Kawasaki Ninja ZX-6R Roket Kecil
Kawasaki perkenalkan ZX-6R pada tahun 1995 dan ketika itu rekabentuknya dan karaktornya diilhamkan daripada model lagenda Kawasaki Ninja ZX-9R yang cukup terkenal. Dari tahun 1995 hinggalah 2002, jentera supersport ini memiliki tubuh badan yang cukup besar walaupun dibandingkan dengan model- model berkuasa 750cc dan ke atas. Dari satu lampu utama kemudian ditukar menjadi dua... semua direka cukup bijak, sesuai dengan citarasa peminat motosikal yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman.
Tahun 2003, rekabentuknya berubah dengan drastik sekali! Lebih kecil... lebih kompak dan pastinya lebih pantas! Pengenalan kepada model ini bagi menyahut cabaran model-model saingannya ketika itu seperti Yamaha R6, Honda CBR600RR dan Suzuki GSX-R600. Kerangka yang diperkukuh dan dipadankan dengan sistem enjin berkuasa tinggi membolehkan Ninja ZX6R memiliki kemantapan untuk pelbagai jenis perjalanan dan dibuktikan dengan kejayaan merangkul juara keseluruhan Supersport World Championship (WSBK) pada tahun 2015 menerusi pelumba sensasi Kenan Sofuoglu.
Terbaru, RR menunggang uji model ZX-6R yang kami gelarkannya 'Roket Kecil' di atas kebolehannya memecut dengan sangat pantas. Dari segi saiznya, tidak keterlaluan jika kami katakan, sekali imbas model ini memang tak jauh bezanya dengan model Ninja 400. Posisi menunggangnya menarik! Ia tidaklah begitu membongkok tetapi tidak juga tegak. Kami rasa sesuai untuk memecut dan juga bersantai di dalam bandar.
Sistem transmisinya cukup lembut! Dari kedudukan gear pertama hinggalah ke gear keenam, proses tambah/turun gear dapat dilakukan dengan cukup lancar – lebih-lebih lagi dengan adanya sistem quick shifter, tak perlu tarik tuas klac dan paling penting, kami tidak mengalami miss shifting walau sekalipun sewaktu asyik menukar gear (laluan berselekoh). Dengan saiz motosikal 400cc tetapi memiliki enjin supersport 600cc, pecutan dapat dilakukan tanpa bersusah payah.
Sekelip mata, kita sudah mampu memecut lebih daripada 200km/j walaupun masih dalam kedudukan gear keempat dan hantaran kuasa ini cukup tepat tidak kira dalam rpm yang tinggi atau rendah. Apa yang kami sukakan ialah pengendaliannya yang mudah membolehkan kita cepat mengenal pasti sifatnya.
Sekali lagi kami cukup sukakan sistem transmisinya yang lembut dan lancar. Bila menunggang sebuah jentera yang memberi kita keyakinan tinggi, setiap kilometer dirasakan seronok dan itulah 'tawaran' hebat dari Kawasaki yang sukar untuk ditolak. Walaupun kelajuan sudah mencecah kepada 250km/j, kerangkanya (jenis tiub/berlian) yang tegar membantu jentera terus stabil.
Apa pun, jika seseorang itu baru memiliki sebuah jentera berkuasa tinggi, dia terlebih dahulu perlu mencari keserasian, kenali sifat dan karaktor jenteranya sebelum memecut dalam kelajuan tinggi. Kena ingat selalu pesanan ini, “Semua orang boleh pecut laju tetapi tak semua orang boleh hentikan motosikal dengan baik!”
Kawasaki ZX-6R ini didatangkan dengan dua mod tunggangan iaitu F (Full) dan L (Low) yang boleh kita pilih menerusi suis yang terdapat pada bar hendal sebelah kirinya. Mudah sahaja! Selain itu, turut dipaparkan pada panel meter Ninja ini ialah tahap putaran rpm, posisi gear, jam, suhu enjin, isi tangki, tahap kelajuan, trip dan jarak perjalanan.
Lampu jenis LED yang berwarna putih membantu kita lebih mudah untuk dilihat oleh kenderaan lain cuma saiznya yang kecil dan warnanya (hitam) seringkali disalah erti sebagai motosikal bawah 500cc.
Sebagai penunggang motosikal berkuasa tinggi, tumpuan terhadap keadaan trafik di jalan raya amat penting agar kita dapat menjangka tindakan atau rancangan yang berada di dalam fikiran pengguna jalan raya yang lain.
Selepas puas menikmati pecutan di lebuhraya, kami menggunakan jalan bandaran yang baru siap dari Sungai Buloh - Bestari Jaya - Sekinchan. Keadaan lalulintas permukaan jalannya cukup 'sedap' untuk memiringkan jentera seberat 196kg ini dalam kelajuan tinggi. Enjin bersesaran 636cc, empat silinder sebaris, DOHC ini menawarkan hantaran kuasa setinggi 95.4kW pada 13,500rpm dan tork 70.8Nm pada 11,000rpm. Mantap sungguh!
Kami berhenti seketika di Anjung Pool Villa untuk menikmati keindahan alam semula jadi serta hembusan udara di kawasan ini. Anjung Pool Villa menawarkan dua unit villa yang dilengkapi dengan dua buah bilik, ruang tamu, kolam renang indoor, penghawa dingin, ruang parkir, dapur, peti ais, set bbq dan banyak lagi. Tempat ini memang sesuai untuk bersantai seisi keluarga. Hubungi 012-2352024 atau laman FB: Anjung Pool Villa untuk membuat tempahan.
Dengan sistem saspensi yang direka semula, segala hentakan dapat diserap dengan cemerlang walaupun ketika menyusuri laluan yang sedikit berbonggol. Seperti model sebelumnya, ZX-6R baru ini turut dilengkapkan dengan fork hadapan jenis Showa Separate Function Big Piston dan penyerap hentak jenis gas Bottom-Link Uni-trak di bahagian belakang yang bertindak cukup cemerlang mengekalkan kestabilan Ninja ini dalam setiap kondisi.
Banjaran kuasa enjinnya cukup luas, saiz lejangnya yang panjang serta posisinya yang tidak terlalu membongkok menjadikan ZX-6R ini juga cukup sesuai sebagai jentera urban. Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos memang padu! Menarik perhatian orang ramai. Walaupun terpaksa 'merangkak' di dalam kesesakan lalulintas, bahagian peha atau kaki terus selesa - tiada rasa panas melampau. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan ZX-10R, kami rasa model tersebut lebih selesa dan menyeronokkan untuk digunakan di dalam bandar.
Bila jalan kembali kosong, pendikit kembali diperah untuk maju ke hadapan. Dengan adanya sistem ABS, Assist & Slipper Clutch dan Kawasaki Traction Control (KTRC), kita mampu mengerahkan ZX-6R ini mengikut kehendak dan caranya 'memahami' corak tunggangan penunggang memang mengujakan. Boleh ketagih! Walaupun ZX-6R ini cukup mantap ditunggang laju, dan cukup selesa ditunggang perlahan, saiznya membuatkan penunggang yang tinggi lampai nampak kurang cantik jika dilihat dari pandangan mana pun. Bagi penunggang yang bersaiz kecil atau sederhana, ia adalah antara jentera supersport yang boleh menjadi pilihan utama.
Untuk disepadankan jentera ini dengan ketangkasan-nya berada di selekoh dan kepantasan memecut, jentera supersport ini dilengkapkan dengan sistem brek cakera berkelopak bersaiz 310mm (depan) dan 220mm di belakang yang telah terbukti cemerlang sejak dari dulu lagi. Kemantapan sistem saspensi Kawasaki ini juga membolehkan kita menarik brek dengan keras dan tepat tanpa rasa seperti akan terhumban ke hadapan.
menggerakkan jentera berharga RM79,900 ini lebih daripada 250 kilometer – bergantung kepada corak tunggangan ya! Jujurnya, Kawasaki ZX-6R ini cukup sesuai untuk para penunggang yang ingin lebih dekat dengan kemantapan dunia motosikal pantas. Pelananya hanya setinggi 830mm, boleh dipanjat oleh sesiapa sahaja. Hantaran kuasa mampu dikawal dan pengendaliannya di jalan raya atau di litar sekalipun cukup mesra penunggang baru dan lama.
Dengan adanya bantuan elektronik yang bijaksana, tunggangan lebih selamat asalkan jangan tungganginya melebihi kemampuan diri sendiri. Setiap pembelian Kawasaki ini layak menerima waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 km perjalanan (yang mana terdahulu) dan khidmat lepasan jualan yang cukup efisien. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder sebaris, sistem penyejuk cecair, DOHC |
Isipadu | 636cc |
Gerek x Lejang | 67.0 x 45.1mm |
Kuasa maksimum | 95.4kW pada 13,500rpm |
Tork maksimum | 70.8Nm pada 11,000rpm |
Tayar | 120/70ZR 17M/C (depan) & 180/55ZR 17M/C (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik 41mm (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak Bottom-Link Uni-Trak |
Tinggi pelana | 830mm |
Isi tangki | 17 liter |
Pengeluar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular