Kawasaki Ninja ZX-10R : Dunia Perlumbaan Kini Di Tangan Anda
Sememangnya kemampuan model sport terbaru dari Kawasaki... ZX-10R telah terbukti di jalanan biasa mahu pun di litar. Lihat sahaja kemampuan dua jagoan Kawasaki Jonathan Rea dan Tom Sykes dalam perlumbaan World Superbike Championship (WSBK). Dominasi mereka berdua amat ketara pada musim ini dan hakikatnya..... agak sukar untuk ditewaskan.
Masih jelas dalam ingatan kami ketika bertemu dan berbual dengan Ketua Projek ZX-10R, En. Y. Matsuda pada awal tahun ini. Beliau menyifatkan tujuan asal model 2016 ini dibuat adalah untuk memberikan peluang kepada para penunggang biasa menikmati sebuah jentera juara yang telah menaikkan nama Kawasaki di peringkat dunia.
“Kami inginkan kejayaan ZX-10R ini dapat dikongsi oleh para penunggang biasa dan untuk model 2016 ini, kami bukan hanya menumpukan sepenuhnya dalam peningkatan prestasi tetapi juga pada kadar pengendalian dan gaya tunggangan yang mudah untuk semua jenis tunggangan,” kata beliau ketika ditemuramah.
Ya!! Tidak dinafikan apa yang dikatakannya itu benar belaka. ZX-10R ini sememangnya nampak cukup garang tetapi ia menawarkan posisi menunggang yang selesa – dapat kita rasai sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas pelananya yang setinggi 835mm. Lebih selesa... lebih yakin... lebih laju!
Terima kasih buat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd atas kesudian memberi peluang kepada kami menguji jentera 'Sang Juara' ini. Melihat pada rekaan luarannya, Ninja baru ini diubah dengan begitu teliti dan kemas sekali. Lihat sahaja bahagian hadapannya. Susunan lampu-lampu utamanya, lekukan bagaikan 'bibir' memang cukup cantik sekali. Tidak lagi terlalu tajam ke hadapan seperti model 2015 dahulu.
Rekabentuk bahagian belakang model baru ini memang lebih cantik berbanding yang lama. Lampu belakangnya mirip dengan lampu Z1000 baru manakala sistem ekzos titanium Ninja ini juga direka semula yang terbukti lebih kemas berbanding sebelumnya. Madgad hadapan model ini dihasil berinpirasikan model H2 yang bertujuan untuk menyalurkan udara ke bahagian radiator dengan lebih baik. Ini adalah untuk proses penyejukan menjadi lebih efisien.
Seperti yang dikatakan, posisi menunggang ZX-10R ini memang selesa sekali. Bahagian lengan dan pinggang tidak mudah lenguh atau letih ketika menunggang dalam kesesakan lalu lintas. Walaupun ia sebuah mesin sport, ZX-10R ini tidak memenatkan, itu yang pasti!
Melihat akan kepadatan teknologi yang dilengkapkan dalam jentera ini, kami amat mengagumi segala usaha yang dibuat oleh Kawasaki untuk menjadikannya selamat untuk digunakan oleh sesiapa sahaja. Segala informasi dan talaan elektronik dapat dilihat dengan jelas di paparan digitalnya. Asasnya, panel meter ZX-10R memaparkan tahap kelajuan, posisi gear, suhu enjin, tahap kuasa tiga peringkat, sistem Kawasaki Engine Braking Control (KEBC) dan Sport-Kawasaki Traction Control (S-KTRC).
Tahap putaran RPM dibaca menerusi lampu-lampu penunjuk yang berwarna kuning, jingga dan merah – terletak di bahagian atas panel meter. Meter digital ini juga mempunyai pelbagai paparan lain untuk membuat talaan seperti Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Intelligent Braking System (KIBS) dan Kawasaki Quick Shifter (KQS). Ianya dapat ditukar dan dipilih dengan menggunakan suis yang terdapat di bahagian kiri bar hendal.
ZX-10R terbaru didatangkan dengan sistem S-KTRC lima tahap (model sebelum ini hanya tiga tahap) membolehkan kita membuat pilihan lebih bertepatan dengan penggunaannya. Sebagai contoh, jika berada di litar, kita boleh memilih S-KTRC tahap 1, 2 atau 3 bagi penunggang baru tetapi apabila berada di jalan raya biasa yang berselekoh atau di dalam bandar maka pilihlah tahap 3,4 atau 5. Semakin tinggi nombor pilihan maka semakin tinggi tahap kawalan geseran yang ditawarkan.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, memang agak kagum dengan bunyi deruman enjin baru ini. ZX-10R dilengkapi dengan enjin sejukan cecair 998cc, empat silinder sebaris yang menawarkan kuasa tertinggi 200hp pada 13,000rpm dan tork 113.5Nm pada 11,500rpm. Enjin baru ini juga mematuhi keperluan perlepasan Euro 4 yang amat ketat.
Untuk memudahkan pemiliknya cepat serasi, Kawasaki ini dilengkapi dengan mod kuasa tiga tahap iaitu F (full: 100%), M (middle: 80%) dan L (low: 60%). Jadi pilihlah mengikut tahap pengalaman dan kemahiran tunggangan anda. Sistem S-KTRC juga begitu, pilihlah dengan bijak agar seronok dan selamat.
“Kami inginkan kejayaan ZX-10R ini dapat dikongsi bersama para penunggang biasa dan untuk model 2016 ini, kami bukan hanya menumpukan sepenuhnya dalam peningkatan prestasi tetapi juga pada pengendalian yang mudah untuk semua jenis tunggangan,” kata En. Y. Matsuda, Ketua Projek Kawasaki Ninja ZX-10R.
Meluncur dengan ada sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS), proses memasuki gear dapat dilakukan dengan amat-amat mudah. Ini memang kesukaan mereka yang sering menunggang di litar tetapi untuk jalanan biasa juga apa kurangnya, kita dapat memintas kenderaan lain dengan mudah. Pulas sahaja... masuk gear dan nah..! Ninja ini meluru ke hadapan dengan pantas.
Sedang memecut dari kedudukan gear kedua.. ketiga... keempat.... teringat pula akan karaktor model H2 yang mempunyai kuasa hantaran yang hadir bagaikan sebuah jet pejuang. ZX-10R ini tidaklah pecut bagaikan 'meletup' ke hadapan, ia lebih linear dan mudah dikawal. Kemantapan kuasa tolakannya yang lancar dapat dinikmati di setiap gear dan ini adalah 'menu' hebat buat mereka yang minat meleper.
Perbezaan 20% di setiap mod kuasa sangat mudah dirasakan. Respon di antara pendikit dan enjin yang tepat membolehkan kita merasakannya. Kami lebih suka memilih mod F kerana ia pantas dan mengujakan. Untuk memudahkan kita menukar gear dengan tepat, lampu penanda LED di panel meter akan berkelip setiap kali putaran rpm mencapai tahap maksimum dan menyuruh kita menukar gear. Memang best! Kadar peringkat rpm ini boleh dilaras mengikut kehendak penunggang.
Mesin juara ini dengan amat mudah dapat memecut melebihi 220km/j (maksimum melebihi 300kmj) dan kami memuji cermin pengadang udaranya yang kini lebih tegap di samping mempunyai ruang laluan udara yang lebih efisien. Kita dapat menyorok di belakang cermin ini tanpa rasa sebarang tekanan kuat dari hadapan. Bak kata Y.Matsuda... lebih selesa, lebih yakin... maka lebih laju!
Apabila tiba di jalanan berselekoh, ZX-10R yang dilengkapi dengan tayar hadapan bersaiz 120/70ZR 17MC dan 190/55ZR 17MC (belakang) ini benar-benar menunjukkan
belangnya. Ia mempunyai ramuan yang cukup sempurna untuk kita berada di selekoh dengan pantas, stabil dan selamat. Apa ramuannya?
Okay... kita mulakan dengan Ohlins Electronic Steering Damper yang dihasilkan dengan begitu bijak sekali. Alat peredam baru ini menawarkan tahap redaman yang sesuai mengikut keadaan tunggangan kita. Dengan menggunakan maklumat daripada sensor kelajuan putaran tayar belakang (menggunakan ECU enjin).
Kelincahan jentera ini juga disumbangkan oleh fork hadapan yang diambil terus daripada kejuruteraan WSBK dengan kerjasama Showa. Penyerap hentak hadapan terbaru, Showa Advance Balance Free Front Fork mempunyai banyak kelebihan berbanding yang biasa. Ia meningkatkan tahap keselesaan, kestabilan yang tinggi dan memberikan pengendalian mudah sehingga kita dapat masuk/keluar selekoh tajam dengan pantas sekali.
Untuk disepadankan dengan kemantapan fork hadapan, saspensi belakang juga turut diberi sentuhan baru. Saspensi belakangnya kini dilengkapi dengan Showa Balance Free Rear Cushion (BFRC) yang ringan – menjadikan kita lebih mudah mengawal segala pergerakan dengan baik sekali. Itulah yang ditawarkan oleh Kawasaki demi menjadikan setiap saat kita bersama ZX-10R ini lebih bermakna.
Apabila kita menggabungkan kedua-duanya maka setiap jenis permukaan, baik atau buruk dapat dilalui dengan tenang dan stabil sekali tidak kira dalam kelajuan tinggi mahu pun rendah. Dalam pengiraan matematik: Bagus + Bagus = Sempurna!
Hebat! Kita juga dapat menala kadar kekuatan brek enjinnya sewaktu ingin berada di selekoh. Tukar sahaja talaan KEBC pada 'L' yang bermaksud light untuk mengurangkan kadar brek enjin. Ini lebih sesuai untuk mereka yang menunggang di litar dan mereka yang cukup berpengalaman. Walaupun begitu, segala sistem canggih ini bukanlah 'tiket' untuk kita bermain di selekoh secara membabi buta!
Casis baru ini lebih mantap dengan tapak roda baru yang lebih panjang manakala kedudukan enjin juga diubah lebih tinggi. Ucapkan 'terima kasih Kawasaki' kerana segala perubahan ini menjadikan Ninja lebih tangkas untuk dipacu di jalanan berliku.
Benar... ketika menunggang di jalan basah atau di kawasan yang kurang dikenali, kami memilih untuk menggunakan mod L (low) dengan kuasa dikurangkan kepada 60%. Ninja ini tidak terus menerpa ke hadapan apabila pendikit dipulas sebaliknya ia tenang meningkatkan kelajuan sedikit demi sedikit.
Keterujaan menunggang sebuah motosikal juga datang kerana keberkesanan sistem breknya. ZX-10R tidak mengecewakan. Model ini dilengkapi dengan brek hadapan cakera jenis Brembo bersaiz 330mm dan 220mm di belakang yang dimantapkan lagi dengan adanya sistem KIBS. Kekuatan membrek tidak perlu dipertikaikan lebih-lebih apabila menunggang di dalam bandar juga digunakan oleh pengguna jalan raya yang tidak semuanya bertimbang rasa.
Kadar penggunaan minyak model ini agak sukar untuk dikongsi dengan tepat kerana kenikmatan yang ditawarkan. Ini bererti, keselesaan mesin ini di dalam kelajuan tinggi memaksa kami terus membuka pendikit lebih kerap serta penggunaan pelbagai kedudukan gear sewaktu mendaki jalan-jalan berselekoh. Tangki ZX-10R ini bersaiz 17 liter yang telah membawa kami menyusuri perjalanan sejauh 200 kilometer. ( jarak perjalanan boleh berubah mengikut cara, gaya tunggangan dan lokasi perjalanan).
Kawasaki ZX-10R ditawarkan pada harga jualan termasuk GST, RM104,589 dengan dua pilihan warna iaitu Winter Test dan Kawasaki Racing Team.
Kesimpulannya, jentera sport ini memang sangat selesa dan sangat mudah. Walaupun hakikatnya kita sedang memecut dengan pantas dan ia dapat dilakukan dengan selesa serta meyakinkan. Mereka (ahli keluarga Kawasaki) berjaya mengubah sebuah mesin perlumbaan kini mampu dinikmati untuk tunggangan harian. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 998cc |
Gerek x Lejang | 76.0 x 55.0mm |
Nisbah mampatan | 13.0:1 |
Kuasa maksimum | 200hp pada 13,000rpm |
Tork maksimum | 113.5Nm pada 11,500 rpm |
Tinggi pelana | 835mm |
Berat | 206kg |
Isi tangki | 17 liter |
Pengeluar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular