ARCH MOTORCYCLE KRGT-1 : Bintang Berkilau Dari Amerika Syarikat!
Seorang selebriti bertaraf dunia yang terkenal dengan filem box office menjadikan dunia motosikal sebahagian daripada hidupnya. Dia berumur 56 tahun dan sejak 2011, dia telah bersama-sama menjayakan syarikat pembinaan motosikal yang dikenali dengan nama Arch Motorcycle. Syarikat ini beroperasi di Hawthorne, California yang menjadi tempat paling sesuai untuk para pencinta dunia kereta dan motosikal custom.
Keanu Reeves, bintang layar perak bertaraf A-Lister sejak tiga dekad yang lalu, terkenal menerusi filem-filem hebat seperti The Matrix, Speed dan Point Break. Selain berlakon, Keanu Reeves adalah peminat tegar motosikal... menunggang hampir ke mana sahaja di setiap masa.
Seperti para penunggang yang lain, selepas bermotor ribuan kilometer, Keanu juga pernah terlibat dalam kemalangan sehinggakan keretakan tulang, patah gigi, patah kedua-dua tangan dan kecederaan di bahagian limpa. Dengan rendah diri, dia akui kemalangan itu berpunca daripada kecuaian manusia sendiri.
Jika sedang berlakon di luar Los Angeles, Keanu akan sering membeli sebuah motosikal dari pengedar tempatan dan akan menjualkannya semula apabila pengambaraan selesai. Tujuannya hanya satu... untuk menunggang ke tempat kerja atau lebih tepat, lokasi pengambaraan.
Antara 'Bekas-Keanu Reeves' yang akan menjadi tumpuan di kedai motosikal terpakai ialah Moto Guzzi T3 1978, Suzuki GSX-R750 1988, Harley-Davidson Shovelhead, Kawasaki KZ900 dan Suzuki GS1000. Ketika pengambaraan filem The Matrix yang dilakukan di Australia, Keanu membeli sebuah Norton 750 dan pada filem Matrix berikutnya, dia menunggang sebuah Harley-Davidson Sportster.
Di kediamannya, California... rumah di kawasan bukit Hollywoodnya menyimpan lebih banyak jentera dua roda yang cukup menarik. Keanu memiliki empat buah Norton Commando dengan varian berbeza dan ia adalah koleksi paling disayanginya. Walaupun mesin Harley-Davidson masuk dan keluar dari garajnya, kesemua Norton kekal disimpan.
Tahun 2006, Keanu sedang mencari bar sissy dan pelana jenis throne untuk projek Harley Dynanya yang separuh siap, dia bertemu dengan Gard Hollinger yang merupakan seorang pakar dalam dunia pengubahsuaian motosikal. Dia juga merupakan orang lama dalam bidang penyiaran televisyen seperti Discovery Channel, Great Biker Build Off, ESPN's Chopper Nation dan Speed TV's Build or Bust. Gard Hollinger kemudiannya menubuhkan LA County Choprods, tempat terbaik untuk menjadikan motosikal lebih cantik.
Kedua-duanya menjadi rakan dan Reeves meminta Gard untuk menghasilkan sebuah jentera Custom Hotrod berasaskan model Dyna dengan menggunakan idea spesifik darinya sendiri. Hasilnya cukup menarik – sebuah Norton Commando Powercruiser dengan enjin V-kembar.
Ketika saya menemui Hollinger, 57 di sebuah kawasan seluas 10,000 kaki persegi yang dipulihkan menjadi kilang Arch, rakannya Keanu tidak dapat bersama kerana sedang menjalani perfileman di luar kawasan. Kilang ini terletak di pinggir Los Angeles dan kita boleh melihat koleksi jentera lasak lama disimpan dengan baiknya.
“Projek pertama yang kami lakukan pada model Dyna itu memakan masa yang agak lama. Ia kerana kerja Keanu yang sibuk dan dia juga inginkan membuat penilaian di setiap peringkat motosikal ini dibuat. Itulah kali pertama saya membuat sebuah motosikal yang mengikut idea-idea spesifik daripada seseorang,” kata Gard.
“Dalam proses itu, Keanu mula katakan kemungkinan kami mampu menghasilkan lebih banyak motosikal seumpamanya untuk dijual tetapi saya berkeras untuk menyiapkan dulu motosikal di depan mata itu. Kemudian baru bincang semula. Apabila motor itu telah siap, dengan segala pengalaman menunggang yang saya ada dan selepas pelbagai jenis motosikal ditunggang... kami berdua akhirnya teruja dengan mesin v-kembar yang dihasilkan itu,” komen Gard lagi.
Hasil ciptaan mereka berdua memang hebat. Jentera itu ringan tetapi kuasa pecutannya amat mengagumkan serta mempunyai pengendalian yang cukup mudah walaupun menggunakan tayar belakang yang besar. Rekabentuknya menampakkan masa hadapan tetapi dalam sudut yang lain pula, ia tetap memiliki ciri-ciri jentera klasik.
“Masalahnya hanya satu. Ekonomi pada tahun 2011 agak meleset dan kebanyakan pengeluar motosikal klon gagal bertahan. Adakah ia satu idea bernas untuk mengeluarkan motosikal ketika itu? Keanu tidak mahu mengalah dan terus bersemangat untuk meneruskan projek itu tambahan pula poketnya sentiasa penuh. Ini bermakna dia mampu menyediakan $$$$ yang mencukupi untuk memulakan perniagaan dan cadangan Hollinger telah ditolak.
Mengapa Arch Motorcycle? Keanu memberi penjelasan bahawa arch (gerbang) adalah struktur pembinaan yang kukuh dan seumpama gerbang, pintu masuk kepada kreativiti dalam penciptaan. Menyebutnya juga sedap!
Dilancarkan pada awal tahun lalu dengan memperkenalkan model KRGT-1, sebuah powercruiser yang menawarkan posisi kaki agak meluncur ke hadapan dan paling utama, tiada seumpamanya lagi di pasaran dunia. Jentera ini dikuasakan oleh enjin Wisconsin-based dengan sistem penyejuk udara Harley Davidson yang bersesaran 2032cc dengan gerek dan lejang bersaiz 104.775 x 117.475mm. Sistem suntikan bahan apinya menggunakan sistem ECU S&S dengan satu pemancit di setiap silinder.
Seperti model Harley, Arch tidak begitu suka untuk menunjukkan jumlah kuasa kudanya tetapi apabila berada di atas KRGT-1, ia mungkin sekitar 105-110bhp. Gard memberitahu bahawa jumlah kuasa kuda 121.53bhp yang diberikan pada pihak media US adalah tidak betul. Apa pun, lebih penting buat mereka ialah kadar torknya iaitu 156Nm pada 3,200rpm. Tahap kuasanya terpaksa dikurangkan untuk mendapatkan kelulusan EPA/CARB – ia kini sah ditunggang di 50 buah negeri di USA dan mencapai piawaian Euro 3. Bagus!
Arch baru ini dilengkapkan dengan sistem transmisi 6 kelajuan dari Baker Drivetrain yang digabungkan dengan sistem klac kering Bandit. Pacuan akhirnya jenis rantai yang memutarkan rim karbon dengan ketebalan 18 inci buatan Afrika Selatan yang membawa tayar belakang jenis Michelin Commander II bersaiz besar, 240/40ZR manakala tayar hadapan bersaiz 120/70. Pihak Arch terpaksa memesan tayar istimewa daripada syarikat Perancis itu untuk disepadankan.
Pastinya kita akan mengagumi keanggunan lengan ayun jentera ini. Ia dibuat menggunakan billet yang memakan masa kira-kira 17 jam untuk mengubah sebuah besi jati menjadi seperti ini. Kelima-lima komponen yang dihasilkan itu kemudiannya disepadukan dan dipasang menjadi sebuah komponen seberat 8kg. Fork hadapan jentera ini bersaiz 43mm yang dihasilkan oleh Ohlins - boleh dilaras sepenuhnya.
Kerangkanya yang agak rendah ini menyimpan tangki minyak enjin dan rumah kotak gear. Berat kering jentera ini ialah sekitar 244 kg dengan pembahagian berat 50/50 depan dan belakang. Segala pergerakan Arch ini dapat dikurangkan dengan cukup efisien berdasarkan sistem brek yang telah dilengkapkan. Brek hadapan model ini bersaiz 298mm manakala brek belakang pula bersaiz 240mm.
Mesin CNC di Arch beroperasi 12 jam untuk menghasilkan pelbagai jenis komponen model KRGT-1. “Kami membeli aluminium pada harga $3 untuk setengah kilo dan menjual sekerapnya pada harga $0.50,” gurau Hollinger. Menurutnya, Arch memilih untuk menggunakan billet aluminium disebabkan bahan ini ringan, bertegaran tinggi dan boleh dibentuk dalam pelbagai jenis.
Lebih daripada 200 billet aluminium terdapat pada model ini dengan mengambil masa kira-kira 300 jam lebih penggunaan mesin CNC dan jet air. Ini termasuk bukan sahaja tangki bahan api tetapi juga rumah lampu utama, lekukan pelana, rumah lampu LED di belakang dan madgad. Kesemuanya boleh dianod kepada warna apa sekali pun mengikut kemahuan pemiliknya. Peliknya, model ini tidak dilengkapkan dengan sebarang lambang kecuali stiker kecil yang diletakkan pada panel meter.
Untuk memberi keselesaan kepada pemiliknya, bar hendal Rizoma jentera ini boleh dilaras kepada 2-3 inci lebih tinggi manakala ruang pemijak juga boleh direka lebih luas atau sempit berdasarkan kehendak para pelanggan mereka. Untuk kesan bunyi lebih mantap, Arch menggunakan bahan dalaman sistem ekzos Yoshimura yang ternyata pakar dalam bidang ini.
Arch telah memberitahu kami bahawa sudah 19 unit jenteranya telah pun dijual dan jika terdapat pesanan dari Malaysia, Russia, Australia dan sebahagian USA, jadual penghantaran jentera ini mengambil masa kira-kira 90 hari dengan bayaran deposit sebanyak $15K.
Masa untuk menikmati sebuah jentera powercruiser moden yang mempunyai rekabentuk cukup mantap. Tahap kelebaran jentera ini sempurna, tidak melebihi saiz lebar tayar belakang dan KRGT-1 ini ramping dan memandangkan tinggi pelananya cuma 706mm, kita merasa berada di dalam jentera ini dan bukan sedang melekat di atas pelana bagaikan dicucuk!
Bukanlah terlalu memuji tetapi pelana jentera ini adalah yang paling selesa pernah saya rasa untuk sebuah cruiser. Bila dah rasa seselesa ini, saya dapat bayangkan kini bagaimana rasanya menunggang ribuan batu tanpa pelana yang selesa. Pasti letih dan menyakitkan. Posisi kaki kita yang tidak terlipat turut menyumbang keselesaan lebih-lebih lagi buat mereka yang berkaki panjang. Posisi bar hendal yang sedikit ke belakang membolehkan kita mengubah kedudukan menunggang sama ada untuk gaya sport atau pun lebih relaks.
Sebaik sahaja kita menghidupkan enjinnya kita akan mendengar bunyi yang terhasil cukup sedap sekali. Walaupun begitu, terasa benar gegaran yang agak kuat ketika putaran enjin berada dalam lingkungan 1,000rpm tetapi sebaik sahaja kita memasukkan gear, gegaran ini hilang bagaikan magic. Walaupun enjin besar dan mempunyai kuasa tork yang tinggi, proses penggunaan gear cukup lancar dan lembut sekali. Talaan seperti ini hanya wajar dan patut dirasa pada sebuah jentera semahal ini.
Kuasa torknya cukup tinggi menyebabkan saya rasa kotak gear tiga kelajuan sudah mencukupi. Kemantapannya jelas dirasa pada kedudukan 2,400-2,600rpm di mana ketika ini, kuasanya akan meningkat dari 60-110ft-lb hanya dalam 200rpm! Dalam kelajuan 100km/j, kita dapat melihat kadar putaran rpmnya baru sekitar 2,200rpm. Kuat betul!
Panel meternya yang diperoleh daripada MotoGadget agak mengelirukan. Nombor dan huruf berwarna merah di atas paparan LED hitam tidak begitu jelas tambahan pula penunjuk rpm hanya mampu mencecah separuh meter kerana kekuatan enjin Big Twinnya. Seharusnya KRGT-1 ini dilengkapi dengan paparan TFT seperti mana model-model baru sekarang ini termasuklah mesin sport. Penunjuk gear juga wajar diletakkan sekali kerana ia sebuah jentera yang berkuasa sangat tinggi sehinggakan kita masih ingin menambah gear walaupun sudah berada di kedudukan tertinggi.
Saya akui... saya amat terkejut dengan tahap pengendalian jentera ini walaupun pada mulanya geometri rekaannya memberikan rasa kurang senang. Walaupun tapak rodanya panjang dan tayar belakangnya lebar, jentera ini masih mampu berada di laluannya dengan stabil dan selesa.
Kunci utama untuk kekal dalam laluannya ialah dengan penggunaan pendikit yang betul. Pastikan kita terus memulas sedikit pendikit sewaktu berada di selekoh agar mendapat laluan yang tepat dan selamat. Menunggang Arch ini perlu bijak dan penuh tumpuan kerana casisnya yang agak keras manakala kuasanya pula kuat, ia memerlukan sedikit tenaga untuk kita mengendalikannya dengan sempurna. Tetapi apabila anda benar-benar serasi dengannya, segala masalah tadi hilang sekelip mata.
Untuk memudahkan segala pergerakan agar tidaklah begitu keras, KRGT-1 ini didatangkan dengan sistem saspensi jenis Ohlins – ia berjaya jadikan kualiti tunggangan meningkat malah lebih sedap berbanding cruiser lain. Saya mendaki di laluan berselekoh di kawasan ngarai di sekeliling bandar dan ia adalah satu pengalaman yang cukup mengagumkan. Ada juga ketikanya diusik oleh sebuah Porshe dan ditinggalkan nun jauh di belakang.
Harganya... ok jika anda bandingkan dengan Bimota. Ia adalah sebuah cruiser v-kembar cukup bertenaga yang mampu membawa kita menikmati jalan-jalan berliku di kawasan pergunungan dan ngarai. Ia merupakan sebuah jentera yang memberi perbezaan terbaik antara sebuah sportbike dan custombike. RR
Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kevin Wing
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, v-kembar, sistem penyejuk udara |
Isipadu | 2,032cc |
Gerek x Lejang | 104.775 x 117.475mm |
Nisbah mampatan | 8.9:1 |
Kuasa maksimum | tidak dinyatakan |
Tork maksimum | 156Nm pada 3,200rpm |
Tinggi pelana | 706mm |
Berat Kering | 244kg |
Isi tangki | 19 liter |
Pengeluar | Arch Motorcycle Company |
Popular