka yang berpengalaman luas dalam dunia motosikal. Dalam erti kata lain, nikmati setiap saat dengan jentera ini di pelbagai laluan termasuklah di selekoh-selekoh tajam. Kemantapan jentera ini datangnya dari pelbagai sudut, tidak hanya tertumpu pada kekuatan enjin ketika pendikit dibuka sahaja.
RS660 juga sebuah jentera unggul yang sesuai untuk mereka yang baru ingin 'berkenalan' atau mereka yang ingin kembali ke dunia dua roda selepas beberapa tahun berehat. Aprilia ini memang mudah ditunggang. Model yang seberat 169kg (berat kering) menawarkan hantaran kuasa setinggi 100bhp (73kW) pada 10,500 rpm dan tork 67Nm pada 8,500 rpm.
Aprilia RS660 memiliki keistimewaan yang lain daripada yang lain – mungkin Norton 650 Superlight boleh dianggap pencabarnya kerana ia berkuasa 150bhp (seberat 158kg) dan telah mempamerkan kemampuannya meraih tempat kelapan di perlumbaan Isle of Man 2018 dalam kelas Lightweight. Jenama tersebut kini dalam proses pemilikan terbaru iaitu TVS India dan mereka juga sedang memikirkan bagaimana untuk mengembalikan kemahsyurannya seperti suatu ketika dulu.
Kehadiran jentera 660cc dari Aprilia ini juga boleh dianggap satu langkah terbaru dalam usaha memperluaskan sektor jentera berisipadu 650-800cc enjin berkembar yang kini turut dibangunkan oleh dua belas pengeluar yang berbeza. Dengan kepakaran dan adanya para pengedar Aprilia di seluruh dunia, para pelanggan boleh membuat tempahan dengan mudah – hanya melayari www.aprilia.com.
Saya dapat menikmati pengalaman menunggang jentera ini di kawasan pergunungan Dolomite yang terletak di bahagian utara ibu pejabat Aprilia di Venice. Sebaik sahaja memacunya, saya benar-benar kagum dengan kualiti pengendalian, kualiti pembikinan yang tinggi serta posisi menunggang yang rasional.
Jentera ini memiliki tapak roda bersaiz 1,370mm dan bertubuh badan yang ramping. Ini menjadikannya lincah dan tangkas untuk bergerak ke mana sahaja. Baringkan sahaja jentera ini ke kiri atau ke kanan – anda akan dapati tahap kestabilannya memang mengagumkan. Pelananya setinggi 820mm dan RS660 ini memang agak kecil untuk penunggang yang tinggi lampai.
Ia dilengkapkan dengan bar hendal jenis flat-set yang lengkap dengan pengimbang berat (untuk mengelakkan gegaran), fork jenis Kayaba 41mm boleh laras. Bila dilihat dengan lebih terperinci, rekabentuk pelananya yang meruncing itu memudahkan kita mengepit tangki sewaktu menunggang. Ini satu tindakan bijak agar penunggang rendah juga dapat menikmati setiap saat bersama jentera ini. Sesiapa pun akan dapat meletakkan tapak kakinya dengan selesa ketika berhenti di lampu isyarat. Posisi bar hendal dan rekabentuk pelana ini juga menjadikan bahagian lengan tidak terbeban dengan berat badan.
Tempat pemijak kaki aloi flip-up berada di posisi yang sempurna, cukup rendah dan tidak mudah tergelincir. Namun begitu, ia tidaklah terlalu rendah sehingga mengganggu kelegaan tanah. Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 180/55 ZR17 di belakang menyumbang kepada kemantapan jentera ini 'berlayar' di pelbagai jenis permukaan jalan. Aprilia RS660 adalah sebuah jentera yang boleh digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja, bermain selekoh dan juga sesuai untuk pengembaraan. Ini bukti betapa versatilnya jentera ini.
Menerusi rekaan keseluruhan, model ini tidaklah seekstrim RSV4 tetapi masih memiliki persamaan dengan jentera juara WSBK itu. Ini sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kedua-duanya direka oleh pasukan hebat yang diketuai oleh pereka lagenda, Miguel Galluzzi yang memberi kredit atas kecantikan RS660 ini buat pereka senior, Pietro Arru yang berpusat di Noale.
Lampu trademark LED di depan berbentuk tajam, dilengkapkan dengan Daytime Running Light yang menyerikan lagi RS660 ini. Lampu penunjuk arah juga disepadukan dengan lampu DRL – jadikannya lebih kompak. Cermin pengadang udaranya memang sempurna walaupun buat penunggang tinggi. Saya setinggi 1.80m dan masih terdapat ruang untuk menyorokkan kepala sewaktu memecut dalam kelajuan tinggi. Sayangnya suis lampu tinggi (high-beam flasher) amat mudah tersentuh tanpa disengajakan. Terdapat juga Twilight Sensor yang akan menyalakan lampu dipped secara automatik apabila keadaan sekitar menjadi gelap. Lampu isyarat model ini juga akan dimatikan secara automatik dan yang paling saya suka ialah lampu penunjuk selekoh yang akan menyala ketika kita memiringkan jentera ini.
Fairing sisi Aprilia ini bukan sahaja cantik tetapi ia adalah ciri-ciri aerodinamik yang memperbaiki tahap kestabilan dan juga berfungsi untuk mengalihkan aliran udara panas dengan baik. Apa pun, keghairahan menunggang jentera ini datangnya dari kehebatan enjinnya yang dapat dirasa sejak dari detik ianya dihidupkan. Bunyi enjin Aprilia ini mengingatkan saya dengan enjin v-kembar Norton Commando.
Pergerakan amat lancar dan menyeronokkan. Klac RS660 ini cukup lembut dan hantaran kuasanya pula memang padu apabila pendikit diputar mencecah 2,500rpm. Segala informasi yang dipaparkan pada panel meter TFT memang jelas sekali. Ia moden, cantik dan disusun dengan kemas. Kekuatan kuasa tork ketika berada di kedudukan 4,000rpm memang menarik dan semakin mantap pada putaran 6,250rpm. Sistem powershifter dua hala yang dipasang pada RS660 cukup lancar dan memuaskan hati.
Seperti model-model Aprilia yang lain, panel meter RS660 memiliki paparan yang jelas – sekali imbas sudah mencukupi. Terdapat beberapa paparan pilihan (mukasurat digital) yang boleh dipilih dengan mudah dan cepat. Paparan Home sudah cukup data dan disusun dengan kemas. Tidak overcrowded sehinggakan sukar untuk dibaca. Antara info-info yang dipaparkan ialah penunjuk kelajuan, jarak perjalanan, posisi gear, masa, trip, suhu enjin, tahap bahan api dan terdapat enam lampu amaran.
Aprilia RS660 ini mudah serasi dengan si penunggang dan amat mudah untuk dikawal. Terdapat getaran pada bahagian kaki ketika putaran enjin mencapai 6,000rpm dan ke atas – jelas terasa di bahagian tempat pemijak yang menjadikan tunggangan kurang selesa terutamanya apabila melebihi 8,000rpm. Ketika ini, cermin sisi pun bergegar sedikit.
Ia adalah sebuah motosikal yang akan membantu penunggang kurang berpengalaman bertukar kepada profesional kerana kita telah dibuktikan menerusi kualiti dan prestasi enjin yang cukup mantap. Bagi yang lebih berpengalaman, anda akan dapati Aprilia ini mampu memberikan kepuasan kerana ia didatangkan dengan satu pakej lengkap.
Keterujaan mengarahkan jentera ini menyusuri perjalanan turut disumbang oleh sistem elektroniknya yang mudah diakses. Aprilia menyatakan mereka ingin membantu para penunggang atasi faktor keselamatan dan betul... sistem elektronik yang dipadatkan pada jentera ini banyak benar membantu.
Mod Commute menawarkan hantaran kuasa yang sederhana walaupun ketika kita memulas pendikit dengan keras dari kelajuan sifar. Saya suka dengan corak hantaran kuasanya – amat bagus ketika berada di atas permukaan yang licin dan basah. Sebaik sahaja kita menggunakan mod Dynamic, jentera ini direntap dengan mantap untuk 'berlari' ke hadapan. Kuasa di peringkat pertengahan paling seronok terutamanya dalam gear ketiga dan keempat.
Respons di antara pendikit dan sistem pengurusan brek enjin yang tepat membolehkan kita berada di dalam lengkungan banjaran kuasa dengan baik. 'Pick up'nya lemah lembut di permukaan basah dan meluncur pantas seperti sang juara apabila keadaan mengizinkan. Ini adalah sebuah jentera yang bijak. Kelajuannya sudah mencecah 160km/j walaupun putaran enjin baru mencapai 7,500rpm dan masih jauh lagi untuk tiba di garisan merah iaitu pada 11,500rpm.
Karaktor sebegini membuatkan RS660 sesuai untuk beraksi cemerlang di atas litar atau di laluan berselekoh. Jangan terkejut jika Aprilia RS660 ini dapat memintas jentera 1000cc yang lain ya! Seperti yang saya katakan tadi, tahap keseimbangan yang tinggi serta pengendalian yang mudah menjadikan RS660 ini amat selesa untuk dibawa oleh sesiapa pun untuk ke mana sahaja.
Fork hadapan Kayaba menawarkan redaman yang efektif – kecekapannya menyerap hentakan ketika berada di laluan berbonggol memberangsangkan. Talaan sistem saspensi yang ditetapkan oleh Aprilia juga cemerlang. Saya tidak ada sebarang keluhan sepanjang membawa jentera ini di dalam bandar, luar bandar atau di sepanjang laluan pergunungan. Jujur saya katakan, ia memberi kepuasan seperti mana jentera sportbike yang berprestasi tinggi.
Selain suis lampu tinggi yang mudah tersentuh, jentera ini juga memiliki beberapa isu yang kecil tetapi agak menjengkelkan. Pertama, tuas klac yang cukup jauh untuk digunakan (tak boleh laras), agak sukar untuk mereka yang tangannya kecil. Kedua, pelana pembonceng yang menyiksakan. Ok... itu sahaja masalah kecil yang pada saya boleh diperbaiki.
Jika jentera ini telah sampai di pusat pengedar berdekatan, saya cadangkan anda semua pergilah mencuba kerana anda akan dapati perbezaan serta keistimewaan jentera ini.
Pengeluaran Aprilia RS660 ini memang bertepatan dengan apa yang dinanti-nantikan oleh ribuan pencinta motosikal. Ia mengingatkan kita dengan kemunculan model RS250 dulu. Model ini bukan saja akan memuaskan hati penunggang motosikal baru tetapi juga untuk mereka yang sudah bertahun-tahun menunggang.
Seimbang dan efektif adalah dua perkataan terbaik yang sesuai dipakai oleh jentera ini. Aprilia kini sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan pula model Tuono 660 pada tahun hadapan dan diikuti dengan model pengembaraan. Pasaran motosikal kelas pertengahan kembali meriah sejak sekian lama agak menyepi. Inilah yang sepatutnya!
Menurut Didi Resources Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Aprilia di Malaysia, RS660 dijangka akan berada di pasaran negara pada suku pertama tahun 2021. Sama-sama kita tunggu ya! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro/ Alberto Cervetti & Rudy Carezzevoli & Giuseppe Salerno (video).
Spesifikasi
Enjin | kembar parallel, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 659cc |
Kuasa maksimum | 100hp (73.5kW) pada 10,500rpm |
Tork maksimum | 67.0Nm pada 8,500rpm |
Transmisi | 6 kelajuan dengan Aprilia Quick Shift (AQS) |
Saspensi | fork Kayaba USD 41m (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal (belakang) |
Tayar | 120/70 ZR 17 (depan) & 180/55 ZR 17 (belakang) |
Brek | brek Brembo dengan cakera 320mm (depan) & cakera 220mm dengan ABS (belakang) |
Berat | 183kg |
Isi tangki | 15 liter |
Popular