HONDA CBR650R & CB650R Pencabar Kelas Middleweight
Sebagai peminat dan pencinta motosikal, terus terang kami katakan bahawa Honda CBR adalah model yang diminati sejak di usia remaja. Selain CBR900RR Fireblade, siri CBR 600cc turut mendapat perhatian dunia seawal model pertama diperkenalkan iaitu pada tahun 1980an. Model CBR600 F2 (1991-1994), F3 (1995-1998), F4 (1999-2000) dan F4i (2001-2006) digilai kerana ia bukan sahaja cantik tetapi memiliki hantaran kuasa cukup mantap dan ketahanan enjin yang mengagumkan. Sehingga kini, kita masih dapat melihat model-model ini terus menyusuri lebuhraya dengan cukup megah dan bergaya.
Honda CBR650R dipertontonkan ke seluruh dunia di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA pada tahun lalu dan seperti yang dijangka, ia telah mendapat maklumbalas cukup positif daripada para pencinta motosikal di seluruh dunia.
Malaysia tidak terkecuali... pada hari pelancaran model ini, para jemputan di ruang promosi Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow cukup teruja apabila salah seorang daripada pengunjung membuat keputusan untuk membeli model Honda ini selepas beberapa bulan menunggu kehadirannya ke pasaran tempatan.
“Saya memang sudah lama menunggu CBR650R ini masuk pasaran Malaysia. Selepas melihat gambar dan video model ini di internet, saya terus jatuh hati dan hari ini adalah saat terbaik buat saya untuk memilikinya,” kata Ammar dari Shah Alam yang merupakan pemilik pertama model ini di Malaysia.
Hati cukup gembira apabila mendapat panggilan daripada pihak BSH yang mengatakan model ini 'ready' untuk diuji. Tiba saja di cawangan BSH Kepong, kami lebih gembira apabila bukan satu tetapi dua buah jentera Honda menanti kami.... CBR650R dan CB650R. Owh ya! Model CB650R juga diperkenalkan pada hari yang sama dengan CBR650R dan terima kasih buat BSH yang memberi peluang buat kami menguji kedua-dua model 650cc ini serentak. Dapatlah kami membuat perbandingan dan penilaian pada kedua-duanya.
Tak kisahlah tengok berdepan atau menerusi lensa kamera, CBR650R memang cukup lawa... terliur dibuatnya. Model ini sememangnya dicipta berasaskan model hebat CBR1000RR yang memiliki rekabentuk terkini serta moden. Lampu hadapannya jenis LED berbentuk tajam dan berwarna putih bersih, memberi suluhan cukup jelas tidak kira sama ada ketika kita menunggangnya waktu siang atau malam. Kami rasa bahagian inilah (lampu) yang paling mendapat perhatian atau yang paling orang suka tengok.
Honda telah melakukan beberapa perubahan cukup ketara pada bahagian fairing sisi yang pastinya akan membantu menjadikan CBR ini lebih aerodinamik, enjinnya mendapat aliran udara lebih baik dan lebih mirip dengan jentera perlumbaan. Bahagian sisi jentera ini memang kemas dan fuh! Rekaan sistem ekzosnya memang 'cun' habis.
Jika dibandingkan dengan model lama, memang posisi menunggang CBR baru ini lebih sporty (membongkok sedikit) kerana kedudukan bar hendalnya kini diubah 30mm ke hadapan manakala posisi tempat pemijak juga diubah. Apa pun, kami cukup mudah untuk mendapatkan keserasian sebaik sahaja melompat ke atasnya. Pelananya hanya setinggi 805mm, hampir sesiapa pun boleh menaikinya. Bagi salah seorang daripada kami yang berketinggian 179mm, CBR650R ini nampak kecil pula!
Sememangnya 'kekuatan' CBR datang dari prestasi enjin dan kemantapan gaya tunggangannya. Bunyi enjin empat silinder memang cukup garang! Dalam kedudukan melahu, bunyinya memang perlahan tetapi apabila pendikitnya direntap galak, CBR ini pasti mendapat perhatian ramai. Zooommmm! Enjin DOHC, empat lejang, sejukan cecair dengan gerek bersaiz 67.0mm dan lejang 46.0mm menawarkan kuasa hantaran setinggi 70kW pada 12,000rpm dan tork 64Nm pada 8,500rpm. Enjin ini juga turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI yang membantu penjimatan bahan api.
Kedua-dua model (CBR650R dan CB650R) didatangkan dengan panel meter yang sama. Bentuknya empat segi, nampak macam handphone pun ada. Susun atur segala info di paparan ini kemas dan nampak benar ketelitian para jurutera Honda dalam merekacipta panel ini. Disempurnakan pada meter ini dengan tahap kelajuan, putaran rpm, posisi gear, purata perjalanan, jam, trip, jarak perjalanan, suhu dan tahap bahan api. Semua amat jelas!
Dari segi kestabilannya, kami hanya dapat menggunakan satu perkataan sahaja untuk menerangkannya – Cemerlang! Sememangnya ia berada di laluan (lurus atau berselekoh) dengan tepat tanpa rasa membuang walau sedikit pun. Apabila tiba di laluan lurus, bongkok sedikit untuk dapatkan perlindungan daripada tamparan angin dari depan ketika memecut lebih daripada 200km/j. CBR terus tangkas dan tegap membelah udara. Tidak dinafikan... ada juga ketikanya terasa 'terer' macam Marc Marquez.
Jentera Honda didatangkan dengan sistem saspensi hadapan Showa USD 41mm SFF yang memang memuaskan hati. Walaupun membrek dengan keras sekali, segala hentakan berjaya diserap dengan baik . Saspensi belakangnya juga turut memberi keselesaan buat penunggang dan pembonceng. Sistem ini turut dilengkapkan pada model CB650R.
Sebagai jentera sport, kurang lengkaplah suatu perjalanan itu jika tidak mencuba ketangkasannya di laluan-laluan sukar. Kami bawanya ke Bukit Putus untuk merasai kemantapan cengkaman tayar-tayarnya bersaiz 120/70ZR17M/C 58W (hadapan) dan 180/55ZR17M/C 73W di belakang. Memang asyik sekali apabila kedua-dua Honda yang diuji ini lulus dengan cemerlang. Kelincahan kami meratah selekoh di Bukit Putus dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch yang akan mengekalkan roda belakang daripada terkunci ketika kami menurunkan gear dengan cepat. Memang 'syok' habis!
CBR650R memiliki tangki sebesar 15.4 liter yang mampu membawa kami ke beberapa buah destinasi untuk jarak sekitar 300 kilometer. Harus diingat juga, penggunaan bahan api bergantung kepada banyak faktor seperti berat penunggang, lokasi perjalanan serta corak penggunaan gear dan pendikit. Tangki petrol CB650R juga sama saiz.
Menurut informasi yang diterima daripada pihak BSH, CBR650R mendapat permintaan yang cukup tinggi dan ternyata ia sebuah jentera dua roda yang amat berbaloi untuk dimiliki. Model ini berharga RM45,499 dengan dua pilihan warna iaitu Grand Prix Red dan Matt Gun Powder Black Metallic. Cantikkan? “Beli lah... jangan tunggu lama-lama!”
CB650R pula adalah jentera yang berkongsikan DNA sama tetapi memiliki rekabentuk yang langsung tidak sama. Bentuknya cukup menawan, agresif dan tegap... memang sesuai dengan karektor nakednya. Walaupun ia merupakan sebuah jentera klasik moden, kami yakin jentera ini mampu menarik perhatian para pecinta dua roda di luar sana. Tinggi pelana ini sama seperti model CBR iaitu 805mm cuma posisi tunggangan tidak membongkok – memang sesuai untuk perjalanan jauh dan dekat.
Enjin Honda memang cukup sedap! Dengar sahaja bunyinya sudah membuatkan kami jatuh cinta. Kami mula memulas pendikit dengan lebih galak lagi sematamata hanya untuk mendengar deruman. Seperti jentera bersesaran 800cc ke atas. Sama seperti model CBR, model naked ini turut berkuasa 70kW pada 12,000rpm dan tork 64Nm pada 8,500rpm. Memang tangkas cuma ia model naked, memang kena tahanlah angin dari depan.
Sebaik sahaja memasuki lebuhraya, pendikit mula dipulas dengan lebih galak lagi untuk melihat kemantapan kuasa pada jentera Honda ini. Purata kelajuan tertinggi yang dapat kami capai adalah sekitar 220km/j. Dengan rekabentuk badan yang tegap, jentera ini tidak terasa bergoyang walaupun dalam kelajuan sebegitu. Yang penting sekali kita perlu berhati-hati ketika menunggang motosikal dengan laju. Jarakkan diri dengan kenderaan-kenderaan yang besar kerana bahaya boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Sememangnya laluan dari Kuala Pilah menghala ke Pengkalan Balak, Melaka sesuai benar dengan CB ini. Dengan ketegaran casis, bar hendal yang lebar dan posisi menunggang mantap, semua selekoh kami ratah dengan mudah. Itulah faktor utama mengapa jentera-jentera Honda sentiasa diminati – memang senang nak kawal. Untuk disesuaikan dengan karaktor dan kelincahan jentera ini, ia telah dilengkapi dengan tayar-tayar jenis Metzeler Roadtec 01 bersaiz 120/70ZR17M/C 58W (hadapan) dan 180/55ZR17M/C 73W (belakang) yang memberi cengkaman cukup mengagumkan.
Brek cakera hidraulik berkembar di hadapan (310mm) dan cakera tunggal di belakang (240mm) berfungsi dengan cukup efisien. Ia mampu memperlahankan mesin ini dengan mudah dan selamat ketika dipacu dengan laju. Untuk melengkapkan ciri keselamatan, CB650R turut dihadirkan dengan sistem brek anti-kunci (ABS) + Honda Selectable Torque Control (HSTC). Dengan adanya sistem ini, proses membrek dapat dilakukan dengan lebih cemerlang, pantas dan tepat berbanding brek biasa. Manakala untuk sistem HSTC pula akan mengurangkan kadar kuasa tork jika tayar belakang tergelincir pada permukaan licin atau berpasir agar tayar kembali mencengkam.
Kami sangat sukakan model ini ketika menunggangnya di dalam kawasan bandar. CB650R ini memang cukup lincah untuk masuk dan keluar di laluan yang sempit walaupun ia seberat 202 kg. Kalau naik CBR650R dalam bandar agak penat juga terutama sekali bahagian tapak tangan. Betullah, rekaan bar hendalnya dan geometri keseluruhan CB650R memang tepat - memudahkan kita mencelah di tengah kota. Lincah itu lincah juga, keselamatan tetap perlu sentiasa dijaga, jangan terlalu laju ketika berada di kawasan yang sesak dengan kenderaan.
Kami menunggang dari siang hinggalah ke malam. Lampu utamanya berbentuk bulat yang diinspirasikan daripada CB1000R mampu memberikan suluhan yang terang dan tepat. Kita dapat melihat apa jua keadaan di hadapan dengan mudah. Hampir keseluruhan lampu utama, belakang dan isyarat menggunakan teknologi LED. Menariknya, kedua-dua lampu isyarat di bahagian hadapan akan sentiasa menyala (running light) ketika kita menunggang jentera CB650R ini.
Secara jujurnya kami ingin katakan, CB650R adalah sebuah motosikal yang boleh dibawa ke mana sahaja untuk apa jua tujuan bak kata orang putih, all-rounder. Dengan model ini juga kita dapat melepaskan geram di jalan-jalan berselekoh pada hujung minggu. Jentera ini sesuai untuk lelaki ataupun wanita dan juga para remaja. CB650R ditawarkan pada harga RM43,499 dengan dua pilihan warna iaitu Graphite Black dan Candy Chromosphere Red.
Jadi... mana satu pilihan kita? Kami cadangkan kenalpasti dahulu tujuan untuk menunggangnya. Kalau untuk perjalanan sederhana, laluan berselekoh atau track day, pilih CBR650R tetapi untuk keselesaan dan tunggangan santai di kawasan urban, jadikan CB sebagai teman. Kedua-duanya sama handal... sama hebat! Berminat? Mari kunjungi pusat pengedar Honda BigWing yang berdekatan dengan anda. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, DOHC sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 649 cc |
Gerek x Lejang | 67 x 46 mm |
Nisbah mampatan | 11.6 :1 |
Kuasa maksimum | 70kW pada 12,000 rpm |
Tork maksimum | 64Nm pada 8,500 rpm |
Tinggi pelana | 805 mm |
Isi Tangki | 15.4 liter |
Berat | 207 kg (CBR) 202 KG (CB) |
Pengedar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular