Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 November 2016

SPORT RIDER 125i : Moped SYM Pertama Dengan Suntikan Bahan Api

Tahniah buat SYM Malaysia selepas muncul antara jenama motosikal yang paling berpengaruh di Malaysia dan pastinya kejayaan ini dikecapi dengan adanya pasukan hebat yang sentiasa mampu menawarkan idea-idea bernas dan pembaharuan berkualiti seperti yang diinginkan oleh para pencinta motosikal di seluruh negara.

Dengan pengenalan model terbarunya iaitu SYM Sport Rider 125i, segmen jentera moped berkuasa 125cc pastinya lebih rancak dan kompetitif. Semasa dilancarkan, pujian yang diperoleh daripada netizen pencinta mesin dua roda adalah menerusi bentuknya yang inovatif, moden dan mempesonakan. Rekabentuk baru ini lebih tajam dan mencerminkan sebuah jentera aerodinamik, pantas dan berjiwa muda. Rekaan yang segar ini akan menerima sambutan hangat dari pelbagai jenis penunggang motosikal tidak kira lelaki atau pun wanita.

Peluang untuk melihat kemampuan model baru tiba di awal Oktober lalu dan ribuan terima kasih diucapkan buat SYM Malaysia atas kesudian memberi kami peluang menunggangnya. Okay… Lampu utamanya yang besar dan lampu penunjuk di hadapan jenis LED yang cukup terang sekali bukan sahaja dihasilkan untuk menarik perhatian tetapi juga merupakan satu inisiatif SYM untuk menjadikan Sport Rider 125i ini mudah dilihat oleh kenderaan dari hadapan dari jarak yang jauh dan dalam apa jua keadaan.

Bahagian kepala yang merangkumi bar hendal, tuas brek dan panel meter sangat kami sukai. Panel meternya menggabungkan penunjuk analog dan digital cukup terang dan mudah dilihat. Sekali jeling sudah cukup untuk kita mengetahui tahap kelajuan, posisi gear dan kadar putaran rpm. Paparan ini juga tidak terganggu ketika tiba waktu malam kerana lampu latar belakang berwarna biru dan jarum meter berlampu putih terang dan cukup jelas sekali. Terdapat dua butang kecil (Mode/Select) yang memaparkan jarak perjalanan, jam, trip dan kuasa bateri.

Satu lagi rekaan yang baik ialah pada suis pembuka pelana yang diletakkan di bar hendal sebelah kanan. Kita hanya perlu menekan suis ini untuk membuka pelana – amat berguna ketika kita ingin mengisi petrol atau mengambil set baju hujan dengan cepat. Tak perlu terbongkok-bongkok untuk mencari suis membuka pelana di belakang atau memutarkan kunci utama ke tahap tertentu untuk tujuan yang sama – dengan SYM ini, tekan sahaja dan untuk tujuan keselamatan, suis ini berfungsi hanya apabila kunci utama diputar ke arah ‘on’.

Apabila kita membuka pelana, sekali lagi kami memuji ruang barangnya yang cukup luas untuk diisi dengan beg pinggang dan set baju hujan. Bagi penunggang di Malaysia, ruang barang yang boleh diisi set baju hujan seperti Sport Rider 125i ini amat dihajati kerana cuaca di negara kita yang tidak menentu.

Kit penyelenggaraan motosikal seperti spanar, pemutar skru yang dilekatkan di bawah pelana juga satu percubaan yang menarik. Dengan cara ini, segala alat-alat itu tidak mudah hilang dan senang dicapai. Selalunya kit penyelenggaraan yang disediakan pada setiap motosikal disimpan di dalam beg kecil dan kebanyakannya telah hilang selepas 3-4 tahun jentera itu dibeli.

Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atas pelana SYM ini, kami sedikit kecewa. Ada dua sebab. Pertama, ia agak keras dan kedua ialah pada sudut pelana ini dibuat. Posisi menunggang dirasa sedikit menjunam ke hadapan dan bahagian punggung akan mulai kebas selepas perjalanan lebih daripada 50 kilometer. Dengan posisi menunggang yang tidak begitu selesa ini, ia sedikit mengganggu perjalanan dan sangat dirasakan ketika cuba ‘menyelit’ di dalam bandar.

Model yang diuji ini juga didatangkan dengan ketinggian tempat pemijak dan tuas gear yang kurang sempurna. Kami perlu menekan agak jauh ke hadapan tuas gearnya setiap kali ingin menambah gear dan didapati agak sukar juga untuk kami menurunkan gear. Apa pun, ia hanya masalah kecil dan kami yakin pihak SYM akan dapat mengatasinya dengan mudah.

Untuk tujuan keselamatan, jentera ini tidak dapat dihidupkan selagi tuas brek tidak ditarik. Menarik sekali!. Enjin 4 lejang, SOHC dengan sistem penyejuk udara berkuasa 9.5ps pada 8,000rpm dan tork 10.8Nm pada 5,500rpm ini berputar dengan segar dan lancar sekali. Bunyi yang terhasil daripada enjin dan sistem ekzosnya juga senyap dan sedap sekali. Rentaplah enjin ini ke tahap mana pun, anda tidak akan terasa bunyi Sport Rider 125i ini merunsingkan gegendang anda. Kami cuma berpendapat rekabentuk ekzosnya lebih cantik jika direka dengan lebih ringkas, tidak perlu berlebih-lebih.

Selepas beberapa lama dengan motor ini, kami sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan tuas gear yang ‘jauh’ tu. Pendikit model baru ini lembut sekali dan dengan penggunaan sistem suntikan bahan api, ia menawarkan tindak balas cukup efisien dengan kadar penghantaran kuasa yang memuaskan. Ini bermakna, kita dapat meningkatkan kelajuan dengan cepat dan senang. Pulas sahaja dan SYM ini bergerak dengan kencang sekali.

Satu demi satu gear kita gunakan hinggalah tiba di posisi terakhir iaitu di gear keempat untuk dapatkan kelajuan maksimum sekitar 130km/j. Anda boleh cuba menunggang solo atau berpasangan, rasakan kuasa torknya yang cukup mantap – hadir dalam setiap gear. Apa yang mengejutkan ialah tidak kira penunggang itu tinggi, kurus, gemuk atau rendah, menunggang mesin ini memang satu nikmat kerana mudah dan berkuasa. Dalam gear tertinggi, kita masih mampu menurunkan kelajuan sehingga 25km/j dan apabila pendikit dipulas, SYM ini terus berlari dengan kemas dan lancar sekali. Itulah satu lagi ciri-ciri hebat Sport Rider 125i yang menjadi kekuatan dan sebab utama jentera ini akan menerima sambutan hebat.

Dengan kerangka yang tegar, SYM ini langsung tidak bergoyang atau bergegar walaupun dipacu dalam kelajuan tertinggi. Ia terus tegap dan kemas di laluannya tanpa sebarang masalah. Rekabentuk yang langsing menjadikan SYM ini mudah dikendalikan walaupun di dalam ruang yang sempit dan terhad. Bar hendalnya yang lebar membantu pengendalian menjadi mudah dan pastinya jentera ini lebih lincah jika pelana dapat direka semula agar lebih selesa diduduki.

Bagi mereka yang sering menggunakan lebuhraya, kepantasan sahaja pastinya tidak mencukupi. Betul tak? Kita juga mahukan kemantapan sistem breknya dan untuk itu, SYM Malaysia telah melengkapkan model ini dengan sistem brek hadapan jenis cakera dan jenis gelendong di belakang. Sistem brek yang baik ini bukan sahaja menyelamatkan kita tetapi juga berkemungkinan besar membantu orang lain.

Kaedahnya begini. Dengan ketiadaan sistem brek yang baik, kita mungkin gagal berada di satu-satu laluan dengan betul atau mungkin menyebabkan terbabas ke laluan bertentangan. Jika ini berlaku, kenderaan yang cuba mengelak kita akan turut terbabas atau lebih buruk sehingga menyebabkan berlakunya perlanggaran. Maka, hargai nyawa kita dan nyawa orang lain juga.

SYM Sport Rider 125i juga dilengkapi dengan sistem saspensi belakang bergas untuk penyerapan hentakan yang lebih baik. Ya… ia terbukti! Walaupun ada kalanya kami menunggang di beberapa kawasan yang jalannya tidak sekata, saspensi hadapan dan belakangnya menyerap dengan cemerlang sekali. Penunggang tidak melompat-melompat, bahagian pinggang dan lengan juga tidak cepat lenguh.

Untuk disesuaikan dengan saiz badan dan kelincahannya bergerak, Sport Rider 125i didatangkan dengan tayar hadapan 70/90-17 38P dan belakang bersaiz 80/90-17 50P. Walaupun begitu janganlah terlalu ghairah untuk meratah setiap selekoh dengan terlalu laju. Ini moped…bukan sportbike.

Dengan tangki bersaiz 4.2 liter, kami dapat bergerak sejauh 125 kilometer dengan berbagai jenis tunggangan, kelajuan dan muka bumi. Memang jimat! Model baru yang menawan ini boleh dimiliki pada harga asas RM5,450 sebelum GST dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, merah dan biru. manakala model Special Edition (SE) pula berharga RM5,570 sebelum GST dengan warna Matt Grey. RR

Oleh: K. Azuan

Isu Pada

November 2016

Spesifikasi

enjin4 lejang, 2 injap, SOHC, sistem penyejuk udara
Isipadu123cc
Gerek x Lejang52.4 x 57mm
Nisbah mampatan9.5:1
Kuasa maksimum0.5Ps pada 8,000rpm
Tork maksimum10.8Nm pada 5,500rpm
Tinggi pelana 760mm
Berat Kering107kg
Isi tangki4.2 liter
PengeluarMforce Bike Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.