Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Ogos 2020

ROYAL ENFIELD CONTINENTAL GT650 Kembalikan Kegemilangan Jentera Klasik

Kalau nak berborak tentang pengalaman luas dalam dunia dua roda, Royal Enfield (RE) memang boleh mendabik dada penuh bangga kerana masih tegap berdiri dalam 'business' pengeluaran motosikal walaupun sudah berusia lebih daripada 100 tahun. Walaupun dicabar oleh tahap kemodenan yang beredar cukup laju, RE terus mendapat kepercayaan daripada jutaan pencinta motosikal di seluruh dunia yang meraih ribuan kilometer dek kerana ketahanan enjinnya.

Munculnya RE Himalayan beberapa tahun lalu telah membawa kita ke dunia baru mesin ciptaan Royal Enfield. Model ini direka amat berbeza daripada kelaziman jentera-jentera RE. Tiada lagi gegaran... panel meter menarik, rekabentuk ranggi, enjin yang besar dan corak grafik moden. Tahniah buat RE kerana model ini berjaya menembusi pasaran di pelbagai negara termasuklah di USA dan Eropah.

Edisi terkini motosikal moden dari RE yang menjengah pasaran negara ialah Continental GT 650. Ia diperkenalkan pada bulan Mac lalu dan telah mendapat perhatian positif daripada mereka yang sukakan jentera jalanan/retro/cafe racer. Rekabentuknya cukup anggun yang dikemaskan dengan bahagian-bahagian krom cukup berkilat.

“Seronok betul motor ni! Dah lah mudah dipanjat (tinggi pelana 793mm), posisi menunggang pula memang sporty (agak menunduk sedikit) tetapi sudah cukup selesa untuk tunggangan jauh dan dekat,” komen pertama daripada rakan kami sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di atas jentera ini.

RE Continental GT 650 menarik minat kami kerana memiliki tuas klac dan tuas gear yang cukup lembut. Tidak ada bunyi 'klak' yang kuat ketika kami menekan gear pertama. Memang banyak motosikal 'besar' lain yang keluarkan bunyi kuat bila kita mula-mula gunakan gear pertama. Proses kemasukan gear-gear seterusnya turut dinikmati dengan lancar – tidak ada sekali pun miss gear. Enjin dua silinder parallel dengan sistem penyejuk  udara/minyak memilik kuasa 47hp pada 7,250rpm dan tork 52Nm pada 5,250rpm memberi keseronokan setiap kali pendikitnya dipulas. Kami tahu ia bukanlah sebuah jentera yang direka untuk prestasi tetapi apabila enjinnya sudah ‘sedap’… Continental GT telah kami larikan sepantas mungkin. Sesuai dengan rekaan retronya, panel meter RE ini adalah jenis analog yang amat mudah dibaca dan ketika kami memecut, jarum meter mencecah pada kelajuan 170km/j. Wow!

Ucapan ‘Wow!’ itu merujuk kepada banyak sebab. Paling utama tentulah pada kestabilan RE ini ketika berada di kelajuan yang tinggi. Ketegaran kerangka jenis double cradle memang wajar dipuji dan harus dinikmati semua pencinta motosikal khususnya dunia retro. Kami amat yakin untuk memiringkan RE ini tanpa ‘segan silu’ di dalam selekohselekoh panjang dan merasakan tubuh badannya berada di laluan dengan tepat.

Tidak kiralah ke mana sahaja ia dibawa, Continental GT memang menyerlah dengan rekabentuk klasiknya yang menarik dan bunyi dari sistem ekzos yang mantap. Tangkinya yang direka bentuk jentera retro bukan sahaja tampak menarik tetapi ia amat berguna untuk kita mengepit sewaktu mencari posisi terbaik di jalan-jalan sukar. Ini membuktikan pengalaman luas para jurutera Royal Enfield dalam menghasilkan model ini.

Kalau dari Kuala Lumpur, terdapat dua laluan untuk kita ke Genting Highlands iaitu jalan Ulu Yam atau menggunakan lebuhraya Karak. Kami memilih untuk menggunakan lebuhraya terlebih dahulu untuk melihat kemampuan jentera ini mendaki. Seperti yang diduga, kekuatan enjin dua silinder parallel 648cc yang digabungkan dengan tayar-tayar Pirelli Phantom Sportcomp bersaiz 100/9018 di depan dan 130/70-18 di  belakang menggigit setiap sudut selekoh dan permukaan jalan dengan cemerlang.

Apapun, laluan berliku dari hentian Genting Sempah ke puncak Genting Highlands memberi cabaran buat jentera ini. Prestasinya di selekoh tajam tidak sebaik apa yang telah kami rasa ketika di lebuhraya. Posisi menunggang diubah beberapa kali untuk lebih yakin. Ketika ini kami asyik memandang cermin sisinya yang besar untuk melihat kehadiran jentera-jentera hypersport lain. Ternyata ‘mereka’ lebih pantas meratah selekoh-selekoh tajam berbanding sebuah jentera retro ini. Sudah diketahui, RE Continental GT ini direka untuk tunggangan santai… bukan nak cecah lutut.

Dari Genting Highlands, kami turun semula untuk ke Janda Baik. Laluan di sini lebih kecil berbanding jalan yang kami lalui sebelumnya. Terdapat juga beberapa tempat yang berpasir, basah dan sesekali berdepan dengan permukaan berbatu. Mujurlah sistem brek dan sistem saspensi RE ini bertindak cemerlang, RE terus selesa hingga ke tempat yang dituju. Dengan penggunaan aci engkol yang lengkap dengan counterbalance 270 degree , ia memberikan hantaran kuasa yang mantap dan mudah dikendalikan. Tidak kiralah anda seorang penunggang baru atau yang berpengalaman, pastinya akan merasai RE ini cukup mudah mendengar kata.

Dengan kemasan krom yang berkilat-kilat, Continental GT ini mudah menarik perhatian terutama sekali para penunggang ‘otai’ dan mereka yang berjiwa retro. Sisinya dimantapkan dengan pelindung enjin krom yang besar dan berkilat. Tahniah buah RE Malaysia atas segala promosi dan penganjuran konvoi yang telah menaikkan nama RE di Malaysia. Tidak seperti beberapa tahun lalu, agak kurang jumlah orang yang mengenali jenama ini tetapi kini, jentera yang kaya dengan sejarah ini sudah mula dikenali ramai. Semuanya amat teruja dengan model ini, lebih-lebih lagi pada sepasang sistem ekzos diletakkan di kiri dan kanan jentera ini. Nampak seimbang!

Selepas puas menunggang solo, kami cuba untuk ke destinasi lain dengan berdua. Sajalah nak rasa kestabilan Continental GT ini apabila ditambah bebanan. Kami gunakan jalan lama Genting Highlands – Batangkali! Gigitan tayar Pirelli yang dipasang pada jentera ini memang tidak perlu dipertikaikan tetapi apa yang mengagumkan kami ialah sistem fork hadapannya (tidak boleh dilaras) yang menyerap hentakan tanpa ragu-ragu.

Secara logiknya, posisi menunggang yang sporty menjadikan pembonceng memberi tekanan pada penunggang yang dapat dirasakan jelas pada bahagian tangan. Kalau kami katakan RE ini langsung tidak memiliki masalah itu, memang tidak betullah tetapi apa yang pasti, kadar tekanan daripada orang belakang sangat rendah walaupun ada ketikanya kami perlu membrek dengan keras. Tidak pula terasa pembonceng memberi lebih bebanan pada penunggang sewaktu menarik tuas brek atau menuruni kawasan tinggi. Buktinya sistem saspensi Continental ini memang baiklah!

Dengan isi tangki sebesar 12.5 liter, kami dapat menikmati pelbagai jenis destinasi yang lebih daripada 200 kilometer.  Model ini direka dan diuji di England dan kemudiannya memasuki produksi di India menerusi kilang mereka (Royal Enfield) yang cukup lengkap dan berteknologi tinggi. Tahap kualiti pembikinan setiap jentera-jentera RE telah terbukti apabila ia menjadi pilihan pengguna motosikal di seluruh dunia. RE kini bergerak penuh bangga di lebih 50 buah negara di seluruh dunia dan kita amat bertuah kerana turut dapat menikmatinya di sini.

Terdapat pelbagai warna dan aksesori menanti para pelanggan Royal Enfield. RE Continental GT 650 ini ditawarkan pada harga asas RM45,625 (harga model ini berbeza mengikut warna yang dipilih). Jika berminat, usah tunggu lama-lama … . terus ke RE Malaysia yang terletak di Shah Alam. RR

https://www.royalenfieldmalaysia.com/

Isu Pada

Ogos 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder parallel, sistem penyejuk udara/minyak
Isipadu648 cc
Kerangkatwin cradle
Kuasa maksimum47hp pada 5,250 rpm
Tork maksimum52Nm pada 5,250 rpm
Transmisi6 kelajuan
Tinggi pelana793 mm
Isi Tangki12.5 liter
Kelegaan Tanah174 mm
PengedarRE Motorcycles Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.