BMW G 310 R : Tidak Mahal Tetapi Bukan Murahan!
Penjualan jentera dua roda BMW tidak pernah mengecewakan. Ini dibuktikan dengan kadar penjualan seluruh dunia pada tahun 2015 mencecah kepada 136,963 unit – kira-kira 11% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Pada enam bulan pertama 2016, pengeluar dari Jerman ini telah pun mengedarkan sebanyak 80,754 buah jentera di pasaran dengan jumlah peningkatan sebanyak 3% berbanding kadar masa yang sama pada tahun lalu. BMW turut menyasarkan penjualan tahunan sebanyak 200,000 unit pada tahun 2020 nanti.
Ramuan utama untuk mempertingkatkan jumlah pesanan daripada para peminat BMW ialah dengan menghasilkan platform menarik yang lebih sesuai untuk penunggang baru. Maka, lahirlah ahli keluarga terbaru BMW iaitu G 310 R. Model ini direka dan dibangunkan di Jerman dan dibuat sepenuhnya di India oleh rakan niaga mereka, TVS. Model ini akhirnya telah diperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA Milan pada November tahun lalu.
Produksi mesin ini telah pun bermula pada Julai lalu di kilang TVS yang terletak di Bangalore dan ia merupakan model entry-level yang disasarkan untuk pasaran Eropah, Australia dan Jepun. Bagi Brazil dan negara-negara Asia Tenggara, ia merupakan sebuah model berprestij dan semestinya sangat ditunggu-tunggu.
Mulai 2017, G 310 R akan turut berada di pasaran USA dan berkemungkinan akan dijual di India. BMW mengatakan bahawa mereka tidak akan menjual jentera ini untuk pasaran tempatan sehinggalah rangkaian para pengedar di India mampu menawarkan sokongan lepas jualan yang berkualiti tinggi dan di tahap terbaik.
TVS merupakan pengeluar motosikal keempat terbesar di India selepas Hero, Honda dan Bajaj. Mereka mempunyai tiga buah kilang di India dan satu di Indonesia dengan pengeluaran sebanyak 2.15 juta motosikal pada tahun 2015. BMW menandatangani perjanjian bersama syarikat milik keluarga Srinivasan ini pada April 2013 untuk menghasilkan G 310 R pada tahun yang sama juga pembangunan model ini giat dijalankan di Munich di bawah pemantauan dan pengawasan Ketua Projek, Jurgen Stoffregen.
Hanya tiga tahun sahaja diperlukan untuk membawa model ini ke pasaran dan ianya adalah satu pencapaian yang hebat memandangkan sebuah syarikat tempatan mampu membekal dan menyediakan barangan yang mencapai piawaian dan tahap kualiti tinggi BMW.
“Objektif kami cukup jelas. Kami mahu menghasilkan sebuah motosikal sebenar, bukan seperti mainan. Ia harus mempunyai saiz yang bersesuaian dan memiliki segala ciri-ciri sebuah motosikal sebenar – boleh ditunggang oleh sesiapa sahaja tidak kira tinggi atau rendah. Produk baru ini juga perlu menepati tahap piawaian kami kerana para pelanggan mahukan dari BMW sesuatu yang mempunyai gaya, kejuruteraan, kualiti pembuatan di setiap jenteranya. Ini mesti motosikal BMW sebenar walaupun dibuat di India,” kata Stoffregen.
“Kami telah lakukan yang terbaik pada bahagian terpenting projek ini iaitu menerusi kejuruteraan dan pembangunannya di Jerman sehingga ia sedia untuk dipasang sepenuhnya. Kami juga mempunyai ramai jurutera yang bekerja dengan TVS yang bertanggungjawab mendapatkan rangkaian pembekal terbaik di India demi memelihara kualiti mesin BMW,” kata CEO BMW Motorrad, En. Stephan Schaller.
“Untuk model ini, kami menggunakan 80% bahan tempatan tetapi kesemuanya dibuat mengikut tahap kualiti Jerman. Saya rasa, pencarian rakan niaga cukup intensif yang kami lakukan beberapa tahun dulu telah berjaya menunjukkan keputusan yang sangat cemerlang. Sememangnya bertepatan dengan erti TVS iaitu Trust, Value dan Service. Kami berdua (BMW dan TVS) mempunyai visi yang sama dalam usahasama ini dan saya sendiri cukup berpuas hati dengan mereka. TVS memang memahami semangat BMW,” tambahnya lagi.
Selepas G 650 GS, jentera buatan India ini direka serba baru sepenuhnya di Munich. Timbul persoalan...mengapa 300cc? “Kami mahukan sesuatu di atas 250cc kerana pencabar kami dari Jepun seperti Kawasaki dan Honda cukup kuat dalam segmen ini menerusi model-model berkuasa 250cc,” tambah Stoffregen.
“Kami memutuskan bahawa 300cc pastinya lebih hebat berbanding produk mereka, jadi kami lakukannya. Honda kemudian memperkenalkan CBR300R tetapi kami tidak pula mempunyai rancangan untuk adakan versi baru yang berkuasa 200cc atau 250cc. Dalam perbincangan pun tiada, ini kerana kami perlu bekerja keras untuk membawa G 310 R ini di pasaran dengan jayanya.”
G 310 R merupakan sebuah jentera dengan sistem penyejuk cecair yang menepati piawaian Euro 4. Ia menggunakan pacuan akhir jenis rantai, kotak gear enam kelajuan, berdimensi 80 x 62mm berkapasiti 313cc, bernisbah 10.6:1 yang menawarkan kuasa maksimum 34bhp pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500rpm. Model ini seberat 158.5 kg dengan isian penuh tangki bersaiz 11 liter.
Tidak seperti enjin bersilinder tunggal biasa, G 310 R menggunakan silinder jenis condong ke belakang (backwards-tilted), satu format ciptaan oleh Cannondale pada jentera motocross kira-kira 15 tahun yang lalu. Yamaha kemudiannya mengeluarkan enjin berformat sama pada YZ450 2010 Dirtbike dan kini dibawa pula oleh BMW untuk mesin jalanan buat pertama kalinya.
“Kami mahukan mesin ini mempunyai kestabilan yang baik, mudah dikendali dan juga lebih keberatan pada tayar hadapan untuk meningkatkan kadar keselamatan di dalam selekoh menerusi cengkaman. Jadi... kami memutuskan untuk meletakkan enjin ke hadapan dan memanjang lengan ayunnya yang juga bertujuan menambah kestabilan,” kata Jurgen.
Enjin G 310 R ini diletakkan di dalam kerangka jenis tiub keluli dengan lengan ayun aluminium dan diperkemaskan dengan rim juga jenis aluminium. Untuk prestasi lebih mantap, tayar Michelin buatan Thailand bersaiz 110/70 (depan) dan 150/60 (belakang) dilengkapkan pada motosikal ini.
BMW juga memasang jentera ini dengan fork hadapan KYB/Kayaba jenis terbalik 41mm dan penyerap hentak mono cantilever KYB yang mampu menyerap dengan cemerlang sekali. Turut dilengkapkan pada model ini ialah cakera tunggal 300mm di hadapan dan cakera tunggal belakang 240mm jenis ByBre (Anak Syarikat Brembo di India). G 310 R juga dilengkapi dengan sistem pengurusan enjin Magneti Marelli yang menjanjikan kelancaran prestasi ke tahap maksimum berserta sistem keselamatan ABS.
Panel meternya jenis LCD yang memaparkan tahap putaran rpm, kelajuan, posisi gear (hooray!!), jarak perjalanan, trip, suhu enjin, tahap bahan api, purata penggunaan petrol, purata kelajuan dan jam. Akhir sekali ialah aksesori untuk G310R ini. Antaranya ialah tongkat tengah, kotak barang, penunjuk LED, soket 12v dan pemanas pemegang.
Walaupun tinggi pelananya 785mm, pemilik boleh memilih pelana yang direka lebih rendah (760mm) atau lebih tinggi (815mm) tetapi kesemuanya perlu dipasang oleh pihak pengedar. Untuk perhatian... Semua model G 310 R yang dibawa dari India mempunyai spesifikasi sama.
Model ini dijual di Jerman pada harga Euro 4,750 termasuk cukai 19% dengan tiga pilihan warna iaitu biru, hitam dan warna rasmi BMW iaitu Pearlescent Motorsport Hue dengan penambahan 50 Euro. Jentera ini akan tiba di pusat pengedar pada bulan November ini. Stephan Schaller juga turut mengakui akan ada sekurang-kurangnya tiga lagi model berlainan varian untuk enjin 313cc. Mungkin...G 310 GS?
Seramai 30 orang wartawan dijemput ke bandar Munich untuk menunggang uji model baru ini. Kami dapat mengujinya di pelbagai lokasi seperti di dalam dan di luar bandar. Dengan jarak perjalanan kira-kira 220 kilometer, jalan yang dipilih ini telah membawa kami ke selatan Munich, di kaki bukit Bavarian Alps. Lebuhraya di sini 'membenarkan' BMW ini dipacu mencecah 143km/j. Apa yang mengujakan ialah jentera ini langsung tidak memberi tekanan, tidak bergegar ketika ia memecut ke tahap maksimum.
Ketika mula-mula melihatnya di hadapan kilang BMW yang dibina sejak tahun 1922, sungguh tidak disangka bahawa jentera buatan India ini mempunyai wajah yang garang tetapi cukup anggun. Walaupun berenjin besar, ia lebih ringan dan lebih berkuasa berbanding KTM 390 Duke.
Anda pastinya terpegun apabila melihat kualiti pembuatan jentera ini dan jujurnya memang hebat untuk lahirkan sebuah mesin sehebat ini pada harga yang tidak begitu mahal. Cuma suis-suisnya sahaja nampak murah – komponen G 310 R yang lainnya nampak BMW! Benarlah... ia bukanlah sebuah jentera mahal tetapi pastinya bukan produk murahan.
Walaupun berketinggian 1.80m, ketinggian pelananya tidak mengganggu malah sangat selesa. Lutut saya dapat diletakkan dengan kemas dan selesa. Rasa seperti memeluk tangki! Saya rasa pelana ini perlu diletakkan lebih banyak pelapik supaya tunggangan menjadi selesa untuk perjalanan jauh.
Sebaik sahaja menekan suis penghidup, saya rasakan enjin berputaran agak tinggi, sekitar 1,500rpm. Sistem ekzos canister yang menepati piawaian Euro 4 yang tidak begitu bising dan hanya dapat dirasakan apabila diputar mencecah 5,000rpm. Kotak gear enam kelajuannya bernisbah pendek dan cukup ringan sekali. Ini membolehkan kita menambah dan menurunkan gear dengan tepat. Tambahan pula klac yang lembut, tapak tangan kita tidak cepat letih – sesuai untuk tunggangan di dalam bandar.
Kuasa torknya memang tinggi dan mantap. Silinder tunggal twincam ini membolehkan kita menarik dengan kemas jentera ini dari serendah 3,200rpm dalam gear tertinggi tanpa sebarang gangguan pada sistem transmisi atau pergerakan pacuan akhirnya. Terasa kuasa pecutan ekstra ketika enjin mencecah 7,000rpm dan sekali lagi apabila berada di putaran 9,000rpm. Walaupun saya menunggang dengan laju dan 'keras', BMW ini agak jimat dengan kadar 3.33 liter untuk 100 kilometer.
Kualiti menunggang ternyata sangat memuaskan. G 310 R ini didatangkan dengan kerangka keluli jenis tiub yang tegap sekali. Saspensi KYB/Kayaba juga memberi sumbangan besar dalam pergerakan sungguh stabil ketika memecut dan di dalam selekoh pada semua jenis permukaan jalan. Penyerapan saspensi hadapan agak lembut. Kalau boleh dikeraskan sedikit kerana bahagian hadapan menjunam agak teruk (nose dive) ketika membrek dengan keras.
Brek hadapan 300mm membrek dan memperlahankan mesin ini dengan mantap ketika menunggang solo tetapi jika berada dalam situasi cemas, penunggang tetap perlu menggunakan brek belakang. Pakej brek yang digunakan ini sama seperti yang digunakan pada KTM 390 Duke.
BMW ini juga cukup stabil dan tegap sewaktu memecut di laluan lurus – ia langsung tidak melayang-layang sedangkan jentera ini telah terbukti cukup lincah sekali. Bar hendal yang menarik kita sedikit ke belakang membantu pengendalian menjadi lebih mudah dan lebih selesa.
Andrea Wimmer merupakan bekas Ketua Projek untuk mesin-mesin KTM 125 Duke sehinggalah model-model 690cc. Beliau juga merupakan orang penting dalam kerjasama antara Bajaj dan KTM di India. Wimmer sudah bersama pasukan BMW sejak dua tahun dahulu dan kini bersama bekas 'boss'nya, Jorg Schuller yang bersama-sama menjayakan pembikinan BMW ini.
BMW G 310 R ditawarkan pada harga RM27,700 dan model yang mampu milik ini pastinya dapat merealisasikan impian seseorang yang ingin berjinak-jinak dengan dunia permotosikal kerana ianya amat mudah ditunggang. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair, DOHC |
Isipadu | 313cc |
Gerek x Lejang | 80 x 62mm |
Nisbah mampatan | 10.6:1 |
Kuasa maksimum | 34hp pada 9,500rpm |
Tork maksimum | 28Nm pada 7,500rpm |
Tinggi pelana | 782mm |
Berat | 158.5kg |
Isi tangki | 11 liter |
Pengeluar | BMW Group Malaysia |
Popular