Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Oktober 2016

YAMAHA EGO AVANTIZ : Enjin Baru Lebih Segar

Bukan sesuatu yang mudah bagi sesebuah pengeluar itu untuk terus mendapat sokongan dan kepercayaan daripada para pelanggannya. Pelbagai usaha, inisiatif, inovasi dan kreativiti perlu ditengahkan agar berjaya memenuhi kehendak dan mendapat kepercayaan daripada para pencinta motosikal di luar sana. Untuk itu, sebuah model baru yang diperkenalkan perlu mempunyai ciri-ciri istimewa agar kehadirannya mendapat perhatian para pengguna motosikal.

Skuter ini bersesaran 125cc yang didatangkan dengan rekabentuk yang cukup menawan. Tidak cukup dengan itu, model ini juga diperkukuhkan dengan ciri-ciri keselamatan yang terkini. Lampu hadapan jenis LED terbukti kini bukan sahaja cantik tetapi juga mampu memberi suluhan yang jelas dan terang. Pastinya kita dapat melihat Avantiz ini dari jarak yang jauh. Kalau tak nampak, memang wajib pergi buat temu janji dengan pakar mata. Lampu belakang Yamaha juga direka simple sahaja tetapi cukup terang sekali.

Walaupun Avantiz ini kecil molek, rekabentuk hadapan yang mantap menjadikannya tampak tegap dan gagah sekali. Papannya yang luas dan lebar membantu penunggang tinggi dapat mengendalikannya dengan mudah. Inilah yang kita inginkan – memahami benar masalah penunggang berkaki panjang. Oh ya.. sayang sekali, pelana skuter ini agak keras dan tinggi! Model ini juga dilengkapkan dengan sistem keselamatan kunci parkir untuk memastikan skuter ini tidak bergerak jika diletakkan di kawasan berbukit.

Dengan ukuran 773mm, ia sedikit mencabar buat penunggang wanita jika baru ingin mencuba jentera skuter buat pertama kali. Bagi mereka yang berketinggian 5'2” ke bawah, anda pasti akan rasakannya – kena berjengket. Tapi jangan risau, itu hanya di saat permulaan sahaja. Bila dah mula serasi... anda akan memecutnya dengan senang hati!

Jelas dan mudah. Itulah yang dapat kami ulaskan apabila melihat panel meternya yang terdiri daripada satu meter analog (kelajuan) dan satu lagi meter analog kecil di bawah yang memaparkan tahap kelajuan dan bahan api. Lampu-lampu penunjuk Yamaha ini juga terang sekali.

Yamaha telah menyempurnakan Avantiz ini dengan enjin sejukan udara, SOHC yang berisipadu 125cc. Dengan dimensi 52.4 x 57.9mm, skuter ini menawarkan kuasa tork dan kuasa maksimum yang mantap. Ya… ia bukanlah sekadar pengiraan sahaja, telah dibuktikan sebaik sahaja Avantiz ini digerakkan. Memang tidak diduga, skuter ini mampu memecut dengan pantas dan lancar sekali.

Tidak kiralah anda seorang yang berbadan besar atau kecil, torknya yang setinggi 9.6Nm pada 5,500rpm berjaya 'mengheret' kita ke hadapan dengan pantas sekali. Untuk memberi tindakbalas yang lebih efisien, skuter baru ini turut dilengkapi dengan teknologi Blue Core. Apa itu Blue Core?

Teknologi Blue Core ini dihasil untuk memberikan prestasi terbaik dan penjimatan bahan api. Kaedahnya dengan memberikan pembakaran optimum, menurun kadar kehilangan kuasa, pengawalan bahan api dengan tepat dan masa nyalaan. Apabila semua ciri-ciri digabungkan, kita akan dapati skuter ini pantas, jimat petrol dan jauh lebih segar daripada sebelumnya.

Kali pertama kami nikmati prestasi mantap enjin Blue Core ialah menerusi model Nmax dan yang terkini tentulah Ego Avantiz. Memang terasa perbezaannya terutama sekali pada kelajuan maksimumnya. Jauh lebih lancar dan pantas berbanding skuter yang tidak menggunakan teknologi ini.

Yamaha ini juga dilengkapi dengan ECO Riding Indicator yang berfungsi untuk memberitahu penunggang tahap penggunaan bahan api yang paling jimat. Untuk model ini, lampu 'ECO' berwarna hijau akan menyala ketika berada di dalam kelajuan di antara 20-60 kilometer dan ia bergantung pada cara kawalan atau penggunaan pendikit.

Memerah pendikit Avantiz ini memang mengasyikkan. Ini kerana respons di antara pendikit dan enjin yang tepat memudahkan kita memintas kenderaan dengan lebih meyakinkan. Benar... walaupun ia adalah sebuah jentera yang menggunakan sistem tali sawat, jangan sesekali memperkecilkan kebolehannya kerana ia mampu memecut sepantas 110km/j tanpa gangguan atau sentapan di pacuan akhirnya.

Apa yang agak mengecewakan ialah ruang simpanan bawah pelananya agak kecil. Nak simpan topi keledar pun tak boleh. Walaupun begitu, jika ingin membawa air minuman, set pakaian hujan, beg pinggang, kasut atau sarung tangan memang tiada masalah. Apa pun, ruang barang dan tempat penyangkut di bahagian hadapan banyak membantu kita meletakkan barangan kecil.

Kerangkanya jenis keluli – tegar tetapi mampu memberikan tindak balas yang tepat sewaktu kita menolak dan menariknya ke setiap sudut yang dikehendaki. Sifat lincah begini memang menyeronokkan terutama sekali ketika berada di jalan-jalan berselekoh atau di kawasan bersudut kecil. Kami tidak menghadapi sebarang isu dengan sistem saspensi Avantiz ini. Ia menyerap segala hentakan dengan baik dan terbukti selepas kami tungganginya secara solo dan berdua. Begitu juga dengan sistem brek, ia bertugas dengan cemerlang sekali untuk mengurangkan kelajuan skuter ini dalam apa jua situasi dengan cepat.

Yamaha Avantiz ini didatangkan dengan tayar-tayar Kenda bersaiz 70/90-14MC 34P (depan) dan 90/80-14MC 49P yang menggigit dengan baik. Walaupun ketika membawa penunggang yang besar dan tinggi, ia terus berada di dalam laluan dengan stabil dan meyakinkan.

Tidak kiralah kita menunggang Avantiz, Tracer, MT-09 atau R1M sekali pun… kita wajib mengenal pasti beberapa perkara penting untuk berada di jalanan dengan selamat. Antaranya ialah tempat/destinasi yang bakal kita kunjungi, jenis dan kondisi motosikal, tahap kewangan dan kemampuan diri. Selepas semuanya diperiksa... baru kita memulakan perjalanan.

Satu isian penuh tangki 4.2 liter ini, Avantiz berupaya bergerak sejauh 130 kilometer dan kadar penggunaan bahan api ini bergantung kepada banyak faktor. Kami amat yakin, jika mengekalkan kelajuan pada kadar paling menjimatkan (Eco), jarak perjalanan dapat ditingkatkan dengan lebih tinggi.

Avantiz diperkenalkan dalam tiga pilihan warna iaitu Aggressive Black, Speedy Blue, Raving Red dan dijual pada harga asas selepas GST 6%, iaitu RM5,717.64 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor pendaftaran). RR

Isu Pada

Oktober 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu125cc
Gerek x Lejang52.4 x 57.9mm
Nisbah mampatan9.5:1
Kuasa maksimum7.0kW pada 8,000rpm
Tork maksimum9.6Nm pada 5,500rpm
Tinggi pelana 773mm
Berat96kg
Isi tangki4.2 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.