BMW C 650 Sport : Puas Dilihat.. Puas Ditunggang
Apa yang seronok bila menunggang sebuah skuter? Antara jawapan paling popular tentulah... “Naik skuter mudah, tak perlu pakai gear.” … “Dengan skuter, kita boleh bawa lebih banyak barang.”... “Ruang barang skuter selalunya besar.”
Semuanya benar belaka. Bayangkan pula sifat yang cukup praktikal itu ditambah dengan keselesaan seperti sebuah jentera pengembaraan, pecutan umpama mesin sportbike dan kelincahan bak motosikal jalanan. Tentu hebat bukan? Ya... Itulah yang ditawarkan jika anda memiliki atau menunggang sebuah BMW C 650 Sport baru ini.
BMW Motorrad ternyata cukup matang apabila memperkenalkan skuter maksi ini dengan sifat dan karaktor terbaru yang lebih mantap dan agresif. Kemantapan C 650 Sport ini diterjemahkan menerusi rekabentuk luarannya yang terkini, kemas dan elegan. Lampu hadapannya jenis LED bukan sahaja cantik tetapi juga memberikan suluhan yang jelas di waktu malam. Berbanding model lama, bentuk fairing hadapannya kini direka dengan dua lapisan warna kelihatan lebih cantik manakala logo BMW yang diletakkan di sisi fairing ini menjelaskan lagi kemewahannya.
Melabuhkan punggung pada pelana setinggi 800mm yang empuk itu memberikan kita bayangan awal destinasi-destinasi yang bakal dipilih. Sudut pelananya yang sempurna dan ruang lantai pemijak yang luas dihasilkan untuk memberi keselesaan kepada kita tidak kira untuk perjalanan santai atau pun jauh. Anda seorang penunggang yang tinggi? Rendah? C 650 Sport membenarkan kita meluruskan kaki, mengubah posisi jika letih atau lenguh... baru best!
Panel meter skuter ini jelas sekali. Dengan penggunaan meter jenis analog, amat mudah untuk kita memastikan tahap kelajuan yang sedang dicapai. Paparan digital pula memberitahu kita tentang jarak keseluruhan perjalanan, jarak perjalanan A & B, suhu enjin, tahap rpm, tahap bahan api dan masa. Tidak kira anda berada di bawah sinar matahari atau di waktu malam, segala informasi yang dipaparkan dapat dilihat dengan cepat.
Melihat pada sistem ekzos barunya ini, kita sudah dapat mengagak betapa mantapnya bunyi skuter maksi BMW ini. Benar sekali... bunyinya dalam keadaan melahu sudah begitu mantap sehingga ia bukan lagi seperti skuter tetapi lebih mirip dengan sebuah jentera sport. Apabila enjin diputar melebihi 2,500rpm... bunyinya semakin garang manakala pecutannya juga amat mengagumkan.
Tidak keterlaluan jika kami katakan kekuatan kuasa enjinnya ini hampir mampu mengatasi mana-mana sportbike jika sama-sama meluncur dari keadaan melahu. Enjin dua silinder 647cc yang menawarkan kuasa maksimum 60hp pada 7,500rpm dan tork 63Nm pada 6,000rpm ternyata cukup gagah untuk menggerakkan sebuah skuter seberat 249kg dengan pantas dan lancar. Lonjakkan ke depan begitu terasa sekali jika kita suka menarik pendikitnya dengan galak.
Sistem transmisi jenis Continuously Variable Transmission (CVT) yang ditala serba baru memberikan prestasi yang lebih baik. Tidak kira dalam serendah mana putaran enjin diturunkan atau sewaktu merentap ke tahap maksimum dari kelajuan sifar, C 650 Sport ini 'berlari' tanpa sebarang sentapan. Kelancaran kuasa pecutan skuter ini memang mengasyikkan. Siapa sangka menunggang sebuah skuter mampu memberikan senyuman selebar ini.
Dengan respons antara pendikit dan enjin yang semakin progresif, C 650 Sport ini membelah angin dengan tenang dan lancar. Jentera berisipadu hampir 700cc ini mampu diluncurkan pada kelajuan maksima 180km/j dengan selesa sekali. Seronok juga mengacah beberapa buah kereta yang agak memandang rendah pada keupayaannya. Apabila melihat akan logo BMW yang tertera di fairing jentera ini barulah mereka tersenyum sambil menunjukkan tanda bagus. Ternyata sebuah skuter maksi bukanlah dihasilkan untuk memecut tetapi lebih fokus untuk tunggangan santai – sekitar 120-140km/j.
Kestabilan jentera ini ketika memecut dalam kelajuan tinggi disumbangkan oleh Automatic Stability Control (ASC) yang mengawal segala pergerakan dengan cemerlang sekali. BMW turut melengkapkan jentera ini dengan sistem ABS bagi meningkatkan kadar keselamatan penunggang terutamanya ketika memperlahankan di dalam saat cemas mahu pun di permukaan jalan yang licin. Betul... apabila menyedari jentera kita dilengkapi dengan sistem pertahanan sebaik ini, kualiti tunggangan juga akan menjadi lebih baik.
Sebaik sahaja kita berhenti, kunci utamanya turut membolehkan kita membuka ruang barangan bawah pelana yang berlampu dan ruang mengisi petrol. Sedikit mengecewakan apabila mendapati corong lubang petrolnya agak sukar untuk digunakan. Muncung pam mudah tersangkut pada bahagian hadapan sehinggalah kita dapat mencari sudut yang tepat. Dirasakan posisi corong lubang terbaik tetap di bahagian tengah antara pelana dan bar hendal seperti kebanyakan skuter maksi yang lain.
Ruang barang bawah pelana pula cukup sempurna. Ruang barang utamanya sudah cukup besar, boleh diisi dengan topi keledar penuh muka tetapi paling mengagumkan tentunya dengan ruang tambahan serba baru. Ruang tambahan ini dinamakan flexcase. Ia merupakan ruang barang yang boleh dilipat dan disimpan ketika mesin ini sedang bergerak. Apabila ingin menyimpan lebih banyak barang, ia boleh dibuka dengan hanya menekan satu suis yang disediakan.
Selagi mana ruang ini tidak dilipat semula, C 650 Sport tidak boleh dihidupkan. Untuk memudahkan pemiliknya menyimpan dan mengeluarkan barang di dalam gelap, ruang barangan ini dilengkapi dengan lampu. Perlu juga diingat, berat yang dibenarkan (selepas mengisi barang) ialah sekitar 445kg. Jangan lebih bebanan kerana ia boleh mengganggu dan membahayakan tunggangan.
C 650 Sport dilengkapi dengan lampu penunjuk LED yang akan menyala sebaik sahaja kita memutar suis utama kepada ‘ON’ dan lampu ini juga akan terus menyala selama 30 saat sebelum padam sebaik sahaja kita mematikan enjin. Bagi mereka yang baru menunggang jentera ini, mungkin akan mencari di mana suis untuk mematikan lampu ini. Lazimnya, lampu penunjuk ini akan terpadam sebaik sahaja kita mencabut kunci tetapi lampu BMW ini akan padam secara automatik.
Untuk barangan bersaiz kecil dan sederhana, kita boleh menyimpannya di dua ruang lagi yang terletak di kiri dan kanan bahagian hadapan. Untuk kemudahan para pengembara, BMW ini didatangkan dengan sistem elektrik Controller Area Network (CAN) seperti yang dilengkapkan pada model-model BMW yang lain. Terdapat satu soket yang terdapat di bahagian ruang barang depan sebelah kiri. Kita boleh menggunakan soket ini untuk mengecas telefon pintar.
Satu lagi ciri keselamatan yang ditawarkan oleh BMW ini ialah sistem brek parkir yang diaktifkan secara automatik dengan penggunaan tongkat sisi. Ini bermakna, jentera ini langsung tidak dapat digerakkan ke hadapan atau ke belakang apabila kita menurunkan tongkat sisi. Satu idea yang cukup kreatif dan bijak untuk mengelakkan daripada skuter ini bergerak ketika kita memberhentikan atau parkir di kawasan berbukit.
C 650 Sport memang cukup mantap menangani keadaan trafik di bandar yang sesak. Dengan adanya sistem penyejuk enjin yang moden, C 650 Sport tidak akan mengalami masalah panas lampau. Cermin pengadang udara BMW ini boleh dilaras kepada tiga ketinggian berbeza dan untuk di bandar, kami merendahkannya ke tahap paling bawah. Biar lebih banyak udara mendinginkan badan.
Apabila ingin meninggalkan bandar, skuter ini terpaksa pula dihentikan kerana kita perlu menggunakan kaedah manual untuk mengubah semula posisi cermin ini. Agak leceh jika dibandingkan dengan model C 650 GT yang dilengkapi dengan pelaras elektronik yang membolehkan kita menukar ketinggian cermin ini pada bila-bila masa, tanpa perlu berhenti terlebih dahulu. Diharap agar C 650 Sport turut didatangkan dengan sistem yang sama... barulah best!
Ahh.... walaupun ia bukan S1000R atau S1000RR, skuter maksi ini tetap memberikan prestasi yang cemerlang ketika kita berada di jalanan berliku. Kita bagaikan boleh berseronok sepuas-puasnya hanya dengan kemampuan fork hadapan jenis terbalik berdiameter 40mm dan lengan ayun tunggalnya yang berinteraksi dengan pelbagai jenis permukaan jalan begitu cemerlang sekali.
Baringkannya ke kiri dan ke kanan sesuka hati dan seperti yang dijangka, kerangkanya dari jenis keluli tiub yang bertegaran tinggi menjadikan skuter ini terus tegap, tanpa rasa bergoyang. Jika agak melebar, jangan risau... brek-brek cakera yang dilengkapkan pada jentera-jentera BMW termasuk skuter ini tidak pernah mengecewakan. Satu jari sudah mencukupi untuk kita memperlahankan kelajuan atau mengembalikan ke laluan dengan selamat.
Untuk disesuaikan dengan kehandalannya, C 650 Sport telah dipadankan dengan sepasang tayar Metzeler Feelfree bersaiz 120/70 ZR15 (hadapan) dan 160/60 ZR15 di belakang yang turut memberi sumbangan besar dalam kelincahan mesin ini mengharungi perjalanan sukar dengan selamat.
Seiring dengan pujian pada prestasinya, kadar purata penggunaan bahan api untuk sebuah mesin auto seperti ini juga amat menjimatkan. BMW C 650 Sport ini dibawa berlari ke lebuhraya, puas bermain di jalan berselekoh dan berasak-asak di dalam bandar namun ia tetap bertenaga. Dianggarkan satu tangki penuh 15.5 liter mampu membawa kita mengembara lebih daripada 200 kilometer dengan mudah sekali.
Dengan keupayaan C 650 Sport yang cukup hebat ini, tidak dinafikan kita akan melihat migrasi pengguna motosikal daripada jentera konvensional kepada mesin automatik. Dari segi gaya rekabentuk dan kepesatan teknologi, BMW ini ternyata harmonis. Puas dilihat... puas ditunggang.
Skuter maksi BMW ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans (termasuk GST 6%) ialah RM64,900 dengan tiga pilihan warna ialah Valencia Orange Metallic Matt, Blackstorm Metallic dan Light White. Setiap pembelian turut ditawarkan dengan waranti antarabangsa selama 2 tahun tanpa had jarak perjalanan. RR
Oleh: Khairil Azuan
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder, 4 lejang, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 647cc |
Gerek x Lejang | 79 x 66mm |
Nisbah mampatan | 11.6:1 |
Kuasa maksimum | 60hp pada 7,750rpm |
Tork maksimum | 65Nm pada 6,000rpm |
Tinggi pelana | 800mm |
Berat | 236kg |
Isi tangki | 12.5 liter |
Pengeluar | BMW Group Malaysia |
Popular