CMC Italjet 125 : Skuter Bentuk Hebat!
Tahniah buat Chear Global Sdn Bhd kerana memperkenalkan sebuah skuter baru yang mempunyai rekabentuk unik, sporty dan cukup menarik. Dengan kerjasama di antara Chear Global Sdn Bhd dan Italjet, mesin automatik serba bergaya ini pastinya akan mendapat perhatian para pencinta motosikal di Malaysia.
Ya... memang ciri-ciri mesin sentuhan Itali dapat kita lihat dengan jelas sekali menerusi rekabentuk luarannya. Lampu hadapan jenis LED yang berbentuk seperti mesin superbike. Cermin sisinya juga tegap, bergaya dan paling penting saiznya yang besar memudahkan penunggang melihat keadaan trafik di belakang. Betul... lampu belakangnya sekali lagi diadaptasi daripada mesin berkuasa tinggi. Memang cantik dan kemas sekali.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas Italjet 125 ini pastinya kita akan menghamburkan pujian pada kelembutan pelananya cuma posisi menunggang agak kurang selesa buat penunggang yang berkaki panjang. Dengan ketinggian pelana 800mm serta papan lantainya yang agak tinggi, penunggang tinggi akan merasakan seperti sedang bercangkung dan terpaksa mengubah kedudukan sedikit ke belakang untuk lebih selesa.
Untuk memudahkan pemilik CMC ini ke mana sahaja, model ini dilengkapi dengan ruang barang bawah pelana yang cukup luas – mampu untuk menyimpan topi keledar berbagai saiz dan barangan peribadi. Apa yang boleh dipertimbangkan di masa hadapan ialah untuk membuat ruang menyimpan kecil di bahagian hadapan yang telah dilengkapkan pada kebanyakan skuter lain. Ruang ini cukup praktikal. Kita dapat meletakkan air mineral, air kotak, makanan ringan atau sarung tangan.
Enjin 125cc ini cukup segar dan mantap sebaik sahaja ia dihidupkan. Walaupun dalam suhu yang agak rendah atau selepas ditimpa hujan lebat, CMC ini dapat dihidupkan dengan mudah. Sekali tekan sahaja! Dengan kuasa tork setinggi 8.6Nm pada 8,000rpm, CMC Italjet 125 ini meluncur ke hadapan dengan pantas sekali. Walaupun menggunakan sistem talisawat, prestasinya ketika membuat “Italjet 125 ini mempunyai kerangka yang cukup mantap.
Kita bukan sahaja dapat memiringkan skuter ini dengan pantas tetapi ia dapat dilakukan dengan begitu stabil sekali. Tiada rasa melayang atau bergoyang walaupun ketika berada di dalam satu selekoh panjang dalam kelajuan tertinggi.” Pecutan tidak mengecewakan – tiada sebarang sentapan berlaku.
Meter kelajuan (analog) memang best... mudah dilihat tetapi panel digitalnya yang berwarna merah pula tidak begitu jelas, lebih-lebih lagi ketika matahari terik. Kami perlukan sedikit masa untuk membaca beberapa info lain seperti jarak perjalanan, suhu enjin, isi tangki dan jam. Mungkin boleh dicadangkan agar warna lampu latar belakangnya dapat ditukar kepada putih atau jingga. Lampu-lampu penunjuk juga tidak begitu terang dan agak menyukarkan untuk dilihat.
Italjet 125 ini mempunyai kerangka yang cukup mantap. Kita bukan sahaja dapat memiringkan skuter ini dengan pantas tetapi ia dapat dilakukan dengan begitu stabil sekali. Tiada rasa melayang atau bergoyang walaupun ketika berada di dalam satu selekoh panjang dalam kelajuan tertinggi. Papan lantai yang luas sememangnya memberi kita (sebagai penunggang) mendapatkan kedudukan yang betul dan sesuai ketika memacunya.
CMC ini menawarkan kuasa maksimum 6.6kW pada 8,000rpm yang mampu memecut 120km/j dan seperti yang dikongsi di atas, jentera ini masih stabil dalam keadaan itu. Kelebihan menunggang sebuah jentera yang memiliki lampu yang terang ala superbike ialah kehadiran kita diketahui oleh para pengguna jalan raya yang lain. Sudah terlalu banyak kemalangan disebabkan kenderaan menukar lorong sesuka hati kerana mereka (pemandu kenderaan) tidak nampak kemunculan motosikal dari belakang.
Proses membrek ketika masuk ke dalam selekoh mahu pun untuk memperlahankan kelajuan tidak mengecewakan kerana CMC ini dilengkapi dengan brek cakera 190mm di depan dan 205mm di belakang yang cukup mantap. Walaupun begitu adalah dicadangkan agar pihak CMC boleh menyempurnakan skuter ini dengan sistem kunci parkir seperti mana yang telah dipasang pada kebanyakan skuter lain. Ini amat penting untuk mengelakkan mesin ini bergerak ke hadapan secara tidak sengaja jika diletakkan di kawasan berbukit.
Melihat akan tayar-tayar gemuk (120/60-13 depan & 130/60-13 belakang) yang dipadankan pada Italjet 125 ini, kami sudah mengagak bahawa CMC ini cukup berkebolehan apabila berada di jalan-jalan berselekoh. Walaupun tayar-tayar ini menggigit permukaan jalan dengan kemas, kadar penyerapan sistem saspensi di depan dan belakang yang dirasakan agak keras sedikit mengecewakan.
CMC ini didatangkan dengan fork hadapan teleskopik dan penyerap hentak mono dan kami telah cuba menguji sistem saspensi ini di jalan-jalan yang kurang baik dan berbonggol, mesin ini bergegar dan mengganggu sedikit keselesaan. Walaupun begitu masalah ini tidak berlaku ketika kita memacu CMC di lebuhraya atau di jalan-jalan yang baik.
Bagi penunggang biasa (tidak terlalu tinggi) dan yang baru ingin bermotosikal, anda akan dapati pengendalian skuter ini cukup mudah tidak kira ketika menunggang solo atau berpasangan. Dengan ketinggian bar hendal yang ideal, arahkan Italjet 125 ke mana sahaja dan dia akan mematuhi setiap arahan dengan cemerlang sekali.
Dengan hanya seberat 118kg, produk baru CMC ini mudah ditunggang hampir di mana sahaja dan sesiapa jua. Mencelah-celah di dalam kawasan bandar sememangnya seronok tambahan pula tenaganya yang cukup linear membolehkan kita memulas pendikit dengan kemas sekali. Kalau naik moped di tengah kota, kita akan sentiasa menukar kedudukan gear tetapi dengan skuter ini... pulas sahaja!
Selepas puas bermotor ke sana-sini, kami berhenti rehat di sebuah pasaraya. Dengan keluasan ruang barangnya, kami dapat menyimpan topi keledar, jaket dan sarung tangan dan terus berjalan dengan bergaya sekali. “Tak nampak pun macam kita ni datang naik motor,” gurau rakan kami.
Perjalanan lebih menyeronokkan apabila menunggang sebuah jentera yang jimat petrol. Dengan isian tangki 6.8 liter, kita dapat menunggang sejauh 160 kilometer dengan pelbagai jenis tunggangan. Ada masanya kami memecut... kami bermain selekoh.... mendaki... bersesak-sesak... tapi kadar penjimatannya memang hebat!
CMC Italjet 125 ini memang sebuah mesin yang sesuai untuk kita berulang alik ke tempat kerja kerana ia jimat, senang, pantas dan selesa. Italjet 125 ini dijual pada harga RM6,996 (termasuk GST 6%) dengan dua pilihan warna iaitu Chili Red dan Sporty White. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 1 silinder |
Isipadu | 125cc |
Gerek x Lejang | 52.4 x 57.7mm |
Nisbah mampatan | 10.5:1 |
Kuasa maksimum | 6.6kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 8.6Nm pada 6,000rpm |
Tinggi pelana | 800mm |
Berat | 118kg |
Isi tangki | 6.8 liter |
Pengedar rasmi | Chear Global Sdn Bhd |
Popular