Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Julai 2016

TRIUMPH BONNEVILLE T120 : Jentera Serba Moden, Bersalutkan Paras Rupa Klasik

Selama 15 tahun, syarikat Triumph Motorcycles terkenal dengan koleksi klasik modennya yang terdiri daripada Bonneville, Bonneville T100, Thruxton dan Scrambler. Keempat-empat motosikal ini secara kolektifnya memperkenalkan satu gaya menunggang retro yang menjadi tarikan kepada beberapa kumpulan penunggang. Antaranya kumpulan nostalgia yang teringatkan kenderaan seperti Triumph, BSA, Norton dan seangkatan dengannya, kepunyaan mereka (ataupun ayah mereka) semasa muda. Satu lagi pula kumpulan muda-mudi hipster, dengan gaya retro mereka sendiri yang inginkan tunggangan yang mencerminkan cara hidup mereka.

Sememangnya, model-model klasik moden Triumph ini, dari segi rekabentuknya seolah-olah telah dibekukan dalam zaman 60-an. Dari segi teknologinya pun, walaupun mempunyai aspek moden seperti brek cakera, suntikan bahan api elektronik dan skrin maklumat digital kecil di speedometer, masih terdapat lagi teknologi yang lebih kepada zaman silam, dan bukannya pada abad ke-21. Sebagai contoh, enjinnya didinginkan melalui udara dan tiada sistem brek ABS. Malah, versi awal Bonneville menggunakan karburetor, dan bukannya kaedah suntikan bahan api.

Namun begitu, perkahwinan di antara yang lama dan yang baru ini terbukti menjadi sesuatu yang sungguh popular di sepanjang hayat pengeluarannya.

Dan kini, Triumph telah merombak semula koleksi klasik modennya ini bagi tahun 2016. Keempat-empat model yang disebutkan awal tadi kini telah digantikan pula dengan model-model baru, iaitu Street Twin, Bonneville T120, Bonneville T120 Black, Thruxton dan Thruxton R.

Selain daripada Street Twin yang mempunyai enjin berkapasiti 900cc, model-model baru ini menggunakan enjin sebesar 1200cc. Ini merupakan hanya perbezaan ketara yang pertama di antara model-model baru ini dengan model-model yang digantikan, di mana kesemuanya sebelum ini berkapasiti 865cc.

Perbezaan kedua ialah penggunaan ABS bagi koleksi baru ini, sebagai mematuhi peraturan Kesatuan Eropah (European Union) yang mewajibkan penggunaan ABS untuk semua motosikal mulai 2017.

Perbezaan paling ketara yang ketiga ialah koleksi klasik moden 2016 ini sekarang tidak lagi didinginkan melalui angin, tetapi kini menggunakan cecair. Perubahan kepada pendinginan cecair ini juga dilakukan untuk mematuhi syarat kelulusan jenis (type approval) Kesatuan Eropah untuk tahun 2017 ke atas. Dan pada hemat saya, inilah perbezaan yang paling besar berbanding dengan model-model klasik moden Triumph sebelumnya.

Semua perubahan ini, dan banyak lagi, telah diterangkan dalam pandu uji Street Twin yang telah dikeluarkan oleh RR pada isu Mac lalu.

Pada isu ini pula, RR telah menerima pengganti langsung kepada model Bonneville T100, iaitu Bonneville T120 untuk dipandu uji. Varian yang ditunggang untuk pandu uji ini ialah T120 Black, di mana ianya berbeza dengan varian T120 hanya pada luarannya. Varian Black ini, seperti namanya, lebih berwarna hitam, termasuk enjin dan ekzosnya, manakala varian tanpa perkataan Black itu mempunyai enjin dan ekzos berwarna krom, dan pilihan warna tangki yang bukan hanya hitam sahaja.

Rekabentuk T120 ini, seperti T100 yang terdahulu daripadanya, menjurus kepada nilai-nilai estetik zaman ‘60-an. Enjin 1200cc disusun selari, dengan engkol 270 darjah yang memberi turutan pembakaran bahan api yang mengeluarkan bunyi seakan-akan sebuah V-twin.

Ekzosnya pula berbentuk pea-shooter, seperti berbilang motosikal klasik, bukan sahaja Triumph tetapi juga Norton, BSA, AJS dan selainnya. Rodanya pula menggunakan rim jejari, juga dengan gaya seperti zaman dahulu kala.

Kesemua yang telah saya sebutkan di atas menekankan kecenderungan T120 ini sebagai sebuah motosikal “klasik”. Tetapi bentuk yang klasik ini juga padat dengan teknologi moden yang ada di antaranya tidak wujud dalam banyak lagi motosikal keluaran terkini.

Pendikitnya tidak lagi menggunakan kabel, tetapi kini dengan sistem kawalan elektronik ride-by-wire. Sistem kawalan elektronik ini pula membuahkan satu sistem pemetaan pendikit, throttle map, di mana terdapat dua mod iaitu Road dan Rain. Mod pertama, Road, merupakan mod yang akan anda gunakan pada kebanyakan masanya. Mod kedua, Rain, seperti namanya, boleh digunakan pada waktu hujan.

Perbezaan antara dua mod tersebut adalah dalam kawalan pembukaan pendikit, di mana mod Rain akan memberikan respons yang lebih mendatar supaya motosikal itu akan menjadi lebih terkawal, terutamanya di atas jalan yang basah.

Seiring dengan pemetaan pendikit itu juga, T120 ini mempunyai kawalan cengkaman, traction control, yang boleh diberhentikan operasinya jika anda mahu. Tetapi lebih baik biarkan sahaja ianya beroperasi.

Model T120 ini, dari reka bentuknya jelas menyasarkan pembeli yang inginkan sebuah motosikal yang bergaya dan santai, bukannya sebuah jentera yang agresif dan garang.

Enjin 1200cc yang dibangunkan oleh Triumph untuk koleksi baru mereka ini mempunyai dua varian, iaitu High Torque (Tork Tinggi) dan High Power (Kuasa Tinggi). Bagi T120, sesuai dengan sasaran pembeli mereka, enjin High Torque dipasangkan ke dalam casisnya.

Kesannya, menunggang T120 ini menjadi satu pengalaman yang amat menyenangkan. Penghantaran kuasanya progresif, tetapi agak perlahan jika dibandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi. Bersesuaian dengan sifat torknya yang tinggi, jentera ini mempunyai daya tarikan yang lebih daripada memuaskan dari 2,000rpm ke atas, dalam apa gear sekalipun.

Sungguh, enjin 1200cc ini umpama mempunyai bekalan tork yang tidak kesudahan, dan ia memberikan keseronokan berbeza ketika menunggang yang tidak dapat dihasilkan oleh banyak motosikal yang lain.

Bekalan tork yang tinggi ini juga secara langsung menyumbang kepada kadar penggunaan bahan api yang agak jimat. Kadar yang didakwa oleh Triumph ialah 4.5 L/100km. Ini tersangat baik, terutama sekali untuk enjin sebesar ini. Walaubagaimanapun, ujian kami sendiri hanya berjaya mencatat kadar penggunaan 5.62 L/100km. Ini mungkin disebabkan oleh motosikal yang diberikan baru mencecah 300km ketika diserahkan kepada RR maka enjinnya masih lagi ketat, dan juga tunggangan si pemandu uji yang agak bersemangat kerana berniat untuk menguji kebolehan kenderaan ini sepenuhnya. Oh ya, badan si pemandu uji juga agak bersemangat ...

Tempat duduknya pun agak rendah, setinggi 785mm, dan tidak lebar. Malah, untuk sebuah motosikal berkapasiti 1200cc, ianya agak kurus. Kerendahan ini sebenarnya memberikan keyakinan kepada penunggang, terutama sekali bila diambil kira bahawa jentera ini adalah seberat 224kg.

Meskipun enjin ini mempunyai tork yang tinggi, 105Nm pada 3,100 rpm, dan kuasa kuda sebanyak 80hp, ianya telah ditala untuk menghantar kuasa tersebut dengan lembut ke roda belakang. Digandingkan pula dengan sistem ampaian depan dan belakang yang juga lembut, berserta pelana rendah, Bonneville T120 ini sememangnya mudah untuk ditunggang.

Walau bagaimanapun, akibat daripada ketetapan yang agak lembut ini, aspek pengendalian T120 ini telah sedikit sebanyak dikompromikan. Ketika mengambil selekoh tajam, saya mendapati sistem ampaiannya hanya sekadar memadai, dan oleh itu, kelajuan yang dibawa memasuki selekoh hendaklah disederhanakan juga. Jika tidak, pasak kaki akan tergesel di jalan raya dengan senangnya - menjadi peringatan juga untuk memperlahankan kenderaan.

Akan tetapi, ini bukanlah satu kekurangan yang ketara. Lagipun, seronok juga menggeselkan pasak kaki sekali sekala! Tambah lagi, sistem ampaian T120 ini juga boleh dinaik tarafkan dengan mudah, jika anda ingin menunggangnya dengan lebih bersemangat.

Di jalan raya yang tegak pula, T120 memanglah stabil. Kuasa yang ada pada enjin 1200cc itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, dan anda tidak akan merasakan enjin ini semput pada apa-apa kelajuan yang waras sekalipun. Malah, pada hemat saya, jika anda hanya menunggang pada tahap kelajuan yang sah, dan tidak pernah melebihi 110km/j, maka kemungkinan besar gear keenam itu jarang-jarang sekali digunakan.

Pada kelajuan melebihi 160km/j pula, anda mungkin tidak lama bertahan pada kelajuan itu kerana angin yang menekan tengkuk dan dada anda akan membuatkan diri merasai penat melawannya.

Masalah tentangan angin ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan meletakkan skrin angin di hadapan jentera ini. Pengubahsuaian ini adalah sesuatu yang dijangkakan oleh Triumph sendiri berdasarkan pengalaman mereka dengan model-model sebelumnya. Dengan sebab itu Triumph menyediakan skrin angin untuk T120 dalam tiga saiz sesuai untuk selera kesemua pemilik motosikal ini.

Bercakap tentang naik taraf dan pengubahsuaian, Triumph Bonneville T120 ini mempunyai pelbagai pilihan lagi untuk dipertambah baik. Sebagai contoh, ekzos pea-shooter itu boleh digantikan dengan exzos buatan Vance & Hines yang memberikan sedikit anjakan kuasa, dan pertukaran bunyi kepada yang lebih dalam dan sangat memuaskan.

Selain daripada itu, pihak Triumph sendiri mendakwa bahawa terdapat lebih daripada 160 aksesori yang boleh diguna pakai sebagai pengubahsuaian kepada rupa paras dan prestasi asal T120 ini.

Itu baru dari Triumph. Aksesori dan alat-alat ganti dari pengeluar-pengeluar bebas belum diambil kira lagi.

Tentunya, satu aspek penting dalam memiliki sebuah Bonneville T120 (harga asas RM79,900 termasuk GST) ini ialah wujudnya pelbagai pilihan untuk mengubahsuaikannya mengikut kehendak diri. Malah, boleh dikatakan unit standard yang dibeli dari Triumph hanya merupakan asas untuk ekspresi diri pemiliknya nanti dengan aksesori-aksesori dan penambahan lain mengikut daya kreatif tersendiri.

Gabungan prestasi dan pengurusan enjin 1200cc, sistem brek dan ampaian yang moden, casis yang senang dikendalikan dan kecenderungan kepada budaya custom dan gaya hidup ini telah berkeputusan dengan sebuah motosikal yang cukup menarik.

Nampaknya Triumph telah mengeluarkan satu lagi model yang akan menjadi idaman ramai peminat dua roda sekarang dan di masa hadapan. RR

Oleh: Dr Yusseri

Isu Pada

Julai 2016

Spesifikasi

Enjinsilinder paralel,8 injap, SOHC,sejukan cecair
Isipadu1200cc
Gerek x Lejang97.6 x 80mm
Nisbah mampatan10.0:1
Kuasa maksimum80hp pada 6,550rpm
Tork maksimum105Nm pada 3,100rpm
Tinggi pelana 785mm
Berat224kg
Isi tangki15 liter
Pengedar rasmiFastBike

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.