Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 11 Januari 2021

Bimota Tesi H2 Revolusi Berterusan!

Kira-kira setahun yang lalu, Bimota telah membuat pengumuman bahawa Kawasaki telah memperoleh nilai saham syarikat sebanyak 49.9%. Dengan perkongsian baru ini, mereka telah berjaya melahirkan sebuah jentera yang cukup mantap iaitu Tesi H2 Supercharged - dilancarkan di pameran motosikal antarabangsa, EICMA 2019. Jentera yang mengagumkan ini ditawarkan pada harga EUR64,000 setiap satu dengan 22% cukai tempatan.

Selepas setahun 'berehat', jentera edisi khas Kawasaki Ninja H2 ini dijadualkan untuk produksi 250 buah unit bermula bulan Oktober tahun ini dengan pengeluaran bulanan disasarkan sebanyak 20 unit setiap bulan. Jentera yang mendapat perhatian dunia ini dibangunkan di kilang baru mereka di Remini yang berkeluasan 2,500m persegi dengan 20 orang kakitangan yang cukup berdedikasi.

Pengenalan kepada model baru ini sekali gus menghidupkan semula nama Tesi, yang mula diperkenalkan tepat 30 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1990 menerusi model Tesi 1D yang ketika itu menggunakan enjin Ducati.

Demi merealisasikan apa yang dikatakan oleh Bimota iaitu 'Revolusi Berterusan!', pihak Bimota ingin menawarkan pengalaman menunggang sebuah jentera yang cukup istimewa kepada para pencinta motosikal di seluruh dunia. Keistimewaan yang dimaksudkan ialah menerusi konsep kejuruteraan hub-tengah yang 'diletakkan' pada jentera dengan memberikan kawalan pergerakan yang berasingan pada bahagian saspensi, sistem brek dan pengemudi.

Begitulah yang dikatakan oleh Dr. Tesi atau Pierluigi Marconi, 61 tahun yang mencipta rekaan asal hampir 40 tahun yang lalu bersama dengan rakannya di Universiti Bologna, Roberto Ugolini. Selepas tamat pengajiannya pada tahun 1984, dia terus berkhidmat di Bimota. Enam tahun kemudian, dia berjaya membawa ciptaannya itu ke pasaran menerusi Tesi 1D.

Sejak dari saat itu, Marconi telah memperkenalkan beberapa siri motosikal konvensional yang lebih terkenal dan yang pasti, bukan semuanya untuk Bimota. Pereka berbakat ini telah bergabung semula dengan Bimota sebagai COO & CTO pada Mei tahun lalu. Walaupun begitu, mastermind projek iaitu Eksekutif Kawasaki Heavy Industries, Hiroshi Ito pada Oktober 2018 memberitahunya kemungkinan Bimota dapat dihidupkan kembali dan menyatakan hasratnya untuk bergabung semula dengan syarikat itu. Persoalan mereka ketika itu, motor apa yang hendak dibangunkan?

"Perkara pertama yang ditanya oleh Kawasaki kepada saya ialah: Bagaimana dengan membuat motosikal menggunakan motor H2 kami?” kata Marconi.

"Oleh itu, saya mengatakan bahawa adalah sesuatu yang menakjubkan jika dapat menggunakan enjin paling berkuasa di pasaran motosikal. Saya turut maklumkan bahawa saya memerlukan segalanya, bukan hanya mesin.... jadi apa lagi yang dapat Kawasaki berikan kepada saya?”

Kawasaki memberi maklum balas cukup positif. "Anda boleh menggunakan apa sahaja yang anda suka, kami terbuka sepenuhnya. Sila beritahu kami jenis motosikal yang anda mahu buat?”

“Saya memberitahu mereka bahawa saya ingin mengembangkan Tesi dengan jentera H2, mereka bersetuju dan menyatakan ia adalah satu projek yang hebat! Oleh itu... kami lakukannya!”

Secara rasminya Tesi H2 ini memulakan proses pembinaan pada bulan Mei 2019 dan amat menakjubkan, ianya telah berada di ruang pameran di EICMA enam bulan kemudian. Ia adalah jangka waktu yang sangat singkat untuk pembinaan sebuah model serba baru. Hanya ada satu faktor utama bagaimana ia dapat dilaksanakan sepantas itu ialah kerana Marconi sudah pun memulakan lakaran untuk model ini di fikirannya.

"Sejak dari bulan Disember lalu saya mulai memikirkan bagaimana itu dapat dibuat," kata Marconi.

“Jadi... apabila kami mulakan produksi jentera ini, segalanya telah jelas. Kami juga mendapat sokongan daripada pihak Kawasaki yang bersedia memberikan apa saja yang diingini. Tesi H2 ini direka sepenuhnya menggunakan kaedah 3D – semuanya virtual, tak ada lukisan. Ini kerana kebanyakan bahagian homologasi seperti sistem kemasukan udara, ekzos, pendawaian, lampu, sistem elektronik dan ECU telah pun disempurnakan oleh Kawasaki. Dari segi masa dan faktor kewangan pun ia amat menjimatkan.”

Dari kiri: Marco Chiancianesi & Pierluigi Marconi bergambar bersama jentera Bimota Tesi H2.
Dari kiri: Marco Chiancianesi & Pierluigi Marconi bergambar bersama jentera Bimota Tesi H2.

Untuk menghidupkan Tesi milik Marconi yang baru ini, Bimota telah memilih sebuah model versi jalan raya paling hebat dengan menggunakan enjin empat silinder. Ia adalah Ninja H2 998cc yang dilengkapi dengan supercharger yang berkuasa 228bhp pada 11,500rpm yang boleh ditingkatkan kepada 239bhp. Enjin H2 didatangkan dengan empat badan pendikit 50mm, masing-masing dengan penyuntik berkembar yang mampu menghasilkan tork setinggi 141Nm/14.4kgm pada 11,000 rpm. Paling penting, enjin padu ini turut melepasi piawaian Euro 4.

Menurut Marconi, untuk versi akan datang pula kuasa enjinnya akan diturunkan sedikit untuk melepasi piawaian Euro 5 dan untuk Tesi H2 pertama ini, Bimota ingin mengeluarkan sebuah mesin yang paling berkuasa berada di pasaran kerana dalam masa dua tahun lagi, mustahil untuk mereka menghasilkan jentera sepantas itu.

Rangkaian elektronik yang lengkap pada Kawasaki telah pun dipindahkan ke Tesi H2 dan ini menjadikan jentera ini lebih mesra penunggang dan mudah dikawal. Antara ciri-ciri menarik yang turut ditawarkan oleh Tesi H2 ini ialah tiga mod menunggang seperti Sport, Road dan Rain, sistem quickshifter dua arah, sistem Traction Control 9 tahap, peredam stereng elektronik Öhlins, IMU enam paksi Bosch, Launch Control, sistem ABS dan banyak lagi.

Pada Tesi H2, dia telah menggunakan spar kerangka tersebut, dan menggunakan enjin Kawasaki itu sendiri sebagai komponen casis penuh yang dipasang pada suspensi depan dan belakang, dengan struktur

sub-kerangka di bahagian tempat duduk. Seperti yang sebelum ini, terdapat lengan ayun di bahagian depan dan belakang yang dipasang pada plat enjin depan dan pada bahagian engkol seperti mana yang dilakukan pada model H2.

Tidak ada mana-mana bahagian yang dikimpal pada jentera ini. Untuk membentuk strukturnya, setiap 'kaki' lengan ayun ini dibuat dengan menggunakan kaedah laser yang memotong kepada tiga bahagian. Untuk memantapkan proses penyerapan hentakan, Bimota ini dilengkapkan dengan sistem saspensi jenis Ohlins untuk bahagian hadapan dan belakang. Ketinggian pelananya juga boleh dilaras dalam lingkungan 20mm – menurut Marconi, ia adalah untuk menjamin keselesaan pemiliknya.

Kestabilan jentera ini memang cukup mengagumkan. Pengagihan beratnya juga dibuat dengan bijak – Tesi H2 menyatakan jentera seberat 207kg ini diagihkan kepada 53/47% dan jika penunggangnya seberat 80kg, pengagihan ini menjadi sempurna 50/50%. Tapak roda model ini sepanjang 1,445mm (hanya 5mm lebih pendek daripada Ninja H2) dan inilah saiz yang dirasakan terbaik untuk model ini kerana Tesi H2 memiliki kuasa tork yang cukup tinggi.

Rim aluminium bertempa jenis OZ pada jentera ini ditempah khas dan ia telah dilengkapkan dengan brek Brembo Stylema bersaiz 330mm di depan dan 220mm di belakang. Kualiti brek ini cukup tinggi dan berupaya untuk mengawal pergerakan tayar belakangnya bersaiz 200/55ZR17 - besar dan mantap! Jentera ini telah ditala untuk mencapai kelajuan tertinggi pada 300km/j. Untuk tampak ranggi dan garang, jentera ini ‘diselimuti’ dengan fairing yang menyerupai gentian karbon. Ia dibuat sepenuhnya oleh Enrico Borghesan di Bimota sendiri dan turut meletakkan sayap untuk mendapatkan downforce yang lebih baik sewaktu berada dalam kelajuan tinggi.

Apa pun, pelananya yang setinggi 840mm telah direka dengan baik – ia membolehkan saya yang setinggi 1.80m dapat duduk dengan selesa, kedua-dua kaki dapat diletakkan pada permukaan jalan tanpa perlu menjengket. Apabila saya cuba untuk ke depan sedikit, sayap gentian karbon di kiri dan kanannya cukup jelas, itulah yang pertama sekali saya nampak.

Saya telah dijemput untuk menguji Tesi H2 di sebuah kawasan berbukit yang terletak di Remini. Sesi ujian ini kemudiannya disambung di litar Misano (sayangnya masa yang diperuntukan terpaksa dipendekkan kerana hujan lebat). Kemudiannya saya diberi peluang pula untuk menguji Tesi Gen 2 dengan enjin Ducati yang pernah cemerlang di kejuaraan dunia pada tahun 1991 dan 1992.

Enjin jentera ini sememangnya telah kita tahu cukup mantap dan kini apabila digabungkan dengan rekaan konsep Tesi telah menjadikannya sempurna. Saya teringat masalah yang dihadapi ketika di zaman perlumbaan dulu. Tesi memang mantap tetapi cukup sukar untuk dikawal apabila memecut laju. Kadangkala secara tiba-tiba, jentera akan bergoyang walaupun di laluan lurus. Saya akui sistem saspensi yang digunakan ketika itu tidaklah sebaik apa yang kita ada sekarang ini dan itulah kunci utama yang perlu diatasi ketika itu.

Jentera konsep yang saya uji selepas itu telah ditambahbaik. Ia menawarkan kemantapan hampir di setiap keadaan. Saya dapat membrek lambat dan dapat meratah setiap selekoh dengan pantas tanpa rasa sebarang keraguan pada sistem saspensi atau cengkaman pada bahagian tayar. Semuanya baik!

Itulah yang saya dapat rasakan kembali sewaktu memacu Tesi H2 ini dalam sembilan lap di Misano sebelum hujan membantut segalanya. Pertama, saya dapat menikmati pecutan enjin supercharged yang mengagumkan di tiga laluan lurus di litar itu. Tiada langsung sentapan, gangguan pada kuasanya sewaktu pendikit dipulas. Memang pantas benar ia ‘terbang’!

Kekuatan enjin itu kemudiannya kita gabungkan dengan kebijaksaan konsep Tesi yang membolehkan jentera ini melayang dengan sangat yakin untuk rebah ke dalam selekoh. Ketika membrek dengan keras dan lambat, tidak langsung terasa seperti ingin terhumban ke depan. Ia sangat stabil, inilah yang saya nikmatinya di setiap penghujung laluan lurus. Kalau model 1D dulu, ianya adalah amat mustahil untuk dapat rasa begini.

Walaupun menunggang sebuah jentera baru yang lebih baik, kita mesti ‘program’kan semula deria rasa untuk selari dengan sifat dan karaktornya cuma dengan Tesi H2 ini, ia lebih mudah. Ini adalah kerana jentera baru ini memiliki tindakbalas yang cemerlang untuk kita lebih memahaminya. Dulu, saya terjatuh beberapa kali secara tiba-tiba, tanpa sebarang amaran! Ini kerana maklum balas daripada tayar hadapan contohnya tidak cukup baik.

Bila menunggang motosikal baru ini segalanya dirasakan amat menyenangkan. Saya mudah menghalakan jentera ini mengikut kemahuan hati dan terus mengawalnya di dalam selekoh tanpa ragu-ragu. Mudah! Saya juga dijemput untuk membuat ujian brek dalam kelajuan tinggi. Tempatnya di selekoh Curvone Misano. Ujian pertama… gagal. Bukan salah motor tetapi salah saya sendiri. Saya takut dan terus menutup pendikit apabila kelajuan mencapai 200km/j dan ini menyebabkan saya tersasar dari laluan.

OK AC… mari cuba lagi! Saya berada di dalam gear kelima dan kelajuan ketika itu mencecah 210km/j, saya membrek keras dan berjaya! Saya lakukannya sebanyak dua kali untuk mendapat kepastian dan ternyata Tesi H2 ini tidak mengecewakan langsung. Ia sangat stabil.

Untuk ujian jalanan biasa, saya ditemani oleh Genesio Bevilacqua, cukup terkenal di kalangan para peminat perlumbaan Superbike. Beliau adalah pemilik pasukan Althea Racing dan telah menjuarai perlumbaan sedunia WSBK pada tahun 2011 menerusi pelumba lagenda, Carlos Checa yang menunggang Ducati 1098R. Kejayaan seterusnya menerusi Raffaele De Rosa (BMW S1000RR) dalam saingan FIM Superstock 2016. Selain memiliki beberapa koleksi jentera perlumbaan, Genesio juga merupakan seorang penunggang motosikal yang cukup bagus dan sering menyertai penganjuran track day. Saya rasa, beliau juga cukup berpotensi untuk menjadi salah seorang pemilik Tesi H2.

Saya menunggang Bimota manakala dia bersama jentera Kawasaki H2 yang memiliki pakej mekanikal dan sistem elektronik yang sama. Kami berdua bertukar-tukar jentera di sepanjang jalan. Selepas itu, kami berkongsikan pendapat yang rata-ratanya adalah sama.

Sebaik sahaja keluar daripada kawasan kilang Bimota, saya pulas pendikit dan serta merta dapat rasakan betapa kuatnya kuasa enjin jentera ini – lebih ‘power’ daripada H2! Mungkin kerana saya menggunakan mod Sport – bila saya tengok meternya, masih menggunakan mod Road. Bermain-main di kawasan berbukit dengan enjin sekuat ini memang kurang seronok, saya tukar kepada mod Rain agar tidak terlalu kuat. Ok… baru rasa lebih selesa.

Kami kemudian bertukar motosikal dan kini saya rasa kuasa tork Kawasaki H2 lebih lembut, tidak segarang Tesi. Apabila berbual dengan Genesio, dia juga katakan perkara yang sama. Enjin terlalu kuat dan pihak Bimota perlu segera selesaikan masalah ini sebelum menghantar kesemua unit-unit ini kepada para pelanggan, termasuk di Filipina dan Jepun. Untuk kumpulan pertama, telah siap sedia sebanyak 42 buah Tesi H2 dan 10 unit telah dijual. Selain dua negara tadi, Bimota turut menerima tempahan daripada UK, USA, Jerman dan Itali.

Saya cuba untuk menggunakan mod Sport dan Road ketika berada di litar, hasilnya memang menakjubkan. Sebelum benar-benar mahir, beberapa kali juga saya agak melebar walaupun menggunakan gear yang sepatutnya sudah betul. Memang bertenaga. Saya hanya kekal dalam gear keempat untuk masuk/keluar selekoh tajam agar kuasa hantarannya tidak terlalu kuat. Oleh kerana jentera ini menggunakan ECU yang sama dengan model H2, semestinya tahap penghantaran kuasanya boleh ditala dan diperbaiki dengan mudah. Kita berharap Bimota dapatlah melakukannya sebelum dipasarkan.

Semakin lama saya ‘bersama’nya, barulah saya dapat rasakan masalah yang perlu diatasi iaitu pada corak pengendaliannya. Ia hanya dapat dikesan ketika berada di selekoh tajam dalam kelajuan yang agak rendah – jentera ini tiba-tiba ‘baring’ dengan laju. Pada awalnya saya sangkakan adakah kerana permukaan litar yang basah tetapi apabila berlaku beberapa kali, barulah saya faham tentang corak kawalan jentera ini.

Bimota Tesi YB di Muzeum Motosikal Negara, Rimini, Italy.
Bimota Tesi YB di Muzeum Motosikal Negara, Rimini, Italy.

Mujurlah tindakbalas daripada tayar hadapan cukup cemerlang yang membantu saya kekal di laluan dengan tepat. Bila saya tanyakan pada Genesio, dia pun merungut hal yang sama. Masalah ini bagaimana pun tidak berlaku ketika saya membaringkan jentera ini di selekoh dalam kelajuan yang tinggi. Ia betul-betul cukup lincah dan rasanya Tesi H2 ini bukanlah dicipta untuk kelajuan santai…. bukan untuk 60km/j.

Penunggang Tesi ini juga perlu sentiasa ingat bahawa ia adalah satu nikmat mengendalikan sebuah motosikal yang mempunyai rekacipta yang unik, Tesi H2 adalah sebuah jentera hub-tengah, lain daripada yang lain. Penunggangnya perlu memegang bar hendal dengan lembut dan jangan takut untuk menggunakan brek dengan lambat walaupun sudah mencecah 300km/j. Kalau motosikal lain memang buruk padahnya tetapi Tesi ini memang direka semantap itu.

Sistem penyerapan berasingan yang dimiliki oleh Bimota ini adalah aset paling penting dan boleh dipercayai cuma kena yakin pada keberanian diri sendiri. Bimota Tesi H2 adalah sebuah jentera unik yang kini boleh dinikmati oleh para pengguna motosikal di seluruh dunia. Ia dicipta untuk memberi kelainan dan saya yakin, amat berbaloi memilikinya selepas menunggu selama 30 tahun. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Bimota – Avenidas/Loretta Del’ Ospedale & Davide Bianchi.

Isu Pada

November 2020

Spesifikasi

Enjinempat lejang, 4 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair, sistem supercharged
Isi padu998cc
Gerek x Lejang76.0mm x 55.0mm
Kuasa maksimum170kW pada 11,500rpm
Trok maksimum141Nm pada 11,000rpm
Transmisi6 kelajuan
P x L x T2,074mm x 770mm x 1,155mm
Tayar120/70ZR15 (depan) & 200/55ZR17 (belakang)
Saspensilengan ayun aluminium dengan penyerap hentak Ohlins TTX boleh laras (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak Ohlins TTX boleh laras (belakang)
Brekcakera 330mm (depan) & cakera 220mm (belakang)

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.