BMW F 750 GS Lebih Mudah Untuk Semua Penunggang
Jika dahulunya kita sentiasa membayangkan model GS keluaran BMW adalah sebuah jentera pengembaraan yang besar, tinggi, berat dan amat berkuasa tetapi dengan pengenalan kepada model pertengahan iaitu F 850 GS atau yang terbaru F 750 GS, para peminat dunia pengembaraan kini dapat menikmati ribuan kilometer dengan memacu sebuah jentera yang lebih mudah dikawal walaupun oleh penunggang baru.
BMW F 750 GS ditawarkan pada harga RM71,500 yang dilengkapkan dengan teknologi terkini, ruang pengendalian yang selesa, rekabentuk bergaya dan mampu berlari dengan pantas. Ya… kami benar-benar kagum dengan prestasi keseluruhan jentera ini dan jika ditawarkan lagi, F 750 GS sentiasa menjadi pilihan.
Jika pernah menunggang F 850 GS, pastinya anda akan menyukai pengendaliannya yang mudah... betul tak? Tetapi model baru ini, F 750 GS lebih 'syok' kerana ia hanya 224kg, lima kg lebih ringan berbanding model F 850 GS. Dengan pelana yang hanya setinggi 815mm, ia memberi peluang lebih ramai penunggang termasuklah wanita untuk menunggangnya. Model ini juga ditumpukan untuk jalanan biasa berbanding siri 850 yang lebih lasak.
Posisi menunggangnya selesa... sama seperti 'abangnya' dan turut didatangkan dengan panel meter TFT yang cukup menarik. Untuk menjamin keselamatan penunggangnya, BMW telah melengkapkan jentera ini dengan beberapa sistem elektronik terkini seperti Automatic Stability Control (ASC), Dynamic Traction Control (DTC) dan Automatic Braking System (ABS) yang akan bertindak dengan tepat berpandukan tahap permukaan jalan.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang terhasil daripada corong ekzos memang cukup mantap dan sememangnya BMW memiliki identitinya tersendiri – termasuklah bunyinya! Dengan paparan yang sangat jelas, amat mudah untuk kita melihat segala apa yang tertera dan baru kami perasan, BMW ini hanya mempunyai dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain, tidak seperti F 850 GS yang tawarkan lebih talaan untuk pelbagai jenis ragam dan jenis jalan. Bagi kami, dua mod sudah cukup buat jentera yang direka untuk tunggangan jalanan seperti F 750 GS ini.
Sistem elektronik Connectivity menawarkan pengalaman menunggang yang cukup seronok buat sesiapa sahaja yang menunggangnya. Dengan penyambungan bluetooth, kita dapat membuat dan menerima panggilan telefon serta mendengar lagu-lagu pilihan sepanjang perjalanan.
Dengan ketiadaan apa jua fairing pada bahagian bawah, enjin model ini memang mudah untuk dilihat. Ia memang cantik, kemas dan nampak berkuasa. Bagus juga tidak ada fairing, enjin lebih mudah dibasuh lebih-lebih lagi apabila terkena kotoran melampau di tengah jalan atau selepas hujan.
Walaupun dilancarkan sebagai F 750 GS, ia didatangkan dengan enjin 853cc – sama seperti model 850 cuma untuk model ini, kuasanya ditala menjadi lebih rendah iaitu 77hp (57 kW) pada 7,500 rpm berbanding 95hp (70kW) pada 8,250rpm untuk model F 850 GS. Walaupun kurang 18hp, daya pecutan model 750 ini langsung tidak menghampakan. Ia tetap meluru pantas sebaik sahaja pendikit dipulas dan aduhai... tidak kiralah dalam gear apa sekali pun, hamburan tenaga enjin dua silinder jentera ini hadir dengan sangat tepat.
Dengan posisi menunggang yang tegak dan natural, kami cukup selesa walaupun sudah mencecah kelajuan maksimum 200km/j. Apa yang mengganggu kami ialah saiz cermin pengadang hadapan yang agak kecil. Tamparan angin kuat terasa apabila kelajuan melepasi 140km/j dan jika memakai topi keledar adventure, bahagian peak akan membuatkan kepala kita terangkat-angkat ketika ditiup angin kuat dari depan. Kami yakin BMW menyediakan cermin yang lebih besar sebagai aksesori pilihan.
Dengan bantuan lampu utama jenis LED yang cukup cerah, 95% kenderaan empat roda di lebuhraya akan memberi laluan sebaik sahaja nampak kehadiran GS ini. Terima kasih! Jika semua pengguna jalan raya saling menghormati, kadar kemalangan boleh dikurangkan dari masa ke semasa. Kami meninggalkan lebuhraya menuju ke Chenderiang untuk mencari ketenangan alam semulajadi dan kesegaran air sungai di Draco Nature Camp (DNC) yang terletak di Batu 7, Kampung Asli Sungai Cincin, Chenderiang. DNC juga popular sebagai tempat perkhemahan di kalangan para pencinta alam di seluruh negara.
Laluan masuk ke campsite memang menyeronokkan kerana perlu melalui jalan-jalan berpasir, akar-akar pokok dan lasak. F 750 GS memang 'power' dan pantas mempamerkan kebolehannya untuk mengatasi segala jenis permukaan jalan. Kami gunakan kekuatan torknya 83 Nm at 6,000rpm untuk mendaki di kawasan sukar – memang terbaik BMW ini. Bar hendal yang lebar dan ketegapan kerangka keluli jenis bridge membolehkan kami berdiri dengan selesa sambil meningkatkan kelajuan. Apa yang sentiasa menyenangkan perasaan ialah dengan adanya fork hadapan jenis teleskopik 41mm dan lengan ayun aluminium yang menyerap hentakan dengan baik.
Selepas beberapa lama mengambil gambar BMW ini di kawasan sekitar DNC, kami dipelawa untuk makan tengahari masakan kampung oleh pasangan En. Jai dan Ms. Reen. Terima kasih daun keladi. Bagi rakan-rakan yang ingin berkhemah di sini, boleh terus menghubungi En. Jai di talian 0192289042. Para pengunjung boleh menikmati alam flora dan fauna di suasana yang nyaman, air sungainya bersih dan jernih. Memang best!
Dari Kg Asli Sungai Cincin, kami menyusuri jalan berliku menuju Kampar melalui Kg Sungai Genting, Jeram dan Kg Kuala Dipang. 'Pehhhh' memang mencabar kerana laluannya kecil, selekoh tajam dan kadang-kalanya basah. Kotak gearnya yang lancar dan penunjuk posisi gear yang jelas memudahkan kami memilih gear sesuai sewaktu menyusuri jalan seperti ini. Michelin Anakee III yang bersaiz 110/80 R19 (depan) dan 150/70 R17 di belakang mencengkam dengan cemerlang sekali di setiap permukaan jalan yang kami rentasi. Tayar ini sangat boleh dipercayai kerana kadar cengkamannya kekal mantap walaupun ketika berada atas jalan basah.
Mungkin kerana tidak mengenali selok belok jalan tersebut, kami mengambil masa agak lama untuk tiba di Kampar tetapi biarlah lambat, asalkan selamat. Kalau kami katakan pergerakan jentera ini di bandar lebih baik berbanding motosikal biasa, percaya tak? Bagi mereka yang sudah berpengalaman, ketinggian bar hendal dan tubuh badan jentera ini memudahkan kita melihat keadaan trafik di hadapan.
Masalah lupa nak matikan lampu isyarat oleh kenderaan lain di depan memang menyakitkan hati dan sering berlaku pada mana-mana penunggang pun. Kita 'dok' ingat dia nak belok kiri sebab lampu isyarat kiri berkelip... tapi rupa-rupanya dia nak pergi straight! Dengan model BMW F 750GS ini, masalah tersebut tidak lagi berlaku kerana lampu ini akan dimatikan secara automatik dalam beberapa saat.
Hari semakin petang dan kami telah pun mengembara sejauh 450 kilometer. Dari cuaca panas terik, kami diuji pula dengan hujan yang turun sangat lebat. Kami tak tunggu lama, terus tukar mod Road kepada Rain. Pilihan mod ini boleh dilakukan ketika motosikal masih bergerak. Sebaik sahaja mod Rain diguna, serta merta karaktor enjin jentera ini bertukar. Hantaran kuasa lebih tenang walaupun kita cuba memulas pendikit dengan lebih galak. Sistem ABS juga banyak membantu pergerakan kami di lebuhraya (sewaktu pulang ke Kuala Lumpur) menjadi lancar dan selamat.
Syukur... kami selamat tiba ke rumah dan dengan isi tangki sebesar 15 liter, BMW ini selamat dibawa ke merata tempat pada jarak 280 kilometer sekali isi. Terdapat beberapa pilihan warna jika berminat dan percayalah... ia memang satu pelaburan bijak. Dengan setiap pembelian baru, pelanggan layak menerima waranti kilang selama 3 tahun tanpa had perjalanan. Tunggu apa lagi? Jom ke pusat pengedar BMW terdekat dengan anda. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 853 cc |
Gerek x Lejang | 84 x 77 mm |
Kuasa maksimum | 77hp pada 7,500 rpm |
Tork maksimum | 83Nm pada 6,000 rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Tinggi pelana | 815 mm |
Isi Tangki | 15 liter |
Berat | 224 kg |
Pengedar | BMW Malaysia Sdn Bhd |
Popular