Norton Dominator 961 2016 : Kini Lebih Baik
Suatu ketika dahulu jenama ini sudah agak tenggelam tetapi dengan usaha gigih seluruh pasukannya, Norton kini ternyata berjaya mengembalikan kehebatan namanya. Dengan bantuan kewangan daripada kerajaan British, syarikat ini telah melangkah ke satu era yang lebih meyakinkan terutamanya dengan penambahan ruang di kilang mereka yang beroperasi di Donington. Hasil daripada perancangan penuh teliti itu maka terhasillah sebuah model baru iaitu Norton Dominator 961.
Sudah lapan tahun berlalu sejak Stuart Gamer, 47 tahun membeli syarikat ini daripada pemilik sebelumnya, Olly Curme yang berasal dari Amerika. Curme terkenal dengan model prototaip Commando 961 yang direkanya bersama pakar Norton 2 silinder di USA, Kenny Dreer. Benar... model ini telah mendapat permintaan yang sangat tinggi dan berjaya mengembalikan kemahsyuran Norton di mata dunia. Commando 961 telah dihantar ke seluruh dunia termasuk Jepun, USA, Canada dan Australia.
Sehingga kini kita dapat melihat model Commando 961 berada di jalanan dalam pelbagai bentuk seperti Café Racer atau Sport Guise. Selepas kumpulan pertama edisi terhad habis dijual, model Norton Domiracer pula telah dilancarkan pada tahun 2014 yang menampilkan beberapa perubahan menarik seperti kerangka monoshock dan sistem ekzos lebih mantap. Model ini dijual pada harga GBP24,000 (penambahan GBP2,000 untuk kit homologasi).
Melihat akan pencapaian membanggakan itu, Garner dan Simon Skinner, ketua bahagian rekaan Norton telah bersetuju untuk menghasilkan sebuah lagi model yang tidaklah banyak perbezaannya. Ia adalah Dominator SS yang kurang ekstrim berbanding Domiracer. Sebanyak 200 unit telah dihasilkan dan hanya 50 unit sahaja untuk pasaran tempatan, UK pada harga jualan yang sama dengan Domiracer, GBP24,000.
Dominator SS ini memang cukup sama dengan Domiracer termasuk bentuknya, tangki minyak 20.5 liter manakala sistem ekzosnya yang senyap turut boleh diganti. Model ini juga telah habis dijual. Norton kemudiannya memperkenalkan pula model Dominator dengan penyerap hentak tunggal berharga GBP19,950.
Berbaris bersama Dominator ialah model Commando dengan penyerap hentak kembar yang akhirnya telah membawa kepada pengenalan Domiracer jenis jalanan yang telah dijual pada GBP44,000 di eBay. “Dominator telah berjaya dan semestinya kami ingin mempercantikkan dan memperkemaskan lagi rekaan ini. Paling penting tentulah dengan mengekalkan ciri-ciri utamanya disamping memberi sentuhan baru agar lebih disukai ramai,” kata Skinner.
Model baru Dominator kini didatangkan dengan enjin bersistem penyejuk udara OHC, 961cc dengan gerek x lejang berukuran 87 x 79 mm. “Ini merupakan evolusi terbaru enjin 961 asal kerana ia telah dibuat semula hampir 100%. Kami lengkapkannya dengan kotak engkol, silinder, kepala silinder, omboh dan kotak gear yang kesemuanya serba baru. Ini semua adalah untuk mengurangkan kadar NVH iaitu Noise Vibration & Harshness serta mempertingkatkan kualiti jentera ini,” kata ketua bahagian rekaan, En. Simon Skinner.
Dengan kadar pengeluaran yang semakin bertambah, Norton kini telah melangkah jauh dengan kemampuan mendapatkan lebih banyak pilihan daripada pihak pembekal untuk beberapa alat ganti dan bahagian motosikal yang diperlukan. Apa yang agak menyedihkan ialah bekalan yang terhad di UK menyebabkan mereka terpaksa mendapatkannya dari luar.
Dominator terbaru ini melambangkan sebuah café racer untuk era lebih moden – lebih bertamadun berbanding dulu. Apa pun, ia masih mempunyai rupabentuk bulldog seperti mana yang diingini Skinner pada model sebelum ini. Perbezaan paling ketara ialah pada posisi menunggangnya yang agak rendah di hadapan manakala bahagian belakang ditinggikan sedikit.
Skinner mendesakkan bahawa ia bukanlah sebuah jentera retro tetapi pastinya satu rekaan serba baru yang ingin menjadi kebanggaan Norton. Kerangka jenis cradle dibuat menggunakan keluli tiub jenis chrome-moly dengan tulang belakang yang direka menjadi tangki minyak pelincir. Ia dibuat di kilang Norton oleh seorang pembuat yang sangat mahir.
Geometri pengemudi tidak berbeza dengan model dahulu tetapi fork hadapan Ohlins 43mm telah dianodkan dengan warna hitam manakala di penghujung fork ini dilengkapkan dengan tiga pengapit aluminium yang dihasil menggunakan program CAD tiga dimensi dan pemotongan kaedah mesin CNC di kilang Norton sendiri.
Pelananya dibuat menggunakan gentian karbon yang lengkap dengan corak Union Jack. Untuk prestasi lebih cemerlang, Norton ini telah dilengkapi dengan brek jenis Brembo, penyerap hentak mono jenis Ohlins TTX36 yang dibangunkan khusus untuk model ini. Lengan ayunnya jenis tiub keluli yang berfungsi cukup sempurna buat sebuah motosikal yang mempunyai tapak roda 1,440mm (lebih 20mm berbanding model Commando).
Ketika melihatnya di Dewan Donington tempohari, model ini sememangnya tampak cukup garang dan telah bersedia untuk dipacu ke mana sahaja. Ia bukan jentera yang dibuat untuk 'berehat' tetapi ia sentiasa mahukan aksi-aksi yang mantap. Kemantapan Dominator sangat jelas dapat dirasa sebaik sahaja enjin kembar-parallel 961cc dihidupkan dan membiarkannya melahu sekitar 1,300rpm. Model yang saya uji ini pula didatangkan dengan ekzos bergelar 'Short Noise' yang berharga GBP895 tetapi ia tidak dibenarkan untuk jalan raya biasa.
Bunyi Norton baru ini lebih mirip dengan enjin Ducati, bukan berbunyi seperti jentera buatan British. Walaupun enjinnya langsung tidak diubahsuai tetapi ia sebenarnya mempunyai kuasa sekitar 4bhp lebih tinggi berbanding model Commando. Ini kerana Norton baru ini dilengkapi dengan kotak udara lebih besar bersaiz 1.5 liter serta badan pendikit 35mm yang bertugas dengan cemerlang sekali.
Kekuatan sebenar kuasa torknya dapat kita rasa bermula pada 5,200rpm dan apabila kita menukar gear dengan cepat iaitu sekitar 5,000rpm sememangnya memberi kita keseronokan maksimum. Sebaik sahaja memulas pendikit dengan lebih galak, kita dapat menikmati kuasanya yang hadir bagaikan tiada penghujung. Anda boleh menarik sehingga jarum meter mencecah ke garisan merah tanpa merasakan sebarang gangguan.
Dominator baru ini ternyata merupakan sebuah jentera gabungan baru dan lama yang memuaskan hati. Lihat sahaja sistem breknya yang cukup bijak, tayar-tayar yang cepat panas dan mencengkam hebat, sistem saspensi yang sempurna seperti mana jentera sport dan hantaran kuasanya yang mudah dikawal menjadikan ia sebuah jentera berinspirasi yang dapat ditunggang dengan yakin.
Mesin ini bergerak dengan perlahan dan sopan sekali di dalam kesibukan kota tetapi apabila melihat akan ruang yang terbuka, pecutlah Dominator ini dan nikmati kemantapannya berlari dengan kencang sekali. Daripada keadaan melahu, tarik sedikit mencecah 2,000rpm kemudian tinggi lagi, 4,000rpm sehinggalah zon paling selesa iaitu pada 6,500rpm. Memang cukup lancar. Berdasarkan kekuatan putaran enjinnya, transmisi 5 kelajuan sudah mencukupi.... tidak perlu 6.
Pengendalian yang mudah adalah kunci utama pada setiap jentera kelahiran Norton, ya... sejak tahun 1950an dan semestinya pencapaian Dominator ini berada di tahap yang sepatutnya. Faultlessly atau sempurna... itulah gambaran paling sesuai yang wajar digunakan untuk menggambarkan bagaimana kita dapat mengendalikannya.
Sistem brek dan saspensi Ohlins yang mantap membantu segala pergerakan dan dikawal dengan mudah tambahan pula bahagian belakang yang telah ditinggikan sedikit menjadikan proses membelok dapat dilakukan begitu selamat. Brek enjinnya juga patut dipuji, ia tidak terlalu longgar dan tidak terlalu keras. Kita dapat menurunkan kelajuan tanpa merasakan tayar belakang melompat-lompat.
Norton ini dikatakan seberat 175kg, menjadikannya tangkas tetapi sangat stabil yang merupakan dua faktor penting perlu dimiliki oleh sebuah jentera untuk memberikan inspirasi dan keyakinan tinggi kepada para pemiliknya. Walaupun mempunyai tapak roda yang agak panjang tetapi dengan bentuk tangkinya yang unik, kita akan rasakan Dominator ini kecil, kompak dan mudah ditunggang.
Saya tidak menyangka berpeluang menunggang Dominator ini kerana 10 tahun yang lalu, saya juga menunggang uji jentera prototaip Norton Commando 961 rekaan Kenny Dreer di USA. Lapan tahun yang lalu pula, saya didedahkan tentang pemilikan Norton oleh Stuart Garner daripada warga USA ketika membuat temuramah mengenai rancangannya mencipta sebuah mesin perlumbaan rotari.
Stuart ternyata berjaya melahirkan sebuah Norton generasi baru. Proses ini bermula pada Julai tahun lalu iaitu selepas Menteri Kewangan US, George Osborne membuat lawatan ke ibu pejabat Norton di Donington Hall dan mengabarkan berita hebat bantuan sebanyak £4M dari pihak kerajaan. Ini membantu pihak British Motorcycle Manufacturing Academy (BMMA) mendapatkan dana untuk melatih lebih daripada 90 perantis baru di kilang Norton.
Garner sendiri telah menaikkan dana pelaburan utamanya kepada £10M yang diguna untuk membangunkan enjin V4 1200cc yang bakal dipasang pada sebuah jentera superbike mewah. Model ini akan diperkenalkan di Pameran National Exhibition Centre (NEC), Birmingham November ini. Sememangnya ia adalah satu perjuangan hebat buat Garner demi menaikkan semula nama Norton dan tahniah diucapkan kerana usahanya kini sudah mula menampakkan hasil. Itulah nikmat kejayaan. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kyoichi Nakamura
Spesifikasi
Enjin | kembar parallel, sistem penyejuk udara/minyak |
Isipadu | 961cc |
Gerek x Lejang | 88 x 79mm |
Nisbah mampatan | 10.1:1 |
Kuasa maksimum | 83hp pada 6,500rpm |
Tork maksimum | 89Nm pada 5,200rpm |
Tinggi pelana | 815mm |
Berat | 175kg |
Isi tangki | 20.5 liter |
Pengeluar | Norton Motorcycle (UK) Ltd |
Popular