Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 September 2020

CFMOTO 650GT Seronok Dibawa Mengembara

Bagi pencinta motosikal, hari yang paling seronok ialah apabila kita melihat langit cerah membiru dan terdapat sebuah motosikal telah bersiap sedia di ruang parkir, menunggu kita untuk diajak berjalan. Perkenalkan CFMOTO 650GT... sebuah jentera gabungan prestasi, elegan dan cukup praktikal. Sesuai untuk semua golongan penunggang motosikal.

Ketika mula-mula dikhabarkan kedatangan model ini ke pasaran negara, kami memang teruja untuk melihat rekabentuknya dari dekat. Sejauh mana pembangunan yang disempurnakan pada enjinnya? Sekemas mana kualiti pembikinannya? Secanggih mana tahap keselamatannya? Macam-macam nak rasa. Selepas beberapa lama menunggu, kami akhirnya mendapat panggilan daripada Pengurus Besar KTNS Holdings Sdn Bhd, En. Alan Lee yang mengatakan jentera yang ditunggu telah sampai di Segambut. Yessss....

Melihat model 650GT ini dah berada di depan mata, kami memang cukup kagum dengan pakej yang dimilikinya. Buat masa ini, tidak dinafikan bahawa CFMOTO 650GT merupakan satu-satunya jentera pengembaraan peringkat pertengahan yang serba baru berada di pasaran. Ia ditawarkan pada harga RM33,800 termasuk dua buah kotak barang sisi.

Unit yang diuji ini memang lawa habis! Warna Concept Blue berkilat menyerlahkan lagi keanggunan jentera ini. Terdapat dua jenis paparan meter mengikut mod tunggangan.

Tidak sangka ia secantik ini, tahniah buat CFMOTO, anda berjaya membuka mata ramai pihak. Selepas puas melihat jentera ini, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk merasakan prestasinya. Aduhai… sebaik sahaja kami menekan suis penghidup, enjin 650GT ini ‘berdegup’ dengan cukup senyap, lancar dan memiliki suara sistem ekzos yang sedap didengar. Panel meter TFT yang disempurnakan padanya mudah untuk kita baca dan membuat talaan. Lampu latar belakang akan berubah warna apabila keadaan sekeliling bertukar dari siang ke malam atau apabila berada di dalam kawasan gelap, contohnya terowong. Moden kan?

Ada dua mod tunggangan iaitu Sport dan Touring dan corak paparan panel meter ini juga akan bertukar mengikut mod tunggangan yang kita pilih. Ok… kami gunakan mod Touring sebagai permulaan. Enjin 649cc dan berpiawaian Euro 4 ini memiliki hantaran kuasa 46kW pada 9,000rpm serta tork yang memberikan prestasi-prestasi mantap terutamanya di gear-gear pertengahan. Walaupun didatangkan dengan kotak sisi, sedikit pun ia tidak mengganggu pergerakan tidak kira ketika dalam kelajuan rendah mahupun tinggi.

Bagi si tinggi lampai, CFMOTO 650GT ini akan dirasakan sedikit rendah berbanding model-model sport-tourer lain. Sekali lagi diingatkan, ia menggunakan enjin 650cc sahaja ya! Tidak wajarlah untuk dibandingkan saiz dan ketinggiannya dengan jentera-jentera berkuasa 1,000cc, 1,300cc, 1,400cc atau 1,800cc. CFMOTO ini sememangnya antara pilihan terbaik buat mereka yang ingin menikmati pengalaman mengembara dengan jentera yang santai, tidak terlalu berat, cantik, moden dan mampu milik.

Lampu-lampu LED yang digunakan pada model ini memang cukup bagus untuk memberi suluhan yang terang dan jelas. Kecerahan lampu rekaan Kiska Design ini bukan sahaja penting untuk perjalanan malam sahaja malah amat penting ketika berada di lebuhraya. Suluhannya yang terang itu akan memudahkan kenderaan hadapan mengetahui akan kehadiran kita dan tidaklah mereka keluar/masuk lorong sesuka hati.

Kestabilan dan kadar brek enjinnya yang cukup baik, kami serasi dengan pergerakan dan karaktor enjin CFMOTO ini dengan cepat. Fork teleskopik bersaiz 43mm boleh laras dan penyerapan hentak mono di belakang memboleh kami meratah setiap selekoh di Lebuhraya Karak dengan selamat. Sesungguhnya nikmat berada di laluan-laluan mendaki sukar digambarkan dengan kata-kata mahupun nukilan. Memang ‘sedap’ sungguh 650GT ini dilayangkan ke kiri dan ke kanan cuma lebuhraya ini sudah kurang selamat buat kita (para bikers) apabila menjelang cuti hujung minggu atau cuti am.

Perjalanan menuju ke negeri-negeri pantai timur akan terlalu sesak dengan kenderaan empat roda. Mungkin kerana sudah lama terperap di dalam rumah, kebanyakan keluarga akan menggunakan peluang hari cuti untuk pulang ke kampung atau ke destinasi percutian. Janganlah pula pada masa itu jugalah kita memilih untuk beraksi (mencecah lutut) di laluan yang sama. Mencari padah namanya tu!

Udara dingin mula menyentuh badan apabila kami masuk ke daerah Janda Baik. Itulah kesegaran alam yang wajib kita jaga. Walaupun masih dalam mod touring, hantaran kuasa terus hadir setiap kali pendikit diputar. Mata-mata si pencinta motosikal mula menjeling setiap kali jentera ini diparkir. Daripada hadapan hinggalah ke belakang, pujian harus diberikan kepada pasukan pereka jentera ini kerana ia sentiasa mendapat pujian ramai.

Dari tempat sejuk, kami turun semula ke Gombak dan menuju ke Tol Duta menggunakan Jalan Kuching. Oleh kerana baru mengendalikan jentera ini, terkial-kial juga untuk menyelit – takut sangkut kotak sisi. Mujurlah, segalanya lancar. Selamat tinggal Kuala Lumpur, kami tukar mod tunggangan kepada Sport untuk perjalanan menuju ke Taiping.

Respon pendikit dan kuasa enjin terus bertukar menjadi lebih galak. Hantaran kuasa juga hadir dengan lebih mantap! Dalam gear tertinggi, 650GT ini mampu kita larikan sepantas 190km/j tanpa sebarang gegaran atau bergoyang walaupun dengan adanya kotak barang sisi tetapi kelajuan paling selesa ialah sekitar 120-130km/j. 650GT adalah jentera pengembaraan, bukannya nak guna untuk memecut laju! Cermin pengadang udaranya juga boleh kita laras (secara manual) mengikut ketinggian yang disuka, jadi…. laju mana pun tidak mengganggu prestasi tunggangan.

Posisi gear, tahap rpm, tahap kelajuan, mod tunggangan, jarak perjalanan, jam dan tahap bahan api semua jelas untuk kita lihat dan walaupun sudah melebihi 200 kilometer, petrol yang diisi di dalam tangki 19 liter masih banyak. Secara purata ia mampu membawa pemiliknya sejauh 300 kilometer dengan sekali isi. Terdapat lampu amaran yang akan menyala apabila petrol semakin berkurangan dan kita mempunyai jarak perjalanan lebih kurang 30 kilometer lagi untuk menambah bahan api. Jarak perjalanan ini juga bergantung pada corak tunggangan, keadaan jalan dan saiz penunggang ya!

Perut sudah berlagu dan kami berhenti di Mak Ndak Bihun Sup yang terletak di Kampung Paya, jalan lama dari Kuala Kangsar ke Taiping. Restoran ini terkenal dengan menu Bihun Sup Ayam dan Kuetiau Sup Ayam. Apa lagi… kami order Sup Special – ayam lebih! Memang terangkat beb…Hari mulai gelap dan setiap suis penunjuk yang terdapat pada bar hendal (suis lampu isyarat, lampu tinggi/rendah, penghidup, kecemasan, mode dan hon) memiliki lampunya sendiri. Cukup praktikal! Selepas seharian di atas jentera ini, kami tetap bertenaga, tidak penat atau lenguh-lenguh. Itulah keselesaan yang dibuktikan oleh CFMOTO ini.

Keesokan harinya, kami singgah sebentar di Taman Tasik Taiping. Lama sungguh tak rasa suasana dan kedamaian di sana. Lepas nikmati sarapan, jentera diarahkan ke Gerik dan Banjaran Titiwangsa. Sistem transmisi enam kelajuan yang dipadankan pada model ini memang lembut dan lancar. Setiap gear dapat kami gunakan dengan mudah sewaktu menyusuri jalan-jalan berliku tajam. Kuasa hantaran yang mantap membolehkan kami menggunakan gear keempat untuk mendaki dan sesekali terpaksa juga gunakan gear ketiga untuk memintas. Cermin sisi yang besar turut membantu kami untuk melihat keadaan trafik di belakang sebelum menukar lorong atau membelok.

Perjalanan dari Kuala Kangsar – Gerik – Hentian R&R Titiwangsa memang cantik, redup dan menyegarkan. Setiap hujung minggu, ia menjadi pilihan para pengembara motosikal untuk bermotor dari negeri-negeri di Utara dan Pantai Timur. Kami bertemu dengan pelbagai jenis jentera yang rata-ratanya adalah dari model-model touring. Tayar-tayar bersaiz 120/70ZR 17 (depan) dan 160/60ZR 17 di belakang mencengkam dengan baik manakala brek-brek cakera jenis J.Juan yang lengkap dengan sistem ABS membolehkan pemilik jentera ini berada di laluan dengan kemas tanpa sebarang keraguan.

Sedikit info mengenai jenama ini. J.Juan merupakan sebuah syarikat pengeluar brek yang berpengkalan di Barcelona, Sepanyol dan turut memiliki cawangannya di negara China serta beberapa pejabat bahagian teknikal di USA dan India. Brek-brek J.Juan telah digunapakai oleh beberapa pengeluar motosikal di seluruh dunia sejak pada tahun 1965 lagi – kualitinya telah terjamin.

Kestabilan jentera ini sewaktu berada di lebuhraya, laluan berselekoh dan di dalam kesesakan lalu lintas menjadikan CFMOTO 650GT ini sesuai ditunggang oleh sesiapa sahaja tidak kira umur dan jantina. Wanita juga pasti menyukai jentera ini. Posisi menunggang yang natural, tegak, ruang kaki yang luas, jarak antara hendal dan tubuh badan yang ideal membolehkan kita dapat menikmati ribuan kilometer dengan senyuman.

Dengan menawarkan sebuah jentera yang cukup anggun, moden, berkualiti dan mampu milik, CFMOTO 650GT kini dengan megah menyusuri pelbagai jenis jalanan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Ia mampu berdiri sama tinggi dengan penuh megah disamping jentera pengembaraan yang lain.

KTNS 650GT -kiri- & 400NK.
KTNS 650GT -kiri- & 400NK.

Tahniah buat pihak KTNS Holdings Sdn Bhd yang selaku pengedar rasmi jentera CFMOTO di Malaysia atas usaha giat mempromosikan dan memberi perkhidmatan lepasan jualan yang terbaik. Ini pasti memberi impak besar terhadap kepercayaan para pelanggan agar terus memilih jenama ini. KTNS Holdings Sdn Bhd memiliki 146 buah pengedar di seluruh negara, kunjungi wakil-wakil jualan CFMOTO berhampiran dengan anda untuk melihat 650GT ini dengan lebih dekat! Tak kenal maka tak cinta… dah kenal pasti melekat! RR

Isu Pada

September 2020

Spesifikasi

Enjin649cc, dua silinder, DOHC dan sistem penyejuk cecair
Gerek x Lejang83mm x 60mm
Kuasa maksimum46kW pada 9,000rpm
Tork maksimum58.5Nm pada 7,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekcakera serta ABS (depan & belakang)
P x L x T2,100mm x 784mm x 1,340mm
Isi tangki19 liter
Pengedar rasmiKTNS Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.