BMW R 18 First Edition: Battle Cruiser Dari Bavaria
Better late than never? Kata-kata ini memang tepat untuk buat jentera cruiser dari BMW yang akhirnya menembusi pasaran dunia selepas beberapa tahun melakukan penyelidikan. Kini mereka sudah bersedia untuk 'mengejar' para pencabar lain yang selama ini selesa dengan model masing-masing.
Pada tahun 2019, BMW Motorrad telah menjual sebanyak 175,162 buah motosikal di seluruh dunia - peningkatan 5.8% daripada tahun sebelumnya dan ini juga merupakan tahun kesembilan berturut-turut jenama global ini berada di tempat pertama Eropah dari segi jumlah € € €.
Satu pertiga daripada keuntungan ini datangnya dari model R 1250 GS / Adventure dengan penjualan sebanyak 59,000 unit oleh para pengedar mereka di seluruh dunia. Pada tahun 2019, pengedar BMW di US dan Kanada (hasil gabungan) hanya berjaya menjual sebanyak 15,116 unit. Jika dibandingkan dengan penjualan pada tahun 2018, US sahaja telah menjual sebanyak 13,000 unit. Ia adalah satu catatan yang mengecewakan untuk penilaian prestasi syarikat. Itulah yang amat dititikberatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Dr. Markus Schramm.
"Pasaran di Amerika besar tetapi nilai pasaran kami agak rendah. Mengapa?” Katanya kepada saya dalam temu bual tahun lalu. “Ini kerana segmen terbesar dan paling dominan di sana adalah cruiser. Kami di BMW tidak lagi hanya duduk dan melihat betapa besarnya segmen ini! Kami perlu lahirkan sebuah jentera yang datangnya dari BMW sendiri menerusi emosi, rekabentuk menarik dan benar-benar asli. Ia mesti dilakukan dengan cara, sentuhan dan ketulenan ciptaan BMW.”
Oleh itu, 'kapal penjelajah' BMW R18 Big Boxer akhirnya dilancarkan dalam bentuk pra-produksi di EICMA Show setahun yang lalu. Amat penting dan jelas untuk memberitahu kepada para pembeli yang berpotensi bahawa jentera BMW ini amat berbeza jika dibandingkan dengan Indian atau Harley-Davidson. Sememangnya sudah dijelaskan oleh Schramm dari awal lagi, BMW tetap berpegang teguh pada rekaan akar umbinya iaitu enjin Boxernya dalam pembangunan model R18 ini.
BMW sudah berusaha untuk 'menyertai' pasaran cruiser di USA 20 tahun yang lalu menerusi model R1200C yang dibuat antara tahun 1997 dan 2004. Model ini kemudiannya ditamatkan setelah menghasilkan 40,218 unit. Sebabnya ialah enjin Boxer yang dilengkapkan pada jentera itu terlalu kecil dan tidak memuaskan hati para pelanggan di negara itu. BMW membuat keputusan untuk tidak menumpukan perhatian dalam segmen tersebut sebaliknya memperkenalkan model-model dengan platform baru seperti F 800, K 1300, S 1000 RR dan lain-lain.
Tetapi sekarang Markus Schramm dan kakitangannya cuba untuk kembali menarik minat pencinta cruiser dengan pembangunan model yang dijadualkan akan memasuki pasaran USA secara berkala. Jentera yang dibangunkan ini dikuasakan oleh enjin berkembar berkapasiti terbesar yang pernah dihasilkan oleh BMW. Syarikat ini secara khususnya menamakan enjin tersebut Big Boxer yang direka khas untuk segmen 'Cruiser Touring'.
Saya telah berpeluang menunggang uji model terkini, R18 dengan jarak 300km di laluan berbukit dan lembah di Pergunungan Alpen Bavaria, sebelah Timur Selatan dari ibu pejabat BMW di Munich. Sesi tunggang uji ini juga dapat dinikmati dalam kelajuan tinggi ketika berada di lebuhraya Autobahns sebelum menempuhi laluan yang agak sesak di hari Jumaat petang. Saya juga mengambil peluang untuk bersiar-siar dengan santai dan bebas di sepanjang jalan.
Ia adalah sebuah jentera yang benar-benar seronok dan tidak disangka-sangka saya dapat merasainya. BMW menyatakan jentera ini adalah sebuah cruiser tetapi jujurnya, ia lebih daripada itu. Ia juga adalah sebuah roadster yang cukup bagus. Apa yang saya lihat selepas menunggang jentera ini ialah enjinnya adalah platform terbaik yang boleh digunapakai untuk pelbagai model lain.
Versi 'First Edition' yang saya tunggangi ini berharga €22,800 (di Jerman) termasuk cukai tempatan 19% dan varian kebanyakannya telah diperkenalkan di seluruh dunia kecuali USA yang turut ditawarkan model baseline pada harga $17,495 (versi First Edition di USA berharga $19,870). Perbezaan harga ini dibezakan dengan garisan-pin di tangki bentuk retronya yang dilukis tangan, pelbagai lencana dan banyak lagi. Yang utama, keanggunan rekacorak di bahagian tangki itu sememangnya dicemburui ramai. Cantik!
Apapun, BMW R18 ini masih sangat cantik walaupun tanpa adanya corak garisan-pin pada tangkinya. Kemantapan saiz enjinnya memang tidak dapat disangkal lagi terutamanya apabila melihat kilauan krom yang dikemaskan di beberapa bahagian termasuklah sistem ekzosnya berbentuk ekor ikan yang cukup mantap.
Sebaik sahaja kita melabuhkan punggung ke atas pelananya pasti akan tersenyum – ia benar-benar selesa walaupun bagi mereka yang tinggi dan, kualiti pembikinannya memang cukup mewah.
Pada mulanya kita akan fikirkan, senibina enjin Boxer secara definisi pasti akan menghalang tempat untuk kita letakkan tapak kaki depan. Tetapi BMW telah pun memikirkan soal itu dengan bijak, walaupun setelah saya meletakkannya (kaki) tepat di bawah tempat duduk yang setinggi 690mm, masih tetap ada ruang yang cukup untuk lutut. Saya yang setinggi 5'10” tidak sekali pun terasa lenguh atau kejang selepas menunggang R18 ini untuk jarak 300 kilometer. Paling syok, saya mudah letakkan kaki ke bawah setiap kali berhenti.
Sejumlah besar aksesori khas untuk jentera ini datangnya dari pembekal terkenal seperti Vance & Hines, Roland Sands dan lain-lain, termasuklah tempat duduk dari Mustang. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus, pelana tersebut dijangka akan lebih tinggi untuk penunggang berkaki panjang.
Terdapat pelbagai jenis bar hendal berbeza yang boleh dipilih oleh pemilik jentera ini. Sekali lagi saya katakan, posisi menunggang dan bar hendal jentera versi kilang ini pun cukup selesa. Sebaik sahaja saya menekan suis penghidup, terus terasa pergerakan mantap enjin bersilinder besar itu bergerak. Bar hendal mula 'menari' dari sisi ke sisi jika anda tidak memegangnya – ini membuktikan kekuatan yang dilakukan oleh omboh pada putaran melahu sekitar 950 rpm.
Apabila pendikit dipulas, getaran itu terus berkurangan. Ajaib! Jurutera BMW mengakui telah beberapa kali melakukan percubaan dan ujian semata-mata untuk mendapatkan 'getaran' dan perasaan yang tepat seperti mana yang dikehendaki oleh para peminat cruiser. Mari kita lihat sama ada betul! Pemanas pendikit tiga tahap yang dilengkapkan pada jentera ujian ini sangat dialu-alukan terutamanya di Pergunungan Alpen Bavaria yang berketinggian 1,200m. Ia adalah aksesori pilihan untuk R18 ini, sama seperti sistem cruise control – turut tidak dilengkapkan pada jentera yang saya naiki ini.
Saya berpendapat bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos jentera Big Boxer ini terlalu 'baik'. Ia di luar jangkaan saya lebih-lebih lagi apabila ekzos ini adalah hasil tangan syarikat Vance & Hines yang terkenal itu. Kuasa hantaran enjin pada kedudukan 1,500rpm memang mantap dan ia juga mampu ditarik dengan sempurna (tanpa sentapan) walaupun daripada kedudukan putaran enjin setinggi 2,000rpm. Terdapat sedikit gegaran pada bahagian pelana ketika enjin ditingkatkan sehingga 2,400 rpm tetapi selepas itu ia kembali selesa walaupun ketika pendikitnya diperah mencapai 5,750rpm. Itulah kepuasan yang didapati daripada enjin berkuasa 91hp pada 4,750 rpm dan tork 158 Nm pada 3,000rpm.
Kotak gear R18 ini memang mengagumkan! Proses penukaran gear amat lancar – salah satu yang terbaik pernah saya rasa. Ia tepat, cepat dan tidak ada bunyi 'clunk' ketika masuk ke gear pertama dari posisi neutral. Seperti kebanyakan jentera BMW yang lain, R18 turut memiliki klac yang lembut – kita amat mudah mengawal pergerakan jentera besar (tapak roda: 1,731mm) ini walaupun ketika berada di kawasan yang terhad.
Adalah satu yang cukup menarik apabila sebuah jentera cruiser didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Rock, Roll dan Rain. Untuk menggunakannya juga mudah walaupun ketika berada di jalan raya. Ketiga-tiga mod ini memberi keseronokan yang berbeza termasuklah dari segi talaan traction control, reverse tork control, tindakbalas pendikit dan lain-lain. Mod Rain memang sesuai benar dengan kegunaannya – kuasa tolakan sangat rendah sehinggakan saya rasa untuk gunakan mod ini dalam kawasan urban pun kurang sesuai.
Mod Roll sama seperti Street/Normal atau Touring tetapi kurang tangkas kerana tindak balas pendikitnya tidak cukup ganas sehinggalah kita menggunakan mod Rock atau biasanya Sport. Ya... dalam mod ini baru kita dapat rasakan kemantapan karaktor enjinnya yang benar-benar bertenaga, sangat responsif dan mengujakan. Saya guna mod Rock ini hampir ke mana sahaja kecuali di dalam bandar, saya kembali tukar kepada mod Roll.
Nisbah gear yang agak panjang dalam gear kelima dan keenam sememangnya cukup sesuai untuk penggunaan di lebuhraya. Ini bermakna anda akan dapati bahawa gear ketiga atau keempat adalah pilihan terbaik ketika menunggang BMW ini ke mana-mana sahaja. Dalam gear tertinggi, penunggang R18 akan dapati ianya cukup selesa pada kelajuan sekitar 120km/j di sepanjang perjalanan dan ketika ini sistem cruise control memang amat diperlukan.
Untuk disesuaikan dengan jentera seberat 345kg ini, BMW telah melengkapkan R18 dengan sistem brek yang bekerja dengan cemerlang sekali. Untuk tindak balas lebih cekap, sila gunakan juga brek belakang bersaiz 300mm – ternyata ia amat cekap untuk memperlahankan jentera terutamanya dari kelajuan tinggi. Sistem slipper clutch memang terpuji, ia dapat mencegah tayar belakang daripada terkunci ketika kita menurunkan gear untuk masuk ke selekoh. Turut menjadikan cruiser ini pilihan yang sesuai ialah keberkesanan sistem traction control yang menahan tayar belakang daripada tergelincir khususnya di laluan yang lembab atau basah.
“Misi BMW ialah untuk melahirkan sebuah jentera cruiser yang lain daripada yang lain. Kami telah berjaya melakukannya dan menepati segala objektif. Hasilnya BMW R18 adalah sebuah jentera all-rounder yang amat menggembirakan,” tambah Markus Schramm.
BMW berhak untuk menerima pujian dan ucapan tahniah dengan adanya R18 ini di pasaran. Cruiser ini mudah ditunggang, seronok dan mampu untuk dibawa ke mana sahaja. Kini kita tunggu, apakah perancangan BMW dengan enjin 1,802 cc ini? Adakah mereka akan memperkenalkan model custom atau pengembaraan dengan menggunakan enjin ini? Kita tunggu ya! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad /Markus Jahn, Daniel Kraus & Bernhard Limberger
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara/minyak, dua silinder, 4 lejang, boxer |
Isipadu | 1,082cc |
Gerek x Lejang | 107.1mm x 100mm |
Kuasa maksimum | 91hp pada 4,750rpm |
Tork maksimum | 159Nm pada 3,000rpm |
Kotak gear | 6 kelajuan |
Tayar | 120/70 R19 (depan) & 180/65 B16 (belakang) |
Tinggi pelana | 690mm |
Isi tangki | 16 liter |
Pengeluar | BMW Motorrad Malaysia |
Popular