Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 21 Oktober 2020

Honda CB500X Lancar, Selesa & Selamat

Tidak dinafikan, Honda merupakan jenama yang sentiasa melahirkan model-model pengembaraan yang hebat dan menarik. Para jurutera Honda berjaya menjadikan sesebuah model itu memiliki pakej yang lengkap. Ertinya, jentera-jentera syarikat berusia lebih daripada 70 tahun ini memiliki kemantapan dari segala segi seperti rekabentuk, sistem elektronik, keselesaan, prestasi enjin, penjimatan bahan api dan dari segi harga.

Ketika menunggang uji model ini, kami mendapat riaksi positif di kalangan para peminat motosikal dan model ini ialah Honda CB500X. Model pengembaraan berkapasiti sederhana ini mula berada di pasaran pada tahun 2013. Bagi pencinta motosikal di Asia khususnya, ia adalah sebuah model yang cukup sesuai untuk semua jenis penunggang, tidak kira lelaki atau perempuan, tinggi atau rendah. Daya ketahanan enjin… tidak perlu diragui!

Di Malaysia sendiri kita dapat melihat jentera ini digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia dipilih sebagai jentera untuk memberi keseronokan ketika mengembara dan ia juga menjadi teman untuk mereka yang berulang alik ke tempat kerja. CB500X benar-benar versatil. Model yang diuji ini turut mewarisi segala keistimewaan CB500X sebelum ini dan kini, ia lebih menarik.

Bahagian hadapan direka cukup kemas, disempurnakan dengan lampu-lampu LED yang cukup terang manakala paruh yang kecil di bahagian depan memang sesuai dengannya Kami menunggang unit berwarna Grand Prix Red yang diperanggunkan dengan beberapa bahagian berwarna kelabu. Gabungan merah dan kelabu menjadikan jentera ini tampak eksklusif. Sistem ekzos yang kompak turut menjadikannya lebih mantap. Melihat kepada tubuh badannya, model baru ini ternyata lebih ranggi, lasak dan bertenaga.

Kami benar-benar suka pada rekaan panel meternya. Dengan penggunaan Liquid Crystal Display (LCD), segala info yang dipaparkan amat kemas dan jelas untuk dilihat. Antara info penting yang dilengkapkan ialah penunjuk kelajuan, tahap putaran rpm, tahap kelajuan, posisi gear, jam, jarak perjalanan, suhu enjin dan trip. Untuk keselesaan ketika berada dalam kelajuan tinggi, model ini turut dilengkapkan dengan cermin pengadang udara yang boleh dilaras kepada dua ketinggian.

Seperti model terdahulu, posisi menunggang CB500X memang cukup selesa. Tubuh badan kita tegak, ruang kaki luas (mudah untuk digerakkan) dan jarak di antara pelana dan bar hendal juga sempurna. Suis-suis kawalan senang dicapai cuma perbezaan posisi untuk suis hon/isyarat perlu masa untuk dibiasakan. Bagi penunggang yang lazimnya menunggang motosikal jenama lain, anda perlu ambil masa sedikit lah. Memang awal-awal tu kita asyik tertekan suis hon untuk membelok.

Honda telah menyempurnakan model ini dengan enjin 471cc, sistem penyejuk cecair yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 37kW pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 6,500rpm. Dalam gear-gear pertengahan, CB500X ini memang cukup mantap. Ini datangnya dari sistem ekzos, inlet dan valve timing yang direka semula. Pulas sahaja, pendikitnya, kita dapat rasakan jentera seberat 196kg ini meluru ke hadapan dengan pantas. Sistem transmisinya cukup lembut dan dengan adanya lampu penukaran gear, membolehkan kita menukar gear dengan cepat dan tepat.

Walaupun ia jentera yang tinggi, Honda ini mudah untuk dikawal walaupun ketika berada di kawasan yang terhad. Para penunggang akan dapati kita mudah serasi dan memberi keyakinan yang tinggi untuk membawa jentera ini ke mana sahaja. Tidak hairanlah mengapa ia turut mendapat permintaan tinggi daripada warga kota. Gabungan warna merah dan kelabu rupa-rupanya menepati citarasa ramai. Rata-rata memuji Honda kerana memilih skima warna ini. Nampak elegan dan moden!

Ketika kami membawa pulang jentera ini ke ibu pejabat RR, pihak kerajaan baru sahaja memaklumkan tentang rancangan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1) yang ketika itu bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Kami ada sekitar tiga hari sahaja untuk menguji jentera ini untuk perjalanan jauh. Selepas cukup berpuas hati di jalanan biasa, jentera ini dibawa terus ke lebuhraya.

Benar… sebuah jentera pengembaraan asalnya direka bukanlah untuk mereka yang mencari kelajuan tetapi kini, ia adalah salah satu ciri-ciri penting yang perlu ada pada setiap motosikal.

Seringkali kita melihat model-model lasak meluncur pantas di lorong kanan di lebuhraya. Ini membuktikan bahawa setiap pengeluar mesti memikirkan soal kemampuannya memecut, tidak hanya tertumpu pada keselesaan semata-mata. Ianya mungkin kerana dunia kini telah terbentang luas, ‘pintu’ untuk mengembara ke kebanyakan negara di dunia telah terbuka dan pastinya si pengembara akan menikmati pelbagai jenis jalan. Jika sudah beratus kilometer berada di laluan sukar, kesempatan harus diambil sebaik-baiknya apabila tiba di laluan terbuka atau lebuhraya. Dengan meningkatkan kelajuan, masa perjalanan dapat dijimatkan.

Kadar pecutan juga amat penting apabila kita berkongsi jalan dengan kenderaan-kenderaan bersaiz gergasi. Daripada terdedah kepada risiko berdekatan dengan bas dan lori yang juga agak laju di lebuhraya, lebih baik kita memulas pendikit untuk meninggalkannya. Honda CB500X mampu dipecut lebih daripada 170km/j tetapi kelajuan paling ideal dan paling selesa ialah sekitar 110km/j hingga 130km/j. Kerangka jenis diamond—tube yang tegar dan ringan membantu kita kekal stabil di laluan dalam kelajuan apa sekali pun. Tidak terasa gegaran pada bar hendal sewaktu memecut laju. Puas!

Sistem ekzos ‘bernafas’ dengan lancar dan cukup senyap. Dalam keadaan melahu, bunyinya cukup segar dan lembut tetapi apabila pendikit dipulas rancak, karaktor bertukar menjadi lebih garang dan ini memberi ketagihan untuk kita berada di atasnya sepanjang hari. Dengan penggunaan lampu-lampu LED, kehadiran kita mudah disedari oleh pengguna jalan raya yang lain.

Untuk cengkaman lebih cemerlang di laluan biasa mahupun lasak, saiz tayar hadapan asal (17 inci) telah ditukar kepada yang lebih besar iaitu 19 inci manakala saspensi hadapan juga lebih panjang. Rekabentuk pelananya juga diubah menjadi lebih ramping agar dapat membantu para penunggang mendapatkan kestabilan tinggi sewaktu berada di laluan lasak.

Kebolehan Honda ini meratah di laluan berliku dalam kelajuan tinggi dan meyakinkan bukan sahaja disumbangkan oleh sistem saspensi yang mantap tetapi juga dengan adanya sistem Assist & Slipper Clutch. Bagaimana pula dengan pakej brek? Jangan risau… CB500X didatangkan dengan brek-brek cakera hidraulik yang lengkap dengan sistem ABS. Memang terbukti cukup efisien! Dua jari sudah mencukupi untuk menurunkan kelajuannya dengan cepat. Dengan isian penuh tangki sebesar 17.5 liter, jentera pengembaraan ini dapat menyusuri pelbagai jenis perjalanan lebih daripada 250 kilometer.

Harganya juga berpatutan. Dengan bermodalkan RM36,099 (harga asas), kita dapat memiliki sebuah jentera yang cukup mudah ditunggang, lasak dan menepati hampir semua keperluan. Honda CB500X boleh dipilih dalam tiga warna menarik iaitu Grand Prix Red, Mat Gun Powder Black Metallic dan Pearl Metalloid White. RR

Isu Pada

Julai 2020

Spesifikasi

Enjinempat lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu417cc
Gerek x Lejang67.0 x 66.8mm
Kuasa maksimum37kW pada 8,500rpm
Tork maksimum45Nm pada 6,5000rpm
Transmisi6 kelajuan
Tayar110/80 19MC (depan) & 160/60 17MC (belakang)
P x L x T2,155 x 825 x 1,455mm
Berat196kg
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.