Honda CRF1100L Africa Twin: Jentera Pengembaraan Yang Pasti Mengujakan
Honda kembali menyinari pasaran motosikal adventure untuk tahun 2020 dengan memperkenalkan jentera pengembaraan popular mereka iaitu Africa Twin. Tahun lepas RR dah cukup berpuas hati dengan model 1,000cc dan apabila melihat akan kemantapan edisi terbaru, ingin benar merasa, apakah perbezaan yang ditawarkan? Africa Twin baru ini dilancarkan pada bulan Mac tahun ini. Ketika ia diperkenalkan, sudah terbayang berapa kilometer perjalanan dan berapa banyak destinasi dapat dinikmati bersama jentera yang benar memiliki aura tersendiri khususnya buat mereka yang sukakan motosikal-motosikal tinggi (Explorer/Touring)
Secara ringkasnya, Honda Africa Twin mula diperkenalkan pada tahun 1988 dengan enjin bersesaran 650cc dan dengan pantas, ia mendapat perhatian positif dari peminat dua roda di seluruh dunia. Model bersesaran 750cc kemudiannya diperkenalkan pada tahun 1990 dan beberapa lagi versi 750cc dilancarkan lagi hinggalah pada tahun 2003 sebelum nama ini tidak lagi didengari.
Akhirnya, nama Africa Twin disebut kembali selepas 13 tahun menyepi iaitu pada tahun 2016 dan tahniah buat Honda, kemunculannya amat tepat pada masanya dan bagi mereka yang memang minat benar dengan model ini, penantian itu sememangnya berbaloi. Model yang diperkenalkan itu moden, berteknologi tinggi dan memiliki sistem keselamatan yang mantap.
Model 2020 didatangkan dengan spesifikasi yang lebih moden dan terkini. Africa Twin ditawarkan dalam dua varian untuk model ini iaitu CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports yang dibezakan menerusi saiz tangki, sistem saspensi, jenis brek, cermin pengadang udara lebih tinggi, tayar jenis tanpa tiub, pengecas ACC, pemanas pendikit dan paling utama harga penjualannya.
Honda CRF1100L Africa Twin (manual) ditawarkan pada harga RM98,888, hadir dalam warna Merah Grand Prix manakala model CRF1100L Africa Twin Adventure pula ditawarkan dalam dua versi iaitu Manual dan DCT yang masing-masing berharga RM111,888 dan RM117,888 dengan warna Pearl Glare White Tricolour.
RR akhirnya berpeluang untuk menguji varian Dual Clutch Transmission (DCT) pada awal November lalu. Perubahan paling ketara yang dilakukan pada model baru ini ialah pada bahagian panel meternya. Africa Twin baru ini disempurnakan dengan panel meter TFT penuh warna (skrin sentuh), lengkap dengan penyambungan media. Ini untuk penggunaan sistem navigasi dan membuat panggilan dengan menggunakan telefon pintar.
Di bawah panel meter TFT itu terdapat satu lagi panel meter digital yang lebih ringkas. Sebaik sahaja penyambungan media diaktifkannya (melalui penggunaan sistem bluetooth), panel meter TFT akan kita gunakan untuk paparan navigasi, panggilan telefon dan pilihan muzik.
Selain itu, informasi biasa seperti tahap kelajuan, putaran rpm, posisi gear, mod tunggangan, isi tangki, suhu, jarak perjalanan, trip, purata kelajuan, purata penggunaan bahan api dan talaan elektronik dipaparkan dengan cukup jelas sekali.
Pujian untuk meter TFT baru! Segala talaan, info penting dan tanda amaran memang dapat dilihat dengan mudah. Untuk membuat talaan dan mengaktif pelbagai sistem elektronik yang terdapat pada jentera ini, terdapat sekurang-kurangnya 13 suis pilihan yang terletak di bahagian kiri bar hendal. Suis-suis itu seperti simbol media untuk kawalan atas/bawah, Enter, Back, Forward, Reverse, Favorite, Pilihan Paparan dan banyak lagi. Kena ambil masa sikit untuk faham dan cekap menggunakannya. Suis penghidup, pilihan DCT dan sistem Cruise Control diletakkan di bar hendal sebelah kanan.
Jika dibandingkan dengan sebelum ini, pelana Africa Twin 2020 jauh lebih rendah iaitu 810mm/830mm berbanding 900mm untuk model CFR1000L. Mungkin untuk disesuaikan dengan penunggang yang rendah tetapi bagi mereka yang tinggi lampai, nampak seperti tenggelam. Walaupun begitu, ia tidak menjejaskan keselesaan.
Cermin pengadang udara di hadapan boleh dilaras tetapi sayangnya ia tidak begitu sempurna. Jika kita letakkan pada ketinggian paling bawah, mata penunggang berada di garisan pandangan iaitu di antara cermin dan pandangan sebenar. Ia benar-benar mengganggu terutamanya ketika berada di selekoh dalam kelajuan tinggi. Nak dongak sedikit atau perlu merendahkan kepala? Adalah lebih baik jika Honda menawarkan lagi satu tahap agar ia dapat direndahkan sedikit.
Seperti sistem DCT yang dilengkapkan pada model terdahulu, terdapat tiga pilihan sistem transmisi iaitu Drive (D), Sport (S) dan Manual (M). Pilihan D dan S menawarkan operasi penukaran gear dilakukan secara automatik mengikut tahap putaran enjin. Ia seperti transmisi auto pada kenderaan empat roda. Selain memudahkan perjalanan, teknologi ini membantu pengunaan bahan api menjadi lebih jimat. Dengan adanya sistem DCT ini, maka tiadalah tuas gear dan tuas klac. Ini pun ambil masa untuk dibiasakan, kalau tidak... tangan memang asyik cari klac lah jawabnya!
Bagi mereka yang baru mengenali jentera ini, D boleh dipilih sebagai permulaan. Menerusi pilihan ini, penukaran gear dari 1 hingga 6 akan dilakukan secara automatik ketika putaran enjin berada pada tahap 2,000rpm. Kedudukan gear juga sentiasa akan berubah mengikut pada kelajuan.
Dengan tubuh yang agak ramping, jentera ini juga sesuai untuk kegunaan urban, tambahan pula tidak perlu menggunakan klac dan gear..... segalanya mudah. Terdapat lima tunggangan iaitu Tour, Urban, Gravel, Off-Road dan User 1 & 2 yang boleh ditala mengikut kesesuaian. Turut menjadikan model baru ini pilihan hati ialah menerusi pakej elektronik seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Cornering ABS, DCT Cornering Detection, Cruise Control dan Inertial Measurement Unit (IMU). Setiap mod ini menawarkan pelbagai talaan yang telah ditetapkan secara automatik mengikut kesesuaian seperti tahap kuasa, brek enjin, sistem ABS, suis G, tahap penyerapan sistem saspensi. Terdapat dua talaan yang boleh kita pilih mengikut citarasa dan kemahuan sendiri iaitu HSTC (7 tahap) dan Wheelie (3 tahap).
Dalam pilihan D, terasa cepat benar gear mencapai tahap tertinggi sedangkan kelajuan masih agak perlahan. Apa yang menjadi perbincangan kami ialah bunyi yang 'dikeluarkan' di sistem transmisi setiap kali penambahan/penurunan gear dilakukan. Bunyi ini agak kuat sehinggakan ada penunggang motosikal lain mendatangi kami sampai menyatakan “Rantai motor sudah bunyi... kena cepat tukar!” Kami memberi isyarat 'bagus' kerana dia dapat mendengar bunyi ini dari jauh.
Dari 'D', kami bertukar kepada pilihan S yang disediakan dalam tiga tahap kuasa. Paling mantap tentulah di tahap ketiga, kita dapat memerah kuasa enjin 1100cc ini ke tahap 6,000rpm sebelum ia menambah posisi gear. Memang power! Perbezaan karaktor dan daya pecutan ini dinikmati terutamanya ketika berada di lebuhraya. Tenaga Africa Twin ini mampu dikerah sehingga mencapai kelajuan 215km/j tanpa merasakan gegaran yang kurang enak.
Kerangka model 2020 ini lebih ringan dan cukup fleksible yang menjadikan pengendaliannya dapat dilakukan dengan cepat dan tepat. Bagi rakan-rakan yang baru ingin mengenali dunia motosikal pengembaraan, model ini boleh dijadikan pilihan. Ia rendah, senang dikawal dan 'mendengar kata'.
Apabila bertukar kepada penggunaan M (Manual) segalanya jelas amat berbeza. Dengan penggunaan suis (+/-) yang dilengkapkan pada bar hendal sebelah kiri, kita dapat mengekalkan kedudukan gear dan tahap rpm mengikut keselesaan diri. Kita juga dapat merasakan kuasa enjin yang mampu dijana ke tahap maksimum tanpa ‘campur tangan’ daripada sistem DCT. Atas faktor keselamatan, dalam pilihan (mod transmisi) apa sekali pun, kedudukan gear boleh diturunkan agar mendapat brek enjin yang mengikut kehendak dan keselesaan kita.
Selepas puas menunggang di jalan biasa, kami masuk ke laluan offroad untuk menguji keberkesanan sistem DCT khususnya di laluan-laluan sukar. Memang seronok! Mod tunggangan Offroad atau Gravel membolehkan kita memilih untuk menyahaktifkan sistem ABS. Tangan dan kaki kiri tidak lagi 'kelam kabut' untuk menambah/menurunkan gear, kali ini pulas sahaja. Memang jimat tenaga.
Kepakaran para jurutera Honda memang amat kami kagumi. Africa Twin 2020 dilengkapkan dengan Showa Electronic Equipped Ride Adjustment (EERA) yang akan mengumpul data dan menala redaman dalam masa mili saat agar sistem saspensi bersedia untuk menyerap setiap hentakan dengan tepat. Kita hanya perlu membuat talaan kadar penyerapan di panel TFT sama ada menunggang solo, berdua atau membawa bebanan. EERA akan dapat mengesan walaupun kita sedang melompat dan sistem saspensi akan bersedia untuk menampung pendaratan yang keras itu.
Tidak ada selekoh yang memberi masalah, semuanya 'dilipat' dengan penuh ghairah dan kenikmatan. Lampu penunjuk selekoh LED akan menyala apabila jentera ini dimiringkan – amat berguna untuk tunggangan di waktu malam. Dengan suluhan yang cerah, kita dapat masuk/keluar selekoh dengan lebih selamat.
Sistem brek jenis hidraulik beserta ABS dipadankan pada jentera ini. Pakej sistem pertahanan ini penting untuk mengawal pergerakan tayar hadapannya yang bersaiz 90/90-21M/C 54H dan belakang (150/70R18M/C 70H) yang akan sentiasa 'bertugas' tanpa rehat sebaik sahaja enjin jentera ini dihidupkan.
Menunggang di waktu malam yang dingin di kawasan-kawasan felda menambahkan lagi kesukaan kami pada Honda ini. Selain ada lampu penunjuk selekoh dan panel meter yang jelas, model ini turut dilengkapkan dengan pelindung tangan dan pemanas grip yang boleh ditala dengan mudah sekali. Walaupun pelana kini lebih rendah, kelegaan tanahnya masih tinggi, kita dapat merentasi kawasan kebun dan berpasir tanpa ragu-ragu.
Selain masalah cermin pengadang udara, suis yang banyak dan bunyi DCT yang agak kuat, kami rasakan Honda Africa Twin ini sudah hampir sempurna. Rupa dah cantik, enjin dah 'power' dan posisi menunggang pun dah terbukti selesa. Itu adalah resepi terbaik buat kita tertunggu-tunggu bilalah perlaksanaan PKPB ini akan ditamatkan.... nak jalan-jalan jauh sikit boleh tak?
Untuk maklumat lebih lanjut, kunjungi pengedar Honda BigWing yang berhampiran atau telefon terus talian bebas tol, 1800-88-3993 (Isnin hingga Jumaat dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari hondabigbike.com.my. RR
Spesifikasi
Enjin | Sistem sejukan cecair,4 lejang, 8 injap, kembar parallel |
Isipadu | 1,084cc |
Gerek x Lejang | 92.0mm x 81.5mm |
Kuasa maksimum | 75kW pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 105Nm pada 6,250rpm |
Transmisi | 6 kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT) |
Saspensi | fork teleskopik dengan Showa EERA (depan) & lengan ayun monoblock aluminium dengan Showa EERA (belakang) |
Tayar | 90/90-21M/C 54H (depan) & 150/70R18M/C 70H (belakang) |
Isi tangki | 24.8 liter |
Pengeluar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular