Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 21 Januari 2021

Triumph Tiger 900 Rally Pro: Nikmat Menunggang Sejati

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan ia adalah model pengembaraan antara yang sangat ditunggu-tunggu oleh para pencinta motosikal di seluruh dunia. Kemunculannya menggantikan model terdahulu bukan sahaja dari segi kapasiti enjin dan sistem elektronik tetapi hampir kesemuanya. Secara dasarnya, Tiger baru ini diberi 'nafas' baru yang bermula dengan saiz enjinnya yang kini bersesaran 888cc berbanding model sebelumnya, 800cc.

Sekali tengok memang dah jatuh cinta! Rupabentuk Tiger baru ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan yang terdahulu. Triumph Tiger 800 nampak besar, tinggi dan berat tetapi segalanya berlawanan apabila melihat Triumph baru ini di depan mata. Walaupun belum lagi berada di atasnya, kami yakin ia lebih lincah, tangkas dan cukup mudah dikendalikan.

Siri Triumph Tiger 900 ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu versi jalanan (Tiger 900 GT, Tiger 900 GT Low dan Tiger 900 GT Pro) serta versi lasak yang terdiri daripada Tiger 900 Rally dan Tiger 900 Rally Pro. Kesemua model-model ini memiliki spesifikasi dan harga yang berbeza. Untuk merasa sendiri prestasinya, sila berkunjung ke Premium Flagship Store Triumph Petaling Jaya, No.3, Jalan 13/1, Section 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Tel: 03-79609007. Untuk info lebih lanjut, layari: http://www.triumphmotorcycles.my/

Ok, kami diberi peluang untuk menunggang uji model Tiger 900 Rally Pro, versi premium yang didatangkan dengan pelbagai keistimewaan yang perlu ada untuk sebuah jentera lasak. Antara yang paling menarik ialah sistem Cornering ABS, Traction Control, Shift Assist Quickshifter, pelbagai mod tunggangan, meter TFT penuh warna dan sistem perhubungan telefon pintar yang terkini. Best kan?

Pelananya (850-870mm) boleh dilaras dengan mudah kepada beberapa ketinggian mengikut keselesaan si penunggang. Memang benar... rekabentuk Tiger baru ini yang lebih ramping menjadikan kita lebih selesa untuk mengawal jentera ini. Enjin 900cc tiga silinder baru ini direka serba baru (pengimbang, engkol, omboh dan konrod) untuk mereka yang sukakan kuasa hantaran yang mantap dalam semua keadaan. Dengan menawarkan enam mod tunggangan, kita hanya perlu memilih destinasi tanpa ragu-ragu... selebihnya biar 'Sang Harimau' ini yang menentukannya.

Dengan kekuatan enjin setinggi 95PS (70kW) pada 8,750rpm dan tork 87 Nm pada 7,250rpm, tidak ada satu laluan yang boleh menyekat kehadiran Triumph ini. Untuk kemantapan sewaktu di laluan bebas seperti di lebuhraya, kami gunakan mod Road dan Sport. Tekan sahaja suis elektronik itu, jentera pun bertindak mengikut pilihan yang dibuat. Setiap kali pendikit dipulas... setiap kali itu juga Tiger ini 'merentap' kita ke hadapan dengan pantas. Aduhai... inilah nikmatnya!

Dengan adanya sistem quickshifter, setiap proses penukaran gear dapat dilakukan dengan lancar dan lembut (tanpa perlu menarik klac). Di atas jalan, ketangkasannya mengubah laluan cukup mengujakan. Posisi menunggangnya cukup selesa dan memudahkan kita mengawal setiap pergerakan jentera ini. Kemantapan tunggangan ini datangnya daripada kerangka trellis serba baru yang dikemaskan dengan sub-kerangka aluminum yang bertegaran tinggi.

Suis-suis yang dipadankan pada Tiger ini memang senang untuk digunakan. Kita mudah membuat talaan lampu, menukar mod tunggangan, mengaktifkan sistem autocruise dan banyak lagi. Paparan meter TFT model ini cukup berinformasi, jelas dan menarik. Terdapat beberapa corak dan susunan latar belakang yang boleh dipilih mengikut minat seseorang penunggang itu. Kita mudah melihat tahap kelajuan, posisi gear, purata kilometer sebelum tangki kering, mod tunggangan, putaran rpm, jam, informasi penyelenggaraan, suhu, jarak perjalanan dan talaan untuk sistem elektronik yang lain.

Tiger baru ini menggunakan lampu jenis LED yang turut dilengkapkan dengan lampu DRL yang terang. Sesiapa sahaja dapat melihat kehadiran jentera ini dengan mudah dan ia adalah ciri-ciri utama yang perlu ada pada setiap motosikal sekarang ini. Masih ramai pemandu di jalan raya yang sudah 'buta' – menukar laluan atau keluar/masuk simpang sesuka hati! Rupa parasnya kini nampak lebih sedap dipandang... nampak lebih anggun, membuatkan kita cepat tertarik dengannya.

Banjaran kuasanya yang luas membolehkan kita memecut di kedudukan gear tertinggi (gear keenam) tanpa perlu menurunkan gear. Jentera ini dapat dipecut lebih daripada 180km/j dengan tegap dan senyap. Enjinnya langsung tidak berbunyi mengerang seperti 'dipaksa' manakala kestabilannya juga tidak perlu dipertikaikan. Dengan adanya cermin pengadang udara di hadapan, tamparan angin tidak terasa dan membantu kita untuk menunggang lebih selesa. Kelajuan paling ideal buat kami ialah sekitar 160km/j. Set pada autocruise dan nikmati setiap kilometer bersamanya.

Apabila tiba di laluan berselekoh, sistem saspensi, kotak gear, pakej elektronik dan sistem brek semuanya 'bekerja' dengan cemerlang sekali. Fork hadapan Showa jenis terbalik yang lengkap dengan penyesuaian pemampat redaman membolehkan kita dapat merasakan setiap tindakbalasnya terhadap permukaan jalan dengan baik. Ini amat penting agar si penunggang dapat membuat keputusan dan pilihan untuk kekal di laluan yang tepat ketika berada di selekoh-selekoh tajam khususnya. Kebijaksanaan Triumph untuk menyempurnakan produknya dengan sistem Cornering ABS telah menambah keyakinan dan keterujaan. Sistem ini berinteraksi dengan penglibatan ABS untuk menambah baik prestasi membrek ketika di dalam miringan.

Apabila ditukar daripada mod Sport kepada mod Road, ia memberikan hantaran kuasa yang lebih rendah, tidak lagi agresif. Ke mana sahaja ia dibawa, ia pasti menarik perhatian ramai dan rata-rata cukup kagum apabila melihat logo Triumph terpapar dengan penuh bangga. Beberapa warga senior yang kami temui di sepanjang jalan cukup kenal dengan jenama lagenda ini. Motosikal berjenama Triumph ini mula memasuki pasaran negara lebih separuh abad yang lalu dan sememangnya ia adalah di antara model popular ketika itu.

Secara ringkasnya Triumph diasaskan pada tahun 1886 dulu dan motosikal pertama keluaran syarikat dari England ini ialah pada tahun 1902 dan dari saat itu, jenama ini terus mencipta nama dengan jutaan peminat di mana sahaja. Dari sudut pengalaman mereka dalam dunia dua roda... ia tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika berpeluang bertemu dengan pencinta motosikal 'otai', ajak mereka berbual tentang mula-mula jenama ini dibawa masuk ke Malaysia. Memang asyik kita mendengarnya.

Triumph Tiger Pro ini kemudiannya dibawa ke laluan lasak, tanah merah, berbukit dan mencabar. Untuk lebih sesuai dengan keadaan, mod ditukar kepada Off-Road dan dalam mod ini sistem ABS boleh dinyahaktifkan. Dengan pengendalian yang mudah dan kemampuan jentera ini meredah di beberapa kawasan yang sukar, Tiger Rally Pro benar-benar menunjukkan 'belangnya' walau di mana sahaja.

Kami turut menjemput bekas juara motocross Asia, Muhammad Al-Amirul Ashshahid (Gaban) untuk mencuba jentera ini dan..... beliau cukup menggemarinya! Enjin T-plane dengan tiga engkol beserta pembakaran lebih tepat memudahkan pergerakannya ketika dalam putaran enjin yang rendah. Tiger 900 memastikan penunggangnya dapat berinteraksi dengan tayar belakang lebih baik dan ia adalah satu lagi bukti kepakaran Triumph untuk memberi keseronokan buat penunggang walaupun ketika menunggangnya di laluan lasak.

Gaban menjadikan pengendalian Tiger ini nampak sangat mudah. Tidak kira setinggi mana pun laluan dan walaupun berbatu, Gaban telah membuktikan ianya bukanlah sebuah motosikal lasak 'biasa'.... Tiger 900 Pro ini memang padu! Walaupun tayar-tayar (90/90-21 di depan dan 150/70R 17 di belakang) yang dipadankan pada unit yang diuji ini bukan berprofil 'offroad', cengkamannya di laluan tanah/berdebu tidak mengecewakan. Di tangan Gaban, Tiger boleh melompat, sliding dan meredah perbagai laluan dengan MUDAH. Hebat!

Tidak kiralah Tiger ini dibawa ke laluan biasa, lebuhraya ataupun di kawasan yang sukar, kecekapan sistem brek jenis Brembo Stylema yang dipadankan padanya cukup cemerlang. Sistem brek ini membolehkan jentera ini berhenti dengan tepat walaupun tuasnya ditarik dengan lembut. Mantapkan? Tangkinya yang sebesar 20 liter dapat memberikan perjalanan lebih daripada 250 kilometer. Bayangkan anda dapat mengembara dengan jentera yang mudah, tiada gegaran. Ia selesa dan lawa! Memang puas.

Bagi mereka yang sukakan muzik, perlukan navigasi atau menerima/membuat panggilan telefon ketika menunggang, model ini turut didatangkan dengan My Triumph Connectivity System yang mendekatkan segala perhubungan menerusi telefon pintar.

Secara keseluruhannya, Triumph Tiger 900 ini merupakan sebuah jentera yang memiliki sistem pertahanan serta sistem elektronik mengagumkan. Segala talaan dan mod tunggangan bagaikan satu 'hadiah' khas buat para pelanggan Triumph. Model ini ditawarkan pada harga berbeza-beza, mengikut model dan spesifikasi dari RM63,900 hingga RM85,900. “Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang!” RR

Oleh: K.Azuan

Isu Pada

November 2020

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk cecair, 12 injap, DOHC, silinder 3 sebaris
Isipadu888cc
Gerek x Lejang78 x 61.9mm
Kuasa maksimum95.2 PS / 93.9 bhp (70kW) pada 8,750rpm
Tork maksimum87Nm pada 7,250rpm
Brekcakera 320mm jenis Brembo Stylema (depan) & brek brembo (belakang)
Tayar90/90 - 21 (depan) & 150/70R - 17 (belakang)
Tinggi pelana850 - 870mm
Isi tangki20 liter
PengeluarTriumph Motorcycles Malaysia

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.